18
Thu, Jul
30 Artikel Baru

PAS Terengganu dalam ‘mood’ sedia jadi kerajaan

Berita
Typography

PAS Terengganu secara terbuka mengisytiharkan bahawa parti itu kini berada dalam keadaan ‘mood’ bersedia untuk memerintah negeri.

Timbalan Pesuruhjaya II PAS Terengganu, Dr Alias Razak berkata PAS juga berada dalam keadaan siap sedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Menurutnya, kajian dilakukan jika berlaku pilihan raya itu PAS boleh mempertahankan kemenangan kerusi sedia ada serta mampu mencapai kemenangan beberapa kerusi lain.

“Jika pilihan raya terdekat ini. Setakat yang kita ada, insya Allah boleh bertahan dengan kita dah ada dan ada dua, tiga, empat Dun lain.

“Insya Allah, kita boleh capai kemenangan. Kita sekarang dalam ‘mood’ bersedia untuk ke Wisma Darul Iman, bila-bila masa pilihan raya diadakan.

“Sekarang ini kita ke arah hendak tawan Terengganu. Ada beberapa perkara besar yang hendak kita ‘highlight’ selepas ini. Sebenarnya kita telah siap dua perkara untuk persiapan ke Wisma Darul Iman,” ujarnya pada Majlis Makan Malam Amal Media 2017 di NR Café Tok Jembal, malam tadi.

Katanya, keyakinan itu berasaskan perancangan pelan induk serta pengalaman pernah memerintah Terengganu pada tahun 1999 yang lalu.

Dr Alias yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Tunggal menegaskan PAS bukan bercakap kosong tetapi sarap dengan persediaannya.

“Saya yakin berjaya. Kita telah buat satu pelan induk iaitu Pelan Induk Terengganu Sejahtera (Pitas)," ujarnya.

Majlis anjuran bersama Unit Media, Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) dan Lajnah Penerangan dan Hubungan Media PAS Terengganu itu memperkenalkan beberapa anugerah seperti Anugerah Videografi Harapan, Anugerah Fotografi Harapan, Anugerah Aktivis Media Harapan Lelaki, Anugerah Aktivis Media Harapan Wanita dan Anugerah Aktivis Media Sepanjang Zaman.- HARAKAHDAILY 26/8/2017