Sidebar

23
Sat, Sep
18 Artikel Baru

Bantuan NGO kepada Rohingya dipusatkan

Berita
Typography

PUSAT Bantuan dan Kemanusiaan PAS (PASRelief) bersetuju untuk seluruh kolaborasi, penyelarasan dan penyaluran maklumat berhubung Misi Bantuan dan Kemanusiaan Rohingya bersama semua pihak diselaraskan di bawah satu pengurusan pusat bantuan.

Bendahari PASRelief, Mohd Adram Musa berkata, ia ketetapan bersama yang telah dipersetujui oleh semua NGO pada mesyuarat tergempar dipengerusikan Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid, di Pejabat MAPIM, di sini semalam.

Maklumnya, pusat bantuan NGO itu akan beroperasi di Cox’s Baazar, Bangladesh dalam usaha mengatur dan menyelaraskan penggerakan misi agar dapat meluaskan tindakan misi secara lebih berkesan dan maksimum termasuk menghadapi pelbagai birokrasi di kedua-dua negara termasuk Myanmar.

Semua NGO yang hadir juga menurutnya, bersetuju menyumbangkan RM1,000 sebulan sebagai melicinkan kos pengurusan operasi dan lain-lain keperluan berkaitan di mana penting disiap bina dalam masa terdekat, selain menggerakkan khidmat sukarelawan sekerap mungkin.

Adram turut membutirkan perkembangan terbaru dari tindakan penghapusan etnik yang dilakukan pihak Myanmar hingga menyebabkan ribuan terkorban dan keseluruhan etnik Rohingya di Arakan telah melarikan diri ke hutan dan menyeberang ke sempadan Bangladesh.

Keadaan itu katanya, menjadikan kem pelarian sedia ada di Cox’s Baazar, Kutupalong, Balukhali, Shamlipur, Leda, Nayapara dan Teknaf menerima kebanjiran yang tidak dapat ditampung lagi, serta keperluan bekalan makanan dan perubatan sangat mendesak.

Orang ramai yang berhasrat menyumbang boleh menyalurkan ke Tabung Kemanusiaan Antarabangsa PAS Pusat (Maybank 5640 7061 1352) dan boleh mendapatkan keterangan lanjut di talian 012-596 9220 (Pengarah) atau 013-384 5555 (Bendahari). – HARAKAHDAILY 12/9/2017