24
Fri, May
17 Artikel Baru

Umno impi tawan Kelantan sejak 1995

Berita
Typography

SEJAK pilihan raya umum 1995 sehingga sekarang Umno tidak lupa mencanangkan mampu merampas Kelantan.

Dan terbaru Timbalan Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub pula mendakwa parti itu bakal menguasai negeri tersebut.

Ketua Penerangan PAS, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, Umno dan BN sudah lama mengidamkan untuk menawan Kelantan.

Bagaimanapun beliau menasihatkan Umno dan BN Kelantan memberi tumpuan menjaga kerajaan yang mereka kuasa sekarang sama ada di peringkat pusat atau negeri.

“Saya nasihatkan Umno jaga kerajaan pusat kerana ramai melihat kedudukannya semakin tergugat dengan pelbagai isu,” katanya ketika ditemui pada majlis Mesra Aidilfitri di Jalan Tengku Petra Semerak di Kota Bharu hari ini.

Program tersebut dirasmikan Menteri Besar, Ustaz Datuk Bentara Kanan Ahmad Yakob. Hadir sama Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, Datuk Che Mohd Rahim Jusoh.

Nassuruddin yang juga anggota Exco kerajaan negeri berkata, tindakan DAP mengisytiharkan calon Menteri Besar Pakatan Harapan di Kelantan mengundang resah pemimpin Parti Amanah Negara (PAN).

Ini kerana katanya perkara yang sama pernah berlaku terhadap Ketua Umno Bachok, Datuk Dr Awang Adek Hussin yang dicadangkan sebagai calon menteri besar.

“Kita tengok apa yang berlaku padanya (Awang Adek).  Itu Umno dan BN yang calonkan, bukan DAP,” ujarnya.

Baru-baru ini pemimpin DAP, Lim Kit Siang mencalonkan Penasihat PAN Kelantan, Datuk Husam Musa sebagai calon menteri besar Pakatan Harapan. – HARAKAHDAILY 4/7/2017