17
Wed, Jul
47 Artikel Baru

Sedia peluang untuk rakyat tambah pendapatan

Berita
Typography

KERAJAAN sepatutnya menyediakan peluang kepada rakyat untuk menambah pendapatan sejajar dengan peningkatan kos sara hidup supaya mereka ada lebihan untuk simpanan.

Menurut Ahli Parlimen Dungun, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli, ia sangat penting untuk masa depan generasi mendatang, lapor Buletin Online.

“Ianya mestilah tidak statik tetapi mampu meningkatkan pendapatan berdasarkan keperluan hidup hari ini,” ujarnya ketika ditemui pada program korban sempena Aidil Adha anjuran PAS Cawangan Balai Besar, Dungun, kelmarin.

Beliau berkata, ada di antara mereka yang membantu keluarga, ibu bapa beberapa tahun sebelum ini kerana mempunyai tabungan.

Namun, ujarnya kini mereka gagal berbuat demikian setelah ekonomi yang tidak menentu dan perbelanjaan yang terus meningkat.

“Ditambah lagi dengan cukai yang membebankan, GST dan hari ini ramai rakyat Malaysia tidak mempunyai simpanan yang mencukupi, bahkan hutang isirumah dan hutang pendidikan meningkat, ini juga perlu diberi perhatian yang serius,” tegas beliau yang juga Yang Dipertua PAS Dungun.

Beliau turut mengajak rakyat untuk kembali kepada konsep Islam yang berlandaskan keberkatan.

“Di mana lembu-lembu dan kambing sama ada dikorbankan atau diakikahkan meningkat saban tahun, walaupun setiap tahun banyak dikorban tapi setiap tahun meningkat, ini juga keberkatan.

“Allah juga akan menurunkan keberkatan apabila kita berjuang menegakkan agama Allah dan memastikan pemerintahan Islam seperti yang dikehendaki Allah,“ katanya.