26
Mon, Jun
5 Artikel Baru

Cucu terharu nama Tok Kenali diabadikan

Berita
Typography

USTAZ Lokman Ahmad, 79, tidak dapat menahan sebaknya apabila menceritakan nama datuknya, Tok Kenali banyak dinukil kembali oleh kerajaan Kelantan.

lokman“Ana tidak dapat menahan sebak kerana kesungguhan kerajaan negeri. Hari ini ana tengok satu lagi nama Tok Kenali terpampang di Kubang Kerian.

“Tulisan Persimpangan Tok Kenali di simpang empat di Kubang Kerian sesuatu yang amat ana dan keluarga hargai,” katanya dengan nada agak sebak, di Kota Bharu.

Lokman merupakan cucu Tok Kenali. Pada awal 1990-an kerajaan negeri menamakan sebuah jambatan yang menyeberangi sungai di Wakaf Stan dengan nama Tok Kenali.

Nama Tok Kenali juga diabadikan pada nama Yayasan Amanah Tok Kenali yang mengendali program pembangunan insan di Kelantan.

Malah sebuah pasar baru yang akan dibina di Binjai juga difahamkan akan dinamakan Tok Kenali.

Sebuah sekolah menengah di Kubang Kerian juga memiliki Dewan Tok Kenali.

Lokman yang juga ayah selebriti dakwah, Bob Lokman berkata beliau mengucap terima kasih kepada Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob kerana terus mempertahankan nama Tok Kenali.

“Sejak zaman Allahyarham Tok Guru Nik Abdul Aziz sehingga sekarang nama Tok Kenali terus digemilang bagi ingatan generasi sekarang dan akan datang,” ujarnya.

Tok Kenali juga mempunyai sebuah masjid di Kampung Kenali yang menjadi tempat cucu cicit ulama tersohor itu mecurah ilmu agama kepada masyarakat.

Lokman juga berkata, beliau membina bangunan Dewan Tok Kenali setinggi tiga tingkat yang kini hampir siap sepenuhnya, melibatkan kos kira-kira RM300,000.

Bangunan itu mulai dibina lapan tahun lepas akan dijadikan Pusat Tahfiz Dewan Tok Kenali.

Bagaimanapun katanya sumbangan masih diperlukan bagi menyiap sepenuhnya pusat tahfiz tersebut.

Orang ramai yang berminat boleh menghulur sumbangan melalui Maybank (5531 0441 1293) atau telefon 09 765 4666 (Ustaz Lokman). - HARAKAHDAILY 6/6/2017