Perkim Kelantan wujudkan cawangan baharu

Berita
Typography

BAGI menjaga kebajikan saudara kita yang baharu menganut Islam, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) menubuhkan enam lagi cawangan baru.

Setiausaha Kerja Perkim, Ustaz Mohamad Daud Omar berkata, perkembangan tersebut menjadikan jumlah keseluruhan cawangan Perkim di Kelantan sekarang sebanyak 11.

Katanya, Perkim Kelantan sebelum ini mempunyai 20 cawangan namun mempunyai pelbagai masalah sehingga dibatalkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia.

“Cawangan yang benar-benar aktif sekarang ada lima. Sekarang kita berusaha untuk menghidupkan enam lagi cawangan," katanya di majlis jalinan Aidilfitri Perkim Kelantan Pejabat Perkim di Taman Laksamana semalam.

Mohamad Daud berkata, cawangan baru Perkim iaitu di Kampung Teras di Kubang Kerian, Pasir Mas, Tanah Merah, Kota Bharu, Kota Jembal dan Kampung Huda.

Manakala cawangan sedia ada iaitu Kampung Apa-apa Pasir Mas, Wakaf Bharu, Bechah Keranji, Batu 30 Machang dan Padang Mokan.

Oleh itu beliau berharap setiap cawangan memberikan kerjasama serta dokongan terhadap gerak kerja dan program Perkim negeri.

“Perkim negeri akan memberi bantuan sekadar kemampuan yang ada selagi ia selaras dengan dasar Perkim,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 14/7/2017