Proton-Geely: Rakyat patut diberi cukup maklumat

Berita
Typography

RAKYAT Malaysia sepatutnya diberikan kefahaman mengenai kerjasama DRB-Hicom dan Geely dari sudut strategi korporat dan ekonomi negara, demikian menurut Pemuda Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan).

Ketuanya, Shahir Adnan berkata, dari sudut strategi korporat, kerjasama kedua-dua pihak bersetuju bahawa Proton adalah jenama kereta nasional Malaysia.

ShahirAdnanKatanya, misi kerjasama ini adalah untuk menjadikan Proton jenama paling laris dijual di Malaysia dalam  masa yang sama, Geely akan memindahkan teknologi “Sports Utility Vehicle (SUV)” kepada Proton yang telah terbukti melalui jenama Volvo.

"Kita semua sedar bahawa kebanyakan kereta Proton yang digunakan di atas jalan raya adalah kereta sedan. Ini merupakan suatu anjakan teknologi untuk Proton.

"Dari sudut ekonomi negara, Proton akan menjadi hab pengeluaran kereta “right-hand drive” jenama kereta Geely, termasuk Volvo," katanya kepada Harakahdaily.

Jelasnya, pusat Proton di Tanjung Malim akan gunakan sepenuhnya untuk tujuan ini sekali gus akan memberi peluang perkerjaan terbuka luas kepada rakyat Malaysia dan peluang perniagaan diwujudkan kepada syarikat tempatan sebagai pembekal alat-alat ganti contohnya.

Justeru katanya, semua pihak tidak wajar mempolitikkan isu penjualan saham Proton sebaliknya mengambil pendekatan yang dibudayakan di dalam Gagasan Sejahtera agar berpolitik secara matang dan sejahtera.

"Sesuatu yang baik untuk negara dan rakyat perlu disokong, tidak kira kerajaan atau pembangkang. Kenyataan menyamakan penjualan saham Proton seperti ‘kehilangan anak, dan ‘hilangnya kereta nasional’ merupakan kenyataan bermotifkan politik semata-mata,"ujarnya.

Tegas beliau, Zhejiang Geely Holding Group hanya memegang 49.9% saham Proton Holdings Bhd dan penguasan saham sebanyak 50.1% masih lagi dipegang oleh DRB-Hicom.

"Secara pengiraan mudah, syarikat Malaysia masih menguasai saham Proton Holdings Bhd. Justeru, Pemuda IKATAN tidak merasakan isu ini harus berbangkit," katanya.

Geely sudah membuktikan kejayaan dengan mencatatkan pertumbuhan keuntungan terbesar melalui kereta jenama Volvo dan The London Taxi Company. – HARAKAHDAILY 5/6/2017