23
Fri, Jun
17 Artikel Baru

Pemuda PAS Perak diperkenan berbuka bersama Sultan

Berita
Typography

SEPERTI tahun-tahun lepas, Pemuda PAS Perak telah memenuhi jemputan ke Majlis Berbuka Puasa bersama Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Iskandariah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar, semalam.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh wakil badan-badan bukan kerajaan (NGO) serta pertubuhan, sektor korporat dan warga media dan para jemputan khas.

Ketua Pemuda PAS negeri, Akmal Kamaruddin telah mengetuai rombongan ke majlis tahunan tersebut.

Pemuda PAS segak berpakaian baju melayu hijau serta bersampin berlogo PAS yang menarik perhatian hadirin secara kebetulan sedondon dengan DYMM Tuanku Sultan Perak.

Dalam majlis tersebut, Pemuda PAS telah beramah mesra dengan para tetamu yang hadir di samping menjamah jamuan disediakan.

Majlis itu bermula dengan penyampaian zakat kepada penerima terpilih seterusnya berbuka puasa dan bertarawih bersama Tuanku Sultan Perak.

Mohd Akmal berkata, Pemuda PAS mengucapkan sembah terima kasih kepada pihak Istana yang terus memperkenan menjemput pihaknya ke majlis tersebut.

Menurutnya, program keraian itu adalah platfom yang sangat baik dalam memperkenalkan imej parti Islam itu kepada semua pihak.

"Kami sangat berterima kasih kepada pihak Tuanku yang sudi menjemput kami untuk bersama-sama memeriahkan majlis pada hari ini (semalam).

"Pemuda PAS komited dalam meneruskan serta mengekalkan hubungan baik dengan pihak istana," katanya.

Jelas Mohd Akmal, sambutan positif daripada pelbagai pihak adalah gambaran bahawa parti itu adalah satu entiti yang sangat penting kepada negara pada masa kini.

Selepas selesai solat tarawih, para tetamu termasuklah Pemuda PAS berkesempatan beramah mesra serta bergambar sebagai tanda kenangan. - HARAKAHDAILY 18/6/2017