16
Wed, Aug
29 Artikel Baru

Umno Terengganu guna SPR sebagai 'talian hayat'

Berita
Typography

UMNO dan Barisan Nasional (BN) didakwa cuba mempergunakan agensi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Terengganu sebagai ‘talian hayat’ bagi mengekalkan kemenangan dan memerintah negeri ini.

Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Terengganu, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, terdapat beberapa bukti kes pihak SPR sendiri melanggar syarat dan undang-undang daftar pemilihnya.

Ini kerana, katanya dalam keadaan terdesak seolah-olah Umno BN cuba campur tangan dalam urusan daftar pemilih SPR.  

Menurut Ustaz Wan Sukairi, campur tangan itu tidak sewajarnya berlaku kerana pihak SPR merupakan pemegang amanah rakyat bagi menentukan kepimpinan negara dan negeri ini.

“SPR ini agensi kerajaan dan kita (PAS) percaya apa yang dilakukan oleh pihak SPR hari ini campur tangan Umno-Barisan Nasional (BN). Umno Terengganu sekarang ini sangat terdesak untuk hendak menang di Dun Ladang.

“Sebab itu, proses perpindahan yang sangat besar dan luar biasa itu berlaku di Dun Ladang sekarang ini. Apabila pihak SPR sendiri kita lihat tidak mengikut prosedur yang ditetapkan oleh pihak mereka sendiri.

“Bagaimana kita boleh mempercayai SPR untuk menguruskan satu urusan pemilihan yang akan menentukan siapa yang akan mentadbir, mengurus negeri dan negara serta rakyat jelata di negeri mahu pun di negara ini.

“Apa yang saya lihat, Umno sekarang ini benar-benar menggunakan talian hayat terakhirnya iaitu SPR.

“Saya harap SPR tidak sama sekali merelakan diri mereka diperalatkan oleh Umno-BN. Bahkan, mereka kena ingat bahawa mereka (SPR) memegang amanah daripada rakyat negara ini,” tegasnya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang medianya di Pejabat Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT), Taman Sri Intan, Jalan Sultan Omar, Kuala Terengganu, semalam.

Sehubungan itu, katanya isu daftar pemilih SPR Suku Keempat 2016 bagi kawasan pilihan raya Dewan Undangan Negeri (Dun) Ladang amat meragukan serta berlaku perkara luar biasa.

Menurutnya, hasil semakan yang dilakukan oleh pihak jentera PAS peringkat kawasan Kuala Terengganu dan di peringkat Dewan Undangan Negeri (Dun) Ladang menemui beberapa perkara yang pelik.

“Pertama berlaku pertambahan pengundi agak pelik di Dun Ladang pada Suku Pertama 2017 iaitu seramai 860 orang dan ini adalah angka tertinggi dalam negeri Terengganu dan pada Suku Keempat 2016 lalu seramai 513 orang.  

“Pihak MTD (Majlis Tindakan Dun) Ladang telah membuat bantahan daripada 513 orang nama-nama yang telah didaftarkan itu seramai 58 orang dibantah oleh 12 orang pembantah pada 20 Februari 2017.

“Kita buat itu mengikut prosedur dan syarat-syarat yang dikemukakan oleh SPR,” ujarnya.

Selepas dua minggu, kata beliau pihak SPR meminta tambahan bukti dan PAS telah mengemukakan maklumat tambahan itu.

Menurutnya, pada hari siasatan atau pendengaran awam bertarikh 17 April 2017, semua pembantah hadir ke pejabat SPR.

Namun, kata Ustaz Wan Sukairi, Orang Kena Bantah (OKB) semuanya tidak hadir yang jumlahnya seramai 22 orang.

“Amalan biasa SPR, kebiasaannya apabila OKB tidak hadir perbicaraan pihak SPR akan membuat keputusan pada hari tersebut.

“Hasil dari perbicaraan yang tidak dihadiri oleh OKB itu SPR kemudiannya mengeluarkan satu surat keputusan perbicaraan bahawa bantahan diterima daripada 22 orang yang dibantah, 18 orang OKB itu diterima SPR,” ujarnya.

Manakala, katanya empat orang lagi daripada 22 orang itu pihak SPR tidak mampu membuat keputusan selepas selesainya sesi perbicaraan, tidak seperti 18 orang yang lain itu.

Menurutnya, selepas dua bulan kemudian pada 8 Jun 2017 lalu, pembantah menerima keputusan SPR yang menyatakan bahawa daripada empat orang yang penting itu dua orang berjaya dibantah dan dua lagi gagal dibantah.

“Salah seorang yang SPR terima bantahan kita (pembantah) ialah Datuk Mohd Sobri Alwi iaitu Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu," ujarnya.