WINS: Tawaran untuk rakyat Malaysia

Berita
Typography
BANDAR TUN RAZAK: Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS 2051) diasaskan PAS merupakan model pemerintahan Islam yang akan dilaksanakan bagi mengganti sistem pemerintahan pada hari ini.
 
Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Zuhdi Marsuki berkata, sistem pemerintahan ciptaan manusia terbukti semakin rosak dan tidak menyelesaikan pelbagai masalah masa kini.
 
“Kita nak ubah dan bina semula negara dengan berpandukan sistem Islam yang memberikan kesejahteraan kepada negara secara menyeluruh,” ulas beliau pada Sembang Santai Teh Tarik di Alam Damai, Cheras semalam.
 
Terang beliau, masalah sosial dan jenayah di negara ini tidak pernah selesai, bahkan semakin teruk berpunca dari model sistem pemerintahan dan pentadbiran berasaskan akal dan ideologi manusia.
 
Menurutnya, untuk menghadapi 1001 masalah yang timbul pada hari ini adalah dengan keluar daripada sistem manusia ini dan kembali kepada sistem Allah dan manhaj Islam. 
 
"Aslim taslam. Terima Islam, kita akan sejahtera," ujarnya meyakinkan pendengar pada program anjuran Lajnah Penerangan Dewan Pemuda PAS Bandar Tun Razak itu.
 
Jelasnya, usaha PAS bukan perjuangan yang sempit sekadar ingin menjadi Perdana Menteri atau menguasai Putrajaya, tetapi untuk meletakkan sistem Islam pada tempat paling tinggi.
 
Perkara itu terang beliau, disusun secara sistematik oleh PAS dalam dokumen yang dikenali sebagai WINS 2051 itu dan telah dilancar pada FASTAQIM 2.0 di Kuala Nerus, Terengganu baru-baru ini oleh Datuk Seri Tuan Guru Presiden PAS sendiri. - HARAKAHDAILY 20/12/2017