Krisis Qatar: Harga tidak naik, diskaun diteruskan

Berita
Typography

HARGA barang-barang keperluan utama di Qatar bukan sahaja tidak naik, malah pesta jualan murah yang telahpun berjalan sebelum krisis diplomatik, tetap diteruskan oleh pengusaha-pengusaha pasaraya di negara ini.

QT5Mengulas isu ini, Ahli Jawatankuasa Persatuan Rakyat Malaysia di Qatar (MAQ), Farah Syaheeda Ali yang dihubungi berkata, Kerajaan Qatar telah menunaikan janji mereka apabila berjaya memastikan bekalan makanan keperluan mencukupi.

Lebih dari itu, tambah beliau, harga barang juga terkawal, tiada penyelewengan dari peniaga dan kerajaan telah berjaya memastikan rakyat mendapat apa yang seharusnya mereka dapat.

“Alhamdulillah, Kerajaan Qatar telah memberi jaminan bahawa bekalan makanan mencukupi untuk semua penduduk Qatar.

"Semua bekalan asasi adalah mencukupi di semua pasaraya di Qatar,” jelasnya Farah yang baru sahaja pulang dari Bazar Ramadhan bulanan untuk rakyat Malaysia anjuran MAQ.

Beliau yang diamanahkan menjaga Biro Perhubungan Wanita, Makanan dan Minuman turut memuji inisiatif kerajaan Qatar dalam menangani keadaan yang dikira sebagai agak merisaukan pada permulaannya.

Turut berkongsi pandangan ialah beberapa surirumah warga Malaysia yang menetap di Qatar.

Engku Nornadrah Tengku Amri, 43, berkata tiada perbezaan dari segi harga barangan keperluan bermula dari hari pertama konflik sehingga hari ini kerana kerajaan bertindak pantas meletakkan anggota-anggotanya bagi memastikan semuanya berjalan baik.

QT3

Engku Nornadrah bersama suami Engku Ahmad Nasri dan keluarga selesai membeli barang keperluan.

“Ketika hari pertama, ada yang membuat pembelian panik, saya melihat ramai pegawai-pegawai Baladiya (sebuah agensi kerajaan) yang bertanggungjawab memastikan harga yang dijual kepada pelanggan hanya pada harga yang ditetapkan,” terang beliau.

Engku Nornadrah yang berasal dari Terengganu itu turut tidak merasa risau mengenai persiapan menyambut Aidilfitri sama ada dari segi bekalan ataupun harga dan yakin akan dapat menyambutnya dalam keadaan yang selesa.

Manakala bagi Norliza Omar, 37, pula memuji kebijaksaan kerajaan Qatar dengan tindakan pantas mencari alternatif kepada barangan yang keputusan bekalan dan menggantikannya dengan produk lain.

qq4

Norliza dan suami Jasmin Selamat ketika membeli belah.                       

Dengan itu, pengguna tidak  putus bekalan, dan di samping itu, kualiti barangan juga adalah setanding dengan barangan yang dibekalkan sebelum ini.

Norliza, anak jati Melaka yang tinggal di Qatar lebih dari 10 tahun menafikan segala berita yang tidak benar yang ditularkan seperti Qatar tidak mempunyai bekalan makanan yang cukup dan menasihatkan agar orang ramai tidak terpengaruh dengan sebaran berita sebegitu.

Majoriti surirumah di sini seperti biasa merancang mengadakan sambutan Aidilfitri secara sederhana sahaja kerana kebiasaan di negara arab Ramadhan lebih diraikan.

Semalam, agensi berita tempatan Qatar melaporkan bekalan makanan dari negara-negara Turki, Lubnan dan Algeria telah selamat diterima melalui khidmat kargo udara. - HARAKAHDAILY 10/6/2017

QT1

 QT2