26
Mon, Jun
5 Artikel Baru

Pemuda PAS zahir simpati kepada keluarga Nhaveen

Berita
Typography

TRAGEDI buli hingga membawa kematian remaja India, Nhaveen Thirumaran, 18 tahun mendapat perhatian Dewan Pemuda PAS.

Simpati atas kejadian menimpa, satu kunjungan telah diadakan ke kediaman mendiang di Taman Tun Sardon, di sini petang tadi.

Pada kunjungan diwakili Exco Pemuda PAS Malaysia, Nazman Che Iberahim itu, beliau melahirkan rasa simpati dan ucapan takziah serta mengharapkan keluarga tersebut bersabar.

Beliau turut berharap agar kes menimpa remaja itu akan mendapat pengadilan sewajarnya serta gejala sedemikian dapat ditangani.

Katanya, perkara itu amat mendukacitakan dan menuntut kesedaran bersama masyarakat untuk menanganinya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Ir Ahmad Rafaie Dato' Ir A. Rashid telah menghulurkan sumbangan Pemuda PAS Pulau Pinang kepada keluarga tersebut.

Hadir sama pada pertemuan ialah Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS Pulau Pinang, Asokan Perumal; Ketua Penerangan Pemuda PAS Pulau Pinang, Ahmad Safuan Ujar dan Exco Pemuda PAS Pulau Pinang, Mohammad Zamri Sheikh Abdul Kader.

Nhaveen disahkan meninggal dunia kelmarin di Hospital Pulau Pinang akibat dipukul dan diliwat oleh lima suspek yang juga rakannya.

Polis mengklasifikasikan sebagai kes bunuh dan semua suspek kini direman untuk pendakwaan di mahkamah. – HARAKAHDAILY 18/6/2017