21
Wed, Aug
32 Artikel Baru

Solusi isu ummah pada kemuncak ijtimak antarabangsa

Berita
Typography

IJTIMAK Antarabangsa Kelantan 2017 tiba acara kemuncak hari ini, akan menampil ucapan pemimpin gerakan Islam peringkat dunia.

Resolusi konfren dakwah dan nadwah ulama juga akan akan dipersembahkan kepada orang ramai pada acara kemuncak dalam Stadium Sultan Muhammad IV malam ini.

Konfren dan nadwah yang disertai kira kira 800 ulama dan cendikiawan Islam dari rantau Asia berlangsung petang semalam sehingga pagi ini.

Pelbagai pandangan dilontarkan bagi mencari jalan untuk meningkatkan  perpaduan umat Islam dan mengelakkan tempias krisis yang berlaku di Asia Barat menular ke rantau ini.

Malam tadi Penolong Setiausaha Agung Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Dr Abdul Ghaffar Aziz menyingkap krisis yang berlaku sejak 1917 yang didalangi barat.

Program kemuncak dalam stadium bermula jam 5 petang dengan acara santai bersama Ustaz Azhar Idrus, Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani dan PU Akram.

Kemudian solat Maghrib, solat hajat. munajat dan solat Isya diadakan di padang stadium.

Acara kemuncak pidato perdana akan turut menampilkan wakil Hamas, Indonesia, Kesatuan Ulama Islam Sedunia dan amanat akhir oleh Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Ketua Sekretariat Pelaksanaan ijtimak tersebut, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, orang ramai jangan melepaskan peluang menghadiri program tersebut.

Katanya, bukan mudah untuk menghimpunkan ulama dari seluruh dunia yang datang dari pelbagai warna kulit dan bangsa.

"Saya berharap rakyat Kelantan merebut peluang tersebut bagi mendengar sendiri isu yang berlaku di negara negara Islam sekarang.

"Kita juga boleh mendengar isu yang di Palestin di mana orang Islam dilarang menunaikan solat di Masjidil Aqsa yang akan disampaikan wakil Hamas," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, konsert keseniaan Islam yang berlangsung malam tadi menarik perhatian ribuan penduduk tempatan.  

Dataran stadium sendat dengan orang ramai. Sebelum persembahan bermula mereka menunaikan solat Isya berjemaah. Ramai yang terpaksa sujud di atas bata lantai kerana ruang solat yang disediakan penuh. - HARAKAHDAILY 22/7/2017