26
Mon, Jun
5 Artikel Baru

Pasir Puteh Sentral kini dapat sambutan

Berita
Typography

SEBELUM ini ramai peniaga enggan berpindah ke pasar baharu di Pasir Puteh Central biarpun lengkap dengan segala kemudahan.

Januari lalu 500 peniaga sepakat untuk terus kekal di Pasar Besar Pasir Puteh biar pun Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) mengeluarkan notis pindah ke Pasar Besar Pasir Puteh Sentral bermula 15 Januari 2017.

Malah ada peniaga mengemukakan injuksi ke mahkamah bagi memohon untuk terus kekal berniaga di pasar lama. Pemimpin Parti Amanah Negara (PAN) dilihat mahu menjuarai isu tersebut.

Namun hari ini Pasir Puteh Central menjadi tumpuan orang ramai membeli juadah berbuka puasa di bazar Ramadan di lokasi berkenaan.

Setiausaha MDPP, Ahmad Shargowi Deraman berkata, lebih 3,000 penduduk Pasir Puteh dan Besut mengunjungi bazar Ramadan di Pasir Puteh Sentral setiap hari.

Katanya, suasana itu berlaku sejak awal Ramadan lalu memandangkan tapak bazar Ramadan tersebut jauh lebih selesa.

“MDPP menerima permohonan lebih sekali ganda memandangkan kawasan itu begitu selesa. Kawasan baru, bersih, luas dan parkir kenderaan banyak.

“Pengunjung juga ramai yang datang dari Besut dan tempat-tempat lain.

Mereka yang dalam perjalanan ke Terengganu, Pahang dan Johor juga singgah membeli juadah berbuka di situ,” ujarnya di Pasir Puteh.

Pasar Pasir Puteh Sentral dibina MDPP bernilai RM5.6 juta berkonsep terbuka untuk sistem pengudaraan.

Kadar sewa dikenakan antara RM60 hingga RM350 bergantung kepada saiz.

Ahmad Shargowi juga berkata pada 15 Ramadan lalu peniaga kelengkapan Hari Raya juga mula berniaga di situ sehingga sambutan begitu menggalakkan sekali.

Bazar berkenaan beroperasi mulai jam 3 petang hingga 7.30 malam. MDPP juga menganjurkan tazkirah agama di tapak bazar Ramadan tersebut. - HARAKAHDAILY 19/6/2017