20
Mon, May
17 Artikel Baru

Kelantan sedia terima teguran media

Berita
Typography

KERAJAAN Negeri Kelantan sedia menerima kritikan daripada media selagi tidak bercanggah dengan lunas-lunas agama bagi meningkatkan lagi perkhidmatan kepada rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Datuk Nassurudin Daud berkata media boleh memainkan peranan membuat teguran terhadap kerajaan.

“Media boleh membuat teguran terhadap kerajaan negeri sekiranya ada perkara yang tidak betul berlaku.

“Ini kerana media mempunyai pengaruh besar dalam masyarakat. Sebab itulah kerajaan negeri mempunyai hubungan rapat dengan media.

“Namun setiap laporan hendaklah benar kerana kita akan dipersoal di akhirat kelak. Setiap tulisan kita akan dihitung di hadapan Allah Taala,” katanya pada iftar bersama petugas media dan blogger di JKR 10 Kota Bharu petang semalam.

Hadir sama Adun Pulai Chondong, Zulkifli Mamat dan Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri, Md Ashaari Mamat.

Sebelum program berlangsung hujan turun agak lebat di Kota Bharu.

Nassuruddin juga berkata, kerajaan negeri akan menganjurkan program Mesra Aidilfitri bersama anak-anak perantau pada 2 Syawal ini bertempat di Balai Islam Lundang.

Katanya, program itu bermula dengan Isya berjemaah bersama Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob dan anggota-anggota Exco.

“Menteri Besar dan pimpinan kerajaan negeri akan meraikan anak-anak perantau yang pulang sempena Hari Raya. Pelbagai juadah juga disediakan,” ujarnya

Manakala pada 5 Syawal pula akan diadakan Mesra Aidilfitri Mahasiswa bersama pimpinan kerajaan negeri juga di Balai Islam bermula jam 9 pagi.

Manakala dalam perkembangan berkaitan Menteri Besar akan mengadakan rumah terbuka pada 2 Syawal di Kampung Alor Pasir, Wakaf Bharu. - HARAKAHDAILY 22/6/2017