Muslimat Muda PAS Perlis anjur MISWA

Berita
Typography
KANGAR: Muslimat Muda PAS Negeri Perlis akan menganjurkan Malam Inspirasi Seni Wanita (MISWA)  di Komplek PAS Perlis, di sini pada 25 November depan.
 
Pengarah MISWA, Nuha Che Man berkata, program tersebut bertujuan mengenengahkan suara wanita muda supaya lebih ke hadapan bagi menyemarakkan usaha dakwah.
 
“Program ini adalah lanjutan dari Pidato Piala Ameerah yang dianjurkan pada 15 April tahun lepas.
 
“Cuma pada kali ini, penyertaan akan dibuka lebih meluas bukan saja untuk pertandingan pidato, malah sajak dan nasyid juga turut dipertandingkan,” jelas beliau.
 
Menurut Nuha, MISWA mensasarkan penyertaan wanita muda yang berumur 18 hingga 40 tahun merentasi agama dan budaya.
 
Pengerusi Lajnah Kesenian dan Kebudayaan, Dalila Azhari selaku penganjur bersama pula berharap agar program itu dapat menjadi platform kepada wanita muda untuk menjalankan dakwah dengan lebih berkeyakinan dan berkesan.
 
Beliau juga mengharapkan agar wanita muda tidak ketinggalan dalam sebarang bidang, temasuk kesenian dan aktiviti sosial yang tidak lari dari kerangka agama, budaya dan akhlak.
 
Menurut beliau lagi, kupon infaq dan makan malam juga disediakan bagi mereka yang ingin menyumbang dengan terus menghubungi Bendahari MISWA, Noor Sara Mashitoh di talian 0187920162. - HARAKAHDAILY 13/10/2017