16
Wed, Aug
29 Artikel Baru

Semoga bumi Selangor dilimpahi keberkatan Allah

Berita
Typography

PROGRAM tahunan Qiamullail dan Sahur Perdana Peringkat Negeri Selangor yang berlangsung awal pagi tadi mendapat sambutan memberangsangkan masyarakat Islam negeri itu.

yunusPengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi negeri, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata beliau menganggarkan program itu dihadiri lebih 5,000 muslimin dan muslimat bagi mengambil peluang peluang bermunajat pada 10 malam terakhir di bulan Ramadan.
 
“Alhamdullilah saya lihat kehadiran pada program ini agak ramai dengan muslimin dan muslimat yang hadir di mana saya menganggarkan lebih kurang 5,000 orang hadir atau mungkin lebih.

“Diharap semoga munajat kita diterima Allah sebagai amalan terbaik dan kita juga berdoa kepada Allah semoga ditemukan malam lailatul qadar di mana kita tak tahu sama ada malam ini atau bila tetapi yang penting kita meneruskan ketaatan kita kepada Allah,” katanya dipetik SelangorKini.

Beliau berkata demikian pada program Qiamullail dan Sahur Perdana Peringkat Negeri Selangor di Masjid Negeri, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, pagi tadi.

Jelasnya, dengan adanya program seumpama ini, semoga bumi Selangor dilimpahi keberkatan Allah.

Sementara itu dalam program anjuran kerajaan negeri melalui Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dengan kerjasama Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) itu, pelbagai pengisian diadakan termasuklah solat tahajud dan solat hajat yang dipimpin oleh Ustaz Abdul Karim Omar.

Selepas bersahur beramai-ramai turut diadakan ceramah Pentas Ramadan bertajuk ‘Ramadan: Kukuhkan Akidah, Sebarkan Ukhuwah’ yang menampilkan Ustaz Don Daniyal, Ustaz Hariri dan Ustaz Aqil Hayy sebagai moderator program.