27
Sat, May
22 Artikel Baru

DMPM sokong Rang Undang-Undang Kanak-Kanak Seksual 2017

Pimpinan
Typography

PARLIMEN baru sahaja memutuskan Rang Undang-Undang Jenayah Seksual Kanak-Kanak akan dibentangkan di Dewan Rakyat. Rang Undang-undang tersebut merupakan alternatif bagi menangani penderaan seksual yang melibatkan kanak-kanak.

Kami dari Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) menyokong penuh Rang Undang-undang ini yang bakal membawa hukuman lebih berat kepada penjenayah. Ia juga harus disokong oleh semua Ahli Parlimen supaya tindakan lebih tegas dikenakan terhadap mereka yang didapati bersalah.

Tahun lepas, akta ini dipinda dengan hukuman denda maksimum RM50,000 dan penjara sehingga 20 tahun berbanding hukuman denda maksimum RM10,000 dan penjara sehingga 10 tahun sebelum pindaan dibuat.

Menurut statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak 5,779 kes dicatatkan melibatkan penderaan seksual kanak-kanak bagi tempoh 2010 hingga 2015, dengan purata 963 kes setahun.

Manakala berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula, dicatatkan 2,759 kes rogol, 412 kes sumbang mahram, 1,423 kes mencabul kehormatan dan 422 kes luar tabii, yang melibatkan mangsa di bawah umur 18 tahun dilaporkan sepanjang tempoh 2015 dan 2016.

Angka statistik ini semakin hari semakin meningkat dan sangat membimbangkan semua pihak. Kami memandang serius isu ini dan peruntukan akta tersebut wajar dilaksanakan segera bagi menangani kes penganiayaan kanak-kanak yang semakin parah.

Besar harapan kami agar akta ini mendapat sokongan penuh dari seluruh Ahli Parlimen demi masa depan anak-anak kita semua. Semoga ianya mampu mencorak Malaysia ke arah negara harmoni dan sejahtera.

USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia
21 Jamadil Akhir 1438 / 20 Mac 2017 - HARAKAHDAILY 20/3/2017