TUGAS kita bekerja dan merancang untuk kejayaan. Kalah menang serah kepada Allah SWT. Jika kita tidak bekerja, bermakna kita merancang untuk kegagalan. Perkukuhkan jati diri ahli dan parti. Yakin kepada prinsip perjuangan, patuh dan wala' kepada arahan parti. Inilah rahsia kejayaan parti.

Biar orang hina kerana kita berpegang dengan prinsip Islam. Jangan orang benci dengan peribadi kita yang buruk. Kita bukan maksum dan suci daripada dosa.

Walaupun orang kata kita parti suci, biarlah orang kata. Kita tidak pernah kata. Suci lawannya kotor. Antara kotor dan suci, sudah pasti orang yang waras akan pilih yang suci.

PRU sudah tidak lama lagi. Ia menjadi tanda tanya dan teka teki. Inilah hebatnya negara yang merdeka lebih 60 tahun tetapi tarikh pilihan raya menjadi rahsia. Diandaikan pilihan raya dalam bulan Mac 2018, bermakna masa hanya tinggal 14 kali Jumaat lagi.

Ertinya bukan lama mana dah pilihan raya akan berlangsung. Pejam celik, pejam celik sampailah waktu dan ketikanya.

Pilihan raya memerlukan jentera yang kuat. PAS sebagai sebuah parti Islam dan pembangkang sudah tentu memerlukan komitmen yang tinggi di kalangan ahli dan pimpinan. PAS bukan ada 3M (money, media, machinery) seperti yang dimiliki oleh Umno BN. Tetapi PAS ada ahli yang komited dan ikhlas.

Insya Allah PAS kaya semangat, walaupun kita miskin harta. Sebagaimana Nabi SAW bersabda bermaksud: "Bukanlah kaya, kaya harta. Tetapi kaya dengan semangat". Inilah rahsia kekuatan PAS sejak 66 tahun dan 13 kali pilihan raya. PAS mampu bersaing dengan umno.

Pilihan raya tidak cukup dengan hero di media sosial sahaja. Kita masih menghadapi masalah pengundi yang buta maklumat dan tidak berapa kisah dengan media sosial. Masih bergantung dengan media konvensional televisyen.

Pengundi perlu disantuni untuk bersama dengan PAS. Kena mengetahui pantang larang. Sosial budaya pengundi berbeza antara satu bangsa dan kaum. Pengundi bandar dan kampung juga berbeza antara satu sama lain. Latar belakang pendidikan juga berbeza mempengaruhi pola pengundi.

Kalau orang berpendapat pilihan raya hanya berasas kepada sentimen semata-mata, maka ini pandangan yang silap. Gelombang berlaku hanya bermusim seperti perpecahan di dalam Umno. Ia bukan selalu, itupun hanya mempengaruhi setempat tidak menyeluruh. Tetapi kekuatan jentera adalah perkara yang paling penting. Ia tidak bergantung kepada isu semata-mata.

Teras politik Malaysia ialah Melayu. Tembok khurafat hanya Umno sahaja yang boleh jaga Melayu perlu diroboh. Mesti yakinkan bahawa PAS mampu menjaga Melayu. Oleh itu, isu yang mengguris perasaan orang Melayu perlu dielakkan. Kena maklumkan bahawa Melayu boleh diselamatkan dengan Islam.

Pengundi bukan Melayu terutama Cina, mereka tidak ada parti. Pola undi mereka lebih kepada arahan Dewan Perniagaan Cina, Persatuan Pendidikan. NGO inilah yang berperanan menentu kepada mana-mana sokongan. Tumpuan lebih mereka ialah kepada ekonomi. Orang Cina marah kepada BN di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib kerana kos sara hidup yang meningkat.

Oleh itu, musuh PAS membuat fitnah kononnya PAS bersama Umno. Gambar pemimpin PAS bersama dengan pemimpin Umno disebar dalam masyarakat Cina. Ini yang menyebabkan orang Cina marah kepada PAS. Apabila kita tunjuk gambar pemimpin DAP bersama dengan pemimpin Umno, mereka terkejut. Tapi kita tidak katalah pemimpin DAP mahu masuk BN.

Bukan setakat gambar sebelaga pipi malahan belaga perut pun ada. Oh, akan adalah cyber trooper mereka akan bela, ini gambar kerajaan dengan kerajaan. Kalau pemimpin PAS tak boleh, kalau mereka boleh. Walaupun pemimpin PAS hadir program kerajaan tetap juga dikatakan PAS bersama Umno. Biarlah dengan mereka. Teruskan buat kerja. Tidak perlu habis masa melayan golongan ini. Banyak lagi kerja kita.

USTAZ IDRIS AHMAD
Naib Presiden PAS / Ahli Parlimen Bukit Gantang
27 Safar 1439 / 17 November 2017 – HARAKAHDAILY 17/11/2017

ISLAM diturunkan melalui perutusan al Rasul sallaLlahu alaihi wasallam untuk menyatukan manusia seluruhnya. Manusia asalnya adalah satu umat dan satu ugama sebelum akhirnya mereka berpecah dan sering sahaja berbalah dan bertelingkah.

nik abduh1Mereka adalah satu umat kerana mereka adalah daripada satu keluarga dan keturunan iaitu daripada zuriat nabi Adam alaihissalam. Baginda adalah ayah kepada seluruh manusia. Mereka juga adalah satu ugama iaitu ugama Islam yang dianuti oleh nabi Adam dan zuriatnya yang terawal. Islam adalah agama pertama manusia.

Tetapi akhirnya manusia berpecah dan gagal bersatu sesama mereka. Akibat kehilangan sumber ilmu yang benar dan kekalutan menjaga kepentingan diri dan kumpulan, mereka akhirnya melupai kecantikan asal usul mereka. Mereka menjaga keluarga dan kumpulan kecil mereka sehingga melupai keluarga besar dan keturunan besar mereka.

Akhirnya mereka melupai nikmat Allah ke atas mereka yang terbesar iaitu nikmat mengenali-Nya dan menganuti ugama Islam, ugama asal datuk mereka nabi Adam alaihissalam. Mereka telah sesat sehingga sanggup mengambil tuhan dan ugama selain Allah dan Islam. Apabila manusia berpecah dalam ugama, maka perpecahan tidak dapat dielakkan lagi. Ia adalah hakikat bahawa kebahagiaan dan kecelakaan manusia kini adalah tergadai kepada keupayaan mereka untuk kembali kepada jalan asal kejadian mereka.

Kejadian dan kelahiran asal adalah daripada nabi Adam. Agama asal adalah Islam yang dianuti nabi Adam dan zuriatnya yang terawal. Kemudian, kesesatan besar terawal manusia telah direkodkan oleh Allah melalui cerita nabi Nuh alahissalam yang menyeru kaumnya agar meninggalkan syirik dan kembali menyembah Allah. Tetapi kaumnya enggan, lalu mereka dihancurkan sehancur-hancurnya oleh Allah melalui banjir besar yang melanda dan menenggelamkan segala isi bumi kecuali bahtera penyelamat yang dibina oleh baginda dengan arahan daripada tuhannya.

Dengan manusia baru yang dibimbing nabi Nuh kembali memakmurkan dunia baru dengan Islam sebagai ugama, sepatutnya manusia mengambil iktibar daripada kedurjanaan perbuatan mereka meninggalkan Islam dan tauhid. Tetapi manusia tidak beriktibar kecuali sebahagian kecil sahaja. Akhirnya mereka kembali mensyirikkan Allah. Lalu berlangsunglah pembalasan Allah ke atas mereka. Berapa banyak kaum dan negeri dihancurkan akibat keangkuhan manusia sebagaimana diceritakan oleh Allah di dalam al Quran. Tetapi malangnya, manusia tidak pernah insaf dan sedar.

Walau bagaimanapun, bahtera penyelamat terus berlayar membawa misi agung memyelamatkan manusia di sepanjang zaman. Akhirnya sebuah bahtera besar diluncurkan sejak seribu empat ratus tahun yang lepas dan dikemudikan oleh nabi Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam. Ia datang untuk kembali menyatukan manusia menuju keridhaan Allah.

Misi Islam adalah jelas. Pertama, mendakwah dan memujuk manusia agar menerima Islam sebagai ugama yang dianuti. Kedua, memastikan agar penganut Islam kekal bersatu padu di atas ugama Islam yang dianuti. Mereka bergerak bersama-sama menyembah Allah dengan melaksanakan kewajiban sebagai khalifah Allah yang memakmurkan muka bumi ini dengan kesejahteraan Islam.

Bagi memastikan hakikat perpecahan manusia akibat keengganan menerima Islam sebagai ugama yang satu itu tidak pula membawa perpecahan yang lebih teruk, Islam menerima kekufuran manusia sebagai satu hak dan kebebasan untuk memilih. Manusia di dunia berhak memilih ugamanya dan tiada paksaan di dalam berugama. Pilih saja, Islam atau kufur.

Justeru keamanan manusia adalah dijamin oleh Islam walaupun mereka kufur kepada-Nya. Umat Islam dilarang sama sekali memerangi manusia kerana ugama mereka yang berbeza. Malah Islam melalui syariat dan pengajarannya menganjurkan kehidupan yang aman, harmoni dan saling bekerjasama di antara umat manusia tanpa mengira ugama, bangsa, bahasa atau apa sekali pun.

Ia juga satu hikmat besar agar dakwah Islamiyah yang membawa misi bahtera penyelamat untuk umat manusia dapat bergerak lebih lancar, mesra dan terbuka. Kebencian dan permusuhan adalah ibarat dinding yang menyekat cahaya Islam daripada memancarkan sinarnya ke dalam hati manusia.

Adalah jelas bahawa umat Islam tiada sebab untuk berpecah belah. Islam itu sendiri datang untuk menyatukan. Ia malah menyatukan manusia dengan slogan satu keturunan (nabi Adam) walaupun berbeza ugama. Maka bagaimana Islam pula yang dijadikan faktor perpecahan di antara penganutnya sendiri? Ia mustahil berlaku kalaulah tidak kerana perangai manusia sendiri yang tidak mensyukuri nikmat Islam.

Tetapi hakikat yang terpaksa dihadapi oleh umat Islam adalah perpecahan sesama umat. Umat nabi Muhamamd sebagaimana dipenuhi sejarah kesatuan dan kejayaan, ia juga tetap diwarnai dengan titik-titik perpecahan dan kegagalan sebagaimana yang terjadi hari ini. Justeru seruan kepada kesatuan umat Islam adalah menjadi topik paling utama pada sepanjang sejarah umat Islam.

Adalah suatu yang tidak diredhai Allah untuk terus mengekalkan sebab-sebab perpecahan. Ia haruslah dirungkai buang dan ia pastinya adalah satu usaha yang diberkati Allah. Ia bukan calang-calang untuk memadamkan perpecahan. Ia kesukaran yang dipenuhi ranjau untuk mengatasinya.

Selain gerakan terancang oleh musuh-musuh Islam untuk melemahkan Islam dengan mengapi-apikan permusuhan sesama sendiri, umat Islam sendiri terlalu naif untuk memahami kewajiban membina kesatuan umat. Di atas sebab-sebab yang terlalu kecil dan tidak munasabah, mereka sanggup berbalahan sesama mereka, bahkan sampai menganggapnya sebagai satu kerja ugama yang harus dilaksanakan.

Cuba perhatikan bagaimana perpecahan sesama umat Islam berlaku di dalam empat medan utama:

Pertama, mereka bersatu di atas asas akidah tauhid dan tuntutannya, tetapi berbalah besar di dalam perkara cabangannya.

Kedua, mereka bersatu di atas asas hukum-hakam syariat, tetapi berbalah besar di dalam perkara cabangannya.

Ketiga, mereka bersatu di atas kewajiban berdakwah, tetapi berbalah di dalam cara dan wasilah dakwah.

Keempat, mereka menerima kewajiban melantik imam atau ketua bagi menjaga urusan umat, tetapi mereka berbalah besar di dalam soal politik, pemerintahan dan kenegaraan.

Ertinya mereka sudah pun memiliki sebab-sebab kesatuan iaitu asas tauhid, asas bersyariah, asas dakwah dan asas kenegaraan. Tetapi mereka memilih untuk hidup berbalahan di atas faktor-faktor yang remeh yang mudah sahaja dileraikan jika mereka benar-benar insaf dengan kewajiban kesatuan umat.

Akibat lalainya umat daripada menumpukan perhatian kepada soal kewajiban kesatuan umat dan haramnya mengekalkan sebab-sebab perpecahan yang tidak syarie, maka ia menjadi lubang-lubang yang sedia terbuka untuk memudahkan musuh-musuh Islam menyusup masuk ke dalam benteng umat, seterusnya menaburkan racun-racun permusuhan sesama sendiri yang tiada kesudahan.

Saya akan terangkan nanti bagaimana PAS membina sikapnya terhadap isu kesatuan umat dan bagaimana PAS berperanan di dalam menggerakkan usaha besarnya di dalam menyatukan umat Islam di atas landasannya yang benar di dalam kerangka mengembalikan kegemilangan umat Islam sebagaimana ia termaktub teguh di dalam janji al Quran dan sejarah lebih seribu tahun umatnya. – HARAKAHDAILY 12/11/2017

NEGARA kita telah merdeka sejak tahun 1957. Perlembagaan negara meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan sementara muslim adalah majoriti penduduk.

2. Malangnya perlaksanaan syariat Islam masih jauh dari sempurna dalam sistem pentadbiran dan pemerintahan negara mahupun dalam kegiatan sosial dan aktiviti kehidupan masyarakat.

3. Bahkan terlalu banyak dasar dan aktiviti yang bercanggah dengan syariat Islam berbanding yang patuh syariah. Akhirnya kita menyaksikan pelbagai kepincangan dalam sistem politik, ekonomi dan iklim sosial negara kita.

4. Kemungkaran politik melahirkan perpecahan dan pertelagahan ummat. Ini adalah ekoran daripada amalan politik Mechavelli yang hanya mementingkan kuasa tanpa mengira hak atau bathil. Sanggup menindas, menipu, menafikan hak bahkan membunuh demi survival kuasa.

5. Kefasadan ekonomi menghasilkan malapetaka yang menghimpit negara dan rakyat sendiri. Ini adalah ekoran daripada amalan ekonomi kapitalis yang hanya mementingkan kekayaan dan kemewahan tanpa mengira halal atau haram. Sanggup lakukan rasuah, menyeleweng dana awam, mengamalkan riba bahkan tergamak memungut cukai dari rakyat miskin.

6. Kemaksiatan sosial membentuk sebuah masyarakat yang rosak moral dan hilang kemurnian budaya. Ini adalah ekoran daripada liberalisasi sosial yang hanya mementingkan kebebasan tanpa mengira syurga atau neraka. Gaya hidup songsang seperti LGBT cuba dipromosikan sebagai hak asasi individu, membudayakan pesta arak yang memabukkan akal, pelacuran kian subur bahkan judi dilesenkan sebagai aktiviti legal dalam negara.

7. Tidak mudah untuk memulihkan tahap kerosakan dan kebinasaan yang sedang dialami oleh negara pada hari ini. Ibarat pesakit yang terlantar di katil hospital, keadaannya kian parah menanti detik kuman merebak ke tangkai jantung.

8. Sekian lama negara dalam situasi begini. Semua orang merungut dan mengeluh. Keluhan itu bukan sekadar kerana minyak naik. Tetapi juga mengeluh kerana kos sara hidup meningkat, indek rasuah tinggi, ummat Islam berpecah, anak muda yang rosak moral, gejala ragut menjadi-jadi, pecah rumah, rogol, dera dan bunuh bukan lagi kes terpencil.

9. Soalnya, sampai bila kita hanya berpada dengan mengeluh? Mengeluh kemudian mengeluh lagi! Kenapa tidak kita bangkit buat perubahan. Sedang peluang untuk membuat perubahan itu ada. Pilihan untuk berubah senantiasa ada. Segalanya kembali kepada kita. Mahu berubah dengan melakukan tindakan yang berani dan luar dari kebiasaan atau terus kekal dalam tekanan perasaan untuk terus berada dalam situasi yang biasa buat selamanya.

Sabda Rasulullah saw:

مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ

Barangsiapa di kalangan kamu yang menyaksikan kemungkaran maka hendaklah ia merubah kemungkaran itu dengan tangannya, jika sekiranya tiada kemampuan maka ubahlah dengan lidahnya dan jika tiada kemampuan juga, maka ubahlah dengan hatinya dan sedemikian itu adalah selemah-lemah iman. (Riwayat Imam Muslim)

10. PAS menawarkan Islam sebagai penyelesaian. Suatu cara hidup yang diwahyukan oleh Allah swt sebagai Tuhan yang mencipta manusia dan seluruh alam ini. Kenapa tidak kita mengambil Islam yang sarat dengan formula penyelesaian sebagai pintu keluar dari situasi yang mencengkam sejak sekian lama.

Firman Allah swt:

صِبْغَةَ اللَّهِ ۖ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ صِبْغَةً ۖ وَنَحْنُ لَهُ عَابِدُونَ

Celupan Allah dan celupan siapa lagi yang lebih baik daripada Allah swt, sedang kita kepadaNya mengabdikan diri. (Al Baqarah: 138)

Jawapan ada dalam sanubari anda. Berfikirlah dengan wajar dan matang lalu buat keputusan dengan bijak.

Sejahtera bersama Islam

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
21 Safar 1439 / 10 November 2017 – HARAKAHDAILY 10/11/2017

KATA-KATA kesat yang dihamburkan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dalam sebuah Persidangan MCA di Ibu Pejabat MCA, Kuala Lumpur beberapa hari yang lalu amat tidak sopan dan memalukan negara. Perkataan “Kepala Bapak Kau” yang diucapkan beliau itu menggambarkan sikap biadap, kurang ajar, samseng, budak nakal, dan lain-lain yang tidak beretika. Tidak disangka kata-kata sebegitu boleh terpacul dari mulut seorang Perdana Menteri Malaysia.

drriduanBayangkan ucapan beliau ditonton oleh jutaan rakyat dalam negara dan ditonton juga oleh masyarakat antarabangsa. Apakah persepsi yang boleh diterjemahkan melalui ucapan beliau selain persepsi negatif yang menggambarkan beliau dalam keadaan tertekan, terdesak, sakit jiwa dan lain-lain. Masyarakat dunia menganggap budaya dan kesopanan masyarakat Malaysia telah berubah dengan teruk oleh sikap pemimpin negara ini.

Jika sekalipun PM tertekan dengan fitnah yang dilemparkan oleh musuh politiknya, tidak wajar beliau mengeluarkan kata-kata kesat. Beliau seperti mahu membalas dendam dengan kata-kata kesat bekas PM, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menggelar beliau sebagai “Lanun Bugis”. Ucapan Tun segera dibantah dan disanggah oleh banyak pihak. Kini beliau memulangkan paku buah keras dengan mengutuk pula musuh politiknya itu. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula sebelum ini menyerang Tun Dr Mahathir Mohamad dengan menghina keturunan beliau sebagai anak laki-laki Iskandar Kutty. Beliau juga dibidas kerana menggunakan sentimen keturunan untuk menghina individu yang lain.

Dalam hal ini, apa yang dilihat para pembesar dan pemimpin negara tidak mampu menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat. Mereka dilihat oleh rakyat telah berpolitik secara tidak matang dan bersikap kebudak-budakan kerana menggunakan kata-kata yang kasar sebagai bahan ejekan dan gurauan. Sepatutnya mereka menjadi teladan yang baik kepada rakyat dengan bersikap berjiwa besar dan berlapang dada dengan pandangan, kritikan dan tohmahan. Sebagai ‘bapa’ kepada rakyat Malaysia, PM pula wajib menunjukkan perilaku yang baik dan berbudi bahasa yang tinggi untuk diikuti oleh rakyat bawahan.

Hakikat yang tidak boleh disembunyikan apabila PM mula bercakap kasar dan kesat, kata-kata rakyat akan jauh lebih kasar dan kesat. Peribahasa Melayu menyebut, “bapak borek, anak rintik”, usah merasa hairan jika yang keluar dari mulut dan tulisan rakyat Malaysia adalah kata-kata kesat penuh dengan cacian dan makian kerana mereka mencontohi pemimpin negara. Jika para pembesar negara saling bercakaran dengan kata-kata kesat, tidak dapat dibayangkan penyokong dan pengikut parti-parti politik yang bergaduh dalam politik dan pilihan raya akan datang.

Kenyataan-kenyataan kasar dan kesat sebegini menggambarkan iklim politik yang semakin panas menjelang PRU14. Ketegangan dan tekanan semakin memuncak, dengan banyak pihak mula menghamburkan kata-kata pedas, kasar dan kesat ke atas lawan politik masing-masing. Serangan demi serangan bertali arus menerjang setiap pemainnya. Jangan pula nanti kehangatan politik PRU14 diterjemahkan dalam bentuk keganasan, dan tindakan luar batasan yang akhirnya menjadikan rakyat sebagai mangsa.

DR RIDUAN MOHD NOR
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat - HARAKAHDAILY 7/11/2017

TIKA seorang pengusaha dobi meletakkan label perniagaan dobinya “hanya untuk muslim sahaja”, telah menjadikan negara gegak gempita. Semua respons, dari sebesar-besar hinggalah sekecil-kecil pangkat manusia.

nasrudinPelbagai kata nista dilempar. Kononnya itu adalah satu tindakan yang merosakkan keharmonian masyarakat berbilang kaum, bangsa dan agama. Semuanya jadi emosional tanpa terlebih dahulu merujuk kepada didikan agama dan pedoman ajaran Islam

Mutakhir ini timbul isu wanita muslimah tidak dibenarkan memakai tudung sewaktu bertugas sebagai “frontline staff” dan mendakwa bahawa ia adalah polisi sektor perhotelan antarabangsa.

Malangnya, tiada pembelaan wajar dari orang ramai terhadap wanita muslimah yang ingin mempraktis suruhan agamanya sebagaimana tiada juga kecaman hebat kepada mana-mana pihak hotel yang menafikan hak muslimah memakai tudung untuk menutup aurat sewaktu bertugas.

Bukan sahaja ia memperlihatkan satu sikap double standard tetapi jelas menunjukkan mereka masih tersangkar dalam pengaruh “Islamophobia”  yang sangat ketara meskipun mereka menafikannya.

Saya biasa musafir ke negara-negara bukan Islam dan saya pernah bertemu dengan pekerja hotel yang beragama Islam dan memakai tudung. Tidak pula mereka dilarang atau diambil tindakan kerana mengamalkan ajaran Islam di negara itu.

Kenapa boleh berlaku dalam negara Malaysia yang mana Islam adalah agama Persekutuan? Ummat Islam sendiri tidak bebas untuk mengamalkan ajaran Islam di dalam negara sendiri semata-mata alasan polisi antarabangsa sedang hotel-hotel  tersebut beroperasi dalam negara ini.

Memakai tudung dengan maksud menutup aurat adalah suatu yang bersifat fundamental dan diketahui kewajipannya oleh umum. Ia merupakan perintah agama Islam yang wajib ditaati oleh penganutnya. Lebih penting, tudung bukan menjadi penghalang untuk hasilkan mutu kerja.

Larangan terhadap wanita muslimah memakai tudung sekalipun hanya waktu mereka bertugas adalah suatu tindakan yang boleh dilihat mencabar sensitiviti ummat Islam. Selayaknya galakan dikeluarkan terhadap wanita muslimah agar mereka menutup aurat.

Saya akan mengusahakan satu pertemuan dengan pihak Persatuan Hotel Malaysia dan juga pihak berkenaan bagi menjelaskan perkara ini serta mengembalikan hak beramal dengan ajaran Islam kepada wanita muslimah yang bekerja sekalipun di mana sektor mereka di negara ini.

Sejahtera Bersama Islam

Nasrudin Hassan

22 Safar 1439 / 11 Oktober 2017 – HARAKAHDAILY 11/11/2017

SIANG mula melabuhkan tirainya apabila saya mula menerima berita kematian almarhum Ustaz Mat Iraq, seorang tokoh pendidikan dalam PAS malah mempunyai reputasi sebagai pakar fiqh mazahib. Sosok yang alim, merendah diri dan mempunyai ingatan yang kuat. Sebelum mengenali almarhum, saya terlebih dahulu mengenali anakanda beliau Hasan al Banna, semasa menuntut di kampus Universiti Malaya. Hasan al Banna, demonstran tegar di kampus dan kami tinggal di kolej yang sama, Kolej Kediaman Pantai Puri UM yang menghimpunkan demonstran tegar kampus UM.

Hasan al Banna yang berseluar jeans itu mendapat nama tokoh besar pendiri harakah Ikhwanul Muslimin, gerakan dakwah fenomena abad ke-20. Mungkin kerana kecintaan ayahandanya kepada murabi gerakan Islam terkenal itu dan kecintaannya pada tarbiah Ikhwan, kerana beliau semasa muda mendapat tarbiah secara langsung daripada Ikhwanul Muslimin semasa belajar di Iraq.

Ustaz Mat Iraq, begitulah panggilan paling popular terhadap tokoh ulama ini, beliau mendapat pendidikan awal Islam di Pondok Tok Kenali Kubang Kerian selama 13 tahun. Pondok agama yang diasaskan oleh Tuan Guru Haji Yusuf al Kenali yang mencicip ilmu selama 22 tahun di Mekah, dimajukan oleh Tuan Guru Haji Ahmad Bakok, anak Tok Kenali. Almarhum seterusnya belajar di peringkat menengah di Maahad Muhammadi Merbau, Kota Bharu dan pernah dinobat sebagai pelajar terbaik sekolah tersebut. Beliau meremaja dengan watak cintakan ilmu dan pengetahuan, maka tidak pelik jika puluhan tahun selepas zaman persekolahan, figura ini menjadi pakar rujuk ilmu Islam terutama fekah empat mazhab.

Almarhum, dengan reputasi sebagai pelajar pintar dan berbakat akhirnya dipilih belajar ke Universiti Baghdad. PAS menguruskan penghantaran beliau belajar di negara Teluk itu yang akhirnya menjadi tenaga penting kepada perjuangan Islam. Pada tahun 1963, satu rombongan pelajar Malaysia telah dihantar belajar ke Baghdad yang terdiri daripada 10 orang pelajar. PAS telah diberi peluang menghantar pelajar itu dengan ihsan daripada Perdana Menteri Iraq Abdul Salam Ariff yang merupakan seorang aktivis Islam Iraq. Ikhwanul Muslimin Iraq mempunyai hubungan dengan tokoh-tokoh PAS di Malaysia, juga kerajaan Iraq yang turut memberikan bantuan kepada YPTIK  Nilam Puri yang ditubuhkan oleh Kerajaan Kelantan. PAS telah memilih anak-anak muda yang berpotensi dan dilihat mempunyai tendensi untuk menjadi penyambung perjuangan. Mereka alumni sekolah-sekolah agama yang terpilih dari seluruh negara. 10 pelajar itu ialah:

1. Ustaz Hasan Shukri
2. Ustaz Mohamad Daud Iraqi
3. Ustaz Hashim Jasin
4. Ustaz Abdul Rahim Md Zain
5. Ustaz Hasbullah Kasban
6. Ustaz Abdul Ghani Kasa
7. Ustaz Dahlan Muhammad Zain
8. Ustaz Azmi Ahmad
9. Ustaz Isamuddin Haji Ahmad
10. Ustaz Abdul Halim Yahya

Mereka menghadiri kuliah secara formal dan juga program kaderisasi dakwah Ikhwanul Muslimin. Iraq mempunyai ramai tokoh pemikir Ikhwanul Muslimin seperti Sheikh Muhammad Mahmud Sowwaf dan Sheikh Abdul Aziz  al Badri.  Sebahagian daripada pelajar ini akhirnya menjadi aktivis PAS sama ada di peringkat Pusat atau Negeri. Daripada kalangan alumni Iraq ini, yang paling pantas menjadi pemimpin PAS ialah Ustaz Hasan Shukri. Beliau telah dipilih sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat beberapa tahun selepas pulang bermukim ilmu. Antara alumni Baghdad tarbiah Ikhwanul Muslimin yang masih menjadi tokoh besar PAS ialah Ustaz Hashim Jasin, Mursyidul AM PAS.

Pulang daripada bermukim ilmu di Baghdad selama empat tahun, beliau mengajar di Sekolah  Arab Yaakubiah Lundang. Seterusnya menjadi pensyarah di Kampus YPTIK (Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan), sebuah kampus yang melahirkan ramai tokoh-tokoh ilmuan Islam negara ini seperti Dr Fauzi Deraman, Dr Johari Mat, Dr Halim Mat Diah dan lain-lain lagi. Saat ini juga, peneraju utama YPTIK ialah almarhum Ustaz Dato Yahya Othman, sosok tarbiah antara terhebat dalam PAS. Beliau menjadi pensyarah YPTIK sehinggalah tahun 1981.

YPTIK akhirnya menjadi pensyarah Akademi Pengajian Islam Nilam Puri Universiti Malaya, beliau terus berkhidmat di UM sehinggalah tahun 1991. Dengan kemenangan PAS di Kelantan pada tahun 1990, banyak perubahan berlaku dalam pentadbiran kerajaan negeri yang mendukung motto membangun bersama Islam ini. Almarhum dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah Pendidikan Yayasan Islam Kelantan sehinggalah nama beliau dicalonkan sebagai calon PRK Lundang pada tahun 1994. PRK DUN Lundang berlaku setelah kematian Ustaz Mawardi Ahmad, cucu Tok Kenali.

Beliau telah memenangi PRK Lundang dan namanya telah mencuat pantas di arena politik. Dengan gaya serban diikat kemas, tidak lokek berbahagi ilmu dengan masyarakat terutama kuliah-kuliah ilmu, termasuk beliau kerap menggantikan kuliah ilmu Tuan Guru Nik Abdul Aziz di Medan ilmu Kota Bharu. Ini tidak pelik, kerana beliau juga sering dirujuk dalam perkara ilmu oleh almarhum Tok Guru Nik Abdul Aziz.

Dalam sejarah politik dan pentadbiran juga, almarhum pernah dilantik sebagai Exco Kerajaan Kelantan daripada tahun 1995 sehinggalah tahun 2004. Antara potfolio yang pernah beliau galang ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Kelantan, juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Belia dan Penerangan.

Tokoh ulama yang mempunyai perwatakan sederhana dan zuhud ini sangat menyintai ilmu, beliau pernah menjadi Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Ketua Dewan Ulamak PAS Kelantan, Pengerusi ABIM Kelantan, ADUN Lundang, ADUN Demit dan pelbagai tugas serta amanah semasa hayatnya. Figura ini mengalami kemerosotan kesihatan beberapa tahun terutama akibat serangan stroke dan menjelang malam hari ini rohnya berkelana ke alam abadi. Damailah sang murabbi setelah berpenat lelah berjuang dan berdakwah di dunia yang fana ini, moga kerehatan buatmu di dunia 'sana'. - HARAKAHDAILY 9/11/2017

Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI.

KENYATAAN Sultan Perak minggu lalu dalam satu majlis di sebuah sekolah Perak wajar diangkat sebagai agenda negara.  Dalam majlis tersebut DYMM Sultan Nazrin Shah bertitah agar sekolah vernakular wajib mengambil tanggungjawab memastikan setiap pelajar berupaya menguasai bahasa Melayu dengan tahap kefasihan setanding atau lebih tinggi daripada pelajar di sekolah kebangsaan. Titah baginda lagi bahasa usaha untuk memfasihkan setiap pelajar menguasai bahaa kebangsaan hendaklah diterima sebagai suatu cabaran dan pencapaian pelajar menguasainya dijadikan satu daripada indek sutama pengukuran pencapaian sekolah vernakular.

drriduanTuanku Sultan Perak melihat keperluan Bahasa Melayu diangkat sebagai bahasa utama negara dan semua kaum di negara ini. Meskipun tidak menafikan keperluan sekolah vernakular mengajarkan bahasa ibunda masing-masing, namun bagi memupuk perpaduan dan keharmonian kaum di negara ini, Bahasa Melayu wajar menjadi teras perantara komunikasi penting di negara ini. Tidak ada alasan bagi bangsa-bangsa lain menjadikan alasan tidak fasih berbahasa Melayu dan lebih senang menggunakan Bahasa Inggeris atau bahasa ibunda sebagai bahasa perantara.

Bahasa Melayu adalah lambang kedaulatan dan semangat patriotisme negara. Ia termaktub di dalam Perkara 152, Perlembagaan Malaysia yang memperuntukkan bahasa kebangsaan di Malaysia ialah bahasa Melayu. Dengan tidak menolak penggunaan bahasa lain untuk digunakan, tetapi dalam urusan rasmi seharusnya Bahasa Melayu mesti dijadikan bahasa utama komunikasi masyarakat. Dalam usia negara yang mencecah lebih 60 tahun merdeka, mengapa semua bangsa di negara ini masih tidak mampu menguasai Bahasa Melayu? Apa yang silapnya bahasa ini dan mengapa ia seakan menjadi tidak penting kepada negara?

Keperluan menguasai Bahasa Malaysia tidak sepatutnya dipertikaikan mana-mana pihak. Suatu ketika berlaku polemik apabila segelintir pihak mahu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengkaji balik syarat lulus Bahasa Melayu dalam Sijil pelajaan Malaysia (SPM). Mereka mahu kelonggaran agar pelajar ini mampu pergi jauh dalam pengajian tinggi tanpa mahu menguasai atau memahami bahasa Melayu! Walaupun Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bertegas tidak akan berkompromoi dengan tuntutan tersebut, ia kekal menjadi sejarah apabila ada pihak mula mencabar kedudukan Bahasa Melayu dalam Perlembagaan Malaysia.

Dalam sektor pekerjaan pula, tidak ramai majikan meletakkan syarat pekerja yang diambil bekerja mesti lulus Bahasa Melayu. Malah, seringkali para majikan menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi ketika sesi temuduga dan mereka yang tidak fasih berbahasa Inggeris, tidak akan diambil bekerja. Akibatnya, ramai orang Melayu tidak dapat pekerjaan berbanding bangsa lain kerana masalah penggunaan bahasa itu. Yang menghairankan tindakan majikan ini dibiarkan sewenang-wenangnya tanpa teguran atau tindakan lanjut oleh pihak berkuasa.

Sebahagian pihak pula merungut melihat semakin banyaknya papan tanda dan kenyataan yang menggunakan Bahasa Inggeris. Malah kertas-kertas persidangan bersifat tempatan juga menyediakan tajuk dan kertas berbahasa Inggeris. Syarikat-syarikat yang ditubuhkan pula langsung tidak menggunakan nama Bahasa Melayu. Ada ketikanya menteri dan pemimpin negara yang berbangsa Melayu membuat kenyataan di media menggunakan Bahasa Inggeris sebagai medium komunikasi sedangkan audiennya dan isu yang dibangkitkan bersifat tempatan atau hanya berkisar dalam negara sahaja.

Tidak kurang kedengaran suara wakil rakyat yang berbahasa fasih dalam Bahasa Inggeris, tetapi terkial-kial berbicara dalam Bahasa Melayu. Mereka juga bangga dan senang menulis dalam Bahasa Inggeris, atau Bahasa Melayu yang ‘dirojakkan’ dengan banyaknya menggunakan bahasa Inggeris. Jika pemimpin negara atau wakil rakyat juga tidak mementingkan Bahasa Melayu, bagaimana dengan rakyat di bawah?

Justeru, saranan pihak yang meminta agar calon wakil rakyat sama ada (Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mahupun Ahli Parlimen mesti wajib lulus ujian bertulis / lisan dalam Bahasa Melayu adalah cadangan idealistik yang baik untuk dilaksanakan. Kita mahukan pemimpin yang fasih dan berbangga dengan Bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi utama, bukannya jenis pemimpin yang menghina dan merendahkan kedudukan Bahasa Melayu di negara ini. Mereka adalah ikutan masyarakat, jika pemimpin tidak boleh menjadi teladan baik kepada masyarakat mereka tidak layak menjadi pemimpin. – HARAKAHDAILY 30/10/2017

More Articles ...

Page 1 of 4