18
Sun, Aug
11 Artikel Baru

Bajet 2018: KBS dicadang sedia kad khas untuk OKU

Berita
Typography

JABATAN Kesenian, Kebudayaan dan Sukan (DACS) Pemuda PAS Malaysia mengemukakan lapan cadangan untuk Kementerian Belia dan Sukan memanfaatkan Bajet 2018 ke arah pembangunan modal insan para atlet bagi melahirkan bakat baru yang bermutu di dalam arena sukan negara.

Pengarahnya Muhammad Fadzli Abu Bakar berkata, memandangkan Bajet 2017 untuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebanyak RM1.2 billion telah banyak digunakan untuk pembangunan dan persiapan Sukan SEA bukannya kepada pembinaan modal insan para atlet.

Katanya, peruntukan bajet untuk pengurusan sukan sepatutnya tidak melebihi daripada peruntukan pembangunan sukan itu sendiri sehingga menyebabkan bajet tersebut tidak sampai kepada golongan sasar tetapi terlepas kepada orang tengah kerana berlaku ketirisan pengurusan.

Justeru DACS mencadangkan agar KBS memanfaatkan Bajet 2018 nanti antaranya memperkasakan infrastruktur dan jurulatih di peringkat daerah, jabatan agama buat atlet negara, kad khas pelepasan cukai untuk atlet OKU membeli barang sukan dan peruntukan khas bagi masjid-masjid utama untuk dijadikam mini pusat sukan bagi setiap daerah.

DACS juga berharap bajet itu nanti turut diperuntukan bagi mengantarabangsakan mutu sukan negara, merakyatkan sukan negara dengan memperbanyakkan kejohanan terbuka di peringkat daerah serta meningkatkan kempen belia.

KBS juga wajar membina lebih banyak litar lumba kos rendah untuk mengelakkan berleluasanya lumba haram di kalangan anak muda.

"Melihat kepada gejala sosial dan mat rempit di kalangan belia, KBS sepatutnya memikirkan untuk menyediakan ruang bagi mat rempit ini menunjukkan bakat mereka di atas track yang betul dan bukannya di jalan raya yang akhirnya mengancam nyawa pengguna jalan raya yang lain," katanya kepada Harakahdaily. – HARAKAHDAILY 20/10/2017