16
Wed, Aug
29 Artikel Baru

Raya: Muslimat PAS hargai staf Harakah

Berita
Typography

DEWAN Muslimat PAS Malaysia (DMPM)  hari ini berbesar hati menghulurkan sumbangan duit raya kepada warga Harakah seramai 64 orang.

Ketuanya, Ustazah Nuridah Mohd Salleh berkata, sumbangan yang tidak seberapa itu sebagai tanda ingatan Dewan Muslimat kepada seluruh warga Harakah yang menjadi banyak memberi sumbangan besar kepada PAS khasnya.

Katanya, warga Harakah banyak menyumbangkan tenaga mereka untuk mengetengahkan parti kepada masyarakat sekali gus menjadi pemangkin Muslimat mendekati rakyat.

"Kami cukup prihatin dengan situasi Harakah sekarang ini, yang berada dalam keadaan fasa kegawatan. Mudah-mudahan dengan mendapat Ketua Pengarah Lembaga Harakah yang baru akan memberi suntikan baru yang akan dapat melonjakkan semula Harakah," katanya pada majlis penyampaian sumbangan hari raya kepada warga Harakah di pejabat Harakah, ibu negara tengah hari ini. Turut hadir ialah Timbalan Ketua DMPM, Dr Rosni Adam, Dr Nurul Hani Ali (setiausaha) dan Ustazah Wan Hasrina Wan Hassan (ketua penerangan).

Beliau turut mengajak seluruh warga PAS agar bersama-sama dengan Harakah terutama di dalam menghadapi pilihan raya ke-14 nanti memandangkan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sentiasa mengingatkan agar PAS menang paling kurang 40 kerusi.

"Harakah jadi penyebab kejayaan PAS. Kita mentautkan ukhuwah sesama kita yang menjadi asbab kepada kejayaan kita," ujarnya.

Sementara itu, warga Harakah amat menghargai keprihatinan Dewan Muslimat PAS Pusat yang saban tahun tidak pernah melupakan mereka apabila menjelang Hari Raya.

"Alhamdulillah. Setakat ini Dewan Muslimat tidak pernah lupa menyumbang kepada kami di Harakah ini setiap tahun. Terima Kasih Muslimat," ujar salah seorang kakitangan Harakah. – HARAKAHDAILY 15/6/2017

MuslimatRaya 4

MuslimatRaya 3