Sidebar

23
Sat, Sep
17 Artikel Baru

Ketua Muslimat PAS cipta sejarah memasuki Sittwe

Berita
Typography

SEJAK konflik berdarah terbesar tercetus di Arakan pada 2012, malah lebih awal daripada itu belum ada seorang wanita bertudung labuh dari mana-mana negara dapat memasuki Arakan (Sittwe). Malah sejak 2012, tiada wanita muslim yang bertudung litup berjaya melepasi imigresen di lapangan terbang Sittwee mahupun memasuki kawasan pekan di Sittwe. Mereka dikurung di kem pelarian dan kampung-kampung terperosok serba daif sejak lebih lima tahun lalu.

Agensi-agensi bantuan antarabangsa hanya mengirimkan petugas lelaki ke medan berdarah dengan percikan api kebencian dan kecurigaan ini.  

Jika adapun petugas wanita, agensi bantuan termasuk dari Malaysia akan mengirimkan petugas wanita mereka yang tidak bertudung, berpakaian sama seperti petugas agensi antarabangsa lain yang kebanyakan mereka adalah missionary kristian dari negara barat. Jumlah mereka tidak sedikit,  dana mereka ratusan juta. Operasi mereka serampang beberapa mata.

Wanita-wanita Rohingya sudah sekian lama tidak dibenarkan keluar dari kem dan kampung masing-masing.  

Seorang petugas agensi bantuan dari Malaysia yang telah 5 tahun bertugas di Myanmar (lelaki), berulang alik setiap minggu masuk ke Sittwe, melahirkan perasaan terkejut melihat dua orang wanita bertudung dalam deligasi PASRelief kali ini. "Belum ada wanita bertudung di Sittwe dalam tempoh lima tahun ini. Ini satu kejutan besar bagi saya dapat melihat wanita bertudung di bandar ini, doa apa ustazah baca hingga dapat masuk ke sini?" katanya kehairanan.

Walaupun telah dimaklumkan sikap 'anti Islam' masyarakat di sini, Kak Nuri turut terkejut dengan 'kejutan' sahabat itu,  ketika kami bertemu berbuka puasa di hotel penginapan.

Sejak awal, ketika saya mempelawa Ustazah Nuridah dan penemannya ikut misi ke Sittwe,  saya sudah maklumkan 'dresscode' yang sesuai untuk mengelak ditahan di lapangan terbang. Beberapa pengalaman sahabat-sahabat terutama daripada MAPIM saya ceritakan sebagai panduan.  

MAPIM pernah membawa masuk seorang petugas NGO China Muslim beberapa tahun lalu. Beliau berskarf, berseluar jeans, memakai jaket dengan hood dan memakai topi besar menutupi sama sekali skarfnya. Barulah berjaya lepasi 'sekatan'.

Namun atas semangat dan kesungguhan, juga selaku Timbalan Pengarah PASRelief yang sedang memberi fokus kepada penindasan Muslim di Arakan, Ustazah Nuridah membulatkan tekad untuk turut serta. Dia membeli sebuah topi besar, namun pakaian dan penampilannya sebagai Ketua DMPM dikekalkan.

Memang wajar isu Muslim Rohingya diambil berat oleh Muslimat PAS,  kerana mangsa kezaliman dan penindasan paling ramai di sini adalah kaum wanita dan kanak-kanak.  Naluri keibuan adalah alat timbangan paling cocok untuk mengukur dan memahami sejauh manakah 'kegalapan hidup' yang sedang dijalani dalam kem-kem pelarian dan desa terkepung di Arakan.

Saya dapat lihat Kak Nuri menangis saat melayani rintihan seorang ibu yang tinggal di dalam bilik kecil diserang strok. Tangisannya melarat hingga ke dalam kenderaan yang membawa kami pulang.

Dewan Muslimat PAS Malaysia turut menyumbang RM12,000 dalam misi kali ini, cukup untuk memberi makanan kepada 145 buah keluarga, yang mampu bertahan selama sebulan, di samping sebuah tubewell di sebuah masjid di Kampung Bume Ungdo Arakan. Tambang penerbangan mereka dan perbelanjaan lain semuanya datang dari poket sendiri.

Jumlah sumbangan dalam Misi Ramadhan Food Pakage PASRelief, MAPIM yang turut disertai Cakna Palestin kali ini berjumlah 3,070 pakage untuk 3,070 buah keluarga.

Sumbangan turut diterima daripada China Muslim Volunter Helping Rohingya (USD24,000) Humanitarian Affair Pejabat Sheikul Islam Thailand (USD7,600) dan Igiveonline United Kingdom (RM6500) selain dana Tabung Kemanusiaan Antarabangsa PASRelief, MAPIM dan Cakna Palestin. Nilai keseluruhan sumbangan kali ini kira-kira berjumlah RM174,800.

Sebagai makluman, jumlah mangsa 'etnik cleansing' yang berlindung dalam kem-kem IDP di Sittwe sahaja melebihi 50,000 keluarga (300,000 orang).

misi2Wajarlah dengan semangat dan kesungguhan Kak Nuri dan Puan Norhafizah, satu sejarah telah tercipta. Harapan saya, kemasukan mereka ke medan ini akan menghilangkan sikap anti Islam pelampau buddist Rakhine dengan kebaikan yang di bawa PASRelief ke sini, Insya Allah. Sekalung tahniah Kak Nuri dan Puan Norhafizah dan seluruh warga DMPM.  

Kami sudah separuh jalan untuk pulang.

Catatan:
Muhammad Sanusi Md Nor
Pengarah PASRelief
Orchid Hotel
Yangon, Myanmar. - HARAKAHDAILY 22/6/2017