20
Mon, May
17 Artikel Baru

Mesej kepada yang lakukan ibadat korban

Berita
Typography

MAJLIS Perunding Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menyeru semua kaum Muslimin yang melakukan ibadat korban pada tahun ini memikirkan nasib saudara seagama Rohingya di Myanmar dan juga diserata dunia yang terkorban akibat penindasan dan kezaliman.

MAzmiAHPresiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, jutaan haiwan kambing, lembu, kerbau dan unta yang disembelih untuk menyahut seruan Allah SWT adalah bertujuan menyatakan ketaqwaan kepada-Nya dan  memberi makan kepada kaum yang miskin seperti dinyatakan dalam Surah Al-Hajj ayat 33.
 
"Daging-daging unta dan darahnya itu sekali kali tidak dapat mencapai keredhaan Allah, tetapi ketaqwaan dari kamulah yang dapat mencapainya, demikianlah Allah telah menundukkannya supaya kamu mengagungkan Allah terhadap Hidayah-Nya kepada kamu. Dan berilah khabar gembira kepada orang orang yang berbuat baik," ujarnya kepada Harakahdaily.

Kini puluhan ribu kaum Muslimin Rohingya sedang dizalimi di Myanmar yang berada dalam keadaan nyawa-nyawa ikan.

Tambahnya, mereka diburu, dibunuh dan perkampungan diserang dan dimusnahkan di saat kaum Muslimin akan berkorban haiwan dan banyak daging yang terbazir nanti.

Sebaliknya kata beliau, kaum Muslimin di Arakan kebuluran kerana melarikan diri ke hutan dan di benteng Sungai Naf untuk menyeberang ke Bangladesh bagi menyelamatkan diri daripada buruan tentera Myanmar.

"Kami memerhatikan pembazir daging korban yang kerterlaluan di negara ini sehingga menghilangkan erti dan ruh korban.

"Kami menyeru agar sebahagian wang dalam perayaan korban diinfaqkan kepada ribuan warga Rohingya mangsa kezaliman tentera Myanmar dan ekstrimis Buddha. Kita tidak boleh hanya menumpu kepada mendapat ganjaran amal korban untuk diri masing-masing semata-mata," katanya. – HARAKAHDAILY 29/8/2017