18
Tue, Jun
12 Artikel Baru

Hanya sekali hadiri mesyuarat Ladang Rakyat?

Berita
Typography

KETIKA Adun Parti Amanah Negara (PAN) berteori mengenai projek perladangan di bawah Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat, namun Datuk Husam Musa tidak mendedahkan beliau pernah dilantik ahli lembaga pengarah agensi itu.

Dan lebih malang lagi sepanjang pelantikannya pada 2006 hingga 2012, difahamkan Adun Salor hanya menghadiri sekali mesyuarat.

Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, berdasar Enakmen Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat seseorang ahli lembaga boleh ditamatkan sekiranya tidak hadir mesyuarat dalam tempoh tertentu.

Katanya, tempoh begitu lama diberi untuk membolehkan Adun Salor hadir bagi memberi pandangan dan idea bagi meningkatkan program Ladang Rakyat.

“Namun malangnya dalam tempoh begitu lama, saya difahamkan pemimpin terbabit hanya hadir sekali mesyuarat lembaga.

“Ketika itu Allahyarham Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat masih lagi sebagai menteri besar.

“Peliknya sekarang pemimpin terbabit melontar pelbagai pandangan mengenai Ladang Rakyat, sedangkan tanggungjawabnya ketika berada dalam lembaga Ladang Rakyat tidak dilaksana,” katanya di sini.

Adun Salor dalam catatannya di media sosial menyebut partinya akan menaik elaun peserta Ladang Rakyat dengan melaksana perkongsian untung atau kaedah lain dengan syarikat yang menyertai pajakan ladang.

Pada catatan sebelum itu beliau memberitahu lima anak syarikat Ladang Rakyat rugi, di mana empat ‘tutup kedai’. Menurutnya juga Ladang Rakyat Project Management Sdn Bhd rugi RM8.412 juta pada 2016.

Che Abdullah yang juga anggota Exco kerajaan negeri berkata, sekiranya perkara asas kehadiran mesyuarat pun tidak diberi komitmen, bagaimana seseorang pemimpin itu boleh dipercayai.

Sementara itu Adun Pulai Chondong, Zulkifli Mamat berkata, sepatutnya Adun Salor boleh membezakan antara modal pengurusan ladang dengan kerugian.

Katanya, kerugian lebih RM8 juta Ladang Rakyat Project Management seperti disebut Adun PAN sebenarnya ialah modal pengurusan ladang.

“Selepas empat tahun barulah ladang itu boleh menjana keuntungan selepas mengeluarkan hasil. Manakala empat syarikat anak ditutup bagi meningkatkan pengurusan di bawah satu bumbung syarikat sahaja,” katanya. - HARAKAHDAILY 31/7/2017