Sidebar

23
Sat, Sep
17 Artikel Baru

Tamadun Cina di bandar Kota Bharu

Berita
Typography

KOTA Sultan Ismail Petra yang juga dikenali Dataran Rehal berhampiran Masjid Muhammadi menjadi lokasi utama tumpuan pelancong di Kota Bharu.

Keunikan seni bina Melayu dengan tiang tinggi yang menjunjung replika al-Quran menjadi tarikan pelancong yang bertandang ke Kelantan.

Berbeza pula Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra di Rantau Panjang yang lebih dikenali Masjid Beijing mengentengahkan senibina Cina.

Masjid itu hampir sama Masjid Niujie di Beijing, China dikatakan berusia lebih 1,000 tahun.

Bagi mereka yang pertama kali melihatnya menganggap sebagai tokong Cina kerana bumbungnya melengkung. Bawah atapnya pula dicat warna merah.

Hari ini koleksi keunikan senibina Cina pula boleh ditemui di pusat bandar Kota Bharu. Pintu gerbang Dataran Cheng Ho di Jalan Haji Cheng Ho (Kebun Sultan) kini hampir siap sepenuhnya.

Bumbungnya juga melengkung dengan atap genting warna hijau, manakala tiang pula berwarna merah.

Tertera perkataan Dataran Cheng Ho dalam tulisan jawi, rumi dan Cina.

Lim Guan SengAhli Majlis, Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB BRI), Lim Guan Seng berkata pintu gerbang senibina Cina itu menggambarkan keunikan Kelantan biar pun penduduk majoriti Islam, namun tamadun Cina juga diberi perhatian.

“Ini menggambarkan sikap keterbukaan kerajaan negeri di bawah teraju ulama yang mentadbir negeri ini sejak 1990.

“Cadangan awal membina pintu gerbang senibina Cina pernah diutarakan oleh rombongan masyarakat Tionghua yang melawat Kelantan.

“Pada awalnya berat juga kami hendak dikemukakan kepada kerajaan negeri. Namun selepas menemui arwah Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat beliau menyokong cadangan itu,” katanya di sini.

Malah katanya Tok Guru memberitahu dia sudah lama memikirkan cadangan itu.

Jalan Haji Cheng Ho seakan-akan Cina Town di negeri-negeri lain, di mana majoriti peniaganya kaum Cina. Namun orang Melayu ramai berniaga di lokasi tersebut pada sebelah malam.

Seng juga berkata, di tiang pintu gerbang Dataran Cheng Ho ditulis simpulan bahasa dalam bahasa Cina. – HARAKAHDAILY 21/6/2017

Masjid Beijing