24
Sat, Aug
17 Artikel Baru

Tolak BN elak GST bebankan rakyat

Berita
Typography

BELUMPUN ditetapkan tarikh Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, namun Pakatan Harapan sudah memperlihatkan sebagai sebuah pakatan yang berkecamuk.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perkara itu berlaku kerana masing-masing ingin mempertahankan pendirian.

“Orang lain sibuk dok kejar ganjaran 10 akhir Ramadan, mereka dok kejar nak jadi perdana menteri,” ujarnya pada taklimat PRU 14 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) petang semalam.

Baru-baru ini Pakatan Harapan dilanda konflik berebut jawatan perdana menteri sekiranya mereka menguasai PRU akan datang.

Berikutan konflik tersebut Penasihat Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat kenyataan tidak mahu lagi menawarkan diri sebagai calon perdana menteri.

Tuan Ibrahim berkata, polemik itu berlaku kerana perjuangan yang tiada hala tuju jelas, di samping ada kepentingan diri.

“Masing-masing mengemukakan nama pemimpin mereka untuk merebut jawatan perdana menteri. Belum apa-apa lagi sudah berkecamuk,” katanya.

Beliau juga berkata, sudah sampai masanya PKR dan PPBM memikirkan untuk menyertai blok pembangkang bersama PAS.

Menurut beliau juga kerajaan BN tetap akan melanggar janjinya mengenakan cukai GST terhadap 60 barangan biarpun telah dibatalkan.

Oleh itu katanya rakyat perlu membuat tindakan tegas dengan tidak membenarkan kerajaan BN memerintah selepas PRU-14.

“Rakyat tetap akan dibebani GST untuk petrol dan ubat-ubatan sekiranya dibiarkan BN terus memerintah negara.

“Kita tidak pasti adakah lepas PRU-14 GST terhadap 60 barangan tersebut dikenakan semula selepas BN berkuasa,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 20/6/2017