Sedia sambut 200,000 peserta Fastaqim 2.0

Berita
Typography

PAS Seberang Takir telah bersedia sepenuhnya sama ada dari segi petugas dan peralatannya bagi menyambut kehadiran 200,000 peserta Fastaqim 2.0 yang akan berlangsung pada 29 dan 30 September ini.

yadagangPengarah Majlis Tindakan Dun (MTD) Seberang Takir, Zakaria Dagang berkata, sebagai tuan rumah, sudah pasti akan mengerahkan seluruh ahli dan penyokong untuk mendukung dan menjayakan program tersebut.

“Para petugas kami dan warga PAS Dun Seberang Takir sudah bersedia untuk menerima kedatangan para tetamu dan peserta ke program ini.

“Kita telah menggerakkan para petugas kita untuk membantu kerja-kerja persiapan tapak program. Setakat ini, Alhamdulillah, usaha ini disambut baik dan penuh bersemangat,” ujarnya dipetik Buletin Online.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai persiapan PAS Seberang Takir yang diberi kepercayaan mengurus dan menjayakan program Fastaqim 2.0 yang akan diadakan di Pantai Tok Jembal, Kuala Nerus itu.

Menurutnya, pada kali ini Terengganu telah diberi amanah sebagai tuan rumah selepas Kelantan mengadakan Fastaqim 1.0 di Kota Bharu dua tahun lalu.

“Bagi pihak Majlis Tindakan Dun Seberang Takir, saya menyambut program ini dengan tangan yang terbuka dan penuh bangga kerana memilih sebuah lokasi dalam Dun ini sebagai tapak program.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan PAS Pusat dan PAS negeri yang memberi amanah dan kepercayaan kepada pihaknya sebagai tuan rumah.

"Justeru, kami meletakkan harapan yang sangat tinggi kepada semua ahli dan penyokong PAS di seluruh negara untuk datang menjayakan program yang sangat berprestij ini.

“Kami berazam untuk memberikan sesuatu yang terbaik untuk kepuasan dan keselesaan para peserta, insya Allah,” tegasnya.

fastaqim20