22
Mon, Jul
21 Artikel Baru

Rezeki berganda di pagi Jumaat - peniaga

Berita
Typography

PASAR Pokok Pinang terletak di tengah-tengah pusat bandar Kota Bharu. Ia menjadi tumpuan masyarakat terutamanya Tionghua setiap pagi.

Mereka mendapatkan keperluan harian. Di situ juga ada dijual daging khinzir untuk penduduk bukan Islam.

Ramai pelancong non-Muslim yang datang ke Kota Bharu juga sering mengunjungi pasar tersebut. Ramai peniaga bukan Islam di situ termasuk Cina dan Siam.

Siti Zaleha Che Abu BakarSeorang peniaga, Siti Zaleha Che Abu Bakar, 51 berkata, pendapatannya semakin berkurangan memandangkan peniaga bertambah ramai.

Kata beliau kalau dahulu tumpuan orang ramai hanya di Pasar Besar Siti Khadijah dan Pasar Pokok Pinang sahaja bagi mendapat keperluan harian.

Namun sekarang bekalan keperluan harian boleh didapati di mana sahaja termasuk di pasar raya yang semakin banyak di Kota Bharu.

“Sekarang ni, hanya pagi Jumaat sahaja jualan kami agak laris kerana orang ramai datang selepas mendengar kuliah agama di Medan Ilmu. Sedangkan kalau hari biasa agak berkurangan,” ujarnya ketika ditemui.

Beliau yang berniaga di situ lebih 20 tahun lalu berkata, sebelum ini peniaga menggunakan payung sendiri untuk berlindung daripada panas dan hujan.

Namun katanya, sejak Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat mengetuai kerajaan negeri, tempat niaga dibaik pulih.

“Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam memasang bumbung bagi keselesaan peniaga ketika panas dan hujan,” katanya yang tinggal di Kampung Berangan Pondok, Tumpat. – HARAKAHDAILY 4/6/2017