21
Tue, May
32 Artikel Baru

Siti Kassim perlu disiasat - Muslimat Johor

Berita
Typography

DEWAN Muslimat PAS Negeri Johor, (DMPNJ) diketuai oleh Puan Normala Sudirman selaku AJK Dewan Muslimat PAS Malaysia merangkap Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Negeri Johor hari ini membuat laporan polis berhubung isu kebiadaban Siti Kassim yang lantang dalam menghina agama Islam.

Turut hadir, Adun Puteri Wangsa, Ustaz Abdullah Husin, yang juga merupakan Pesuruhjaya PAS Negeri Johor merangkap AJK PAS Pusat; Ketua Penerangan PAS Johor, Samsudin Jaafar; serta Pengerusi Pusat Aduan Rakyat Negeri Johor, Ab. Aziz Abdullah bagi memberi sokongan kepada Dewan Muslimat PAS Negeri Johor.

"Ini adalah amaran buat Siti Kassim dan rakyat Malaysia yang lain  agar tidak lagi celupar, biadap dan angkuh dalam menghina agama Islam," kata Normala yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Pusat Aduan Rakyat (PAR) Negeri Johor.

"Apa jua isu berkaitan agama tidak wajar dipandang ringan dan tindakan tegas perlu diambil agar urusan agama Islam tidak lagi dipersendakan sewenang-wenangnya," katanya lagi.

Muslimat PAS Johor turut mendesak agar Siti Kassim disiasat secara terperinci oleh pihak yang berwajib seberapa segera terutama oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM),dan para mufti yang arif dalam bidang agama.

Demikian saranan Normala yang hadir membuat laporan Polis di Balai Polis Sentral, Johor Bahru.

Beliau diiringi hampir 20 orang muslimat yang hadir untuk turun menunjukkan solidariti membantah Siti Kassim, di sini hari ini.                        

“Kami sangat berharap supaya Siti Kassim panggil dan disiasat seberapa segera untuk diambil keterangan oleh pihak yang berwajib. Kenyataannya telah jelas mengelirukan ummat Islam dan menyimpang daripada ajaran Islam yang sebenar,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 26/9/2017