DEWAN Pemuda IKATAN Malaysia mengajak seluruh rakyat Malaysia menyoroti sejarah 20 tahun yang lepas, sekitar tahun 1998, iaitu tahun yang sama Timbalan Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat dari jawatan kedua tertinggi pentadbiran kerajaan.

Pada tahun tersebut, Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) atau The National Economic Action Council ditubuhkan sebagai badan penasihat kepada Kabinet untuk menangani krisis ekonomi yang timbul ketika itu.

Pada tahun 1998, MTEN ditubuhkan bertujuan menyelaras perancangan dan pelaksanaan dasar ekonomi secara menyeluruh. Ketika itu, Dr. Mahathir selaku Perdana Menteri bertindak sebagai Pengerusi, manakala Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai TImbalan Pengerusi.

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia amat menghargai peranan MTEN ketika itu yang berjaya meletakkan Malaysia di landasan yang betul, memantapkan ekonomi negara melalui pelan yang begitu komprehensif dan tersusun hingga mengeluarkan Malaysia dari kemelut ekonomi pada waktu itu. Harus diingat bahawa kemelut ekonomi pada waktu itu melibatkan seluruh negara ASEAN dan sebilangan besar negara kuasa besar.

Pada waktu itu, kegawatan ekonomi Malaysia merupakan tempias kepada ketidakstabilan ekonomi dunia. Syabas diucapkan di atas kebijaksanaan Tun Mahathir pada waktu itu.

Hari ini, setelah 20 tahun berlalu, Perdana Menteri yang sama, Tun Dr. Mahathir, telah mengumumkan penubuhan MTEN sebagai majlis khusus untuk menyelaraskan pelaksanaan dasar ekonomi secara menyeluruh. Kali ini, komposisi MTEN amat berbeza apabila Timbalan Perdana Menteri, tidak lagi menjadi Timbalan Pengerusi MTEN, malah tidak terlibat langsung di dalam majlis yang penting untuk ekonomi negara.

MTEN tahun 2019 juga diwujudkan bukan sebagai tindakbalas kepada kegawatan ekonomi ASEAN atau dunia seperti tahun 1998. Ekonomi negara jiran seperti Thailand dan Indonesia dilihat amat kukuh ketika ini.

Persoalannya, adakah MTEN 2019 diwujudkan kerana ketidakupayaan Menteri-Menteri melaksanakan tugas mereka untuk mengemudi ekonomi negara? Adakah MTEN 2019 diwujudkan kerana menteri-menteri gagal dalam menyelaraskan dasar-dasar antara kementerian sehingga keluar percanggahan kenyataan kepada media dan rakyat umumnya. Contoh terdekat adalah percanggahan kenyataan mengenai ECRL antara YB Lim Guan Eng dan Dato’ Seri Mohamad Azmin Ali sehingga rakyat keliru.

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia berharap kerajaan komited untuk memulihkan kembali ekonomi negara yang terjejas teruk sejak PRU-14 lalu. Kenyataan tidak konsisten daripada Menteri-Menteri membawa bencana kepada ekonomi negara kerana tiada keyakinan oleh pelabur-pelabur asing.

Dengan perlaksanaan MTEN ini, segala agenda dan dasar ekonomi bakal disuarakan oleh Pengerusi MTEN, iaitu Perdana Menteri sendiri. Oleh itu, rakyat harus menilai, adakah MTEN 2019 diwujudkan kerana faktor ekonomi atau faktor hilang kepercayaan?

Demi Bangsa Malaysia!

SHAHIR ADNAN
Ketua Pemuda Parti IKATAN Bangsa Malaysia
Timbalan Ketua Pemuda Gagasan Sejahtera
13 Februari 2019 – HARAKAHDAILY 13/2/2019

PAS dengan ini mengesahkan telah mengemukakan atas permintaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semua Penyata Akaun Bank PAS Pusat. Ini adalah selaras dengan pendirian tegas PAS apabila SPRM memulakan siasatan setelah ada pihak membuat aduan kononnya PAS telah menerima sogokan RM90 juta daripada 1MDB.

Penyata Akaun-akaun PAS Pusat yang diserahkan itu bermula dari tahun 2015, iaitu sebelum tarikh artikel mengenai dakwaan sogokan RM90 juta tersebut (Ogos 2016) sehinggalah yang terkini.

PAS yakin dengan mengemukakan dokumen-dokumen terpenting tersebut membolehkan pihak SPRM menjalankan siasatan mereka dengan bebas, telus dan profesional. SPRM juga pastinya akan mengumumkan hasil siasatan mereka kerana semua pihak yang berkepentingan sudah lama menantikannya.

PAS mengharapkan selepas selesainya isu ini, semua pihak tidak lagi membazirkan masa dan pemikiran ke atas perkara yang tidak menguntungkan sebaliknya menumpukan perhatian dan usaha ke arah membangunkan negara dan rakyat.

Terima kasih.

DATO’ TAKIYUDDIN HASSAN
Setiausaha Agung PAS
12 Februari 2019 – HARAKAHDAILY 12/2/2019

MEDIA, satu alat yang terpenting dalam membentuk kejayaan sesuatu perancangan. Tanpa media, tiadalah rancangan itu berjalan dengan berkesan, akan menyaksikan perancangan itu kosong, lemah dan tidak berguna. Jika tiada media, maka bersiap bagi kekalahan dalam perjuangan kita.
 
Media digunakan semenjak mula. Allah gunakan malaikat dan Nabi dan Rasul sebagai media untuk menyampaikan apa yang Dia kehendaki untuk manusia mengikuti. Sebahagian Rasul diberikan pula kitab suci sebagai media bagi menguatkan lagi penerangan dakwah, hukum hakam dan semisalnya.
 
Dalam perang, media digunakan dengan semaksima mungkin bagi memberi dan menerima arahan daripada ketua masing-masing, menjalankan tanggungjawab mereka. Perhubungan yang terputus, akan merencatkan perancangan pasukan bagi mencapai kejayaan.
 
Kita sekarang hidup dalam zaman yang mengutamakan media sosial, menggunakan kemudahan internet bagi menjalankannya. Sudah banyak syarikat surat khabar yang tidak mampu menongkah arus pembawaan media sosial ini dan menutup operasi mereka. Tidak terlawan mereka jika tiada sokongan modal yang kuat. Rakyat sekarang lebih mendekati media baharu. Maklumat di hujung jari.
 
Masyarakat telah menyaksikan di Malaysia ini, PH melalui penggunaan maksima jentera mereka dalam kepakaran media sosial, telah mendapat kemenangan yang bukan sahaja tidak disangka lawan, malahan mereka sendiri terkejut dengan keberkesanan media yang mereka gunakan itu.
 
Persetankan sama ada fitnah, mengacum, membuli, mengutuk, menghina, mencaci mahupun menggunakan sentimen agama sewenang-wenangnnya, mereka berjaya menggunakan media dengan cara itu. Bukan sedikit masa, wang dan tenaga yang mereka gunakan bagi memastikan kemenangan itu.
 
Ketika itu, pendirian rakyat hanyalah mahu menjatuhkan rejim BN. Ia tidak terkecuali juga kepada ahli-ahli dan penyokong PAS yang secara langsung terlibat dalam kempen-kempen bagi memburukkan BN, mengharapkan dengan jatuhnya BN, kerajaan baharu akan lebih membela rakyat.
 
Ramai juga ahli PAS yang mengundi PH kerana tidak yakin dengan kemampuan PAS bersendirian dalam menentang BN. BN sangat jijik, tidak boleh didekati PAS ketika itu. Jika terpalit, nahaslah PAS. Dalam berhati-hati tidak terpalit pun, PAS tetap terkena kebencian rakyat. Begitulah dahsyatnya peranan media PH.
 
Rakyat, tidak terkecuali ahli PAS, mengongsi segala keburukan BN. Sama ada betul atau tidak, tidak ada lagi penilaiannya. Asal sahaja atas nama kejahatan BN, maka akan disebarkan sebanyak-banyaknya. Dalang kepada fitnah itu ialah PH, tapi ada ahli PAS turut sama mendapat dosa fitnah. Yang untung, PH.
 
Begitulah ia berjalan, sehinggalah rakyat mulai sedar akan penipuan yang dilakukan oleh PH. Kini, rakyat kembali merindui BN. Ahli PAS juga yang dahulu membantu kempen PH tanpa sedar, turut merindui BN. Dan sekarang, segala kejahatan PH, dibongkar oleh BN. BN mendalangi kempen memburuk-burukkan PH.
 
Ada berita betul, ada berita salah. Dan semua itu juga diborong dan dikongsi oleh ahli PAS yang geramkan PH. Ahli PAS sebegini memang baik, mereka suka membantu orang lain. Tetapi secara tidak langsung, ahli PAS ini menjadi media bagi BN berkempen secara percuma. Apatah lagi semenjak diuar-uarkan PAS akan bekerjasama dengan BN, makin kuat dia berkempen. Dan akhirnya, BN yang akan mendapat laba.
 
PAS sebenarnya tidak kekurangan tenaga bagi menggerakkan media mereka sendiri, ditambah lagi dengan bantuan ahli-ahlinya yang setia. Cumanya, PAS perlu mengadakan perancangan bagi penggerak-penggerak media PAS ini berpencak, kena pada isu, tepat pada waktu, mengikut kehendak Allah yang satu. Jangan kita dikelirukan dengan media orang lain. Kita mesti ada jati diri dan arah kita sendiri dalam media.
 
Mujahid siber adalah gelaran yang diberikan kepada ahli-ahli PAS yang secara sukarela mewakafkan diri bagi membantu media PAS berfungsi dengan lebih berkesan melawan PH. Kebanyakan mereka ini sayangnya, tidak dapat berfungsi dengan baik, mungkin atas beberapa masalah yang boleh diatasi.
 
Oleh itu, PAS dengan rasminya, akan mengadakan Ijtimak Siber 2019, bertempat di Dewan Jubli Intan, Majlis Perbandaran Kemaman, pada Sabtu, 16 Februari 2019, bagi memberikan ruang dan peluang kepada penggiat-penggiat media sosial yang menyokong perjuangan PAS, mendalami kehendak media semasa.
 
Peserta akan dibentangkan dengan kertas kerja oleh mereka yang berpengalaman bagi memandu peserta ke arah yang PAS inginkan dalam pertembungan ini terutama bagi media sosial. Bukan itu sahaja, dialog dua hala juga akan diadakan melalui segmen sumbang saran, bagi PAS menerima idea-idea serta pandangan daripada peserta, untuk memastikan pasukan media PAS ini akan lebih mantap di masa depan.
 
Marilah kepada semua, untuk sama-sama hadir menyertai ijtimak ini. PAS tetap seperti dahulu, mengharapkan usaha dan bantuan daripada ahli-ahli bagi menggerakkan parti. PAS tidak mempunyai apa-apa untuk diberikan, tetapi ahli mempercayai yang pemberian mereka kepada PAS, adalah bagi menegakkan Islam di Malaysia ini. Untuk keterangan lanjut program ini, sila hubungi 019-4186368.
 
MOHD NASIR ABDULLAH
Al-Khor, Qatar
12 Februari 2019 - HARAKAHDAILY 12/2/2019

FB IMG 1549967574576 

FB IMG 1549967580646

DEWAN Ulamak PAS Negeri Sabah (DUPNS) mengingatkan umat Islam supaya tidak menyambut Hari Valentine kerana ia bercanggah dengan ajaran Islam.

Ini bersesuaian dengan keputusan muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang bersidang pada 22 November 2005.

Ini ditambah pula dengan keputusan Majlis Fatwa Negeri Sabah, Bil 1/2006 yang menyatakan bahawa amalan merayakan Hari Valentine adalah bercanggah dengan ajaran Islam. Perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya bercampur dengan perbuatan maksiat adalah dilarang dalam Islam.

DUPNS menyarankan semua pihak khususnya masjid dan surau, sekolah dan institusi pengajian semua peringkat agar menyampaikan perkara ini kepada para remaja. Ini kerana kebanyakan remaja termasuk yang beragama Islam masih ghairah menyambut Hari Valentine.

Antara perkara yang sangat menyedihkan lagi ialah apabila iklan melalui media sosial dilakukan secara besar-besaran. Ini khususnya dilakukan oleh pihak hotel dan restoran-restoran.

Saya menasihatkan umat Islam supaya jaga akidah dan beramal dengan ajaran Islam yang sebenar. Jangan terpengaruh dengan budaya dan ajaran yang bertentangan dengan Islam kerana ajaran Islam mempunyai batasan berdasarkan al-Quran dan cara hidup Nabi S.A.W.

Umat Islam juga diminta selalu merujuk kepada fatwa atau pejabat mufti sekiranya ingin mendapatkan sesuatu hukum berkaitan perkara-perkara semasa.

USTAZ MUSTAQIM ALING
Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Sabah
12 Februari 2019 - HARAKAHDAILY 12/2/2019

SEJAK beberapa hari lalu, beberapa pemimpin Pakatan Harapan terutamanya daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) begitu agresif turun padang ke Dun Semenyih.

Alhamdulillah, mereka begitu prihatin dengan Menteri KBS berkayuh basikal dan timbul idea nak jadikan Semenyih sebagai lokasi ‘bicycle tourism’ manakala Menteri Pendidikan juga lakukan pecah tanah projek sekolah yang didakwa hasil perjuangan kerajaan PH. Tidak ketinggalan Menteri PLB juga sampaikan kunci dan mesin jahit.

Tahniah kepada penerima dan perlu diakui seperti penafian pemimpin PH, turun padang berkenaan bukan kerana Semenyih ada PRK tetapi ia sudah dirancang sejak dulu lagi.

Nampaknya cara menteri-menteri berkenaan sama seperti yang dilaungkan sebelum ini kononnya kerajaan terdahulu salah guna kuasa, salah guna jentera kerajaan dan lain-lain.

Persoalannya, apa sudah jadi kepada mereka ini yang kini menerajui kerajaan pusat dan negeri? Kenapa menjilat ludah sendiri? Ramai yang keliru dengan sikap mereka.

Walaupun teguran demi teguran dibuat termasuk daripada NGO Bersih 2.0, nampaknya apa sahaja yang dilakukan mereka adalah betul kerana mereka adalah kerajaan ‘Malaysia Baru’.

PRK Cameron Highlands menceritakan sikap ego dan keras kepala mereka apabila sudah kantoi guna jentera kerajaan tetapi mahu ‘tegakkan benang yang basah’.

Biarlah pemimpin-pemimpin ini dengan cara mereka mungkin kerana mereka percaya taktik berkempen menggunakan jentera kerajaan yang dahulunya disangkal habis-habisan mampu ‘mengumpan’ hati pengundi dan jumlah undi yang diterima mereka pada PRK Cameron Highlands membuktikan mereka benar!

BN Selangor tidak melihat ia sebagai satu isu lagi kerana apa sahaja yang dilakukan oleh kerajaan kini semuanya adalah betul dan rakyat perlu menerima dengan hati yang tenang sebab mereka ini ‘Malaysia Baru’.

Tumpuan BN Selangor kini termasuk dengan kerjasama PAS dan beberapa NGO yang mula ‘buka mata’ adalah untuk terus mendampingi seramai mungkin pengundi dan menyusun gerak kerja yang tersusun. Insya-Allah jam 5 petang Khamis ini (14 Februari 2019) calon kami akan diumumkan dan sudah pasti dengan istiqamah kejayaan pasti menyusul.

DATUK MAT NADZARI AHMAD DAHLAN
Pengerusi BN Selangor
12 Februari 2019 – HARAKAHDAILY 12/2/2019

LAPORAN polis, dakwaan, pendedahan serta pengakuan beberapa pihak yang mengaitkan DAP dengan bantuan atau penerimaan dana asing menuntut untuk kes tersebut dibuka semula atau dijalankan siasatan ke atasnya. Tindakan tersebut amat penting dan mendesak kerana sehingga kini semua keterangan tersebut tidak menghadapi tindak balas perundangan mahupun penafian daripada pihak DAP sendiri.

Antara mereka adalah bekas Setiausaha Politik Ketua Menteri Pulau Pinang, Mohamad Razali Abdul Rahman yang pernah menyatakan bahawa DAP menerima wang rasuah sebanyak RM300 juta daripada pihak Israel. Begitu juga laporan polis oleh bekas Pegawai TUDM, Kapten Abdul Rahmat Omar Tun Mohd Haniff yang mendakwa Red Bean Army DAP menerima dana disalurkan oleh Open Society Foundations (OSF) milik George Soros.

Malah, bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman mendakwa DAP menerima dana segera daripada negara-negara luar untuk membiayai pilihan raya. Manakala Presiden International Republican Institute (IRI), Daniel Twining secara terbuka mengaku bahawa pihaknya telah memberi dana kepada Pakatan Harapan untuk menghadapi PRU14 yang lalu.

Semua ini merupakan penyataan teramat serius yang berlaku secara sulit dan menyalahi integriti serta undang-undang di mana ia boleh mendalangi tindakan atau langkah urus tadbir berkaitan. Bahkan, perkara ini dipercayai mempunyai tujuan politik yang boleh mendatangkan gugatan terhadap kedaulatan, keselamatan serta kepentingan negara. Oleh itu, risiko yang ada ini mesti segera ditangani pihak berkuasa.

Kami khuatir, perbuatan khianat dan umpama ‘menjual’ negara ini sekiranya tidak dikekang dan ditangani segera boleh mengundang pelbagai ancaman merbahaya terhadap rakyat dan institusi penting negara ini. Kerana bibit-bibit berkaitan telahpun ternyata dapat dilihat dilakukan oleh ahli-ahli politik daripada DAP yang mutakhir ini ghairah mengusik perkara berkaitan Islam, Melayu dan Bumiputera serta institusi berkaitannya.

“Islam Memimpin”
“Terus Mara” 

YB USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia - HARAKAHDAILY 12/2/2019
 

RAKYAT perlu memberi amaran kepada para politikus yang ibarat 'tikus membaiki labu' kerana mengenepikan kewibawaan dan kredibiliti. Ketika sama pula bersikap angkuh menegakkan benang basah menipu rakyat di siang hari dan tanpa segan silu memungkiri janji-janji.

Sewenangnya, taraf kelulusan akademik dipalsukan dan berbohong serta diremehkan. Sedangkan ia bukan sahaja mengenai kelayakan, tetapi paling besar berkait integriti mereka untuk berada di posisi penting yang menjadi taruhan kepercayaan masyarakat awam.

Kedudukan dijawat bukan singgahsana untuk lepak, tetapi mentadbir urus hal ehwal luar negeri, pertahanan negara, dakwah Islamiah, kewangan dan kerajaan negeri. Namun ketidakjujuran itu kemudiannya bersulam dengan penafian memutar belit realiti secara bongkak.

Pentingnya ilmu terhadap pemimpin adalah asas tidak perlu dibahaskan lagi. Pernah diungkap Saiyidina Ali K.W yang berpesan, jika mengingini dunia maka timbalah ilmu. Jika menginginkan akhirat timbalah ilmu. Bahkan jika inginkan kedua-duanya juga, timbalah ilmu.

Islam telah menuntun dengan pedoman yang jelas, antaranya peringatan dari hadis riwayat Bukhari:

"Jika sesuatu urusan diserahkan kepada bukan ahlinya, maka tunggulah saat kehancuran."

Menunjukkan soal jawatan mesti diberi kepada pemimpin yang berkelayakan:

"Barangsiapa memegang kuasa sesuatu urusan kaum Muslimin, lalu dia berikan tugas kepada seseorang sedangkan diketahuinya ada orang lain yang lebih baik, maka dia telah mengkhianati Allah, Rasul-Nya dan kaum Muslimin".

Sebagaimana riwayat Al-Hakim.

Kerana itu hari ini rakyat tidak harus merasa pelik atas janji-janji manis yang dimungkiri. Kerana pemimpin PH lebih galak mengagih jawatan persis membahagi-bahagi harta rampasan perang. Reformasi institusi yang mereka laungkan telah berkecai sebelum ia dibina.

Rakyat berperanan mengekang semua ini dengan belajar dari sejarah keruntuhan banyak tamadun adalah akibat kezaliman, tidak jujur dan tidak berilmu, selain pengkhianatan. Oleh itu, jangan terus mempertaruhkan generasi kita kepada pemimpin seperti ini.

"Islam Memimpin"
"Terus Mara"

YB USTAZ HISHAMUDDIN ABDUL KARIM
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia - HARAKAHDAILY 12/2/2019

More Articles ...