18
Thu, Jul
30 Artikel Baru

PPR Desa Mutiara akan diganti kediaman mewah?

Berita
Typography

PENDUDUK PPR Desa Mutiara di Putri Wangsa, Tebrau, Johor melahirkan kebimbangan apabila mereka mendakwa bahawa kawasan kediaman mereka akan dibangunkan dengan pembangunan komersil. Penempatan itu kini diancam oleh kepesatan projek kediaman mewah yang rancak dibangunkan sekelilingnya hingga menerbitkan ura-ura ia akan dijual kepada pemaju pembinaan.

Jika hal ini berlaku, nasib mereka tidak diketahui dan ada kemungkinan terusir daripada kawasan tersebut. Pada tahun 2008 dahulu Perdana Menteri menjanjikan bahawa mereka boleh memeterai sewa beli selepas lima tahun tinggal di situ.

PAS Johor khususnya, ketua pemudanya Juwahir Amin memandang serius perkara ini dan menggesa kerajaan negeri tidak memangsakan rakyatnya kerana mengejar pembangunan.

Yang berikut ialah kenyataan penuh Ketua Pemuda, Dewan Pemuda PAS Negeri Johor:

"JANGAN 'USIR' BANGSA JOHOR DENGAN PEMBANGUNAN MEWAH"

Kehidupan dan masa depan warga penduduk PPR Desa Mutiara di Putri Wangsa, Tebrau tidak harus diperjudi atau dimangsakan oleh pertembungan ahli-ahli politik yang berkepentingan. Penempatan itu kini diancam oleh kepesatan projek kediaman mewah yang rancak dibangunkan sekelilingnya hingga menerbitkan ura-ura ia akan dijual kepada pemaju pembinaan.

Ini menimbulkan kekhuatiran dalam kalangan penghuni akan nasib dan kemungkinan mereka bakal 'terusir', sekali gus menambah perit dan derita kehidupan yang sedia terumbang-ambing. Ketidakpastian yang berlegar menjadi cakap-cakap pihak awam ini menuntut penjelasan telus kerajaan, agar segala skeptikal negatif dapat dirungkai dan diredakan.

Tahun 2008 dahulu mereka dijanjikan oleh Perdana Menteri untuk dimeterai sewa beli selepas 5 tahun menduduki. Tetapi kini, penduduk mendakwa perkara itu tidak diendahkan dan dimungkiri kerajaan negeri yang dikatakan lebih berminat memajukan kawasan tersebut dengan pembangunan komersil dan mewah. Malah, penyelenggaraan di situ juga diabaikan.

Andai sekiranya nanti perkara itu 'terpaksa' juga berlaku, kerajaan digesa tidak mengabaikan kebajikan mereka, sebaliknya mengemukakan satu menjamin untuk memberi penempatan ganti. Lokasinya juga perlulah sesuai dan tidak terperuk dari keadaan sedia dikecapi ketika ini agar mereka dapat menerus dan menjalani penghidupan secara teratur dan sejahtera.

Kami juga menuntut kerajaan mengemukakan pendirian jelas terhadap polisi pembangunan terutamanya rumah kediaman di negeri ini. Kerana kami melihat wujudnya keghairahan membina bangunan komersil dan kediaman mewah yang harganya di luar jangkauan mampu milik majoriti rakyat negeri ini. Malah, ia mengundang banyak pemilikan asing.

Kerajaan juga perlu memberi perhatian serius terhadap pembinaan PPRT. Seharusnya kerajaan mengutamakan kepentingan dan hak rakyat yang rata-rata masih perlu dibantu, berbanding mencipta kemajuan tetapi tidak dapat dinikmati oleh semua. Negeri ini wajib dikekal milik untuk bangsa Johor hidup sebagai naungan yang ta'zim dan membahagiakan.

JUWAHIR AMIN
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
16 Ogos 2017 | 23 Zulkaedah 1438 - HARAKAHDAILY 16/8/2017