18
Thu, Jul
30 Artikel Baru

Jangan hina tetamu Rumah Terbuka Selangor

Berita
Typography

PENGERUSI Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar negeri, Datuk Iskandar Abdul Samad mengutuk jika ada pihak yang menyifatkan tetamu Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Peringkat Negeri Selangor sebagai kebulur dan tidak cukup makan.iskandar yb

"Saya mengutuk sekeras-kerasnya jika ada yang menghina mereka yang datang beramai-ramai ke Majlis Hari Raya Kerajaan Negeri hari ini (semalam) sebagai tak cukup makan, kebulur atau peminta sedekah.

"Kalau kamu biasa dengan makanan yang sedap-sedap tidak perlulah menghina orang lain," katanya menerusi laman facebook.

Menurutnya, ramai rakyat marhaen yang tidak mampu menyediakan makanan istimewa untuk keluarga mereka pada hari raya ini.

"Ada yang datang berjumpa dengan YB meminta sumbangan untuk membeli daging. Hendak membeli kuih raya pun berkira. Baju baru jauh sekali.

"Nasihat saya berpijaklah di bumi yang nyata. Turun ke bawah berjumpa masyarakat. Bukan semua orang mampu menyambut hari raya seperti kamu," katanya yang juga ADN Chempaka.

Menurutnya, majlis hari raya itu sedikit sebanyak dapat menggembirakan keluarga para marhaen.

Rumah terbuka anjuran kerajaan negeri di padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) itu diserikan dengan keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Terdapat 47 gerai makanan yang menghidangkan pelbagai jenis juadah kepada lebih 50,000 pengunjung yang mula tiba sejak jam 8 pagi. - HARAKAHDAILY 3/7/2017