Khatan Nusantara Sabah: 470 kanak-kanak dikhatan

Berita
Typography

PROGRAM Khatan Nusantara Sabah berjaya dilaksanakan oleh Lajnah Kebajikan PAS Sabah dengan kerjasama PAS Kawasan di Sabah. Ini adalah tahun ke-5 berturut-turut program Khatan Nusantara menjelajah seluruh Sabah pada setiap cuti persekolahan hujung tahun bagi menunaikan tanggungjawab sosial mengkhatankan anak-anak Sabah yang tinggal di kawasan  pedalaman. Program Khatan Nusantara ini dilaksanakan secara percuma untuk membantu masyarakat yang kurang berkemampuan.

Bermula dengan satu pasukan dan tiga lokasi pada tahun 2013, pada tahun ini telah meningkat kepada tiga pasukan dan sembilan lokasi di seluruh Sabah. Khatan Nusantara Jelajah Sabah telah memberi khidmat di Kalabakan, Semporna, Kunak, Keningau, Papar, Kudat, Kota Belud, Tuaran dan Putatan.

Sejumlah 470 orang kanak-kanak telah berjaya dikhatankan oleh seramai 27 orang sukarelawan kesihatan. 4 orang mahasiswa perubatan tahun 1 sebuah universiti telah turut sama menyertai program Khatan Nusantara Sabah kali ini.

Pada hari pertama, seramai 157 orang telah disunat bertempat di Kunak (57 orang), Kudat (56 orang) dan Keningau (44 orang). Hari kedua seramai 127 orang masing-masing di Semporna (51 orang), Papar (23 orang) dan Kota Belud (53 orang). Manakala pada hari terakhir seramai 172 orang berlokasi di Tawau (60 orang), Tuaran (47 orang) dan Putatan (65 orang).

Peserta tertua pada siri Jelajah Khatan kali ini ialah seorang Orang Kelainan Upaya (OKU) berusia 38 tahun. Beliau sangat gembira apabila akhirnya selamat juga dikhatankan.

Seorang mahasiswa yang terlibat, Irfan Mahidi berasa sangat teruja dengan pengalaman beliau menyertai pasukan sukarelawan Khatan Nusantara kali ini. Pendedahan terhadap aspek-aspek klinikal telah meninggikan lagi semangat beliau untuk menamatkan pengajian sebagai seorang doktor perubatan.

Lajnah Kebajikan PAS Sabah mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang telah bersungguh-sungguh membantu menjayakan program ini. – HARAKAHDAILY 18/12/2017

khatan sabah 2