UMUM mengetahui dalam Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu, sekurang-kurangnya 95% kaum Cina mengundi Pakatan Harapan (PH). Mereka akan memilih mana-mana calon yang mewakili PH sama ada calon itu Melayu, Cina, India atau lain-lain. Corak pengundian kaum Cina ini di seluruh negara hampir sama, tidak kira di bandar atau di luar bandar. Begitu juga corak pengundian mereka tidak dibezakan sama ada seseorang itu Buddha, Taoism dan Kristian. Malah yang lebih menarik, diyakini ahli-ahli MCA dan Gerakan turut mengundi PH sekali gus menyebabkan parti yang mereka anggotai kalah teruk. Demikianlah kesatuan kaum Cina untuk mencorakkan politik Malaysia mengikut hasrat yang mereka kehendaki.

Kaum Cina menyedari, komposisi mereka yang tidak sampai 30% tidak memberi apa-apa kesan kepada corak politik Malaysia sekiranya mereka tidak bersatu. Taburan demografi mereka pula tidak sekata, tertumpu di kawasan-kawasan tertentu khususnya di Kawasan bandar dan Pantai Barat Semenanjung. Kerusi-kerusi parlimen yang bermajoriti kaum Cina adalah sekitar 33 kerusi, begitu jauh untuk mereka membentuk kerajaan dengan majoriti mudah. Manakala di kerusi-kerusi marginal yang jumlah kaum mereka agak tinggi juga, sekiranya undi mereka berpecah kepada DAP dan MCA atau Gerakan, berkemungkinan kerusi ini terlepas kepada calon kaum lain. Oleh sebab itu, kesatuan adalah formula yang tidak boleh dielak.

Adalah diyakini, kaum Cina mempunyai mekanisme tersendiri untuk memastikan pada setiap kali PRU, mereka bersatu untuk mengundi mengikut corak tertentu. Dengan mekanisme itu, pengundi-pengundi dari kalangan kaum Cina tahu parti mana yang mereka perlu pilih sama ada DAP atau MCA atau Gerakan. Mereka juga tahu sama ada untuk memilih Barisan Nasional (BN) atau PH atau PAS (Gagasan Sejahtera). Pada PRU10 tahun 1999 dan PRU11 tahun 2004, mereka bersatu mengundi BN. Kemudian pada PRU12 tahun 2008 dan PRU13 tahun 2013, mereka bersatu pula menolak BN dan mengundi pembangkang. Jarang sekali kita dapati, kaum Cina mengundi mengikut corak yang tidak sekata dalam PRU-PRU yang lepas.

Persoalannya, adakah sikap kaum Cina ini boleh dianggap rasis atau perkauman? Jawapannya terpulang kepada masing-masing, boleh jadi ada yang menganggapnya perkauman dan ada yang menganggapnya tidak. Sesetengah pihak menganggapnya rasis kerana mereka hanya mementingkan hasrat yang mereka mahu capai daripada kerajaan yang dipilih bukannya melihat kepada hasrat nasional. Manakala ada pihak yang lain menganggapnya bukan rasis, kerana memang menjadi sikap semulajadi kaum yang minoriti perlu bersatu untuk memastikan kepentingan mereka tetap terjamin. Dengan sebab itu, hampir mustahil kaum Cina akan mengundi calon Melayu di kawasan bermajoriti Cina seperti Bukit Bintang, Seputih dan lain-lain.

Situasi ini begitu berbeza dengan kaum Melayu-Muslim, sebarang seruan ke arah kesatuan akan dianggap rasis atau perkauman. Mana-mana tokoh atau pihak yang menyeru digemblengkan kesatuan umat Melayu akan terus dilabel rasis termasuk oleh segelintir Melayu-Muslim sendiri. Kecuali selepas Tragedi 13 Mei 1969, apabila PAS dan Umno bersama membentuk BN sehingga tahun 1978, seruan ke arah kesatuan umat Melayu dianggap satu yang begitu perlu. Dengan kesatuan tersebut, maka agenda-agenda besar untuk kepentingan kaum Melayu-Muslim dapat dilaksana malah turut membantu mengharmonikan semua kaum. Mungkin hanya ketika situasi ini seruan ke arah kesatuan umat Melayu dilihat tidak rasis.

Di ambang PRU14 yang lalu, secara umumnya melihat bahawa kaum Melayu-Muslim berpecah kepada empat golongan iaitu Umno, PAS, PPBM dan PKR/PAN. Perpecahan itu dari satu sudut dianggap sebagai kelemahan kaum Melayu-Muslim sendiri yang tidak dapat menguruskan perbezaan, tetapi dari satu sudut yang lain mungkin juga strategi pihak-pihak tertentu yang melaksanakan amalan ‘pecah dan perintah’. Berdasarkan keputusan PRU14, secara kasarnya boleh dianggarkan Umno memiliki 42% sokongan kaum Melayu-Muslim, PAS pula memiliki 33%, PPBM memiliki 15% dan PKR/PAN memiliki 10%. Sekiranya sokongan yang dimiliki oleh Umno dan PAS diselaraskan berkemungkinan situasi pasca PRU14 adalah berbeza.

Sebelum PRU14, usaha-usaha awal cuba dilakukan untuk menarik PPBM untuk tidak pergi kepada PH, sebaliknya bersama dengan PAS dan IKATAN dalam Gagasan Sejahtera (GAGASAN). Sekiranya usaha ini berjaya, diyakini GAGASAN dapat mengimbangi kemenangan BN dan sekaligus menyekat kemaraan DAP yang umum mengetahui mendominasikan PH. Dengan jumlah sokongan pengundi Melayu-Muslim yang dimiliki oleh PAS dan PPBM iaitu sekitar 48% (33% + 15%), besar kemungkinan keputusan PRU14 yang dilihat baru-baru ini tidak akan berlaku. Bagaimanapun, usaha-usaha itu gagal sehingga menyebabkan situasi politik tidak menentu berlaku pada ketika ini.

Sekiranya sebelum PRU14 berlaku persefahaman (bukan penggabungan) atau electoral pack antara Umno dan PAS, diyakini situasi politik tidak menentu pada hari ini juga tidak akan berlaku. Persefahaman kedua-dua parti Melayu-Muslim terbesar ini akan mengumpulkan tidak kurang 75% sokongan kaum Melayu-Muslim. Melalui persefahaman ini, Umno dan PAS tidak perlu bergabung malah terus bertanding antara satu sama lain. Apa yang perlu dilakukan, kedua-dua parti mengelakkan bertembung di sejumlah kerusi tertentu untuk mengelakkan PH menang. Sudah pasti persefahaman seperti ini adalah sebuah mimpi ngeri kepada PH justeru mereka terus menyerang usaha ini dengan pelbagai tohmahan.

Memang benar pandangan banyak pihak, kesatuan umat Melayu adalah sesuatu yang cukup mahal untuk dicapai. Kesatuan itu hanya dirindui bila berlaku Peristiwa Penentangan Malayan Union atau insiden yang seumapamanya. Golongan yang cuba memupuk kesatuan umat Melayu akan dituduh dengan pelbagai tohmahan seperti rasis atau perkauman, tiada semangat negara bangsa, berada dalam tempurung, tidak terbuka dan sebagainya. Meskipun, Islam yang menjadi pegangan kaum Melayu-Muslim adalah sangat menekankan kesatuan berteraskan Ukhuwah Islamiyah, prinsip seumpama itu tidak memberi pengaruh melainkan bila kaum Melayu-Muslim memang merasa rindu dengan kesatuan itu.

Suasana Pasca-PRU14 telah memperlihatkan siapa PH sebenarnya. Mereka bukan sahaja tidak menepati janji manifesto mereka kepada rakyat, tetapi sudah mula bertindak seperti anai-anai mahu meruntuhkan tiang-tiang seri pembinaan negara Malaysia. Usaha sudah mula dilakukan untuk meletakkan taraf kedudukan Islam di Malaysia sama dengan agama-agama lain. Desakan juga telah dicetuskan untuk mengganggu-gugat Institusi Raja. Kedudukan Bahasa Melayu pula sudah semakin diperkecilkan dalam urusan rasmi dan dasar pendidikan. Hak istimewa bumiputera semakin dicemburui apabila timbul suara-suara sumbang mempersoalkannya. Adakah perkembangan-perkembangan ini menggamit rindu kaum Melayu-Muslim bersatu?

Ketika persoalan ini berlegar, berlaku Pilihanraya Kecil (PRK) Sungai Kandis. DUN ini mempunyai hampir 73% pengundi Melayu-Muslim, iaitu ini komposisi yang signifikan untuk melihat adakah situasi menggamit rindu ini sudah berlaku? Dalam konteks PRK ini, ‘persefahaman’ dilihat sudah berlaku, iaitu apabila PAS tidak bertanding. Tindakan seperti ini berkemungkinan dapat mengelakkan pengundi Melayu-Muslim agar tidak lagi menjadi mangsa amalan ‘pecah dan perintah’. Sekarang terpulang kepada pengundi-pengundi Melayu-Muslim di Sungai Kandis. Merekalah yang yang sewajarnya menjawab soalan ini, jika pengundi Cina boleh bersatu, mengapa pengundi Melayu tidak boleh? - HARAKAHDAILY 24/7/2018

Penulis ialah Pengarah Pusat Penyelidikan PAS.

JAWAPAN balas Kementerian Pengangkutan mengenai soalan jawab lisan Parlimen yang membangkitkan isu pembangunan sebuah pelabuhan di Tumpat bukan seperti yang diharapkan. Dalam jawapan bertulis bertarikh 19 Julai yang lalu, kerajaan menyatakan bahawa tidak ada keperluan untuk membangunkan sebuah pelabuhan di sana selepas melaksanakan kajian dengan beberapa pihak.

Suka untuk saya jelaskan bahawa janji untuk membangunkan sebuah pelabuhan di Tumpat ini bukan baharu, malah telah berlaku sejak 1969. Malah, pihak Kementerian sendiri telah meluluskan lesen dan kelulusan pembinaan pelabuhan tersebut sejak 1995, namun sehingga kini projek tersebut masih terabai.

Sepatutnya Kerajaan mengkaji kelemahan yang berlaku yang menyebabkan projek tersebut terbengkalai, bukannya mengundur ke belakang untuk menentukan sama ada ia relevan untuk membina sebuah pelabuhan atau tidak. Pendirian yang dikemukakan pihak Kementerian untuk tidak membangunkan pelabuhan di Tumpat sewajarnya diperhalusi semula.

Saya akan cuba sedaya upaya membawa suara rakyat Tumpat supaya pembangunan pelabuhan ini dapat direalisasikan bersama demi kemudahan rakyat di sana.

Sekian.

"Sejahtera Bersama Islam"

YB DATO' HAJI CHE ABDULLAH MAT NAWI,
Ahli Parlimen Tumpat.
24 Julai 2018 bersamaan 11 Zulkaedah 1439H. - HARAKAHDAILY 24/7/2018

PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) amat terkejut apabila Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan mendapatkan pinjaman daripada Kerajaan Persekutuan untuk memulakan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) bagi membiayai projek Pan Island Link (PIL) dan Transit Aliran Ringan (LRT).

Sebelum ini, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dan yang terdahulu yang kini menjadi Menteri Kewangan telah memberi jaminan bahawa projek itu tidak akan melibatkan sebarang dana awam.

Kini cerita yang berbeza diberitahu dan jika pinjaman itu diluluskan, ia mungkin meletakkan risiko situasi kewangan Pulau Pinang. Terdapat risiko ekonomi dan alam sekitar yang besar berkaitan dengan PTMP dan adalah diragui bahawa sesetengah projek utama dikaitkan dengan rancangan itu boleh menjana hasil untuk membayarnya sendiri.

Tambahan lagi, bagaimana jika kemudiannya didapati RM1 bilion itu tidak mencukupi dan kerajaan negeri terpaksa meminjam dengan lebih banyak? Ini hanya akan menambahkan lagi beban berat terhadap kerajaan negeri dan rakyat Pulau Pinang.

Kami diberitahu oleh Kerajaan Persekutuan, termasuk Menteri Kewangan Lim Guan Eng bahawa Malaysia tidak mampu untuk mempunyai projek mega disebabkan hutang negara yang berjumlah trilion ringgit.

Kenapa pengecualian dibuat bagi PTMP? Anggaran kos projek itu ialah lebih RM40 bilion.

Dana daripada Kerajaan Persekutuan diperlukan untuk Pulau Pinang. Tetapi dana ini diperlukan untuk perbelanjaan penting termasuk pemulihan beratus cerun dan kawasan bukit yang terjejas oleh tanah runtuh dan menambah baik keadaan sungai serta mewujudkan ruang hijau dan permukaan yang telap untuk menyerap air hujan. Dana juga diperlukan untuk pemulihan dan pemuliharaan kawasan pantai seperti pantai dan hutan bakau, projek tebatan banjir dan memperbaiki keadaan kehidupan golongan yang mudah terjejas dan komuniti miskin.

Ini semua adalah perkara utama yang memerlukan pembiayaan jika Pulau Pinang mahu pulih daripada kerosakan yang disebabkan oleh ribut, angin kencang, hujan lebat dan banjir dan untuk mencegah atau mengurangkan masalah ini pada masa depan.

Kerajaan Pulau Pinang perlu memohon untuk membiayai dengan segera pelan dan strategi lengkap bagi mengelakkan banjir dan bencana alam sekitar lain pada masa depan.

PTMP, terutama sekali dengan penarahan bukit dan tebus guna tanah secara besar-besaran daripada laut akan menambahkan lagi masalah alam sekitar ini daripada menyelesaikannya.

CAP sekali lagi mengulangi gesaan supaya dilakukan semakan semula secara lebih komprehensif seluruh PTMP.

Penilaian Kesan Alam Sekeliling bagi PIL yang dikeluarkan baru-baru ini menunjukkan banyak kemudahan awam termasuk Taman Belia, sekolah, kuil, dan kawasan sensitif seperti Bukit Bendera akan terjejas dengan lebih serius. Ramai komuniti kini sedar kepada hakikat bahawa PTMP memberikan kesan bencana terhadap cara hidup dan alam sekitar di Pulau Pinang.

PTMP ini perlu digantung sehingga semakan semula secara komprehensif dilakukan dan komuniti yang akan terjejas dengan serius di Pulau Pinang dapat memahami kesan Pan Island Link (PIL) dan mampu untuk memberikan maklum balas.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak seharusnya meminta pinjaman RM1 bilion untuk mempercepatkan pelaksanaan PTMP dan Kerajaan Persekutuan seharusnya tidak menyediakan pinjaman itu.

SM Mohamed Idris
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang – HARAKAHDAILY 23/7/2018

SAYA ingin mengucapkan jutaan terima kasih walaupun makluman singkat tetapi berpeluang untuk mengadakan pertemuan tidak rasmi pada hari ini, Isnin 23 Julai 2018 bersama Ketua Menteri Sarawak, YAB Datuk Patinggi Dr Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg.

Perbincangan saya bersama beliau lebih memfokuskan isu royalti minyak yang hangat diperbincangkan sekarang. Pertemuan ini turut dihadiri oleh Menteri Muda dari Sarawak YB Hajah Sharifah Hasidah dan pegawai kanan Kerajaan Sarawak.

Secara khususnya kami bersetuju dan komited untuk memastikan yang terbaik bagi Negeri Terengganu dan Sarawak serta negeri pengeluar minyak dan gas yang lain.

Pembayaran royalti adalah perlu mengikut perjanjian yang dimeterai, dan kami juga sepakat bahawa ianya adalah royalti dari pengeluaran minyak dan gas, dan bukannya dari keuntungan bersih.

DR AHMAD SAMSURI MOKHTAR 
Menteri Besar Terengganu
23 Julai 2018 - HARAKAHDAILY 23/7/2018

HARI ini dalam soalan tambahan saya kepada Menteri Tenaga Manusia berkenaan dasar pengambilan pekerja tempatan saya telah menyoal secara spesifik mengenai projek mega ECRL yang telah diumumkan oleh Menteri Kewangan akan diteruskan.

Saya seperti dalam ceramah saya sebelum pilihan raya lagi sudah pun berpandangan bahawa projek rel ini perlu untuk meransang pembangunan Pantai Timur yang masih ketinggalan jauh taraf infrastruktur asas jaringan pengangkutan berbanding Pantai Barat. Yang kita persoal adalah mengenai kos projek yang akan akhirnya ditanggung rakyat, peluang pekerjaan dan peluang penglibatan dalam perbekalan dan perkhidmatan dalam projek ini.

Saya tidak seperti Rafizi Ramli yang pernah mengumumkan projek rel keretapi di Pantai Timur sebagai membazir atas alasan tidak 'viable'.

Dalam ruang soalan saya, saya telah bertanya dasar kerajaan dalam memastikan rakyat tempatan mendapat bahagian yang besar dalam peluang pekerjaan.

Saya turut meminta supaya kerajaan mempertimbangkan penglibatan industri tempatan dalam perbekalan dan perkhidmatan.

Secara khususnya ini peluang terbaik untuk melibatkan industri besi tempatan seperti Perwaja dilibatkan sama dalam projek ECRL, mungkin melalui pemindahan teknologi. Ini sudah tentu membuka peluang pekerjaan yang besar kepada rakyat. Saya difahamkan projek rel melibatkan kuantiti besi yang besar.

Cukup-cukuplah amalan lalu mengeksport bijih besi mentah ke China di Terengganu seperti amalan Kerajaan BN Terengganu yang lalu.

Untuk skala projek bernilai RM81 billion seperti diumum oleh Menteri Kewangan, tidakkah sudah memadai merundingkan pemindahan teknologi? Menghidupkan kembali industri besi yang sudah sedia ada kemudahannya.

Isu peratus kandungan tempatan 'local content' perlu dipertegaskan dalam projek ECRL. Seperti juga peratus penglibatan pekerja tempatan dalam pelbagai sektor berkait projek ini.

Saya berterima kasih atas penjelasan Menteri bahawa kerajaan akan merundingkan kembali terma perjanjian ECRL ini yang akan memasukkan elemen jaminan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan dan peratus kandungan tempatan dalam perbekalan bahan.

HAJI AHMAD AMZAD HASHIM
Ahli Parlimen Kuala Terengganu
24 Julai 2018 - HARAKAHDAILY 24/7/2018

POLEMIK tidak harus sama sekali ditimbulkan terhadap janji untuk mengembalikan semula royalti petroleum kepada negeri-negeri pengeluarnya. Menunai janji dan memberikan hak wajib dilaksanakan dengan penuh keikhlasan tanpa sebarang dolak-dalih lagi.

Akhlak Islam mengajar setiap pemberian dilakukan tanpa kepentingan bahkan dilarang menyakiti perasaan penerima sekalipun. Apatah lagi memulangkan hak yang telah dinafikan sekian lama. Malah menjadi janji yang dihebahkan serta menggaris di dalam manifesto.

Kelantan dan Terengganu sebagaimana negeri sepertinya turut punyai keperluan dalam pembangunan negeri serta rakyatnya. Ia tidak harus menuntut atau perlu menagih daripada Kerajaan Persekutuan. Jauh sekali disimpangsiurkan pemberian atas nama lain.

Hal tersebut terang nyata dan telah termeterai dalam Akta Pelantar Benua 1966, Akta Perlombongan Petroliam 1966, Akta Kemajuan Petroliam 1966 dan Ordinan Darurat 1969. Ia janji yang muktamad antara pihak Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Petronas.

PH sendiri yang kini menerajui Kerajaan Persekutuan menyatakan pada halaman 28 Buku Harapan untuk meningkatkan royalti kepada 20 peratus. Selain mengakui ia akan membolehkan negeri berkenaan mengambil alih lebih banyak tanggungjawab perbelanjaan pembangunan negeri.

Secara tiba-tiba mengemuka huraian berbeza terhadap cara pengiraan royalti tersebut. Hal ini menimbulkan kemusykilan sama ada benar Kerajaan PH mahu menunaikan janji. Setelah pula beberapa janji sebelum ini juga dihadapkan dengan pelbagai alasan.

Kami mengingatkan, sekalipun mahu memutarbelitkannya, hak asal 5 peratus sebagaimana termaktub dalam perundangan serta perjanjian termeterai, wajib dilunaskan sekurang-kurangnya. Kerajaan tidak harus bersilap mata mahupun dilihat berbohong.

Walhal, dalam kedudukan yang ada, Kerajaan Persekutuan hanyalah selaku Pemegang Amanah dan al-Quran mengingatkan:

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan apabila menetapkan hukum di antara manusia dengan adil."

(an-Nisa’: 58)

Sehubungan itu, kami berharap atas semangat Federalisma, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dapat menutup episod lama isu ini dengan lembaran Malaysia Baharu untuk mensejahterakan rakyat dan negara menerusi penunaian hak dan janji.

"Sejahtera Bersama Islam"
"Mara Menuju Cita"

IR HJ KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Timbalan Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia - HARAKAHDAILY 23/7/2018

ORIENTALISME dan Emperialisme berjalan seiringan melaksanakan misi 'Uduwaniyah (permusuhan) mereka terhadap agama, negara dan umat Islam. Sekiranya Emperialis memerangi negara dan umat Islam di pelosok dunia. Maka, Orientalis pula ditugaskan memerangi fikrah dan pegangan sesebuah bangsa sesuatu tempat. Mereka saling bekerjasama untuk menghapuskan agama dan umat Islam seluruhnya.

Bagai aur dengan tebing

Emperialis memerlukan idea dan spiritual sebagai pemangkin kepada usaha mereka untuk menakluki bangsa dan negara yang mempunyai 'Hadhoroh' (tamadun) tersendiri. Usaha ini tidak akan berjaya sekiranya mereka tidak dibantu oleh para agent yang mahir dengan sosio budaya sesuatu tempat yang ditakluki.

Di sini memerlukan khidmat Orientalis bagi mendapatkan gambaran sebenar sesuatu tempat sebelum mereka memasuki sesuatu kawasan.

Matlamat Orientalisme

●     Membina batu pemisah antara Islam dan Barat dari segi thaqofah dan imej:

يَا أَهْلَ الْكِتَابِ لِمَ تَلْبِسُونَ الْحَقَّ بِالْبَاطِلِ وَتَكْتُمُونَ الْحَقَّ وَأَنْتُمْ تَعْلَمُونَ

"Wahai Ahli Kitab! Mengapa kamu campur adukkan yang benar dengan yang salah, dan kamu pula menyembunyikan kebenaran padahal kamu mengetahuinya?"

(ali-'Imran: 71)

     Menimbulkan keraguan di kalangan intelektual dalam Negara Islam. Seperti mengatakan, bahawa agama Islam menentang kemajuan dan menganjurkan keganasan:

وَأَنِ احْكُمْ بَيْنَهُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ وَاحْذَرْهُمْ أَنْ يَفْتِنُوكَ عَنْ بَعْضِ مَا أَنْزَلَ اللَّهُ إِلَيْكَ ۖ فَإِنْ تَوَلَّوْا فَاعْلَمْ أَنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ أَنْ يُصِيبَهُمْ بِبَعْضِ ذُنُوبِهِمْ ۗ وَإِنَّ كَثِيرًا مِنَ النَّاسِ لَفَاسِقُونَ

"Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik."

(al-Ma'idah: 49)

     Menjauhkan umat Islam daripada Aqidah dan Syariah Islam. Dengan mengatakan, al-Quran adalah hasil karangan Nabi Muhammad dan Tamadun Islam dicedok daripada Tamadun Rom.

     Melemahkan tali persaudaraan umat Islam. Seorang Orientalis, Hanoto pernah berkata:

"Kita mesti merenggangkan ikatan umat Islam yang menghubungkan mereka di Barat dan Timur yang menjadikan mereka umat yang satu, iaitu ikatan keagamaan."

     Untuk menguasai ekonomi dan politik umat Islam.

Tali barut musuh Islam

Majoriti orang-orang yang mendukung pembelajaran Orientalisme bermatlamat untuk merosakkan Islam dan mendustakan kebenaran yang ada pada agama Islam secara senyap. Menjadi tali barut musuh adalah portfolio mereka.

Peristiwa yang berlaku dalam negara sepatutnya membuka mata manusia yang beriman. Melihat bagaimana mereka secara mudah dan perlahan memasuki negara umat Islam.

Celakalah kita kalau mudah terpedaya dan terperangkap dengan dakyah musuh-musuh Islam.

Bukalah mata wahai umat!

AINNUR UKHTA UWAIS
23 Julai 2018 - HARAKAHDAILY 23/7/2018

IMG 20180723 WA0010

More Articles ...