SAYA fikir isunya sekarang bukan lagi persoalan kemampuan negeri menguruskan royalti petroleum kerana negeri mencapai standard pengurusan kewangan seperti ditetapkan Jabatan Ketua Audit Negara, tetapi kemampuan pusat memastikan wang royalti petroleum milik negeri yang dibayar oleh Petronas dibayar kepada negeri seperti kehendak Akta dan Perjanjian.

Mekanisma Petronas bayar dahulu royalti kepada Persekutuan termasuk royalti milik negeri perlu diperbetulkan. Apatah lagi Perjanjian 1975 adalah antara Petronas dengan Terengganu. Terengganu bukan pihak ketiga kepada perjanjian.

Terengganu tak sepatutnya diperlakukan seolah-olah seperti 'sub kontraktor' kepada Persekutuan dalam Akta dan Perjanjian Petroleum ini.

Mengapa Petronas bayar dulu kepada Persekutuan apa yang jelas milik negeri diperuntukkan dalam perjanjian.

Adakah Terengganu sebagai pihak kepada perjanjian pernah mengeluakan apa-apa “payment instruction” atau arahan pembayaran kepada Petronas agar apa yang menjadi milik Terengganu dibayar dulu kepada Persekutuan dan Persekutuan lepas itu bayar kepada Terengganu?

Tidakkah Persekutuan sendiri sudah menerima bahagian royalti milik Persekutuan sendiri 5 peratus dari pengeluaran petroleum di negeri-negeri berkenaan, mengapa menjadi tamak sehingga mahu ditahan juga 5 peratus royalti yang menjadi milik negeri?

Wang yang ditahan itu pula, untuk apa? Negeri perlukan hasil mahsul yang menjadi milik negeri untuk pengurusan pentadbiran, kebajikan rakyat dan pembangunan negeri.

Adakah wang ditahan kerana Kerajaan Persekutuan mahu 'guna dulu' wang milik negeri untuk tujuan lain? Tidakkah jika itu tujuannya perlulah kepada persetujuan negeri jika Persekutuan mahu guna wang milik negeri? Wang yang berbillion, bermalam satu malam pun bukan sikit hasil faedah riba diperolehi di bank (overnight rate). Siapa yang ambil manfaat atas itu?

Tidakkah keutuhan federalisme yang dilaungkan oleh Kerajaan Persekutuan seharusnya bertitik tolak atas saling menghormati antara Persekutuan dan negeri-negeri yang membentuk Persekutuan ini? Tiada negeri-negeri, tiadalah Persekutuan. Tiadalah lautan bagi Persekutuan tidak kira contiguous zone atau exclusive economic zone EEZ. Itu adalah asalnya milik negeri yang dijadikan hak Persekutuan melalui penubuhan Persekutuan.

Saya fikir, jika perlu, bagi mengelakkan salah guna wang royalti milik negeri oleh Persekutuan, Akta dan Perjanjian yang ada perlu diperbetulkan dengan meletakkan peruntukan jelas bahawa bayaran-bayaran royalti petroleum oleh Petronas mesti dibayar ke akaun pemiliknya.

Royalti Persekutuan dibayar ke Persekutuan, Royalti milik negeri mesti dibayar kepada negeri.

Tidak harus lagi berlaku seolah-olah negeri bagaikan sub kontraktor pula meminta bayaran dari kontraktor utama yang telah terima bayaran penuh dari pelanggan.

HJ AHMAD AMZAD HASHIM
Ahli Parlimen Kuala Terengganu
26 Oktober 2018 - HARAKAHDAILY 26/10/2018

BERIKUTAN daripada kenyataan media oleh YB Menteri Pendidikan Malaysia dalam Sinar Harian, pada 24 Oktober 2018 dengan tajuk "Pilihanraya Kampus Era Malaysia Baharu", kami mengucapkan tahniah kepada YB Menteri Pendidikan Malaysia kerana akhirnya telah mengambil tindakan yang serius untuk melakukan reformasi dalam sistem Pilihan Raya Kampus. GAMIS sejak dahulu telah memperjuangkan isu ini dan era Malaysia Baharu ini adalah peluang yang baik untuk mahasiswa merasai kembali proses demokrasi tulen yang memberikan manfaat kepada masyarakat kampus.

GAMIS dalam satu pertemuan tertutup bersama YB Menteri Pendidikan Malaysia di Everly Hotel Putrajaya pada 1 Oktober 2018 yang lalu telah menyerahkan satu dokumen aduan kepada Pegawai Khas YB Menteri Pendidikan dan telah menyuarakan pendapat GAMIS terhadap kesalahan-kesalahan yang ada di dalam proses Pilihan Raya Kampus pada tahun sebelum-sebelum ini.

Namun, adalah menjadi kekecewaan bagi kami penggerak mahasiswa apabila tidak ada tindakan yang serius daripada YB Menteri Pendidikan untuk mengatasi isu ini.

Untuk makluman YB Menteri Pendidikan, dengan sikap YB Menteri yang tidak mengambil berat terhadap isu Pilihan Raya Kampus ini, sudah terdapat beberapa kampus yang telah tergadai proses demokrasi kampus mereka di era Malaysia Baharu ini antaranya ialah kampus UTHM, UKM, USIM dan UTM.

Sepatutnya YB Menteri mengambil sikap bertanggungjawab dan menjadi contoh kepada pemimpin mahasiswa di kampus dengan mengambil tindakan yang cekap dan pantas melalui kuasa YB sebagai seorang Menteri. Namun sebaliknya berlaku, puluhan ribu mahasiswa telah tergadai hak demokrasi mereka dalam PRK yang telah berlangsung.

Kampus-kampus ini telah berlangsungnya Pilihan Raya Kampus di universiti mereka dengan menggunakan undang-undang kuno yang lama dan tidak demokratik. Ini adalah kesan dan akibat apabila YB Menteri tidak cakna kepada perkembangan isu semasa di kampus dan angkuh tidak mengambil tindakan segera kepada keluhan kami tempoh hari.

Mungkin kami tidak ada harga di sisi YB Menteri sehinggakan dokumen aduan kami tidak dipandang oleh YB Menteri Pendidikan Malaysia, namun kami ada maruah dan kami cintakan kampus kami.

Di samping usaha reformasi sistem Pilihan Raya Kampus ini juga, GAMIS menyeru kepada YB Menteri untuk memberikan autonomi kepada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dengan memberikan mereka kuasa kebebasan untuk mengurus wang aktiviti pelajar yang diperuntukkan melalui yuran semester dan Kementerian Pendidikan Malaysia.

Hal ini adalah perkara yang sangat penting dan mesti menjadi keutamaan dalam agenda memperkasa demokrasi kampus agar MPP dalam negara kita kembali menjadi badan perwakilan yang berwibawa, cekap mentadbir dan mampu menyelesaikan masalah masyarakat kampus. YB Menteri mestilah memberikan kepercayaan kepada kami mahasiswa untuk mengurus wang aktiviti pelajar kami sendiri tanpa ada campur tangan oleh pihak pentadbiran kampus (HEP). Semoga dengan reformasi ini, MPP di Malaysia mampu untuk berdaya saing di peringkat antarabangsa kelak.

Sekian.

“Istiqamah Bersama Islam “

MUHAMMAD FAIZZUDDIN MOHD ZAI
Presiden
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia - HARAKAHDAILY 25/10/2018

SAYA menerima berita menerusi aplikasi WhatsApp daripada YAA Tuan Haji Wan Mohd Zakri bin Wan Mohd, Ketua Hakim Syarie Negeri Terengganu bahawa Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Terengganu telah mendapat Gold Award dalam pertandingan Kumpulan Kreatif dan Inovatif (KIK) di Program International Convention on Quality Control Circle (ICQCC) di Singapura yang berlangsung pada 22 hingga 25 Oktober 2018.

Mewakili kerajaan Negeri Terengganu, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Terengganu.

Kejayaan ini membuktikan bahawa Jabatan Kehakiman Syariah mampu menghasilkan inovasi melalui perkhidmatan awam bagi menyelesaikan atau memenuhi keperluan masyarakat sehingga mendapat pengiktirafan antarabangsa.

Lebih membanggakan kejayaan ini merupakan kemenangan yang keenam diperoleh oleh Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Terengganu sepanjang penyertaannya dalam ICQCC semenjak tahun 2013.

Antara anugerah yang telah dimenangi ialah Excellent Award pada tahun 2013 di Taiwan, Gold Award pada tahun 2014 di Tokyo, Silver Illumination pada tahun 2015 di Korea, Gold Award pada tahun 2016 di Thailand dan Gold Award pada tahun 2017 di Filipina.

Diharap kemenangan ini dapat menggalakkan kreativiti dan pemikiran inovatif dalam perkhidmatan awam di semua agensi dan jabatan lain agar sentiasa berdiri teguh mendepani cabaran ke arah mewujudkan Terengganu yang maju, berkat dan sejahtera.

Dr Ahmad Samsuri bin Mokhtar
Menteri Besar Terengganu
25 Oktober 2018 – HARAKAHDAILY 25/10/2018

POLEMIK yang ditimbulkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng baru-baru ini kononnya Kerajaan Negeri Kelantan tidak mampu membayar gaji kakitangan telah menarik perhatian umum tentang prosedur kewangan dalam sistem federalisme.

Pada 23 Oktober 2018, beliau yang sebelumnya diasak agar mengemukakan bukti tuduhan berkenaan, mendakwa Kelantan merupakan negeri yang mempunyai hutang tertinggi pinjaman pendahuluan daripada Kerajaan Persekutuan (fakta yang kemudiannya dibuktikan salah berdasarkan Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan 2017).

Meneliti senarai negeri-negeri dan hutang masing-masing, saya tertarik dengan data yang memaparkan Pulau Pinang mempunyai kadar hutang paling rendah iaitu sekitar RM65 juta sahaja.

Sebelum tahun 2011, jumlah hutang kerajaan negeri Pulau Pinang melebihi RM700 juta. Namun pada tahun 2011 sewaktu Lim Guan Eng menjadi Ketua Menteri, tiba-tiba hutang negeri berkurang secara drastik kepada RM65 juta.
Dalam sidang media pada 15 Oktober 2016, beliau menyifatkan pengurangan ini sebagai bukti kejayaan pentadbiran dan pengurusan ekonomi sebuah kerajaan yang diterajui oleh beliau.

Namun apa yang sebenarnya terjadi?

Pada Jun 2011, Kerajaan Persekutuan telah membantu Pulau Pinang dalam menstrukturkan semula hutang negeri. Hutang sebanyak RM655.24 juta telah ditukar kepada pajakan aset air kepada Kerajaan Persekutuan dengan bayaran RM14.56 juta setahun selama 45 tahun.

Dengan kata lain, kerajaan negeri Pulau Pinang masih perlu membayar sebanyak RM655 juta kepada Kerajaan Pusat dalam masa 45 tahun.

Perkara ini diakui sendiri oleh beliau melalui satu sidang akhbar pada 1 Jun 2011.

Namun tentulah di atas kertas nampak cantik. - HARAKAHDAILY 25/10/2018

PRESIDEN PAS membahaskan Kajian Separuh Penggal RMK-11 dengan berteraskan firman Allah SWT dalam Surah al-Hajj ayat ke-41 (bermaksud): “Iaitu mereka yang jika Kami berikan kekuasaan memerintah di bumi, nescaya mereka mendirikan solat, serta menunaikan zakat, dan melaksanakan amar ma’ruf dan mencegah kemungkaran, dan bagi Allah jualah kesudahan segala urusan”

Berasaskan ayat tersebut, Presiden PAS yang juga merupakan Ahli Parlimen Marang telah menekankan aspek keutamaan yang perlu diberikan perhatian serius dalam membina sebuah negara yang sejahtera.

Pertama ialah kepatuhan kepada Allah.

Kedua, keberkatan dan keadilan ekonomi.

Ketiga, kepentingan negara berkebajikan.

Keempat, kehebatan penguatkuasaan undang-undang dan

Kelima ialah berwawasan dunia dan akhirat.

Huraian bagi setiap keutamaan tersebut dimuatkan dalam setiap tonggak Kajian Separuh Penggal RMK-11 (KSP RMK-11) yang telah digariskan oleh Kerajaan Persekutuan.

Bagi tonggak urus tadbir, Presiden PAS telah menekankan aspek integriti dan penghapusan rasuah.

Isu keparahan rasuah tidak boleh dibanteras menerusi penguatkuasaan undang-undang sivil sahaja, tetapi ia perlu dicegah dengan prinsip perundangan Syari’ah yang meliputi kesedaran awam terhadap dosa, pahala, akhlak dan nilai.

Selain itu, prosedur pencegahan rasuah juga perlu diperkemaskan dengan pengukuhan institusi dan akta SPRM selain proses perundangan yang adil untuk mengelakkan pendakwaan selektif.

Lanjutan itu, Presiden PAS turut menjelaskan elemen penting ekonomi sebagai pra syarat untuk menjana pertumbuhan yang lebih bermakna.

Elemen tersebut antaranya adalah penghapusan riba’, rasuah dan penipuan, galakan perkongsian keuntungan, kewajiban zakat dan pertimbangan unsur halal dan haram.

Islam tidak menyekat penciptaan kekayaan tetapi mestilah tidak manipulasi, monopoli dan menzalimi orang lain.

Tambahan lagi, bebanan kos sara hidup, peningkatan pendapatan dan peluang pekerjaan, keperluan projek infrastruktur mega mestilah mengutamakan kepentingan umum rakyat.

Presiden PAS juga turut menyinggung beberapa isu yang melibatkan pembangunan wilayah yang adil.

Beliau menyambut baik dan berterima kasih ke atas komitmen YAB Perdana Menteri untuk menyalurkan royalti Petroleum secara langsung kepada negeri Kelantan dan Terengganu.

Kementerian Kewangan juga diingatkan untuk mengurangkan karenah birokrasi dan tidak melewatkan pembayaran sehingga merencatkan perancangan pembangunan di kedua-dua negeri tersebut.

Terdapat juga isu-isu lain yang turut berlaku di peringkat negeri seperti meningkatkan pendapatan golongan petani, nelayan, pekebun dan peniaga kecil.

Cabaran ekonomi yang berlaku menyebabkan golongan ini tertekan dan perlukan pembelaan sewajarnya daripada pihak kerajaan.

Projek-projek sokongan yang lain seperti pemulihan infrastruktur dan mekanisme pemasaran perlu dibantu agar kehidupan asas rakyat tidak terjejas.

Bagi tonggak pembinaan modal insan, Presiden PAS sangat mementingkan isu kebejatan sosial yang perlu ditangani secara kolektif menerusi pendidikan bersifat rabbani dan insani.

Pihak media juga disaran untuk memainkan peranan yang konstruktif dalam membentuk peribadi masyarakat terutama dalam kalangan belia di samping pelaksanaan undang-undang yang lebih kepada aspek mendidik dan bukan menghukum.

Beliau turut mahu supaya perkembangan pendidikan tidak tertumpu kepada pencapaian di bilik darjah mahupun dewan kuliah semata-mata, tetapi mesti diperluaskan kepada kecerdasan mental, kemantapan spiritual, kekuatan emosi dan kecergasan fizikal.

Generasi muda bukan dibentuk hanya untuk memenuhi pasaran buruh sahaja sebaliknya membina jiwa kepimpinan untuk mewarisi masa depan negara.

Terakhir, Presiden PAS sekali lagi memberikan kredit kepada YAB Perdana Menteri di atas ketegasan ucapannya dalam persidangan PBB beberapa minggu yang lalu.

Malaysia disaran agar lebih cermat untuk berhadapan dengan perang dagang AS-China.

Malah, lebih penting daripada itu, pemimpin negara juga mestilah berusaha untuk menanggapi propaganda Islamophobia dalam kalangan negara Barat.

Langkah Pandang ke Timur mestilah diutamakan kepada koalisi ASEAN, OIC dan permuafakatan negara-negara berkecuali.

Islam Memimpin

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
16 Safar 1440 | 25 Oktober 2018 – HARAKAHDAILY 25/10/2018

BERDASARKAN takwim Parlimen Malaysia, persidangan Dewan Rakyat yang berlangsung sekarang merupakan Mesyuarat Kedua, Penggal Pertama, Parlimen Keempat Belas, yang akan berlangsung selama 30 hari bermula pada 15 Oktober 2018.

Persidangan kali sebenarnya amat penting kerana dijadualkan YB Menteri Kewangan bakal membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2019 pada 2 November 2018.

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia amat prihatin dengan beberapa gambar yang diambil pada sidang Parlimen yang menunjukkan ketidakhadiran yang amat serius, khususnya pihak Ahli Parlimen Kerajaan (Pakatan Harapan).

Isu ini sebenarnya telah dibangkitkan pada persidangan Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama di mana ramai wakil rakyat Pakatan Harapan hilang ketika persidangan, walaupun pertama kali memenangi pilihanraya dan memegang tampuk kuasa. Nampaknya ketidakhadiran wakil rakyat Pakatan Harapan di Dewan Rakyat masih berlaku dengan sewenang-wenangnya sehingga hari ini.

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia amat terkejut dan terkesan dengan kenyataan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusoff, yang menyifatkan ketidakhadiran Menteri dan Timbalan Menteri di Parlimen sebagai perkara biasa.

Rakyat disuap dengan dakyah “Malaysia Baru” selepas Pakatan Harapan menang pilihan raya, namun kini kerajaan Pakatan Harapan dan Yang Dipertua Dewan Rakyat masih di takuk “Malaysia Lama”. Namun begitu, kita lihat perubahan positif kepada wakil rakyat blok pembangkang hari ini yang amat komited untuk hadir di sidang Parlimen dan aktif berbahas.

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia juga menyanggah kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang berkata ketidakhadiran wakil rakyat bukan isu besar. Rakyat berpendapat Yang Berhormat Ahli Parlimen merupakan wakil suara rakyat di Parlimen.

Rakyat memberikan amanah kepada mereka untuk mewakili suara rakyat demi kepentingan rakyat dan negara. Dewan Rakyat merupakan tempat yang amat penting dan strategik untuk Yang Berhormat Ahli Parlimen menyuarakan suara dan aspirasi rakyat. Kalau selalu ponteng, bagaimanakah rakyat akan bersuara?

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia mencadangkan kepada wakil rakyat Gagasan Sejatera untuk mengusulkan Parlimen Malaysia agar menyediakan satu pengkalan data khas untuk merekod kehadiran Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Kehadiran mereka seharusnya direkodkan untuk setiap mesyuarat. Mereka bekerja untuk rakyat, menggunakan duit cukai rakyat, dan berkhidmat untuk rakyat. Ini penting untuk mendisiplinkan wakil rakyat agar menjalankan amanah mereka. Jika pekerja yang selalu ponteng boleh dikenakan tindakan disiplin, mengapa tidak Ahli-Ahli Yang Berhormat yang selalu hilang semasa persidangan Dewan.

Demi Bangsa Malaysia!

Shahir Adnan
Ketua Pemuda Parti IKATAN Bangsa Malaysia
Timbalan Ketua Pemuda Gagasan Sejahtera
24 Oktober 2018 – HARAKAHDAILY 25/10/2018

PERMOHONAN pendahuluan oleh Kerajaan Negeri Kelantan kepada Kerajaan Persekutuan adalah bridging loan yang bersifat pinjaman jangka pendek bagi mengatasi keperluan aliran tunai yang bersifat sementara sambil menunggu dana lain yang akan diperoleh.

Pinjaman ini dibuat selari dengan perutukan perlembagaan dan adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Persekutuan untuk memberikannya kepada Kelantan sesuai dengan semangat federalisme sekalipun Kelantan ditadbir oleh pembangkang di peringkat Persekutuan. Ia juga adalah amalan biasa bukan sahaja bagi Kelantan.

Lim Guan Eng tidak wajar bersandiwara, meletakkan Kerajaan Negeri Kelantan seolah-olah mengemis daripada Kerajaan Persekutuan sedang ia merupakan tanggungjawab Kerajaan Persekutuan sebagai imbalan kepada segala cukai yang dikutip oleh Kerajaan Persekutuan daripada rakyat Kelantan.

Semangat federalisme yang ditegaskan oleh Perdana Menteri dalam ucapan Kajian Separuh Penggal RMK11 tidak wajar dikhianati oleh Menteri Kewangan menerusi sandiwara bertaraf kebudak-budakan.

Tidak timbul isu bahawa Kelantan secara kewangannya tidak mempunyai kemampuan untuk membayar gaji kepada kakitangannya sebagaimana dakwaan murahan Menteri Kewangan. Bahkan, prestasi pengurusan kewangan Kelantan boleh dikatakan adalah lebih baik berbanding negeri-negeri lain dan Kerajaan Persekutuan sendiri.

Kelantan dengan peningkatan pungutan hasil sebanyak RM566.52 juta pada 2017, hasil daripada proses pendaftaran tanah yang meningkat kepada RM44 juta atau 58% melebihi anggaran RM28 juta, berjimat sebanyak RM2.9 juta perbelanjaan mengurus dan surplus yang dianggarkan sebanyak RM38.76 juta menjadi bukti bahawa negeri yang telah ditadbir oleh PAS selama 28 tahun ini mempunyai kemampuan untuk menunaikan kewajipan terhadap kakitangannya.

Sebenarnya LGE masih belum sedar bahawa beliau bukan lagi pembangkang. Malah, sebenarnya LGE masih meneruskan strategi lapuknya memanipulasi fakta untuk melancarkan propaganda bagi memburuk-burukkan Kelantan kerana dendamnya yang mendalam terhadap PAS; strategi sama digunakan dalam isu hutang negara demi menutup kegagalan Pakatan Harapan menunaikan janji dalam Buku Harapan.

“Islam Memimpin”

DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Khamis, 25 Oktober 2018 | 16 Safar 1440 – HARAKAHDAILY 25/10/2018

More Articles ...