18
Tue, Jun
12 Artikel Baru

Isu nasab bakal rosakkan institusi keluarga Islam

Berita
Typography

KEPUTUSAN Mahkamah Rayuan yang meluluskan anak luar nikah dibinkan atau dibintikan kepada nama bapa biologi sangat jelas bertentangan dengan hukum yang termaktub dalam al-Quran, sekaligus tidak wajar disokong oleh mana-mana pihak, demikian tegas Dewan Muslimat PAS Pusat.

Ketuanya Nuridah Mohd Salleh berkata, al-Quran jelas mengharamkan hal ini kerana ia boleh memberi kesan kepada kesahtarafan anak, hak pewarisan, isu nafaqqah, status wali, isu muharramat (orang yang haram dikahwini) dan memusnahkan institusi kekeluargaan Islam.

"Allah SWT berfirman dalam surah Al-Ahzab, ayat 5 bermaksud, ‘Panggillah mereka (anak-anak angkat itu) dengan (memakai) nama bapa-bapa mereka. Ituah yang lebih adil pada sisi Allah dan jika kamu tidak mengetahui bapa-bapa mereka, maka (panggillah mereka sebagai) saudara-saudara seagamamu dan maula-maulamu’,” tambah beliau.

Bahkan tegas beliau, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan telah menetapkan anak yang lahir selepas 6 bulan qamariah hasil daripada pernikahan yang sah sahaja layak dibinkan dengan bapa biologinya.

Justeru katanya, pendirian tegas perlu disuarakan pihak mufti, agamawan dan NGO Islam demi menjaga kemaslahatan agama.

"Rayuan yang difailkan pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melalui Jabatan Peguam Negara perlu diteliti dan kami mendesak Mahkamah Persekutuan tidak meluluskan permohonan Mahmakah Rayuan tersebut," katanya.

Terdahulu, Mahkamah Rayuan berpendirian, anak pasangan beragama Islam yang dilahirkan secara luar nikah kini layak di sisi undang-undang untuk berbinkan nama bapanya.

Keputusan penting itu dicapai oleh panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Tengku Maimun Tuan Mat ketika membenarkan rayuan seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dan kedua ibu bapanya. – HARAKAHDAILY 31/7/2017