Sidebar

24
Sun, Sep
16 Artikel Baru

CAP kesal keadaan Pantai Tanjung Dawai terbiar

Berita
Typography

PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan Kedah dan Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK) mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah pencemaran sampah dan ancaman hakisan yang berlaku di kawasan pantai Tanjung Dawai ketika ini.
 
Masalah yang sudah lama berlaku itu telah menyebabkan pantai sepanjang hampir 2km di sini kelihatan kotor dan mengalami tanah runtuh yang semakin serius.
 
Dalam tinjauan yang dibuat CAP mendapati selain sampah sarap yang terdampar di kawasan pantai tersebut berbagai bahan buangan plastik termasuk sisa kayu dan ranting pokok turut mencemarkan tempat ini.
 
Di samping itu kawasan pantai di sini juga telah mengalami hakisan yang teruk menyebabkan berlaku keruntuhan tanah yang semakin teruk. Lebih 100 meter tanah daratan berhampiran telah terhakis akibat dilanda ombak.
 
Pokok bakau dan pokok rhu yang terdapat di sepanjang pantai ini banyak yang tumbang dan CAP percaya kemusnahannya akan bertambah jika langkah segera tidak diambil bagi menangani ancaman hakisan tersebut.
 
CAP bimbang jika keadaan itu dibiarkan berlarutan rumah-rumah penduduk dan kawasan pertanian berdekatan akan turut terjejas kerana setiap kali ombak besar melanda air laut dan sampah sarap melimpah masuk di perkampungan di sini
 
CAP kesal walau pun masalah tersebut telah berlarutan sejak lebih 10 tahun yang lalu tetapi hingga sekarang tidak ada tindakan yang diambil oleh pihak berkenaan bagi mengatasinya menyebabkan pantai itu terbiar dan berubah keadaan semulajadinya.
 
CAP meminta kerajaan negeri, MPSPK, jabatan dan agensi yang terlibat menjalankan kajian apakah punca berlakunya kejadian pencemaran dan hakisan pantai di sini dan mendedahkan kepada umum hasil kajian itu serta langkah-langkah yang akan diambil bagi mengatasi masalah tersebut.
 
CAP berpendapat kejadian yang berlaku itu perlu diberi perhatian serius oleh pihak kerajaan kerana ia melibatkan masalah alam sekitar dan kehidupan penduduk tempatan serta boleh mencetuskan ancaman yang lebih buruk pada masa akan datang jika dibiarkan berterusan. – HARAKAHDAILY 17/7/2017