Islam pilihan tepat ganti pemerintahan Umno-BN

Berita
Typography

DAKWAAN hanya Umno-BN yang mampu memerintah negara ini, satu kepercayaan karut, bidas Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Muhtar Suhaili.

Beliau berkata, politik dan ekonomi negara perlu diselamatkan dan dibincang semula dengan berpandukan Islam sebagai jalan penyelesaian.

"Bagi saya ia sesuatu yang positif dan saya optimis ia budaya yang subur dalam kerangka demokrasi yang digunapakai.

"Lebih menarik, banyak gagasan politik yang dicetuskan oleh Tuan Guru Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini yang pada awalnya dicemuh oleh musuh-musuh politik beliau akhirnya diikuti, dipersetujui secara tidak langsung dan diperakui sebagai langkah yang wajar meskipun tidak dizahirkan secara nyata," katanya semasa dihubungi hari ini.

Semasa berucap pada majlis makan malam persahabatan anjuran Gabungan Persatuan-persatuan Sahabat Malaysia (GPSM) 10 November lalu, Bernama dipetik sebagai berkata, Naib Presiden Umno Datuk Seri Hisyammuddin Hussin On, mengingatkan rakyat, hanya BN yang boleh memberi kestabilan dalam politik dan ekonomi negara ini.

Dalam pada itu Muhtar berkata, PAS menggagaskan Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS) 2051.

Katanya, beliau bersetuju reformasi institusi (institutional reform) sesuatu keperluan mendesak di dalam negara ini bagi menukar sistem yang korup.

Jadi katanya, PAS tekankan betapa penyelesaian Islam adalah jalan ke hadapan.

"PAS bukan sekadar mahu menurunkan seorang Perdana Menteri dan diganti dengan Perdana Menteri yang lain namun masih dari parti dan sistem korup yang sama.

"Kita tidak mahu keluar dari mulut buaya, masuk ke dalam mulut harimau. Ia tidak menyelesaikan masalah dan tidak membawa kepada perubahan yang lebih sejahtera," ujarnya.

Paling uatama katanya PAS, mahukan perubahan sistem secara total dari sistem yang korup kepada sistem yang terbaik dan tambahnya kepercayaan PAS ialah selamatkan Malaysia dengan Islam.

Tegasnya sejak penubuhannya sehingga kini PAS istiqamah menentang segala kezaliman, salah guna kuasa, rasuah, pecah amanah dan ketidakadilan yang dilakukan oleh parti pemerintah Umno-BN. – HARAKAHDAILY 14/11/2017