Cikgu Azizan sanggup ‘korban diri’

Berita
Typography

“SAYA pernah menjadi murid dan pernah menjadi guru. Pernah juga dirotan ketika bergelar murid.

“Dan pernah merotan pelajar nakal sewaktu bertugas sebagai guru. Jika dulu saya dirotan guru kerana nakal dan saya pula merotan murid kerana mereka juga nakal,” kata Pesuruhjaya PAS Pahang, Ustaz Rosli Abd Jabar.

Bagaimanpun katanya, hasil didikan guru tersebut membolehnya berada pada kedudukan sekarang.

Kelmarin Mahkamah Majistret di Seremban melepas tanpa membebaskan Cikgu Azizan Manap, 44 daripada pertuduhan mencederakan muridnya, April lalu.

Majistret Mohd Zaki Abd Rahman membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Hazeelia Muhammad, memaklumkan pendakwaan menerima arahan Jabatan Peguam Negara menarik balik pertuduhan berkenaan.

Ustaz Rosli juga berkata, beliau menyokong tindakan Cikgu Azizan untuk mendidik anak muridnya menjadi manusia berguna pada masa depan.

Pengarah PASTI Perlis, Ustaz Asrul Aimran Abd Jalil pula berkata, Cikgu Azizan sanggup mengorbankan diri bagi membentuk peribadi dan akhlak pelajar.

“Tugas inilah yang amat diharap kepada seluruh guru selain tugas hakiki mengajar dalam kelas,” katanya di Kangar. – HARAKAHDAILY 21/12/2017