17
Tue, Sep
32 Artikel Baru

Lajnah Kesenian PAS ziarah Mus di Hospital Ampang

Berita
Typography

LAJNAH Kesenian dan Kebudayaan PAS Pusat yang diketuai pengerusinya, Dr Riduan Mohamad Nor menziarahi vokalis kumpulan May, Mus di Hospital Ampang, hari ini.

mayRombongan tersebut turut menyampaikan sumbangan kepada Mus atau nama sebenarnya Mustaffa Din, 49, dan mendoakan beliau agar sembuh.

Mus dimasukkan ke ICU Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 3 Julai lalu dan ditempatkan di Zon Kritikal selepas mengalami demam panas.

Beliau dipindahkan ke ICU Hospital Ampang untuk rawatan lanjut pada 5 Julai lalu.

Berikut coretan Dr Riduan.

Besarnya hikmah yang terkandung daripada sunnah ar-Rasul SAW supaya kita menziarahi orang sakit. Hari ini menziarahi Mus, vokalis kumpulan MAY, kumpulan rock yang pernah berada di papan carta utama balada rock tanah air di penghujung 80-an dan awal 90-an.

Mus, yang asalnya mengalami demam panas dan akhirnya koma, kini dirawat di Hospital Ampang melebihi dua minggu. Mus seperti menahan kesakitan semasa proses penularan plasma oleh jururawat, dia akhirnya senyum apabila rombongan LESTARI (Lajnah Kesenian dan Kebudayaan) tiba.

Zulkifli Wahijan menyuntik semangat untuk Mus terus bersabar dan tabah, sakit adalah kaffarah dan ianya akan mendekatkan kita pada Tuhan. Mus berkongsi cerita, dia tak mampu lagi berdiri buat masa ini, rasa kepeningan dan masih tak stabil untuk berjalan. Berulang kali anak seni ini mengucapkan terima kasih kepada rombongan yang menziarahi dan mendoakan beliau semoga sembuh.

Zuar XPDC melunakkan lagi ziarah dengan memberitahu Mus, seorang lagi rockers iaitu Mail XPDC yang juga kini dalam proses penyembuhan. Mail dikejarkan ke hospital dan dimasukkan darah apabila mengalami ulser serta gout. Zuar juga memberikan harapan kepada Mus supaya bersabar dengan ujian dan kawan-kawan yang sentiasa mendoakan beliau. - HARAKAHDAILY 24/7/2017