17
Tue, Sep
42 Artikel Baru

Jumaat ini bermula kebangkitan umat Islam

Berita
Typography

MIMBAR Jumaat di negara ini disaran menyahut kebangkitan baru umat Islam bagi membantah keganasan rejim Israel menghalang umat Islam solat di Masjid Aqsa.

Presiden Cakna Palestin, Wan Sharafi Wan Mustaffa berkata, hari Jumaat ini diharap bermula kebangkitan umat Islam di masjid-masjid.

“Hari ini merupakan hari kelima Masjidil Aqsa ditutup rejim Zionis yang bermula 15 Julai lalu.

“Pembantaian, pukulan, tembakan dan tangkapan terus berlaku kepada saudara kita yang murabithin menjaga dan mempertahankan kemuliaan Al Aqsa.

“Terkini Imam Masjidil Aqsa, Syaikh Ikrimah Sabri turut tercedera dibedil tentera Zionis,” katanya di Kota Bharu.

Pemuda PAS Malaysia pula akan mengadakan himpunan aman bagi membantah kekejaman rejim Israel terhadap umat Islam di Palestin Jumaat ini.

Naib Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, perhimpunan itu akan diadakan selepas solat Jumaat di Masjid Muhammadi, Kota Bharu.

Katanya, perhimpunan itu diadakan sempena Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah di sini yang menghimpun umat Islam dari seluruh dunia.

“Kita akan berhimpun seketika selepas solat Jumaat bagi menyatakan bantahan terhadap rejim Israel yang menghalang orang Islam solat di Masjid Aqsa,” katanya.

Baru-baru ini Wan Sharafi bersama 11 delegasi dari Malaysia menyertai persidangan antarabangsa "Mimbar al-Aqsa" di Istanbul, Turki.

Persidangan itu dianjur Lajnah al-Quds, di bawah Kesatuan Ulama Islam Sedunia diadakan pada 14 hingga 16 Julai lepas.

Persidangan itu bertema "50 Tahun Penjajahan Masjid al-Aqsa" dihadiri lebih 200 peserta dari seluruh dunia termasuk Mesir, Afrika Selatan, Mauritania, Arab Saudi, Jordan, Lubnan, Algeria, Tunisia, Malaysia, Indonesia dan Poland.

Manakala dalam perkembangan lain Wan Sharafi berkata, NGO Cakna Palestin mempelawa petugas sukarela sempena Ijtimak Antarabangsa di Kota Bharu yang bermula esok.

Katanya, sukarelawan terbabit akan bertugas di sekitar Stadium Sultan Muhammad Ke IV, Hotel Perdana, Dewan Jubli Perak MPKB BRI, Kelantan Trade Centre dan Masjid Muhammadi.

Maklumat lanjut boleh whatsapp di talian 012 922 1542. - HARAKAHDAILY 19/7/2017