16
Wed, Aug
29 Artikel Baru

YAMCT anjur kempen derma darah kali ke-12

Berita
Typography

YAYASAN Amal Malaysia Cawangan Terengganu (YAMCT) merupakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) paling aktif di negeri ini menganjurkan kempen derma darah.

Setiap tahun menjelang Ramadan, YAMCT dengan kerjasama pihak Unit Tabung Darah Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu menjayakan kempen derma darah tersebut.

Tahun ini, dimaklumkan YAMCT mensasarkan sejumlah lebih 800 pek darah untuk disumbangkan kepada pihak HSNZ, yang purata memerlukan sebanyak 250 pek seminggu.

Koordinator Program Derma Darah YAMCT, Razali Mat Yunos optimis ‘target’ bagi mendapatkan sejumlah 650 hingga 800 pek darah melalui kempen bulan Ramadan ini tercapai.

Ini kerana, katanya sambutan di kalangan masyarakat umat Islam bagi menjayakan kempen tersebut amat memberangsangkan.

“Tahun ini, adalah kali ke-12 pihak YAMCT dengan kerjasama pihak hospital (HSNZ) Kuala Terengganu menjayakan kempen derma darah sempena bulan Ramadan ini.

“Kita sedia maklumkan bahawa pihak HSNZ memerlukan sebanyak 250 pack darah seminggu dan sebulan perlu ada 1000 pack. Kita (YAMCT) cuba usahakan sejumlah 800 pek darah dalam kempen ini, Insya’Allah,” ujarnya kepada Harakah ketika kempen derma darah itu diadakan di Masjid Jamek Pengadang Baru, Kuala Terengganu, kelmarin.

Beliau berkata tempoh 12 tahun berturut-turut pihak YAMCT mengadakan kempen derma darah secara istiqamah bukan suatu yang mudah.

Menurutnya, melalui kempen itu tahun ini sebanyak 19 buah masjid di lima daerah Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Marang, Hulu Terengganu dan Besut mengambil bahagian.

“Kami buat selepas solat tarawih di beberapa buah masjid terpilih di lima buah daerah sepanjang bulan Ramadan ini. Setiap tahun berlaku peningkatan jumlah pack darah yang berjaya disumbangkan oleh orang ramai,” jelasnya.

Katanya, pada tahun 2016 sebanyak 793 pek darah berjaya dikumpulkan dan dijangka meningkat 10 peratus pada tahun 2017 sebanyak 873 pek.

darah2