PEMILIHAN peserta yang benar-benar berminat, berkemahiran dan ada kesungguhan antara kunci utama kejayaan sesuatu Projek atau Program Asas Tani.

Ada bidang seperti pembenihan Ikan Kerapu Hibrid sangat teknikal. Dari induk Kerapu yang menghasilkan telur, penetasan, nak hasilkan Plankton untuk makanan anak Kerapu sehingga pembesaran jadi size beberapa sentimeter, penuh dengan aspek teknikal dan kepakaran. Bukan semua orang boleh cuba-cuba nak buat.

Begitu juga penanaman Musang King kaedah baru kerana pokok durian sekarang perlu diasuh, bukan hanya tanam.

Saya telah melakukan tinjauan kepada beberapa projek pertanian dan penternakan berkelompok. Didapati antara punca utama projek tak begitu berjaya ialah kerana pemilihan peserta yang tak tepat. Bagi urusan kepada yang bukan ahli tidak akan menghasilkan natijah yang baik.

Orang kita suka terima bantuan tapi ramai yang buat kerja suka-suka. Minda ini kita nak ubah kalau kita nak jadikan Terengganu hub pengeluaran makanan.

YB DR AZMAN IBRAHIM 
Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Negeri Terengganu. - HARAKAHDAILY 22/6/2018

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) adalah merupakan sebuah parti politik yang berdaftar di Malaysia di bawah Akta Pertubuhan 1966. Selaku sebuah pertubuhan berdaftar, PAS boleh menjalankan aktivitinya. Selain menjalankan aktiviti politik, PAS juga mempunyai aktiviti sosial dan kemasyarakatan. Di antara aktiviti kemasyarakatan PAS adalah menjalankan aktiviti memberi pendidikan kepada kanak-kanak pra-sekolah yang dikenali sebagai Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI).

Sejak ditubuhkan pada tahun 1988 dengan matlamat untuk aktiviti kemasyarakatan, aktiviti PASTI bukan sekadar memberi perkhidmatan kepada anak ahli PAS, ia diperluaskan kepada seluruh masyarakat Malaysia.

Memandangkan ia merupakan aktiviti parti, maka aktiviti PASTI digerakkan oleh aktivis-aktivis parti. Selain itu aktivitinya turut dibantu oleh sukarelawan-sukarelawan.

Berdasarkan situasi di atas, dari segi struktur organisasi serta matlamatnya, PASTI adalah berbeza dengan tadika. Terdapat beberapa salah faham masyarakat yang menyamakan PASTI dengan Tadika.

Saya berkesempatan diberikan peluang untuk mengendalikan beberapa kes PASTI yang dibawa ke mahkamah.

Di antara isu yang diketengahkan adalah status aktivis dan sukarelawan PASTI yang dikatakan sebagai pekerja. Alhamdulillah penerangan dapat diberikan di mahkamah bahawa mereka adalah sukarelawan yang menyumbangkan tenaga untuk menjayakan aktiviti parti bagi membantu institusi pendidikan negara dalam mendidik kanak-kanak pra-sekolah. Oleh itu peruntukan-peruntukan berkenaan pekerja tidak terpakai ke atas aktivis dan sukarelawan ini.

Satu lagi isu yang turut menarik perhatian adalah berkenaan status PASTI yang cuba disamakan dengan Tadika. Alhamdulillah juga penerangan dapat diberikan dan diterima oleh mahkamah bahawa ia adalah merupakan aktiviti bagi satu pertubuhan yang berdaftar di Malaysia. Oleh itu ia adalah berbeza dan perlu dibezakan dengan operasi Tadika. Standard untuk pengoperasian suatu Tadika tidak terpakai ke atas PASTI.

Situasi PASTI yang unik inilah diyakini menjadikan ia semakin menarik perhatian masyarakat baik yang inginkan anak mereka menerima pendidikan PASTI ataupun pihak-pihak yang ingin mengkaji institusi ini. Tahniah diucapkan kepada pencetus PASTI yang menjadikan kedudukan institusi ini sebegini.

MOHD ZAMRI IBRAHIM
Penulis adalah merupakan seorang Peguambela dan Peguamcara. - HARAKAHDAILY 22/6/2018

SAYA ingin menarik perhatian umum berkenaan dengan satu laporan berita yang disiarkan oleh Free Malaysia Today (FMT) yang bertajuk “Exco: Kerajaan PAS Terengganu Tidak Halang Pelancong Berbikini" yang disiarkan pada hari ini, Khamis 21 Jun 2018.

Saya mengucapkan terima kasih kepada FMT yang bersedia mempromosikan Negeri Terengganu kepada seluruh pembaca. Sebagai memberi kefahaman yang lebih jelas berkaitan isi temuramah ini, saya suka menegaskan bahawa:

1. Kerajaan Negeri Terengganu dalam melaksanakan peraturan mengamalkan konsep kasih sayang yang iaitu akan melihat peraturan sedia ada yang dibuat oleh kerajaan terdahulu dengan mengekalkannya, jika sudah baik, sebelum mengubah ataupun menambah baik kepada peraturan baharu dan bukannya terus menolak semua yang ada. Oleh itu, saya menyebut “setakat ini, kita mengekalkan peraturan sedia ada”. Kita baru mentadbir negeri sebulan lebih. Oleh itu, kita tidak akan bertindak gopoh dan gelojoh.

2. Kerajaan Negeri Terengganu akan menyelesaikan masalah-masalah yang ada secara berperingkat, toleransi dan harmoni melalui dialog, perbincangan dan sudah tentu rujukan daripada Islam. Islam tidak pernah mengenepikan hak bukan Islam. Contohnya, Islam tidak pernah memaksa wanita bukan Islam bertudung, tetapi pastinya mereka tidak boleh sewenang-wenangnya berpakaian yang tidak senonoh di tempat awam. Dalam temuramah, saya tidak menyebut isu berbikini secara khusus, mungkin wartawan terkhilaf.

3. Bertindak daripada ini, Kerajaan Negeri Terengganu sedang menyiapkan Dasar Pelancongan Negeri yang tidak drastik atau menekan pelancong-pelancong bukan Islam dan bakal memberikan ruang yang secukupnya kepada mereka menikmati keindahan semulajadi negeri Terengganu tanpa rasa bimbang.

Saya berharap isu ini difahami oleh dua golongan iaitu golongan yang gopoh untuk melihat perubahan dalam sekelip mata agar jangan menganggap Kerajaan Terengganu akan mengabaikan peraturan dan keindahan adab dan golongan kedua yang mahu memburukkan kerajaan negeri supaya bertindak seperti kerajaan ala Taliban. Kerajaan negeri akan mendahului sikap toleransi dan dialog. Kerajaan akan bergerak dengan dakwah dan pembangunan insan akan diteruskan.

YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri Terengganu
7 Syawal 1439/21 Jun 2018 – HARAKAHDAILY 21/6/2018

DAKWAH dan jihad merupakan dua mekanisme utama dalam pembentukan Daulah Islam sepanjang sejarah. Pendekatan inilah yang digunakan oleh Rasulullah S.A.W dalam membangunkan Daulah Islam pertama di Madinah. Kemudian ia menjadi method dalam pengembangan Islam ke seluruh dunia. Perang bukanlah pendekatan Islam, tetapi ia menjadi reaksi terhadap gerakan dakwah yang disekat. Dalam Futuhat (pembukaan) negeri-negeri baru, Islam akan menawarkan kepada para pemerintah supaya mereka beriman dan menjadikan kerajaannya Daulah Islam. Jika tawaran ini ditolak, pemerintah akan diminta untuk mengizinkan gerakan dakwah ke atas rakyat supaya mereka dapat menerima Islam. Penolakan atau halangan ke atas dakwah ini akan menyebabkan para pendakwah, Mujahid dan umat Islam terpaksa memilih jalan perang.

Dr Burhanuddin al-Helmy dalam kajian kedoktoran falsafahnya yang menganalisis proses dakwah para ulamak di Nusantara telah menjelaskan bahawa Islam berkembang di Nusantara tanpa sebarang pertumpahan darah. Pendekatan dakwah yang digunakan di Nusantara telah membolehkan seluruh Alam Melayu menerima Islam secara damai, sekali gus menukar Nusantara dari sebuah rantau Hindu-Buddha menjadi Wilayah Islam terbesar. Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat mengakui pendekatan dakwah yang paling berkesan dalam meng-Islamkan Nusantara ialah tindakan para ulamak meng-Islamkan Raja-raja Melayu, kerana orang Melayu kuat berpegang dengan konsep kesetiaan kepada Raja. Islamnya seorang Raja Melayu, menyebabkan seluruh rakyat jelata mengikuti agama Raja mereka. Berdasarkan catatan-catatan hikayat dan kronik Melayu, ternyata para ulamak telah mendatangi Raja-raja Melayu dalam pelbagai maksud, tetapi membawa matlamat meng-Islamkan Raja-raja tersebut.

Peng-Islaman Raja-raja: Strategi dakwah Nusantara

Seorang Orientalis Portugis terkenal, Tome Pires yang mengkaji peng-Islaman Nusantara mengatakan peralihan kuasa politik kepada Islam di Nusantara berlaku dalam dua bentuk. Pertama, Raja-raja dan bangsawan Melayu memeluk Islam dan kekal berkuasa dengan ulamak, pendakwah dan pedagang Islam mendapat kedududukan istimewa; dan kedua, orang asing yang beragama Islam membuat penempatan dan kubu pertahanan yang akhirnya dapat menguasai kerajaan. Abdul Qadir Djaelani mengatakan pendekatan yang pertama itulah cara terawal dan paling berkesan yang digunakan oleh para ullamak dalam meng-Islamkan Nusantara, seperti mana yang berlaku terhadap Kota Tuban di Jawa Timur. Gerakan para ulamak, pendakwah dan pedagang Islam dalam meng-Islamkan Raja-raja Melayu boleh dilihat dalam beberapa bentuk, antaranya:

●     Misi dakwah

Kerajaan-kerajaan Islam yang wujud lebih awal di Tanah Arab dan India dicatatkan telah mengirimkan para ulamak untuk menggerakkan misi dakwah ke Nusantara. Hal ini dikatakan berlaku sejak zaman Rasulullah S.A.W. Pengutusan Sheikh Rukunuddin ke Sumatera pada 628M adalah contoh yang terawal, sebelum Syarif Makkah mengutuskan Sheikh Ismail, Faqir Muhammad dan Sheikh Abdullah Arif ke Samudera Pasai, pengutusan Syed Abdul Aziz dari Jeddah untuk meng-Islamkan Melaka dan Sulu serta pengiriman Syed Hussein Jamadil Kubra dan Syed Thanauddin ke Kelantan dan Champa oleh Sultan Mohamad Tugluq, India. Di kalangan Kesultanan Melayu sendiri turut mengirimkan misi dakwah sesama mereka sebagai mana Kesultanan Gowa dan Tallo di Sulawesi meng-Islamkan Raja Bima di Nusa Tenggara.

●     Perdagangan

Disebabkan kedudukan Nusantara sebagai kawasan perdagangan yang penting, dan orang Arab telah lama mempunyai hubungan perdagangan dengan Alam Melayu, para ulamak dan pendakwah datang ke Nusantara melalui misi perdagangan, kemudian meluaskan pengaruh Islam di Nusantara. Padre Gainza, Thomas Arnold, de Graaf dan Pigeaud mengatakan bahawa sejak awal lagi, pengaruh Islam dikembangkan oleh para pedagang di hampir semua tempat di Nusantara. Atas sebab itu juga, bandar-bandar pelabuhan dan kerajaan seperti Melaka, Pasai, Kedah, Sunda Kelapa lebih dahulu di-Islamkan berbanding kawasan pedalaman.

     Perkahwinan

Para ulamak dalam menguasai istana-istana turut menjadi perkahwinan dengan anak-anak Raja sebagai strategi dakwah mereka. Contoh yang baik Syed Hussein Jamadil Kubra yang mengahwini dua puteri Sultan Kelantan dan seorang puteri Champa, lalu menjadikan kedua-dua negeri sebagai Pusat pengembangan Islam. Hal yang sama berlaku di Pasai apabila Sheikh Ali Mohamad mengahwini puteri Meurah Shahrun Nawi serta Syarif Ali yang mengahwini anak saudara Raja Alak Awang Betatar di Brunei.

     Pengubatan

Sesetengah ulamak mempunyai kemahiran tib dan rukyah dalam menyembuhkan penyakit. Dalam kes peng-Islaman Istana Pattani, Raja Pya Tu Nakpa dikatakan mengidap penyakit ganjil dan sembuh setelah diubati oleh Sheikh Safiyuddin (dalam catatan lain menyebut sebagai Sheikh Said) dengan janji untuk memeluk Islam.

     Penghormatan

Golongan ulamak sangat dihormati di mana-mana dalam dunia Islam, lebih-lebih lagi Islam telah menjadi kuasa besar selepas abad kelapan Masehi. Kedudukan ini digunakan oleh para ulamak untuk memberi penghormatan kepada Raja-raja Melayu sehingga Raja merasa sangat terhormat lalu memeluk Islam. Di Kalimantan, Islamnya Kerajaan Sukadana kerana seorang ulamak, Sheikh Syamsuddin dari Makkah telah menghadiahkan sebuah al-Quran dan sebentuk cincin dari Yaman sebagai penghormatan kepada Rajanya.

     Tulah derhaka ulamak

Salah satu kepercayaan Hindu dalam masyarakat Melayu adalah adanya "tulah" (bala) apabila menderhakai Raja. Konsep ini telah mempengaruhi mereka dalam menghadapi para ulamak yang mempunyai karamah. Mereka tidak menderhakai anak-cucu Rasulullah S.A.W yang bergelar Syed dan Syarif lalu menyebabkan pulau-pulau Maluku iaitu Tidore, Bachan, Ternate dan Jailolo mengangkat keturunan Syed Jaafar as-Sadiq menjadi Raja kerajaan-kerajaan mereka. Di Nusa Tenggara, Kerajaan Hindu Tambora dikatakan mempermainkan seorang pendakwah berbangsa Syed dengan memberinya makan babi, lalu Gunung Tembora meletus pada 1815M dan memusnahkan tiga Kerajaan Hindu iaitu Tambora, Sanggar dan Pekat, dan selepas itu mereka dikuasai oleh Kerajaan Islam Bima.

Gerakan ulamak di Istana-istana Nusantara

Sebagaimana yang dijelaskan oleh para Sarjana, bahawa kejayaan gerakan ulamak meng-Islamkan Raja-raja telah membolehkan Islam berkembang dengan aman dan cepat di Nusantara. Gerakan dakwah dan penyebaran Islam berpusat di istana telah mendorong orang Melayu menerima Islam tanpa sebarang tentangan. Hal ini dapat dilihat dalam beberapa aspek, contohnya:

     Ulamak menjadi Raja

Pelantikan para ulamak seperti Tengku Mohammad sebagai Sultan Perlak, Sultan Syarif Ali sebagai Sultan Brunei, Syarif Kebungsuwan sebagai Sultan Mindanao, anak-cucu Syed Jaafar as-Sadiq sebagai Sultan-sultan di Tidore, Bachan, Ternate dan Jailolo serta Sunan Fatahillah sebagai Sultan Demak, adalah contoh pembentukan Daulah Islam dengan para ulamak menjadi Raja dan Sultan.

     Ulamak menjadi penasihat Raja

Sebahagian besar ulamak telah berperanan sebagai penasihat istana sehingga beberapa perkara seperti penyebaran dakwah, pengajian ilmu Islam, pelaksanaan pentadbiran Islam dan penguatkuasan Syariat dapat dibuat sehingga Daulah yang dibina berdiri kukuh. Sebagaimana peranan Syed Hussein Jamadil Kubra di Kelantan, Sunan Giri dan Sunan Gunung Jati di Demak, Sheikh Mansor di Tidore dan Sheikh Nuruddin ar-Raniry di Aceh, begitulah berperanan mempengaruhi Raja terhadap pemupukan kehidupan beragama.

     Mewujudkan institusi dakwah dan pendidikan di bawah tajaan istana

Perkembangan Islam yang pesat di Asia Tenggara sangat berkait dengan peranan institusi dakwah yang diwujudkan oleh para ulamak. Pada peringkat awal, ditubuhkan Institusi Pendidikan Agama. Ketika kebanyakan negeri menjadikan anjung-anjung istana sebagai tempat belajar agama, di Perlak pada pertengahan 864M, telah ditubuhkan Dayah Bukit Ce Breek sebagai institusi pondok yang pertama di Nusantara, sebelum ditubuhkan Dayah Cot Kala pada 888M yang melahirkan begitu ramai ulamak. Di Jawa, Maulana Malik Ibrahim telah mengasaskan Wali Songo, iaitu perkumpulan ulamak Jawa yang berpengaruh dalam dakwah dan politik.

     Pentadbiran Islam

Salah satu pembaharuan yang dilakukan oleh para ulamak dalam menjadi Alam Melayu sebagai Daulah Islam ialah pemerkasaan pentadbiran agama. Mereka mewujud Mahkamah Syariah, undang-undang berasaskan agama, menginstitusikan jawatan Mufti dan Qadhi, menubuhkan Baitul Mal dan mendirikan Pusat Pendidikan Tinggi Islam. Ulamak yang tradisinya menguasai Institusi Sheikhul Islam, Qadhi dan Mufti telah meluaskan pengaruh mereka dengan menjadi Wazir, Bendahara, Perdana Menteri, Sri Maharaja dan seumpamanya, yang merupakan pentadbir utama kerajaan. Di Kelantan, Syed Nurul Alam yang terkenal dengan gelaran Sultan Qanbul adalah Patih Gajah Mada yang sangat berpengaruh, seperti mana Sheikh Nuruddin berpengaruh di Aceh dan Sheikh Fakih Ali berpengaruh di Pattani.

     Pelaksanaan Syariat

Pelaksanaan Syariat adalah antara sumbangan terbesar para ulamak di Nusantara. Kerajaan-kerajaan Melayu yang baru menerima Islam telah melaksanakan Syariat dan dibuktikan oleh catatan Batu Bersurat Terengganu bertarikh 1303M, juga catatan Marco Polo yang datang ke Pasai pada 1292M dan lawatan Ibnu Batutah ke Pase pada 1345M. Kebanyakkan undang-undang yang dilaksanakan adalah berdasarkan Syariat, termasuk yang terawal dalam catatan China mengenai hukuman potong kaki kerana merompak dalam Kerajaan Ho-ling (dikatakan di Jawa) sejak 674M.

Kerajaan-kerajaan yang di-Islamkan

Pada peringkat yang pertama (650-1000M), proses peng-Islaman Kerajaan-kerajaan Melayu masih belum berkesan. Walaupun penempatan orang Islam telah wujud selepas 650M, namun usaha menubuhkah Daulah Islam belum berjaya. Berdasarkan catatan China, pada 674-675, sebuah kerajaan bernama "Ho-ling" telah melaksanakan Syariat di Jawa (Cho'po), yang disebut oleh Hamka sebagai Kalingga pada zaman Ratu Simo. Ia berlaku lebih awal daripada Raja Sriwijaya, Sri Indrawarman memeluk Islam pada 718. Namun, berdirinya Kesultanan Perlak pada 840M masih dianggap Daulah Islam yang terawal di Nusantara, di samping catatan China mengenai pengiriman dua duta Brunei berbangsa Arab ke China bersama dengan Rajanya, Abu Ali (P'u Ya-li) pada 977M.

Di sebalik data-data kabur pada peringkat pertama, dalam peringkat kedua (1001-1500M), telah muncul Kerajaan-kerajaan Islam yang baru di Nusantara bermula dengan Tidore (1081M), Leran, Jawa (1101M), Kedah (1136M), Kelantan (1181M) dan peng-Islam Prabu Munding Sari, Raja Padjajaran pada 1195M. Setelah itu muncul Kerajaan Daya di Aceh (1205M), Ternate (1257M) dan Samudera Pasai (1275), selain peng-Islaman Jawaka (1253) dan Champa (1364). Semenjak Islamnya Melaka pada 1414M, muncul pula Kerajaan Ceribon (1445M) di Jawa, Pattani (1457M), Demak (1478M) dan Aceh (1496M). Pembentukan Kerajaan-kerajaan Islam telah membawa kepada Islamnya orang-orang Melayu selepas itu.

MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS
7 Syawal 1439 / 21 Jun 2018 - HARAKAHDAILY 21/6/2018

MUKADDIMAH

Antara hasrat besar rakyat Malaysia menjatuhkan Kerajaan BN dalam PRU14 adalah untuk melihat kewangan dan ekonomi negara yang lebih stabil, diuruskan dengan berhemah dan profesional. Dasar-dasar kewangan dan ekonomi negara juga diharap tidak akan disalahgunakan oleh golongan politik berkelas atasan bagi mendapat laba politik untuk parti pemerintah semata-mata, atau untuk peribadi mereka sahaja.

Lantaran itu isu salah urus dalam 1MDB, derma RM 2.6 billion, GST, kejatuhan Ringgit, kehilangan keyakinan pelabur di Bursa Saham, detail kontrak kereta api dengan Kerajaan China yang meragukan, kenaikan harga minyak dan barang keperluan menjadi isu-isu serius yang dibincangkan oleh rakyat Malaysia sebelum PRU.

Harapan rakyat, tanpa BN isu-isu ini akan segera diambil perhatian oleh kerajaan baru dan ekonomi negara akan dipulihkan dengan jayanya. Justeru, mengelakkan bencana negara kehilangan daya saing, atau lebih teruk negara 'muflis' jika terus kekal di bawah BN.

Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan

Langkah awal Kerajaan PH untuk memulihkan persepsi buruk pengurusan ekonomi negara ialah dengan mengumumkan Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan.

Namun pelantikan LGE sebagai Menteri Kewangan yang baru ini telah mengundang persepsi berbeza daripada pelbagai lapisan masyarakat.

PH menganggap beliau calon paling sesuai kerana latar belakang beliau sebagai 'akauntan' dan 'tulang belakang' kepada pengurusan kewangan yang baik di Pulau Pinang.

Pandangan pengkritik

Namun ada juga yang mempersoalkan mengenai kewajaran Menteri Kewangan daripada bukan Melayu yang dibimbangi kurang cenderung untuk mengambil perhatian isu-isu kewangan yang menghimpit Bangsa Melayu dan Bumiputera yang merupakan majoriti rakyat Malaysia. Isu-isu ini adalah isu sebenar orang Melayu yang gagal ditangani oleh Umno, disebabkan dasar Umnoputra dan Ali Baba mendahului kepentingan orang Melayu dan Bumiputera.

Dan ramai juga yang mempersoalkan mengenai pertuduhan kes ke atas beliau yang sedang dibicarakan. Harapan rakyat, Kerajaan PH akan melantik Menteri Kewangan "yang bukan sahaja bersih dan berkemampuan, tetapi dia juga mestilah dilihat bersih." Slogan yang sering digunapakai oleh pimpinan PH sebelum berkuasa.

Lebih memilukan, Hakim yang mendengar kes LGE, Datuk Hadhariah Syed Ismail semasa mengulas permohonan Peguam LGE bagi menangguhkan perbicaraan beliau sehinggalah Peguam Negara baru yang akan dilantik memulakan tugasnya, dilaporkan berkata, "Ini adalah pertuduhan jenayah di mana tertuduh perlu hadir ke Mahkamah. Namun hari ini, salah seorang tertuduh mengangkat sumpah sebagai Menteri".

Ini memberikan isyarat yang tidak baik kepada tadbir urus negara. Iaitu PH sebagai pihak eksekutif bebas untuk campur tangan dalam urusan pihak Kehakiman, saling tak tumpah seperti era BN.

1MDB: Menteri Kewangan sebagai pendakwa, hakim dan pengkritik utama Najib 

Sejurus selepas mengangkat sumpah sebagai Menteri Kewangan, LGE memanggil Pegawai-pegawai Utama 1MDB pada 23 Mei untuk mendapatkan penjelasan mengenai kes tersebut di atas kapasiti sebagai Menteri Kewangan. Ini adalah baik.

Malangnya, beliau seterusnya membuat sidang media dan mendedahkan maklumat-maklumat yang lebih mengejutkan mengenai 1MDB. Kesimpulannya, Najib dan Kerajaan BN memang jahat.

Dengan itu, beliau telah berperanan sendirian sebagai pendakwa dan hakim. Di samping mengekalkan kedudukan beliau sebagai pengkritik Nombor Satu 1MDB.

Ini adalah sangat bertentangan dengan falsafah 'natural justice' dalam bidang perundangan. Tertuduh didakwa dan diputuskan salah oleh majikan barunya yang telah lama menampakkan 'permusuhannya'.

Kesan kepada pasaran Saham 

Tindakannya itu dilihat popular di dalam komuniti politik.

Tetapi sangat tidak popular dalam komuniti perniagaan dan pelaburan. Menteri Kewangan baru PH ini dilihat terlalu naif kerana tidak menyedari bahawa kenyataan yang dibuat di atas kedudukan beliau sebagai Menteri Kewangan adalah sangat sensitif kepada sentimen pasaran.

Saham di Bursa Malaysia jatuh. Pelabur dilihat mula menarik keluar pelaburan mereka daripada Bursa Saham dengan nilaian berbillion Ringgit.

Kesilapan 'novice' LGE, turut mendapat 'kritikan mesra' daripada Datuk Kadir Jasin. Pegawai media Kerajaan baru PH.

Hutang RM 1 Trillion

Seterusnya, Menteri Kewangan mengisytiharkan hutang negara hampir mencecah RM 1 trillion. Kata beliau, Menteri Kewangan yang lepas telah memanipulasikan angka kewangan negara yang sebenar dengan teknik 'creative accounting'.

Di mana hutang negara yang sebenar menurut beliau berjumlah RM 1 trillion. Bukannya RM 686.8 billion seperti yang diumumkan oleh kerajaan terdahulu.

Kerajaan BN yang lepas, masih terus menjadi 'budak belasahan'nya pada era PH telah pun membentuk Kerajaan Persekutuan.

Angka inilah yang agaknya telah dimaklumkan kepada Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri. 'Kelat' sekali wajah Tun Mahathir apabila mengisytiharkan hutang negara sebenarnya sebanyak RM 1 trillion dalam satu sidang medianya. Sedih dan terlalu di luar jangkaan Perdana Menteri.

Rupanya, hutang negara yang dikira oleh Menteri Kewangan yang baru tidak memakai praktis standard pengiraan hutang negara oleh Bank Negara dan banyak Bank-bank Pusat yang lain. Praktis standard pengiraan hutang negara hanyalah Hutang Rasmi Kerajaan. Kiraan sepatutnya tidak termasuk liabiliti 'Komitmen jaminan hutang oleh kerajaan'.

Akhirnya pada 26 Mei, Kementerian Kewangan membuat siaran media bahawa hutang rasmi negara hanyalah sebanyak RM 686.8 billion, iaitu 50.8 peratus daripada KDNK. Namun 'Komitmen jaminan hutang oleh kerajaan' yang berjumlah RM 199.1 billion turut diambil kira sebagai hutang Kerajaan Persekutuan, menjadikan totalnya sebanyak RM 885.9 billion, iaitu 65.4 peratus daripada KDNK.

Oleh itu kewangan negara berada pada tahap yang mencemaskan!

Rupanya jumlah RM 1 trillion adalah pengiraan secara 'loncong' atau mudah disebut sahaja, bukan nilai sebenar. Jumlah sebenar Hutang Rasmi Negara dicampurkan sekali dengan 'komitmen jaminan hutang oleh kerajaan' pun taklah sampai berjumlah RM 1 trillion.

Sungguh menyayat hati, Menteri Kewangan baru PH bercakap mengenai data kewangan negara seperti penjual borong di Pasar Besar Selayang sahaja.

Inilah 'creative accounting' bentuk baru Menteri Kewangan yang baru menggantikan Datuk Seri Najib.

Pengisytiharan hutang negara yang terlalu tinggi ini, sekali lagi menghakis keyakinan pelabur asing mengenai keupayaan Kerajaan Malaysia menguruskan dan melunaskan hutangnya dengan baik.

Tabung Harapan

Malangnya, Lim Guan Eng tidak mahu menarik balik kesilapannya mengenai fakta hutang negara.

Walaupun beliau mengaku Hutang Rasmi Negara adalah RM 686.8 billion, tetapi beliau tetap mempertahankan kenyataan awalnya dengan menegaskan 'hakikat sebenar' hutang negara adalah RM 1 trillion.

Lebih daripada itu, beliau mengambil langkah politik berbentuk populis iaitu menubuhkan 'Tabung Harapan' untuk mengutip derma daripada rakyat Malaysia yang 'patriotik'. Siapa yang menderma akan diberi tanggapan 'sanggup berkorban untuk negara' dan 'sayangkan negara'.

Bahkan, ada juga Mufti dan Agamawan yang sampai terheret dengan strategi populis ini. Mereka juga mahu menunjukkan semangat patriotik mereka kepada negara dengan menderma kepada Tabung Harapan secara terang-terangan dengan wajah yang tersenyum simpul.

Rakyat yang telah menghadapi pelbagai kesukaran ekonomi pada era Kerajaan BN, sekali lagi diheret untuk sama-sama memikul beban yang sepatutnya boleh diuruskan dengan baik oleh Kerajaan PH.

Sepatutnya Kementerian Kewangan menunjukkan usaha yang lebih serius bagi mendapatkan semula aset-aset dan duit penyelewengan dana 1MDB dan lain-lain, bagi mengurangkan beban hutang negara yang sebenarnya tidak mencecah RM 1 trillion itu.

Itulah hasrat Perdana Menteri di dalam satu sidang media beliau selepas kemenangan PH. Dan ia adalah hasrat sebenar rakyat Malaysia. Rakyat tidak mahu lagi disusahkan.

Malangnya, Menteri Kewangan hanya suka bermain 'creative accounting' dan memanipulasi angka. Suatu yang kita tidak jangka akan berlaku lagi pada zaman pentadbiran PH.

Sekali lagi langkah bersifat populis ini, menghakis keyakinan pelabur tentang keupayaan Kerajaan baru dalam menguruskan pembayaran balik hutang negara. Pelabur melihat kerajaan baru berdepan dengan masalah hutang negara di luar kawalan dan kemampuan kerajaan, sehingga terpaksa merayu belas ihsan rakyat memberikan sumbangan langsung di atas nama 'derma'.

Berbillion Ringgit pelaburan asing terus keluar daripada pasaran Malaysia.

Mendapat modal besar untuk tidak melaksanakan manifesto  

Hutang negara sebanyak 'RM 1 trillion' itu betul-betul diangkat tinggi sebagai sebab utama atau 'excuse' untuk menangguhkan beberapa Manifesto 100 hari PH.

Menguruskan Kementerian Kewangan sepatutnya tidak boleh terlalu mengejar kepentingan politik kepartian. Dasar CAT yang kononnya dipegang oleh Menteri Kewangan yang baru sudah di'capati'kan sejak bulan pertama menjalankan tugas rasmi.

Ungkapan masyhur rentetan daripada itu ialah, "Kita nak buat, tapi BN tinggalkan hutang yang terlalu besar. Berikanlah kami tempoh yang lebih panjang". "Hari ini berkahwin, bukan besok terus dapat anak".

Hasilnya, tol belum lagi dihapuskan. Hanya diberi diskaun 50 peratus selama 2 hari. Minyak RON95 dikekalkan tinggi seperti era BN. Minyak RON97 meningkat melampaui harga pada zaman BN. Pelajar yang berhutang dengan PTPTN dan belum mendapat gaji RM 4000, terpaksa juga terus membayar komitmen bulanan seperti era BN.

Tak apalah, rakyat Malaysia tetap dapat menonton siaran langsung Piala Dunia di RTM dengan belanja RM 30 juta. Tajaan Air Asia dan Maxis, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia.

Kejatuhan Indeks KLCI di Bursa Malaysia

Pada 18 April 2018, Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) mencapai tahap tertingginya mencapai paras 1895.18 mata.

Selepas PRU ke-14, ia semakin menurun.

Kelmarin, 21 Jun 2018, jam 12.30 tengah hari, Indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut di bawah paras kritikal 1,700 apabila kehilangan 18.47 mata kepada 1,691.28.

Ini merupakan paras terendah yang pernah dicatatkan sejak 8 Feb, 2017 apabila FBM KLCI ditutup pada 1,688.50. Kejatuhan lebih 203.9 mata menyusut sejak mencapai paras tertinggi.

BN sudah tiada. Kita harap Menteri Kewangan PH lebih menumpukan tumpuan untuk menjadikan Malaysia Baru lebih mesra pelabur seperti yang dipertegaskan oleh Perdana Menteri sebelum ini.

Bukan masih lagi masih seronok ber'silat pulut' mempromosikan Tabung Harapan semata-mata.

Nilai Ringgit

Selepas 10 Mei 2018, Ringgit berbanding US Dollar ialah 3.9670. Pada 21 Jun, Ringgit semakin lemah, Ringgit berbanding USD ialah pada 4.0120.

Penganalisis Ekonomi di DBS Group meramalkan Ringgit akan menyusut sehingga 4.20 pada akhir tahun ini.

Kelemahan Ringgit ini akan menjejaskan ekonomi negara secara signifikan kerana Malaysia banyak mengimport barang-barang keperluan dalam negara daripada negara-negara luar. Jika berlaku begitu, kenaikan harga barang adalah mungkin lebih teruk daripada era GST.

Rizab Negara menyusut

Dakwaan PH sebelum pilihan raya ke-14, bahawa berada pada paras kritikal menuju muflis akhirnya tersangkal dengan nilai Rizab Negara yang masih kukuh.

Namun yang membimbangkan kita ialah Rizab Antarabangsa Bank Negara mengalami trend 'menyusut' sejak PH mengambil alih Putrajaya.

Pada akhir April, iaitu sebelum PRU ke-14, Rizab Antarabangsa Bank Negara Malaysia berjumlah USD 109. 524 billion.

Pada 31 Mei 2018, iaitu sejurus selepas PH memenangi PRU, ia menyusut kepada USD 108.5 billion. Paras rizab ini memadai untuk membiayai 7.6 bulan import tertangguh dan 1.1 kali hutang luar negeri jangka pendek.

Terbaru, Rizab Antarabangsa Bank Negara Malaysia berjumlah USD 107.9 bilion pada 14 Jun 2018. Paras rizab ini memadai untuk membiayai 7.5 bulan import tertangguh dan 1.0 kali hutang luar negeri jangka pendek.

Kejatuhan nilai pelaburan KWSP

Pada 18 Jun 2018, Pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di dalam 10 Syarikat Tersenarai Awam (PLC) jatuh 12 peratus pada bulan pertama pemerintahan Pakatan Harapan (PH) di Putrajaya, demikian lapor The Edge Markets.

Jumlah kejatuhan nilai ialah RM 6.09 billion. Iaitu kejatuhan kepada RM 45.12 billion daripada RM 51.21 billion di dalam nilai pelaburan.

10 Syarikat Tersenarai Awam itu ialah yang Cahya Mata Sarawak Bhd (CMS), Malaysian Resources Corp Bhd (MRCB), IJM Corp Bhd, Gamuda Bhd, Telekom Malaysia Bhd (TM), Axiata Group Bhd, Tenaga Nasional Bhd (TNB), CIMB Group Holdings Bhd, Malayan Banking Bhd (Maybank) dan Genting Plantations Bhd.

RM 6.09 billion hilang tak sampai sebulan selepas pertukaran kerajaan. Sedangkan Tabung Harapan baru saja mencecah RM 74, 695, 510.12 pada 17 Jun baru-baru ini.

Kesimpulan 

Kerajaan PH dilihat bergelut menguruskan ekonomi negara sekalipun dibarisi oleh individu-individu yang dilihat sangat berkemampuan menguruskan ekonomi negara.

Mungkin kita perlukan Menteri Kewangan yang baru.

Imej LGE dalam sebulan ini lebih dilihat sebagai penyiasat yang cekap dan tegas di Kementerian Kewangan. Bertugas untuk membongkar penyelewengan Kerajaan BN 'at all cost'. Bukan sebagai Menteri Kewangan.

Imej LGE itu sangat tidak mesra pelabur. Setiap kali LGE muncul di media, pelabur dan komuniti perniagaan gusar dan bimbang dan ketidak-tentuan yang mungkin dicetuskannya.

Mungkin Tun Mahathir sendiri boleh mengambil alih. Atau seorang daripada Majlis Penasihat Kerajaan dilantik sebagai Senator. Atau mungkin bertukar portfolio dengan Dato' Seri Azmin.

Kerajaan PH perlukan Menteri Kewangan yang lebih cekap untuk menjayakan Malaysia Baru yang diharapkan oleh semua rakyat Malaysia. Ini adalah misi yang mesti diutamakan oleh Kerajaan PH.

Kuota parti komponen PH dalam Jemaah Menteri tidak sepatutnya sampai menggadaikan masa depan ekonomi negara yang lebih stabil dan mampu bersaing. 

ZAKARIA ISMAIL
AJK PAS Kawasan Marang
22 Jun 2018 - HARAKAHDAILY 22/6/2018

KETIKA dunia di zaman Falsafah Yunani, masyarakat ketika itu sangat mengkagumi Tokoh-tokoh Falsafah yang ada di sekeliling mereka. Nama-nama seperti Socrates, Plato, Aristotle dan ramai lagi, menjadi sebutan dan idola bagi masyarakat setempat, menunjukkan akan kekuatan mereka mempengaruhi khalayak. Sehingga kini falsafah-falsafah mereka masih didengari oleh generasi sekarang. Hidup rakyat ketika itu dikelilingi oleh ahli-ahli falsafah yang mana, jika mereka yang diangap kurang ternama berbanding dengan Tokoh-tokoh itu, hidup pada zaman sekarang, tidak mustahil mereka akan menjadi ahli falsafah terhebat berbanding kita yang ada sekarang ini. Begitulah gambaran kekuatan ilmu falsafah yang mereka miliki berbanding kita kerana faktor sekitar.

Begitu juga ketika zaman Firaun, ahli sihir mendapat kedudukan yang tinggi di sisi Firaun kerana waktu itu ialah waktu ketinggian ilmu sihir yang diamalkan oleh masyarakat setempat. Apabila Firaun mendapat mimpi buruk, ahli sihirlah yang menjadi rujukannya. Ketika Nabi Musa diajak berlawan oleh Firaun, ahli sihir juga yang menjadi pertaruhannya, sehingga menjanjikan kedudukan yang mulia di sisinya. Sehinggakan Musa dikurniakan mukjizat seumpama sihir untuk melawan Firaun. Maka beramai-ramailah rakyat Mesir berusaha untuk menjadi ahli sihir kerana kedudukannya di sisi Firaun.

Suatu ketika, di negara-negara seperti Austria, Jerman dan sekitarnya, lahir begitu ramai ahli muzik seperti Beethoven, Bach, Mozart, Strauss dan lain-lain. Alunan muzik-muzik, kedengaran di sana-sini hasil daripada ciptaan-ciptaan mereka ini. Mereka yang digelar sebagai pintar muzik itu, mengepalai Orkestra bagi hiburan orang ramai di waktu itu. Ada muzik ciptaan mereka yang disiapkan hanya beberapa ketika sebelum persembahan tetapi lagu itu kekal menjadi siulan orang ramai sehingga kini. Begitu hebatnya mereka dan bakat mereka ini dikagumi sehingga kini kerana lahirnya mereka di sekeliling ahli di bidang muzik.

Di Brazil, bola sepak dianggap sebagai agama atau kepercayaan oleh rakyat mereka. Jika pasukan mereka menang, itu biasa kerana mereka hanya tahu bahawa mereka mesti menang. Tetapi jika kalah, maka siaplah pasukan mereka untuk dihina dan dicaci. Tiada tempat bagi kekalahan untuk pasukan Brazil. Pemain-pemain yang lahir dari Brazil bertebaran ke seluruh pelusuk dunia mencari tempat bagi bermain di kelab-kelab ternama. Pemain yang biasa di Brazil, boleh jadi menjadi antara pemain terbaik di negara yang tidak menjadikan bola sepak sebagai sukan utama. Semua ini kerana pengaruh persekitaran.

Di zaman kegemilangan ilmu Islam, Ulamak-ulamak menjadi nadi penting masyarakat. Kebanjiran Ulamak-ulamak ini membuka dimensi baharu ilmu Fiqh dan memberikan pandangan-pandangan baharu tentang hal berkaitan dengannya. Masing-masing berusaha menjadi salah seorang Ulamak yang mengeluarkan Fatwa, mengajak manusia dan membuka jalan ke arah kebaikan kerana mereka memahami akan betapa besarnya pahala yang akan diperolehi jika ilmu yang bermanafaat itu disebarkan. Tidak pelik jika Ulamak biasa pada zaman itu mungkin menjadi orang penting dalam agama di zaman ini. Perlumbaan itu adalah hasil daripada kehendak ketika itu.

Inilah keadaan yang lahir, hasil daripada pengaruh keadaan sekeliling yang dibentuk oleh suatu gelombang yang mengubah pemikiran masyarakat mengikut kepada acuan kehendak sekeliling pada waktu-waktu itu. Sangat janggal jika ada yang tertinggal atau tidak mahu mengikut arus perubahan itu kerana mereka akan dipandang sebagai pelik, menyalahi kebiasaan zaman. Pun begitu, bukan semestinya yang majoriti itu betul dan minoriti itu salah. Ianya adalah tekanan sekeliling kehidupan yang boleh mencorakkan manusia setempat.

Pada waktu ini, Malaysia sedang dilanda pengaruh fitnah yang sangat dahsyat. Apa sahaja yang dikatakan dari sebuah pihak yang menguasai sekarang, dianggap betul walaupun tiada bukti. Apa sahaja yang cuba dinafikan oleh pihak tertuduh, adalah penipuan walaupun ada buktinya. Saya amat takut keadaan ini telah mempengaruhi cara hidup kita. Apa lagi apabila melihat sang agamawan turut galak terlibat dalam membentuk persepsi negatif ini dalam kalangan masyarakat kerana pengaruh mencipta persepsi ini begitu membahang di sekeliling, mereka terpengaruh.

Dengan hanya menunjukkan beberapa keping gambar di FB, ada agamawan sama ada sengaja atau tidak, telah membuka seluas-luasnya pintu fitnah untuk masyarakat turut sama mencipta fitnah. Beberapa keping resit Infaq wajib oleh organisasi parti yang sebenarnya boleh jika beliau mahu memanggil pihak terlibat untuk penjelasan rasmi, bersesuaian dengan kedudukannya, tetapi beliau menyerahkan urusan itu kepada netizen untuk mengadilinya. Sama perangai dengan seorang Menteri Kewangan yang menyebarkan apa yang didakwa sebagai keburukan pemerintahan yang lalu di alam maya, tetapi tiada satu pun tuduhan dibawa ke mahkamah, sebaliknya pasaran saham negara pula yang jatuh.

Agamawan sebegini mungkin tidak diperlukan dalam masyarakat yang inginkan kedamaian. Sebelum ini juga ada agamawan telah secara sinis menyindir Raja di negeri Antah Berantah yang katanya walaupun permaisurinya memakai tudung, tetapi istana yang mereka duduki bernilai lebih berbillion ringgit. Sayang kerana beliau gagal menyentuh tentang kisah Raja di negeri Entah Apa-apa iaitu negeri beliau berkhidmat yang bukan sahaja permaisurinya langsung tidak memakai tudung, malah puteri dan puteri menantunya juga. Itu belum dikira lagi premis judi yang ada yang tidak ditutup. Sangat suka beliau dengan sebaran cerita sensasi keburukan orang lain yang nyata bukan daripada ajaran Rasulullah. Ironinya, apabila orang yang beliau suka membuat onar, mulutnya terkunci atau No Big Deal. Begitu jelas dipengaruhi dengan keadaan sekeliling yang suka membuat persepsi dan fitnah.

Kini kita yang ada, yang sukakan kebenaran, terpaksa menongkah arus melawan segala tohmahan, persepsi dan juga fitnah yang sedang menggila. Kita terpaksa memilih untuk mempengaruhi dan bukannya dipengaruhi keadaan sekeliling ini. Kita, sebenarnya takut dengan hari pertemuan dengan Allah, sedaya upaya menghindari sikap mengfitnah ini dan berkerja keras menepis segala fitnah ini walaupun kita kalah. Jangan kita dipengaruhi oleh mereka. Sebagaimana jawapan Presiden PAS ketika ditanya adakah boleh menggunakan sedikit penipuan bagi membalas kempen fitnah lawan? Dengan tegas beliau menjawab, buatlah apa yang sepatutnya, tetapi jangan sampai haram. Jika boleh apabila makhruh pun, berhentilah.

Itulah Presiden kami dan kami bangga dengan sikapnya yang tegas dengan kehendak Islam. Ibarat ikan di dalam lautan yang tidak menjadi masin dek kerana air laut di sekelilingnya, ada jati diri kita sendiri, kalah menang sebenar adalah di akhirat, bukan di dunia. 

MOHD NASIR ABDULLAH
Al-Khor, Qatar
21 Jun 2018 - HARAKAHDAILY 21/6/2018

PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) amat terkejut, bimbang dan kecewa dengan berita bahawa ramai umat Islam yang sekali lagi mengambil jalan dengan meminjam wang untuk memuaskan “kemahuan” materialistik yang dikaitkan dengan sambutan Aidilfitri.

CAP berulang kali menasihatkan agar tidak bersikap boros dan berbelanja dengan berlebihan ketika bulan Ramadan dan Syawal apabila kita menyambut hari raya Aidilfitri. Mengelakkan daripada berhutang dengan tidak menurut hawa nafsu untuk menunjuk-nunjuk dengan pakaian terbaharu, peranti tercanggih dan sebagainya.

Timbalan Presiden Persatuan Pemberi Pinjam Wang Berlesen Punjabi Malaysia, Amrinderjit Singh menyatakan pada minggu lepas bahawa lebih daripada 7,500 pinjaman diberikan kepada kira-kira 1,500 peminjam wang daripada persatuan. Beliau mendakwa jumlah pinjaman terkumpul ialah RM37.5 juta dan setiap pinjaman minimum RM5,000 dan banyak daripadanya lebih daripada itu.

Pengalaman ketika bulan Ramadan seharusnya antara lain mengajar kita untuk hidup sederhana. Hidup sederhana ialah mampu untuk membezakan antara “kemahuan” dan “keperluan” dan berdisiplin dalam berbelanja mengikut keupayaan kewangan kita.

Tidak diragui bahawa sunnah untuk kita berpakaian cantik dan menikmati hari raya tetapi ia tidak bermakna kita perlu berlebih-lebihan; sepertimana yang dinyatakan dalam Surah Al-An’aam, ayat 141 (bermaksud) “...dan janganlah berlebih-lebihan. Allah tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan.”

Kini perayaan sudah berakhir dan sikap boros itu menyebabkan kita hanya tertanya-tanya bagaimana umat Islam yang meminjam daripada pemberi pinjaman ini akan menyelesaikan pinjaman hari raya dan keluar daripada beban hutang.

Kami menggesa agar orang ramai mengamalkan sikap jimat cermat, bukan hanya pada musim perayaan khususnya sambutan Aidilfitri tetapi pada waktu perayaan lain juga seperti perkahwinan, hari lahir dan sebagainya. Jangan tunggu sehingga anda dibelenggu oleh hutang.

SM MOHAMED IDRIS
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)

More Articles ...