LAPORAN Polis oleh PAN ke atas Pesuruhjaya PAS Melaka, Ustaz Kamarudin Sidek adalah langkah terdesak parti itu menutup kelemahan mereka dalam urus tadbir Kerajaan Negeri. Bahkan ia juga untuk menghalang lebih banyak tindakan mereka memproksikan jabatan atau agensi kerajaan untuk kepentingan politik kepartian terbongkar.

Sikap ini juga bermakna cuba menutup kemungkinan salah laku dan ketidaktelusan integriti, serta paling nyata adalah ikrar untuk membebaskan institusi rakyat dari pengaruh atau campur tangan politik hanyalah janji kosong. Sedangkan PAS selaku parti bukan kerajaan hanya bertindak bagi tujuan hisbah atau semak dan imbang.

Reaksi umpama takutkan bayang-bayang sendiri ini sebenarnya menimbulkan syak dan sangsi bahawa pihak PAN juga menyembunyikan kepincangan dan bimbang hakikatnya dari diketahui rakyat. Malang, mereka yang berada di tampuk pemerintahan kerajaan tidak berani untuk terbuka menjelaskan perkara sebenar atau membetulkan keterlanjuran.

Sebaliknya, menidakkan perkara sebenar dari menjadi maklumat kepada rakyat menggunakan kekuasaan dan penguat kuasa. Jika perkara yang dinyatakan Ustaz Kamarudin adalah dakwaan, tuduhan atau fitnah, mengapa pihak tersebut yang sedang berkuasa takut untuk turun bertemu rakyat datang dan menyelesaikan isu berbangkit?

Biarpun pihak kerajaan mahupun PAN cuba menafikan, pihak rakyat yang mengalami sendiri perkara tersebut di peringkat akar umbi negeri sedang merasainya. Amalan, tradisi atau rutin di masjid atau kariah penduduk yang telah mapan sekalian lama sedang diusik oleh tangan-tangan politik. Jangan bodohkan rakyat di era kecelikan politik terbuka kini.

Secara tidak langsung, tindakan pihak kerajaan itulah bersifat mempolitikkan masjid kariah yang merupakan institusi rakyat dan tunjang kekuatan umat Islam di negeri. Bahkan layak dikatakan ia datang dari pengaruh kepartian politik itu sendiri biarpun kalian nafikan. Lebih malang jika mengikut telunjuk parti bukan Islam.

Kami teramat kesal kerana sejak berdirinya kerajaan baharu ini di Seri Negeri, segala perkara berkaitan kepentingan Islam dan Melayu dilihat sedang dikurang atau dilemahkan. Sebaliknya, kerajaan ini secara megah mengangkat dan mengiktiraf agenda perkauman seperti Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang jelas untuk kaum tertentu.

"Islam Memimpin"
"Terus Mara"

USTAZ HJ AHMAD BILAL RAHUDIN
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka - HARAKAHDAILY 9/2/2019 

IMG 20190209 WA0005

LIM Kit Siang (LKS) kebelakangan ini dilihat semakin galak menyerang Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang gara-gara Presiden PAS itu menegaskan bahawa punca PAS memutuskan hubungan dengan DAP adalah kerana DAP memusuhi agenda Islam yang diperjuangkan oleh PAS iaitu untuk memartabatkan syariat dan syiar Islam.

khairuddinattakiriPeliknya, penjelasan seperti itu dan secara terbuka, bukanlah kali pertama dibuat oleh Presiden PAS; sudah dalam banyak siri ceramah dan penulisan beliau, Presiden PAS menyatakan perkara tersebut.

Sebenarnya yang menyebabkan LKS seumpama cacing kepanasan adalah kerana selepas PRU14 dan beberapa siri PRK, orang-orang Melayu-Islam mula menyedari agenda anti-Islam DAP dan semakin membenci DAP.

LKS dan DAP tidak dapat menerima versi Islam yang sebenar yang menekankan pelaksanaan syariat dan menegaskan bahawa politik adalah sebahagian daripada agama. Sebaliknya, LKS dan DAP lebih mesra Islam Moderat sebagaimana dakwaan beliau iaitu satu pemikiran jelmaan pemikiran Islam ala Amerika.

Sebab itulah, apabila Presiden PAS menjelaskan mengenai kepemimpinan Islam dan kepentingan Islam berkuasa justeru mengajak orang-orang Islam mengundi calon beragama Islam yang baik, LKS berterusan menyerang Presiden PAS.

Sedangkan, para ulama dan cendekiawan Islam menjelaskan dan orang-orang Islam memahami bahawa Islam Moderat adalah versi Islam yang mendukung demokrasi total termasuk pluralisme dan hak asasi manusia secara mutlak; menolak konsep Negara Islam dan penguatkuasaan undang-undang syariah; mendukung idea kesamarataan gender; bersetuju bahawa Islam tidak wajar dianggap lebih tinggi berbanding agama-agama lain; dan mempertahakan kebebasan untuk keluar meninggalkan Islam.

Terima kasih saya ucapkan kepada LKS kerana akhirnya mengaku sendiri bahawa beliau memang anti-Islam yang sebenar dan mesra Islam Moderat tajaan Amerika Syarikat.

“Islam Memimpin”

DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus
8 Februari 2019 | 3 Jamadilakhir 1440 - HARAKAHDAILY 8/2/2019

RIUH seluruh negara apabila PAS menyelesaikan kes saman dengan Sarawak Report (SR) berkenaan fitnah rasuah RM90 juta yang diterima dari Umno melalui beberapa pimpinan dan bekas pimpinan PAS. Masing-masing dari parti politik yang berseteru dengan PAS dengan mudah mengatakan bahawa PAS terbukti bersalah kerana tidak meneruskan saman itu. Mat Sabu cepat respons dengan mengatakan ramai ahli PAS kecewa dan ingin sertai PAN kerana isu ini. Saya kurang pasti, penghijrahan beramai-ramai kali ke berapa ahli PAS ke PAN. Tidak penuh lagikah tangki PAN?

Di pihak PAS pula, mereka mempertahankan tindakan penyelesaian itu atas alasan tiada wang dan PRU telah berlalu. PAS tetap memenangi dua negeri dan hampir merampas Kedah walaupun difitnah sedemikian rupa. Tidaklah terlalu teruk kesan fitnah itu. Jadi buat apa menghabiskan lagi duit. Lebih bagus menumpukan kepada persiapan lain parti. BN ada juga membantu PAS melalui bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang secara jelas menafikan beliau memberi wang kepada PAS ketika beliau mengetuai Umno.

PAS melalui SUA-nya meminta supaya orang ramai yang ada mempunyai bukti akan salah laku PAS itu untuk segera mengemukakannya segera dan berjanji akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM. SPRM juga kini telah membuka kertas siasatan dan akan memanggil beberapa orang yang terlibat. Kini, jika ada tuduhan, maka semua pertuduhan itu akan berada di bawah undang-undang Malaysia. Sehingga kini, masih belum kedengaran tuduhan secara jelas yang disebut secara rasmi oleh lawan PAS. Mungkin takut agaknya.

Isu fitnah RM90 juta ini adalah antara yang terpahit bagi PAS dalam menghadapi PRU14 lalu. Saya berani mengatakan bahawa ia adalah penyebab utama yang telah membawa kepada pecahan undi PAS yang banyak terutama di sebelah pantai Barat. Ia kerana berkait dengan BN. Ketika itu BN adalah seperti biawak hidup kepada sesiapa sahaja. Biawak hidup pun tidak sebegitu dahsyat bebannya.

Tindakan pintar PAS menyaman SR sebelum PRU itu, adalah satu tindakan yang melegakan ketegangan pengundi PAS yang mulai meliar dan curiga dengan PAS. Tetapi bagi pengundi atas pagar yang sangat bersemangat mahu menukar Kerajaan BN, mereka merasa sangat kecewa. Lalu undi beralih kepada PH. Syukur PAS mempunyai ramai ahli yang berkeyakinan penuh kepada pimpinan dan sebahagian lagi pengundi atas pagar, tidak mempercayai fitnah itu.

Selesai PRU14, tidak lama, PH pada hari pertama lagi, janji-janji mereka telah pun dimungkiri. Setelah kemudiannya PH mengambil pula Umno sebagai rakan dalam membentuk kerajaan di Kedah, di sebalik kejian mereka terhadap BN, perangai hodoh lain mereka makin menimbun. Akhirnya setelah hilang sabar setelah empat PRK dan menang, PH masih tidak mahu berubah, pada PRK Cameron Highland, rakyat memberikan majoriti yang lebih besar kepada BN. Punca utama sebagaimana yang diketahui ialah rakan kerjasama BN yang lebih dipercayai PAS, sanggup berkerjasama dengan BN. Rakyat makin mempercayai mereka. Tetapi masih tetap ada lagi sedikit keraguan dalam hati rakyat.

Kita menerima berita yang pada mulanya dianggap sebagai tamparan kepada PAS, iaitu penyelesaian saman di luar mahkamah dengan SR itu. Tetapi akhirnya kita dapat membaca bahawa ini adalah kertas litmus bagi menguji adakah isu ini masih diterima rakyat atau tidak. Jika rakyat dapat menerima bahawa isu ini hanya rekaan PH, PAS akan mendapat tambahan markah, iaitu fitnah ini tidak lagi laku dan PAS sudah hampir suci ‘dosa’-nya kerana terpalit dengan tuduhan fitnah itu. Bola sekarang berada di kaki PH. Apa tindakan mereka? Mahu menuduh PAS dalam kempen, mereka tiada bukti. Jika didiamkan, maka betul itu fitnah mereka. Jika dibisingkan juga, PAS akan menyaman mereka. Untuk selamat, PH lebih baik diam.

Jika ujian ini berjaya dilepasi PAS, maka perjalanan kerjasama dengan BN akan menjadi lebih mudah. Sehingga kini, PH cuba mencipta gelombang membantai PAS, tetapi alhamdulillah tiada sambutan. Semenyih yang mempunyai 68 peratus pengundi Melayu-Islam, akan menjadi medan sebenar bagi kepercayaan ini. SPRM juga nanti akan menjadi ‘washing machine’ rasmi kepada PAS dengan melepaskan PAS dalam keadaan bersih walaupun PAS sememangnya sudah bersih. Dulu SPRM semasa di bawah BN. Sekarang tak bersih lagikah di bawah PH? Melayu bersama PAS dan BN dan PAS berjanji mengerahkan 7000 undi mereka kepada BN di Semenyih. Sangat tepat tindakan menarik saman di waktu ini. Duit selamat, nama baik di mata pengundi juga semakin menyerlah.

Dalam ketika bising mengenai RM90 juta itu hampir mereda, keluar pula cerita sekumpulan anak muda PAS yang mendakwa beberapa pimpinan PAS menerima wang daripada Umno. Hangat kembali. Husam Musa segera mengongsikan siaran FB salah seorang pemuda PAS yang membuat pengakuan itu. Saya lihat itu hanyalah kemarahan anak muda. Biasalah begitu. Ramai yang kemudiannya mengaitkan kisah RM90 juta dengan kes terima duit Umno yang ternyata dua perkara yang berlainan, cuma keluar pada waktu yang sama. Tetapi saya dapati, ianya kurang mendapat sambutan sebab sehingga kini, pendakwa masih belum membuat laporan polis jika benar-benar rasuah. Beberapa portal yang menyokong PH, sedaya upaya menaikkan cerita ini. Tetapi tidak bersambut.

PH juga curiga. Walaupun mereka mahu menggunakan isu ini, tetapi mereka pastinya tidak berani mendekati Pemuda PAS kerana takut juga mereka jika sekiranya ini hanyalah perbalahan yang dibuat-buat. Takut ketika hebat PH guna modal ini, Pemuda dan pimpinan PAS yang bertelagah itu bersalam dan berpelukan sesama mereka. Mana PH nak letak muka? Salah ambil maklumat, kena saman lagi.  

Jadi isu ini tidak menjadi terlalu kuat bagi PH untuk dimainkan dalam PRK nanti. Melalui sejarah juga, pengkhianatan melalui pendedahan dalaman seperti ini, tidak disukai oleh rakyat Malaysia. Pendedah akan dilihat sebagai orang yang tidak bertanggungjawab. Lihat apa jadi dengan seorang yang bernama Tulang Besi? Apatah lagi reputasi PAS yang kukuh. Malah lawan juga memerhatikan kes ini dari sudut PAS mahu menguji pasaran mereka sahaja.

BN pula sebenarnya telah agak jauh meninggalkan PAS dalam upacara menyucikan diri ini. BN mesti diakui PAS mempunyai gerakan media yang sangat teratur. Ya, mereka memang berpengalaman. PAS mesti mengambil kesempatan apabila kerjasama ini berjalan nanti. DS Najib memainkan peranan yang penting dalam pembentukan semula imej BN. Motto Malu Apa Boss Ku itu telah menjadi ikutan. Sindiran tajam beliau segera mendapat respons menyokong setiap kali dipos dalam FB beliau. Khairy Jamaludin pula sekarang yang tidak keruan setelah beliau sendiri menyindir Najib, tetapi gelombang Najib tetap gagah. BN terus membuktikan bahawa mereka adalah berpengalaman menguruskan kerajaan. Manakala Utusan Malaysia dan Berita Harian juga tidak segan silu menyiarkan berita-berita negatif kepada PH. 

Kini bebanan bagi memusnahkan kerjasama PAS-BN amat berat bagi PH. Rakyat sudah mula suka dan mempercayai kerjasama PAS-BN ini. PH gagal menonjolkan diri mereka sebagai parti pemerintah yang beriwibawa. Mereka hilang segala-galanya. Maruah, pelindung dan sedang menelan kembali kahak jijik BN dahulu satu persatu. Mereka juga dilihat sebagai penyerang kepada institusi agama dan Raja oleh rakyat, suatu yang amat sensitif bagi rakyat Melayu-Islam. Ditambah kisah perkelahian dalaman mereka, ura-ura Azmin anak angkat Tun Dr Siti Hasmah akan menjadi Timbalan Perdana Menteri dan perebutan kuasa yang lain, saya yakin, rakyat tidak berpaling lagi.

PAS dan BN adalah kerjasama yang sepadan. Apa bezanya PH dan BN versi lama di mata rakyat sekarang? Jika mood rakyat sama seperti PRU14 dahulu, maka PH akan ditolak kerana mereka sekarang sedang memegang watak BN dahulu.

MOHD NASIR ABDULLAH
Al-Khor, Qatar - HARAKAHDAILY 8/2/2019

DEWAN Pemuda IKATAN Malaysia tertarik dengan beberapa laporan mengenai kesahihan latar belakang pendidikan Setiausaha Agung PPBM, Datuk Marzuki Yahya, yang juga merupakan Timbalan Menteri Luar Negeri.

shahir3Bagi pihak kami, isunya bukanlah sama ada beliau perlu mendapatkan pendidikan tinggi atau pun tidak. Isunya adalah mengenai ketelusan dan integriti seseorang pemimpin. Jika beliau dari awal menyatakan perkara yang sebenarnya, maka rakyat tak perlu menyiasat perkara ini sehingga ke lubang cacing, yang akhirnya terbongkar fakta-fakta sebenarnya. Yang malu adalah empunya badan sendiri dan parti mereka.

Dari sudut lain, bagaimanakah integriti seseorang pemimpin dinilai apabila beliau mendapatkan sijil pendidikan dari sebuah institusi yang sebenarnya tidak diiktiraf oleh negara tersebut.

Malah, laman sesewang website universiti tersebut amat meragukan dengan gambar-gambar dan nama-nama profesor yang tidak padan. Laporan dari portal berita menyatakan bahawa gambar-gambar tersebut adalah dari laman mencari jodoh.

Amat malang apabila anak-anak muda yang bertungkus-lumus untuk mendapatkan sijil pendidikan tinggi sehingga terpaksa berhutang dengan PTPTN, tetapi pemimpin sebelah sana hanya membayar sejumlah kecil wang dan mendapat sijil luar negara yang tidak sah.

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia juga berasa jelik apabila Tariq Ismail dan Dato’ Seri Mukhriz Mahathir, daripada PPBM, memandang remeh tentang perkara ini dengan mengeluarkan kenyataan bahawa “at least he did not rape or steal”, berdasarkan laporan STAR online. Kenyataan ini menyinggung perasan seluruh anak muda yang bersengkang mata mendapatkan pendidikan tinggi terbaik untuk mereka.

Seharusnya, mereka meminta maaf daripada rakyat kerana tidak bercakap benar dari awal, bukannya mengeluarkan kenyataan yang sombong, terutama sekali dari lidah pimpinan utama kerajaan hari ini, Pakatan Harapan.

Demi Bangsa Malaysia!

SHAHIR ADNAN
Ketua Pemuda Parti IKATAN Bangsa Malaysia
Timbalan Ketua Pemuda Gagasan Sejahtera
7 Februari 2019 – HARAKAHDAILY 7/2/2019

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) menempelak tindakan Kementerian Kewangan yang menyalurkan dana berjumlah RM2 juta kepada Kolej Universiti Selatan, baru-baru ini.

nasrudintaSebelum ini, sejumlah peruntukan juga telah disalurkan kepada Kolej Universiti New Era. Semua dana tersebut bukan dari Kementerian Pendidikan, sebaliknya adalah dana khas daripada Kementerian Kewangan.

Beberapa gambar telah tular di media sosial. Antaranya, gambar Ahli Parlimen Iskandar Puteri, YB Lim Kit Siang memegang ‘mock cheque’ yang berjumlah RM2 juta daripada Kementerian Kewangan.

Difahamkan Lim Kit Siang sendiri telah menyampaikan cek berkenaan kepada pihak kolej. Adakah Lim Kit Siang mewakili anaknya, Menteri Kewangan dalam program tersebut?

Tiada peruntukan khas untuk Kolej Universiti sepertimana Sekolah Menengah Persendirian Cina dalam Belanjawan 2019.

Kementerian Kewangan tidak wajar untuk menggunakan dana khas sewenang-wenangnya untuk kolej universiti yang ternyata lebih moden dan canggih sehingga menafikan peruntukan kepada pihak yang lebih memerlukan.

Apakah justifikasi Menteri Kewangan kali ini untuk menyalurkan dana tersebut?

Islam Memimpin

NASRUDIN HASSAN
Ketua Penerangan PAS Pusat
03 Jamadil Akhir 1440 | 08 Februari 2019 – HARAKAHDAILY 8/2/2019

SAYA mempunyai hubungan kerjasama yang sangat akrab dengan jabatan dan agensi di bawah MOA. Malah hubungan 'G to G' saya dengan Menteri MOA juga sangat baik. Semua ini demi kepentingan rakyat atas dasar semangat federalisma. Dalam tulisan ini, saya ambil satu contoh dahulu, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Pengarah LKIM Terengganu antara ketua Jabatan terawal yang berkunjung ke pejabat saya selepas peralihan kerajaan. Dalam tempoh tak sampai setahun usia Kerajaan Negeri Terengganu, telah lebih 5 kali saya hadir ke Kompleks LKIM Chendering atas pelbagai tujuan sama ada lawatan kerja, dialog bersama nelayan dan beberapa agenda lagi.

Malah Pengarah LKIM Terengganu antara Ketua Jabatan terawal yang saya undang untuk turun bertemu dan berdialog dengan nelayan di Seberang Takir. Kemudian disusuli dengan siri dialog bersama nelayan di seluruh Negeri Terengganu. Pengarah LKIM sentiasa bersama.

Di mana tempat berlaku bencana seperti tragedi bot karam di Pulau Duyong, saya bersama Pengarah LKIM turun ke lokasi untuk menyantuni mangsa dan menghulurkan sumbangan.

Malah Kerajaan Negeri dalam perancangan beberapa projek usahasama dengan LKIM seperti Penempatan Semula Nelayan (PSN) di tiga lokasi Besut, Setiu dan Kemaman. Urusan tapak yang menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri telah selesai proses tender. Urusan pembinaan rumah di bawah tanggungjawab LKIM.

Dalam Bajet 2019, kita merancang untuk membina cold room dan slip way di Jeti Perikanan Marang dengan biaya Kerajaan Negeri dan kerjasama teknikal dari LKIM.

Kerajaan Negeri juga memperuntukkan RM1.5 juta untuk kerja-kerja kajian hidrologi bagi mendalamkan dan menaik taraf Pelabuhan Perikanan Chendering walaupun pelabuhan ini bukan milik Kerajaan Negeri.

Tak ada sebarang isu birokrasi yang dirumitkan Kerajaan Negeri sehingga menyulitkan kerjasama ini demi faedah rakyat. Ia telah berlangsung sebelum Pengerusi LKIM baharu dilantik lagi dan kita mengharapkan ianya dieratkan lagi dengan pelantikan Pengerusi baharu.

DR AZMAN IBRAHIM
Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Negeri Terengganu.
7 Februari 2017 - HARAKAHDAILY 7/2/2019

MUTAKHIR ini, perjuangan Islam dihadapkan serangan bertali arus dari pelbagai sudut, terutama melalui aneka aplikasi media baharu.

Para petualang siber melalui penajaan musuh Islam sedang menggerakkan operasi “amuk” mereka guna menghalang kemaraan dan kebangkitan Islam di bumi tercinta ini.

Tanpa mengenal batas dosa pahala dan menghirau sempadan syurga neraka, mereka melancarkan serangan “menggila” dengan 1001 helah yang halus dan licik ke arah perjuangan Islam, pendukung dan pemimpinnya.

Ayuh! Para pejuang...

Kita bangkit pertahankan Islam dan menyemarakkan kebangkitannya di medan siber. Justeru itu, kita menyuntik pengarahan, kesedaran dan motivasi perjuangan di:

IJTIMAK SIBER
(Himpunan Kebangkitan Pejuang Siber)

Tarikh: 16 Februari 2019
Hari: Sabtu
Masa: 9.00 pagi - 4.00 petang
Tempat: Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman
Terengganu Darul Iman

Tema: Jaringan Siber Membina Kehebatan Ummah

Saya menyeru semua pengamal media baharu hadir menyertai Ijtimak Siber ini untuk menggembleng tenaga dan semangat kebangkitan, khasnya yang terdiri dari kalangan:

- Jentera Penerangan dan Media Baharu PAS di semua peringkat, dari Pusat hingga ke cawangan.

- Admin Facebook PAS negeri, kawasan dan cawangan serta dewan-dewannya.

- Admin WhatsApp group PAS di semua peringkat (parti dan awam)

- Individu ahli, pendukung dan penyokong PAS yang aktif di media baharu seperti (facebook, twitter, instagram, telegram, blog, WhatsApp group dan lainnya)

Jaringan Siber Membina Kehebatan Ummah

NASRUDIN HASSAN
Ketua Penerangan PAS Pusat
Merangkap Komander Mujahid Siber Pusat - HARAKAHDAILY 7/2/2019

More Articles ...