ADA seorang rakan wartawan memberitahu saya tidak adil Azmin sebagai Timbalan mahu mengarahkan Anwar sebagai Presiden apa yang patut dan tidak patut dilakukan.

Beliau merujuk kepada perbalahan di dalam PKR hari ini antara kem Datuk Seri Anwar dan kem Datuk Seri Azmin.

Azmin tidak berpuas hati dengan beberapa lantikan yang dilakukan oleh Anwar antaranya meletakkan Rafizi yang tewas pada Azmin sebagai Naib Presiden dan Saifuddin Nasution yang banyak menyerang Azmin dan rakan-rakan semasa pemilihan PKR dulu kembali sebagai Setiausaha Agung.

Saya beritahu rakan tadi ia sesungguhnya proses biasa dalam amalan parti-parti politik di bawah sistem demokrasi. Azmin lantang bersuara kerana kem beliau menang banyak kerusi dalam pemilihan parti sebagaimana puak-puak 'Erdogan parasit' dulu dalam PAS yang memberi banyak tekanan pada Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sebagai Presiden.

(Yang tiada begini adalah DAP yang kuasa besar bertenggek atas kepala Setiausaha Agungnya. Parti yang kononnya demokratik tapi autokratik)

Namun dalam hal-hal tertentu kuasa Presiden parti punya prerogatif dan keutamaan. Presiden yang berkarisma boleh mengatasi tentangan dalaman sebagaimana Tuan Guru dulu sehinggalah terlentang kumpulan pengacau dalam PAS pada pemilihan parti kemudiannya.

Tidaklah dapat dipastikan sama ada Anwar memiliki kuasa yang sama. Beliau sendiri sebenarnya berhadapan dengan pelbagai masalah dan tekanan.

Di satu pihak beliau berhadapan dengan tentangan kem Azmin yang cuba digambarkannya sebagai pelampau dan pengkhianat. Di satu pihak lain pula beliau mula gelisah sama ada jawatan PM yang dijanjikan kepadanya setelah 2 tahun PRU ke 14 benar-benar akan diserahlan kepadanya oleh Tun ataupun tidak.

Hangat hari ini tuntutan agar Tun kekal PM hingga ke hujung penggal. Dan sudah mula muncul kisah-kisah lama yang baru kononnya yang tidak melayakkan Anwar sebagai PM.

Saya beritahu rakan tadi jika 2018 sejarah tercipta apabila PH menumbangkan BN 2019 pula dijangka lebih sensasi.

Berjayakah Anwar menjinakkan Azmin atau Azmin pula nanti menerkam beliau. Sudah ada suara-suara mengatakan lebih baik Tun angkat sahaja Azmin sebagai TPM. Kita menantikannya dalam 2019.

Juga akan berulangkah langkah menafikan Anwar sebagai PM sebagaimana dahulu? Dari jawatan TPM iaitu selangkah sahaja ke kerusi PM beliau dipecat dan berakhir di penjara. Akan berulangkah kisah-kisah silam beliau versi baru sebagaimana dibangkitkan sesetengah pihak kebelakangan ini?

Sedang Anwar dan Azmin berbalah dan Tun pula masih sebagai PM sama-samalah kita nantikan selanjutnya 2019 ini.

Pasti lebih sensasi dari 2018. Selamat tahun baharu. - HARAKAHDAILY 1/1/2019

 

PENENTUAN mekanisme penetapan harga runcit petrol dan diesel mesti dibuat secara berhati-hati supaya para pengguna dan pengusaha stesen minyak tidak berhadapan dengan masalah yang tidak sepatutnya.

Harga yang diapungkan semula di pasaran berdasarkan Automatic Price Mechanism (APM) betul menguntungkan pengguna pada masa harga minyak mentah global menurun. Namun, jika tiada mekanisme pengawalan tertentu, pengguna juga perlu membayar harga yang lebih tinggi pada masa harga minyak mentah global meningkat.

Harus difahami bahawa harga minyak mentah global ini bukannya statik dan ia sukar dijangka kerana turun dan naiknya turut bergantung kepada keadaan geopolitik semasa antarabangsa.

Oleh itu, pendekatan menentukan harga runcit petrol berdasarkan managed float system bersekali dengan penetapan had harga maksimum seperti yang diumumkan oleh Kementerian Kewangan pada petang semalam adalah memang sepatutnya.

Namun, saya berpandangan had harga maksimum ini patut dan boleh direndahkan lagi berbanding RM2.20 bagi RON95 dan RM2.18 bagi diesel.

Had harga ini penting supaya beban kos sara hidup rakyat tidak bertambah dan bagi mengelakkan berlakunya peningkatan mendadak indeks harga pengguna (IHP).

Kerajaan juga mesti mengehadkan kadar kenaikan harga runcit bahan api ini (dicadangkan maksimum 15 sen seliter) supaya pengguna tidak mengalami kesan perubahan perbelanjaan yang mendadak.

Saya juga melahirkan rasa terkilan dengan keputusan Kerajaan yang menangguhkan lagi penurunan harga runcit petrol dalam pasaran yang sepatutnya bermula hari ini.

Sejak diumumkan dalam Bajet 2019 pada awal November lalu, kenapa baru sekarang Kerajaan mahu mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan Petroleum Dealers Associations of Malaysia (PDAM) bagi memuktamadkan isu ini sedangkan PDAM adalah antara pemegang taruh yang utama dalam isu ini?

Jelas sekali bahawa tindakan menangguhkan ini menunjukkan sebenarnya Kerajaan mahu mengaut keuntungan daripada rakyat dengan membuat helah. Berdasarkan Mean of Platts Singapore (MOPS) dan APM, sepatutnya sejak awal Disember lalu RON95 dijual pada harga RM1.90 seliter.

Ini bermaksud, dengan mengekalkan bahan api ini pada harga RM2.20 seliter, Kerajaan mengaut untung sebanyak 30 sen bagi setiap liter daripada pengguna. Menjelang tahun baru, sekali lagi pengguna diminta terus menanggung "subsidi" untuk Kerajaan.

DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Ahli Parlimen Kuala Nerus
1 Januari 2019 | 24 Rabiulakhir 1440 – HARAKAHDAILY 1/1/2019

TAHUN 2018 baru sahaja melabuhkan tirainya sekali gus menandakan pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu sudah pun mencecah usia tujuh bulan. Tempoh ini adalah fasa pengenalan kepada pentadbiran yang baru, namun ia bukanlah sebab untuk mencipta pelbagai alasan. 

Tugas yang digalas adalah satu amanah dan kerajaan negeri komited untuk melaksanakan manifesto yang telah dijanjikan. Hasilnya kita merancang untuk melaksanakan 12 daripada 20 agenda manifesto tawaran kepada rakyat Terengganu pada 2019. Sebahagiannya telah pun berjaya dilaksanakan pada tahun lepas.

Tanpa menoleh ke belakang, kerajaan negeri akan terus memacu tahun 2019 dengan lebih agresif dan proaktif. Rakyat mahu melihat apa yang dirancang dikotakan, bukan sekadar manis di bibir.

Namun, agenda ekonomi dan kemajuan tiada erti tanpa penerapan nilai sosial, ilmu dan akhlak kepada masyarakat. Ini bertepatan dengan empat teras dalam Bajet 2019 yang menekankan aspek keberkatan, kemajuan, kebajikan dan kecekapan.

Justeru, kerajaan negeri ingin mengumumkan bahawa Jumaat merupakan hari ilmu dan Sabtu pula adalah hari keluarga. Pengisytiharan ini bertujuan meningkatkan budaya cintakan ilmu dan pentingkan nilai kekeluargaan yang menjadi tonggak utama sesebuah masyarakat maju, berkat dan sejahtera.

Saya juga mengharapkan tahun 2019 akan menjadi tahun yang lebih baik dan produktif bagi negeri Terengganu dalam semua aspek terutamanya dari aspek ekonomi, pembangunan modal insan, dan kebajikan rakyat. Semoga semua perancangan dan urusan kita dipermudahkan oleh Allah SWT.

Kepada seluruh rakyat Terengganu, dengan rendah diri saya dan saf Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri ingin mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2019.

“Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera”
“Negeri Berkat, Rakyat Sejahtera”

DR AHMAD SAMSURI MOKHTAR
Menteri Besar Terengganu
1 Januari 2019 – HARAKAHDAILY 1/1/2019

KAMPUNG Jebak Puyoh dalam Dun Jabi bukanlah sebuah kampung di pendalaman. Jaraknya hanya sekitar 3 km dari Pekan Jabi. Sekarang ada 14 keluarga yang menjadi penghuni kampung ini yang telah diterokai sejak dari tahun 40-an lagi.

Ketika pemimpin kerajaan dulu bercakap berdegar-degar tentang pembangunan itu dan ini, sukar untuk dipercayai apabila penghuni Kampung Jebak Puyoh terpaksa meredah jalan yang becak di musim hujan dan berdebu di musim kemarau untuk keluar dan masuk ke kampung mereka. Itulah satu-satunya pilihan jalan yang ada.

Mungkin lantaran majoriti penduduk kampung ini mengambil pendirian politik yang berbeza dengan parti pemerintah, rintihan dan rayuan mereka untuk mendapatkan sebatang jalan yang selesa tidak pernah diambil hirau. Saya telah lama menitiskan air mata bersama penduduk kampung yang tak berdaya walau kita sedar tanpa kuasa air mata tak mampu merubah keadaan.

Kemenangan kurnian Allah dalam PRU14 memberikan peluang untuk kita merubah sejarah panjang duka orang Kampung Jebak Puyoh Kerandang melalui jalan yang becak dan berdebu sejak berpuluh tahun.

Kita tunaikan sedikit janji dan saya sangat bersyukur Allah mempermudahkan urusan ini.

Dari hari pertama saya memasuki pejabat di Wisma Darul Iman pada bulan Mei lepas, saya panggil Pegawai UPEN untuk bincang hal Jalan Jebak Puyoh. Prosesnya agak panjang dan berliku. Saya berusaha keras ke arah ini. Akhirnya episod duka bakal berakhir.

Sangat terharu menerima kiriman whatsapp dari beberapa orang anak Kampung Jebak Puyoh, Jabi. Maksudnya hanya nak menyampaikan ucapan terima kasih walau sebenarnya saya tak berhak menerima ucapan terima kasih.

Saya hanya melaksanakan sedikit tugas dari bebanan amanah yang dipikul. Rakyat Jebak Puyoh berhak mendapat lebih dari ini. Sejak dari merdeka mereka dinafikan dari menikmati kemudahan jalan kampung yang paling asas. Punca kenapa mereka dinafikan, jemputlah sendiri datang bertandang ke Jebak Puyoh dan dengar sendiri dari mulut orang kampung. Saya tak berminat mengungkit apa yang telah berlalu. Kita berjalan ke hadapan.

Apabila membelek kembali beberapa keping foto yang sempat dirakam ketika berulang kali saya bertandang ke Jebak Puyoh sebelum ini. Air mata saya menitis. Biarlah susunan gambar yang dipaparkan ini berbicara sendiri.

Jalan yang dibina telah siap sekitar 60 peratus. Tak lama lagi insyaAllah duka adik kakak Jebak Puyoh lalu jalan becak dan berdebu akan berakhir.

YB DR AZMAN IBRAHIM
Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Negeri Terengganu - HARAKAHDAILY 31/12/2018

IMG 20181231 WA0011   

IMG 20181231 WA0010

IMG 20181231 WA0009 

IMG 20181231 WA0008

IMG 20181231 WA0006

IMG 20181231 WA0004

 

 

 

KENAPALAH para doktor bersungguh sangat larang pesakit daripada merokok? Hinggakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengadakan satu kempen khusus untuk mengajak keseluruhan rakyat Malaysia agar berhenti merokok. Bukan setakat itu sahaja, banyak kerajaan tempatan seperti Bandaraya Melaka, Bandaraya Islam Kota Bharu, Bandaraya Kuala Terengganu dan beberapa tempat lain mengisytiharkan kawasan bebas asap rokok.

Negara Malaysia juga melalui Kementerian Kesihatan dengan nekad menandatangani satu perjanjian yang mengikat kita kepada akta dan pemantauan agar patuh, iaitu Framework Convention on Tobacco Control (FCTC) sejak 2005 lagi. Artikel 8 dalam perjanjian tersebut membenarkan kerajaan menggazet satu kawasan khusus larangan merokok.

Banyak kajian telah dijalankan berkaitan dengan larangan ini boleh menambahkan kesedaran rakyat akan bahaya rokok. Sehingga kini Malaysia masih lagi utuh mempertahankan perjanjian tersebut, setaraf dengan negara-negara maju lain seperti Australia, New Zealand dan lain-lain.

Usaha terbaharu yang akan dilaksanakan sepenuhnya bermula Januari 2019 adalah larangan merokok di tempat-tempat awam seperti restoran dan kedai makan. Satu langkah yang bijak oleh KKM agar tidak ramai rakyat diselubung oleh bahaya asap rokok.

Kesan-kesan buruk merokok amatlah banyak. Ianya telah dibuktikan melalui kajian saintifik dan kajian sosial berkaitan dengan tabiat merokok ini. Statistik jelas menunjukkan rakyat Malaysia menghisap 23.7 bilion rokok setahun dan jumlah ini satu peningkatan besar daripada 18 bilion batang pada 1998. Jumlah perokok pula meningkat daripada 3.1 juta pada tahun 2007 kepada 4.7 juta dalam tahun 2011.

Penyakit berkaitan merokok adalah pembunuh nombor satu di negara ini, yang menyebabkan kira-kira 10,000 rakyat Malaysia meninggal dunia setiap tahun. Didapati 49 peratus daripada lelaki dewasa di negara ini merokok, melebihi kadar di negara maju seperti di Britain (38 peratus), Amerika Syarikat (35 peratus) dan Sweden (30 peratus).

Sebilangan besar perokok juga dikesan mula berjinak dengan tabiat ini sejak remaja. Purata umur mula merokok ialah 19 tahun. Pada 1985, 9.8 peratus remaja didapati merokok dan kadar itu meningkat kepada 18 peratus pada 2000. Satu fenomena membimbangkan ialah lebih ramai gadis mulai merokok. Malah remaja perempuan yang merokok, didapati bertambah daripada satu kepada lapan peratus, khususnya di bandar.

Dianggarkan setiap hari 50 remaja memulakan tabiat buruk ini. Hasil dari Kajian Morbiditi Kesihatan Kebangsaan (NHMS 2015) oleh Institut Kesihatan Umum (IKU) memberi mesej jelas kepada kita bahawa 1 daripada 10 kanak-kanak belasan tahun dalam negara kita terjebak dalam ketagihan merokok. Amat membimbangkan lagi bahawa 71peratus dalam kalangan kanak-kanak yang belum mencapai umur 14 tahun berjinak-jinak dengan rokok.

Justeru, amat bertepatan dengan sebuah negara yang sayangkan kesejahteraan rakyatnya melakukan sesuatu yang lebih bermanfaat seperti larangan merokok di restoran dan kedai makan. Restoran adalah tempat makan, bukannya kebuk maut menghisap rokok. Perut kita ingin nikmati makanan supaya bertenaga, tetapi malang paru-paru kita pula diserang asap rokok yang dikeluarkan oleh tetamu yang menghisap rokok. Bahaya mendapat asap pinggiran (second hand smoke) daripada perokok lebih tinggi dari para perokok itu sendiri dapat.

Saya bersetuju dengan satu jawapan Almarhum Ustaz Fadli Al-Yamani dalam sebuah YouTube berkaitan isu rokok. Rokok bukan haram secara qatie sebab ianya tidak dinyatakan oleh Al-Quran atau Hadis. Akan tetapi saya mengambil kiasan bahawa ianya adalah haram secara mendatang. Bermakna setelah mendapati bukti-bukti nyata mutakhir ini bahawa rokok mendatangkan mudarat kepada badan manusia. Ianya bukan lagi hukum makruh seperti pendapat ulama zaman 70-an atau 80-an.

Banyak kajian yang mengesahkan merokok itu berbahaya. Merokok penyebab kematian pra matang (umur muda) seluruh dunia sebanyak 10 kali ganda. Terbukti bahawa 90 peratus kanser paru-paru akibat rokok, manakala 80 peratus penyebab kematian akibat penyakit paru-paru kronik (COPD). Risiko perokok dihinggapi serangan sakit jantung dan strok sebanyak 2-4 kali ganda dan banyak lagi komplikasi penyakit akibat rokok.

Kajian-kajian ini baru diperolehi dengan jelas pada sekitar 90-an hingga kini. Para pakar bergelut dengan kejadian-kejadian penyakit yang faktor utamanya adalah rokok seperti kanser dan serangan jantung. Sudah tidak dapat dinafikan lagi. Melalui kiasan yang sama juga shisha dan vape diharamkan oleh para ulama agar menutup pintu kerosakan lebih utama dalam masyarakat.

Beberapa hujah yang dikemukakan oleh ulama kini yang mengharamkan rokok, shisha dan vape:

1. Firman Allah subhanahu wa ta'ala

يَأْمُرُهُمْ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَاهُمْ عَنِ الْمُنْكَرِ وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

"Nabi itu menyuruh mereka kepada yang makruf, melarang mereka dari yang mungkar, menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan melarang bagi mereka segala yang buruk." [Surah Al-A'raf: 157]

2. Firman Allah subhanahu wa ta'ala

وَلَا تُبَذِّرْ تَبْذِيرًا إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِرَبِّهِ كَفُورًا

"Janganlah kamu membazirkan hartamu secara boros. Sesungguhnya orang-orang yang berlaku boros itu adalah saudara saudara syaitan. Dan syaitan itu sangat ingkar terhadap Tuhannya." [Surah Al-Isra': 26-27]

3. Hadis Nabi shallallahu 'alaihi wa sallam

لا ضرر ولا ضرار

"Tidak boleh membuat mudharat kepada diri sendiri dan tidak boleh membuat mudharat kepada orang lain."

4. Kaedah Fiqhiyyah:

الضرر يدفع بقدر الإمكان

"Bahaya harus ditolak semaksimum mungkin."

5. Kaedah Fiqhiyyah:

الضرر يزال

"Yang menimbulkan mudharat harus dihilangkan/dihindarkan."

6. Kaedah Fiqhiyyah:

الحكم يدور مع علته وجودا وعدما

"Penetapan hukum itu tergantung ada atau tidak adanya 'illat."

7. Ulama pelbagai negara juga memberi penjelasan yang sama, seperti ulama Mesir, Jordan, Yaman, dan Syria bahwa hukum merokok di negara-negara tersebut adalah haram.

Untuk pengetahuan umum, kerajaan telah mewujudkan beberapa kawalan undang-undang bagi menyekat rakyat daripada merokok. Antara akta yang selalu digunapakai adalah:

1) Akta Kawalan Kawalan Tembakau 1993. Akta ini selari dengan perancangan yang telah disenaraikan dalam Framework Convention on Tobacco Control (FCTC). Pindaan pada tahun 2004 diperketatkan lagi agar semakin sukar rakyat mendapat akses kepada rokok.
2) Akta Makanan 1983 - Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) (Pindaan) 2011. Akta ini mengawal selia rokok di bawah PPKHT selari dengan apa yang diletakkan di dalam kerangka FCTC WHO. Ianya telah membantu kerajaan dalam mengawal rokok tembakau, namun ianya langsung tidak mengawal selia nikotin tulin yang terdapat di dalam cecair e-rokok.
3) Akta Racun 1952, Akta Jualan Dadah 1952, dan Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984. Akta ini mengawal selia dan membuat dakwaan jika penjualan rokok termasuk e-rokok yang mengandungi cecair nikotin.

Sememangnya rokok mempunyai banyak mudarat yang tidak dapat disangkal lagi. Langkah yang dijalankan oleh kerajaan dan berapa NGO bagi menyedarkan masyarakat mengenai bahaya rokok patut disokong. - HARAKAHDAILY 1/1/2019

LATAR belakang

Pada 10 Disember 2018, kita dikejutkan dengan sidang media Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf berkenaan Penyata Kewangan Lembaga Tabung Haji (yang telah diaudit) bagi Tahun Kewangan Berakhir 31 Disember 2017 yang dikatakan mengalami defisit berjumlah RM 4.1 billion.

Menteri juga menegaskan bahawa Lembaga Tabung Haji (TH) telah membayar dividen haram kepada para pendepositnya sejak tahun 2014 lagi. Di mana sejak tahun 2014, liabiliti TH adalah melebihi nilai asetnya. Dan ini menjadikan TH tidak memenuhi syarat untuk meluluskan sebarang dividen kepada para pendeposit berdasarkan Akta Tabung Haji 1995.

Firma Pengauditan terkenal Pricewaterhouse Coopers (PwC) yang mengaudit Penyata Kewangan TH itu juga mencadangkan Kerajaan memulakan langkah pemulihan TH secara komprehensif. Antara langkah yang diumumkan oleh Menteri ialah meletakkan TH di bawah Bank Negara Malaysia (BNM) dan menubuhkan Special Purpose Vehicle (SPV) untuk memulihkan RM19.9 bilion aset TH yang berada di bawah prestasi yang dikehendaki.

Pendedahan kerugian yang dialami oleh TH dan cadangan kaedah memulihkannya mula menimbulkan beberapa persoalan besar dan rasa cemas di kalangan para pendeposit tentang masa depan pelaburan mereka dan hala tuju baru TH.

Pada 12 Disember, Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang menggesa satu Suruhanjaya Siasatan Di Raja ditubuhkan untuk menyiasat isu ini secara menyeluruh.

Pihak yang disalahkan dalam kes TH

Sebelum itu, pada 30 November 2018, Pengurusan TH yang baru telah pun membuat dua laporan polis terhadap beberapa orang mantan pemegang jawatan utama dalam TH, termasuk mantan Pengerusi TH, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, mantan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Tan Sri Ismee Ismail dan beberapa orang lagi pegawai pengurusan kanan TH.

Satu laporan polis berkaitan dakwaaan penyalah-gunaan Yayasan Tabung Haji untuk aktiviti yang mempunyai kecenderungan politik dan satu laporan polis lagi berkaitan dakwaan salah nyata dan menyekat maklumat material melibatkan penjualan saham TH pada 2012 sebanyak 95 peratus dalam PT TH Indo Plantations yang dipegang oleh 2 anak syarikatnya, iaitu TH Indopalms Sdn Bhd (THI) dan TH Indo Industries Sdn Bhd (THII) kepada PT Borneo Pacific (PT Borneo) dengan harga AS$910 juta (RM3.7 bilion).

Teknik membuat pendedahan salah laku pentadbiran terdahulu secara sensasi seperti ini, biasanya hanya digemari oleh Menteri Kewangan. Namun pada kali ini, ia dibuat oleh Pengurusan baru TH dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pula.

Memanglah kita mahu pihak yang bersalah dibawa ke muka pengadilan. Akan tetapi yang kita lebih bimbang ialah kesan selepas pendedahan itu.

Di mana sering kali, rakyatlah yang terpaksa menanggung akibatnya, bukan pesalah yang sebenar. Seperti dalam kes 1MDB, di mana ia sering digunakan sebagai justifikasi oleh Kerajaan PH untuk tidak melaksanakan pelbagai program kesejahteraan dan kebajikan untuk rakyat, ekoran dakwaan duit Kerajaan telah susut teruk kerana skandal tersebut, akibat salah laku pentadbiran Kerajaan BN yang terdahulu.

Beberapa kebimbangan yang timbul

Berbalik kepada sidang media oleh Menteri. Antara kebimbangan dan tanda tanya yang timbul daripada sidang media itu ialah;

●    Adakah TH tidak akan membayar dividen kepada para pendepositnya untuk simpanan bagi tahun 2018 ini, kerana aset TH adalah lebih rendah daripada liabiliti?

●     Dengan meletakkan TH di bawah BNM, adakah ia akan menjadikan TH sebagai badan pelaburan yang membuat untung semata-mata dengan membelakangkan objektif asal penubuhannya, iaitu untuk membantu dan memudahkan urusan umat Islam dalam mengerjakan ibadah Haji, terutamanya daripada aspek kewangan dan perbelanjaan menunaikan Haji?

●     Aset yang hendak diserahkan kepada SPV bernilai RM19.9 bilion, iaitu lebih daripada 20 peratus nilai aset keseluruhan TH. Adakah aset TH yang bernilai strategik kepada ekonomi umat Islam pun akan turut dilupuskan tanpa mengambil kira kepentingan strategik tersebut?

●     Pertembungan laporan audit. Apakah jenis audit yang dibuat oleh Earnst & Young, PwC dan Jabatan Audit Negara terhadap Laporan Kewangan TH selama ini?

Beberapa perbincangan bagi kebimbangan tersebut

Setelah sidang media itu mencetuskan beberapa persoalan seperti di atas, beberapa jawapan bagi sebahagian daripada persoalan itu mula dikongsikan oleh beberapa pihak yang mewakili Kerajaan dan TH secara rasmi dan tidak rasmi bagi meredakan keresahan orang ramai.

Namun jawapan-jawapan itu mengundang kepada beberapa persolan yang lebih besar. Berikut adalah sebahagian daripadanya;

A.     Mengenai dividen 2018

Menteri menjawab, “Saya yakin dengan tindakan pemulihan yang sudah bermula sejak Julai lalu, hibah atau dividen bagi tahun 2018 akan dapat diberikan kepada pendeposit, namun kadarnya bergantung pada keuntungan. Jadi TH tetap akan bayar dividen."

Persoalan selanjutnya yang timbul, bagaimanakah aset TH yang mengalami defisit RM4.1 bilion itu akan mampu melebihi liabilitinya dalam masa terdekat ini, iaitu untuk dibayar biasanya pada bulan Februari tahun berikutnya?

Jawapan yang paling logik ialah TH mestilah meng’elok’kan Penyata Laporan Kewangan Berakhir 2018. Proses sebegini selalu dikritik oleh DAP pada era Pentadbiran BN dahulu sebagai tindakan simpan kira secara kreatif (creative accounting). Pertukaran nombor di atas kertas secara ‘kreatif’ pun boleh mewujudkan keuntungan atas kertas atau menghilangkan kerugian atas kertas.

Adakah TH akan mengambil langkah ini? Atau memilih untuk tidak akan membayar dividen atas dasar memang liabiliti TH lebih daripada nilai asetnya? Kerana itulah hakikat yang didakwa setakat ini.

Jika tiada dividen untuk tahun 2018, adakah akan berlaku bank run, iaitu para pendeposit secara beramai-ramai akan meninggalkan TH sehingga melemahkan TH dan mungkin akan membawa kepada keruntuhannya?

Jika TH benar-benar lumpuh, siapakah yang benar-benar akan rugi?

...bersambung.

ZAKARIA ISMAIL
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan Marang
31 Disember 2018 - HARAKAHDAILY 31/12/2018

LIM Kit Siang sebagai Bapa DAP sudah dikira mengugut Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan gabungan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) apabila dia dikatakan sedia membawa DAP keluar dari kerajaan dan pakatan itu jika program Malaysia Baharu tidak disempurnakan seadanya.

DAP dipercayai kini berada dalam kedudukan berupaya membuat tekanan itu atau boleh dikira peras ugut kepada semua kerana politik hari ini berada dalam genggamannya.

DAP kini bukan sekadar memiliki kerusi Parlimen dan Adun di banyak negeri yang boleh menentukan keputusan, bahkan menentukan kemenangan calon-calon semua parti dalam pilihan raya.

Tidak ada Waibi PH bukan DAP yang menang PRU14 lalu tanpa tentuan DAP. Sejantan-jantan Brother Anwar Ibrahim dan keluarganya disangsi menang jika DAP tidak memberi restu padu.

Sama ada DAP ada majoriti penyokong di satu-satu konstituensi atau tidak, ia boleh mempengaruhi kemenangan calon PH bukan DAP.

Siapa agak Dr. Mahthir boleh kalah di Kota Setar Selatan kepada Haj Yusof Rawa dari PAS dalam PRU 1969 tidak sepakatan penyokong MCA dan DAP tidak memberi undi kepada calon Perikatan di situ, iaitu Dr. Mahathir.

Kedah adalah kawasan kuat Perikatan dan Umno adalah lebat di kawasan itu dibandingkan dengan lain-lain parti. Tetapi benih anasir DAP yang mulai ada sejak itu berjaya menumpaskan Mahathir yang dikira Lee Kuan Yew masa itu sebagai ultra Umno.

Roh pengundi Kota Setar Selatan itu ada pada pengundi zaman ini. Ia bukan sekadar meninggalkan MCA dengan satu batu nisan di Parliman, bahkan mempengaruhi kejatuhan BN sekalipun DAP tidak menjadi pemenang teramai di Parlimen. Ia tidak sebanyak kerusi PKR tetapi pengaruh di belakang kemenangan semua PH yang memakai lambang PKR.

Orang nampak pengaruh semasa adalah Dr. Mahathir dan PKR dengan semboyan Reformasinya, tetapi pengaruh penentu perubahan itu adalah DAP. Penyokong PKR dan PAN tidak cukup untuk memenangkan mereka, tetapi deposit dari DAP menjadikan mereka raja baru.

Mahathir hanya ada nama sebagai bekas PM dan pemimpin Umno menjadi gendang bagi membuang Umno/BN tetapi nisbah pengundi mencukupkan kemenangan PH itu ada pada DAP. Mahathir cuma jadi ketua tak berorang dalam PH. Yang berorang dari DAP dan PKR. Jika PKR saja, ia tidak ke mana juga.

Tuah Mahathir adalah sama dengan tuah Bersatu di Perak. Yang memerintah Perak adalah PH. Bersatu hanya Menteri Besar seorang. Atas nyawa DAP ia hidup.

Dengan pengaruh di belakang DAP yang demikian itulah yang mencorak kerajaan yang dibentuk Mahathir.

Banyaklah yang menguntungkan DAP dari pemerintahan itu. Dibandingkan dulu ia tiada apa dalam kerajaan Putrajaya, yang ada padanya sekarang sudah banyak walaupun tidak sebanyak yang ia hendak dan ia boleh dapat.

Mahathir dan Anwar kini bukanlah mereka yang dikenali dulu. Jika tidak tinggu pro-DAPnya, mereka bukan Mahathir dan Anwar sekarang. Inilah masa DAP untuk mengisi semua. Esok adalah hari lain. Jika diisi sekarang, esok belum tentu.

DAP tidak memadai sekadar yang ada. Maka ia mengeluar amaran kepada semua. PAS Kelantan pun diugutnya. Bantuan kewangan hanya untuk membayar gaji. Yang lain ikut keadaan.

Sekarang jika pusat tidak memuaskan DAP, ia ugut untuk keluar PH. Ia amat menyusahkan Anwar dan PKR. PKR perlu menyabarkan, akan ada masa kemahuan DAP dapat dipenuhi. – HARAKAHDAILY 30/12/2018

More Articles ...