16
Tue, Jul
37 Artikel Baru

RIUH rendah seketika suasana politik tanah air ekoran kunjungan hormat YB Dato’ Seri Tuan Guru Presiden PAS ke pejabat YAB Tun Mahathir baru-baru ini.

Budaya politik matang dan sejahtera yang digagaskan oleh PAS meletakkan PAS dalam gerakan politik yang lebih terbuka dan dinamik.

Konsistensi PAS dalam memperjuangkan Islam telah mempertajamkan rencana semasa perjuangannya dalam menghadapi 1001 kemungkinan di pentas politik tanah air.

Pada 12 FebruarI yang lalu, kita dikejutkan dengan kenyataan berani dan terbuka YAB Tun Mahathir dengan penegasan bahawa beliau akan tukar parti lain jika ada kompenan PH yang belot kepada negara.

Tentu sahaja kenyataan YAB Tun itu mempunyai latar belakang yang sangat nyata dan menghimpit beliau sebagai ketua kerajaan pada masa ini.

nasrudintaSaya percaya YAB Tun mula terasa lemas dan rimas dengan sikap parti-parti komponen PH sekarang khasnya DAP dan PKR dari team Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang dilihat sebagai saingan beliau untuk mengambil kerusi Perdana Menteri.

YAB Tun kelihatan seperti keseorangan dalam PH untuk mempertahankan beberapa dasar dan polisi yang melibatkan kepentingan umat Islam dan bangsa melayu di Malaysia. (Sebagai contoh, isu ICERD, isu Pilihanraya Kerajaan Tempatan, isu pengijtirafan UEC dan lainnya.)

Pihak kepimpinan PAS kini menghidu gerakan terancang untuk menjatuhkan YAB Tun selaku Perdana Menteri sebelum PRU15 akan datang.

Tentu sahaja gerakan itu mendatangkan kedudukan yang lebih mudarat kepada kepentingan Islam dan bangsa Melayu jika mereka berjaya melakukannya terutama setelah dilihat bagaimana dominasi DAP dalam PH hari ini.

Justeru itu, PAS tampil juga dengan langkah terbuka dan berani memperakui sokongan parti secara bertulis kepada kepimpinan YAB Tun agar YAB Tun terus memimpin negara sehinggalah PRU15 kelak.

Sikap yang diambil oleh PAS ini adalah atas prinsip menjaga dan mempertahankan kepentingan Islam di negara ini.

Sementara sikap semasa PAS di Semenyih dalam menghadapi PRK kali ini adalah mengekalkan semangat solidariti pembangkang dan PAS telah menurunkan 2 orang Naib Presidennya, Setiausaha Agung, Bendahari, Ketua Pemuda, Ketua Muslimat dan AJK PAS Pusat di samping PAS Negeri Selangor pastinya turun membantu BN.

Insya-Allah, saya selaku Ketua Penerangan PAS juga akan turun sedikit masa lagi atas semangat yang serupa dalam koalisi pembangkang yang baik sekali gus memurnikan makna demokrasi negara.

PAS Konsisten Pertahan Islam.

NASRUDIN HASSAN
Ketua Penerangan PAS Pusat
11 Jamadil Akhir 1440 | 17 Februari 2019 – HARAKAHDAILY 17/2/2019

SETELAH mendapat penjelasan daripada YB. Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Harian PAS Pusat yang bersidang pada 17 Februari 2019 di Marang, maka saya dengan ini ingin memaklumkan bahawa:

1. PAS menyatakan pendirian tidak bertanding dalam PRK Dun Semenyih dan memberi laluan kepada wakil pembangkang, iaitu Barisan Nasional, dengan tahap komitmen serta kadar penglibatan yang berbeza keadaannya pada PRK Cameron Highlands.

Ini selaras dengan pendirian konsisten PAS yang meletakkan kepentingan Islam dan Melayu mengatasi yang lainnya di samping PAS mengekalkan hubungan dengan Umno atas dasar perpaduan ummah dan solidariti pembangkang;

2. Perakuan bertulis yang berbentuk contoh (sample) diberikan sebagai komitmen sokongan PAS terhadap kepimpinan YAB. Tun Dr. Mahathir Mohamad di atas dasar menjaga kepentingan agama, negara dan bangsa sehingga PRU15; dan

3. Persetujuan turut dicapai untuk menjalin kerjasama yang lebih baik berdasarkan semangat federalisma di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Kelantan serta Terengganu, khususnya dalam hal berkaitan pentadbiran, pembangunan dan pemberian royalti.

Sekian untuk pemakluman.

Takiyuddin Hassan, JP.
Setiausaha Agung
Bertarikh: 17 Februari 2019 / 11 Jamadil Akhir 1440 – HARAKAHDAILY 17/2/2019

KEMAMAN: PAS mengingatkan umat Islam mengenai pengaruh alam siber dan teknologi maklumat masa kini, yang digunakan oleh musuh bagi menentang Islam.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, teknologi maklumat di zaman ini dipergunakan oleh musuh-musuh Islam.

Bahkan, katanya tanpa disedari terdapat di kalangan generasi muda menjadi penentang-penentang Islam.

“Teknologi maklumat sangat berpengaruh di zaman ini. Contoh yang terdekat, bagaimana pilihan raya yang lalu.

“Kita menyaksikan orang-orang Islam khususnya di kalangan generasi muda. Mereka dipengaruhi oleh WhatApps, alam siber tak sedar menjadi penentang-penentang Islam.

“Dipergunakan oleh musuh-musuh Islam, sehingga berlaku perubahan politik yang membahayakan umat Islam di tanah air kita. Apabila pemerintahan didominasikan oleh orang-orang bukan Islam,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penutup Ijtimak Siber Malaysia Peringkat Kebangsaan 2019, di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman, hari ini.

Menurutnya, lebih malang lagi terdapat di kalangan orang Islam sendiri diperalatkan oleh musuh-musuh Islam.

Sehubungan itu, beliau menyeru mereka yang berada di saf perjuangan ini dan mempunyai kemahiran alam siber mempertahankan Islam.

“Mereka yang berada di dalam saf perjuangan Islam mesti menggunakan segala kemahiran dan kebolehannya untuk menyebar dan menegakkan Islam.

“Mereka yang berada di lapangan ini, yang ada kebolehan mempunyai tanggungjawab untuk menyebarkan Islam, mempertahankan Islam dan menyerang musuh-musuh Islam dengan teknologi maklumat,” tegasnya kepada hampir 2,000 peserta ijtimak siber tersebut.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, teknologi maklumat telah mencetuskan ‘perang’ siber yang berlaku di dunia hari ini.

“Sehingga dianggap ‘dunia tanpa sempadan, langit terbuka’. Boleh menyebar apa sahaja ke pelosok dunia sama ada menyebarkan Islam atau menentang Islam.

“Kita menyaksikan banyaknya kumpulan yang menentang Islam di seluruh pelosok dunia, melalui alam siber teknologi maklumat dengan perbagai fitnah.

“Kita menyaksikan pertembungan di alam siber teknologi maklumat. Serangan ke atas Islam, pemimpin dan pendukungnya dengan berbagai hujah dan fitnah, untuk memberi kesan negatif terhadap Islam. Menghina Islam, menjatuhkan Islam dan menakutkan orang terhadap Islam,” jelasnya.

Dalam masa sama, katanya perkembangan Islam juga berlaku dengan pesat melalui alam siber ke seluruh pelosok dunia.

Beliau berharap agar Ijtimak Siber ini dapat memberi input yang sangat bermakna kepada mereka yang bergerak di alam siber.

Sempena Ijtimak Siber itu, tiga kertas dibentangkan oleh Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr Supyan Hussin, Pendakwah Bebas dan Motivator, Ustazah Asma’ Harun dan Pengerusi Jabatan Kajian Politik Nasional dan Antarabangsa TSIS, Ustaz Nasrudin Hassan. – HARAKAHDAILY 16/2/2019

NEGARA bakal digemparkan lagi dengan pendedahan terbaharu rakaman audio yang didakwa suara perbualan antara peguam, Siti Kassim atau nama sebenarnya Siti Zabedah Kassim dengan seorang penduduk Orang Asli dari Gerik, Perak. Audio tersebut sekali gus bakal memberi jawapan terhadap tujuan serta motif saman yang telah dikemukakan Kerajaan Pusat diterajui PH terhadap Kerajaan Negeri Kelantan pimpinan PAS berkaitan isu Orang Asli Pos Simpor baru-baru ini.

Pendedahan itu telah membongkar dan mengesahkan kesangsian banyak pihak terhadap kemungkinan wujudnya pencatur yang berkomplot mengheret perkara tersebut ke kancah perundangan. Kini, ia seolah-olah sedang meletakkan Peguam Negara, Tommy Thomas di kandang pesalah untuk diadili. Apatah lagi terdahulu sebelum ini hubungan rapat kedua mereka tidak lagi menjadi rahsia apabila rancak bersama menari ‘twist’ hingga dilihat mencabar etika profesion guaman.

Dari butiran disebut di dalam audio itu jelas menunjukkan bahawa saman tersebut adalah satu pelan atau perancangan, di mana sebenarnya bukan berteras pelanggaran undang-undang oleh pihak Kelantan dalam mengurus hal ehwal atau hak Orang Asli. Malah ia turut mendedahkan bahawa 'blockade’ yang kononnya dibentengi oleh pemuda Temiar (baca NGO Jaringan) rupanya menjadi sebahagian angkara didalangi ‘mastermind’ luar yang datang menghasut ini.

Kerana sebagaimana terpampang luas di dada-dada media, peguam itu bersama NGO Jaringan, serta pemimpin politik dari PH paling kerap dan aktif turun ke Hutan Simpan Hulu Kelantan ‘memperjuangkan’ isu ini. Namun, apakah persekongkolan secara ‘memperalat’ perundangan dan memperdaya masyarakat Orang Asli untuk sengaja menghukum satu pihak lain itu selaras dengan prinsip keadilan atau seiring Maqasid Syariah yang diperjuang dan dilaungkankan oleh PH selama ini?

Ternyata ‘pakatan’ oleh pihak terbabit hanyalah untuk mencipta 'precedent case’ dari mahkamah bagi mendesak Parlimen menggubal atau meminda suatu perundangan berkaitan, bagi mencapai agenda lebih besar pihak mereka. Tetapi tanpa malu mereka telah meletakkan perjawatan dan institusi penting negara kepada persepsi, pertikaian dan tohmahan yang boleh mencemar, merendah dan menghilangkan kredibiliti serta wibawa berkaitan keyakinan terhadap integriti dan keadilan.

Sehubungan itu juga kami menggesa Peguam Negara meletakkan jawatan atau sekurang-kurangnya bercuti dari terlibat dalam kes-kes tersebut setelah terpalit oleh skandal dan kepentingan seperti tersebar ini. Kami juga menggesa siasatan dilakukan pihak berkuasa dan jika terbukti benar butiran disebut dalam audio itu, maka bermakna Peguam Negara telah berada di bawah ‘telunjuk’ politik. Ianya sesuatu yang amat mengecewa dan memalukan serta menambah lagi titik hitam sejarah negara.

Islam Memimpin”
“Terus Mara”

NAZMAN CHE IBERAHIM
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan - HARAKAHDAILY 16/2/2019

PERDANA Menteri, YAB Tun Dr Mahathir Mohamad memberi bayangan bahawa rakyat akan menjatuhkan kerajaan sekiranya Pakatan Harapan gagal menunaikan janji pilihan raya.

Menurut Tun, “Sekarang rakyat sedang memerhati kerajaan Pakatan Harapan yang sebelum ini pembangkang untuk menunaikan janji-janji pilihan raya. Namun malangnya Pakatan Harapan kini mendapati mereka tidak mampu melunaskan semua janji mereka kepada rakyat seperti yang terkandung dalam manifesto”.

“Jadi untuk pusingan seterusnya, rakyat akan menumbangkan kerajaan,” ujar beliau.

Situasi yang digambarkan ini pernah disaksikan oleh rakyat di negara India dan Jepun.

syahir2Di India, Parti Janata (JNP) telah mengalahkan Parti Kongres (INC) dalam pilihan raya 1977 dan menyaksikan buat pertama kalinya Perdana Menteri dilantik bukan daripada Parti Kongres yang memerintah India sejak kemerdekaan 1947.

Namun tidak sampai dua tahun pentadbirannya, Perdana Menteri Morarji Desai telah dipaksa untuk melepaskan jawatan dan seterusnya Parti Janata ditumbangkan dalam pilihan raya 1980 atas faktor kegagalan membangunkan ekonomi dan perpecahan dalaman sesama mereka.

Manakala di Jepun, parti pembangkang utama, Parti Demokratik Jepun (DPJ) telah berjaya mengalahkan Parti Liberal Demokratik (LDP) dalam pilihan raya 2009 yang merupakan parti pemerintah selama lebih 50 tahun.

Namun DPJ hanya mampu bertahan selama tiga tahun dan dikalahkan dalam pilihan raya 2012 akibat kegagalan DPJ untuk menunaikan janji-janji reformasi dan populis yang dikemukakan mereka dalam pilihan raya 2009.

Berbalik kepada situasi yang sedang dialami di Malaysia, ramai yang mungkin terlupa akan sebuah akujanji bertulis dan ditandatangani pada 8 Mac 2018 di Putrajaya.

Perakuan bertulis ini termaktub di dalam kata pengantar ‘Buku Harapan’ setebal 195 muka surat yang memuatkan segala janji manifesto Pakatan Harapan dalam PRU14 bertemakan ‘Membina Negara, Memenuhi Harapan’, antaranya menyebut:

“Buku ini mengandungi janji-janji kami PAKATAN HARAPAN kepada rakyat Malaysia apabila menubuh Kerajaan. Inilah dasar dan tindakan-tindakan yang akan kami laksana untuk memulih semula dan MEMBINA NEGARA serta MEMENUHI HARAPAN rakyat”.

“Saya mewakili seluruh anggota Pakatan Harapan dengan rendah diri dan tawakkal kepada Allah Ta’ala menawarkan diri untuk menggalas tanggungjawab berat ini. Kami merayu agar rakyat memberi kami peluang untuk membuktikan kebolehan kami untuk memperbaiki negara untuk rakyat”.

“Dengan terbitnya buku ini, kami juga dengan penuh tanggungjawab menyatakan bahawa kami sanggup dihakimi oleh rakyat, sejauh manakah kami berjaya memenuhi janji-janji ini.”

“Jika kami gagal atau mungkir janji, tolaklah kami melalui proses demokrasi.”

Inilah hakikat sebuah janji Malaysia Baharu yang kini sudah menjadi realiti, dan akan terus menjadi saksi.

Sabda Rasulullah S.A.W. (maksudnya): “Tanda-tanda orang munafik ada tiga; apabila berbicara dia dusta, apabila berjanji dia mungkiri, dan apabila diberi amanah dia khianati”. (Riwayat Bukhari)

SYAHIR SULAIMAN
Pengarah Strategi Pemuda PAS
17 Februari 2019 – HARAKAHDAILY 17/2/2019

kata

MARI kita lihat 20 fakta yang mungkin ada kita sudah lupa berkenaan penipuan dan akhlak memegang rahsia. Berlaku di seluruh dunia dari dahulu lagi. Anda ada fikiran, boleh fikir sendiri.

1-     Teringat dulu, masa mula-mula PAS menang Terengganu 1999. Penyokong PAS kepung Wisma sebab takut BN bawak lari fail-fail. Alhamdulillah memang tak boleh bawak keluar fail-fail itu. Setelah masuk jadi kerajaan, memang ada fail-fail yang dikira menyalahi undang-undang. Timbalan Presiden PAS yang juga Menteri Besar ketika itu kata kita ada "berlori-lori" fail sebagai bukti.

Sebelum itu memang PAS janji nak dedah penyelewengan BN. Rakyat tunggu. Tiba-tiba PAS tukar strategi, tak mahu ambil jalan kontroversi sebab akan libatkan perbalahan yang panjang. Ambil jalan bijak. PAS pun batal hasrat nak dedah. Timbalan Presiden PAS ditanya wartawan mana fail yang berlori-lori itu? Beliau jawab memang berlori-lori, tapi ada lori kecil ada lori besar. Sampai sudah kes-kes itu tak didedahkan. Timbalan Presiden PAS pun dituduh penipu. Errr... Timbalan Presiden PAS tipu ke?

2-     Sekumpulan wartawan PAS Terengganu, telah pergi ke sidang media DS Idris Jusoh di Besut, sebelum PRU11, 2004. Mereka masuk ke dalam majlis dan membuat liputan secara menyamar. Malangnya ada wartawan lain yang mengenali mereka dan pihak keselamatan BN mula bertanya.

Wartawan-wartawan PAS ini tidak mengaku dan mendakwa mereka dari stesyen TV swasta. Tetapi tidak berjaya. Mereka dikejar dan dikepung. Sebuah van, hancur dikerjakan lawan. Mereka pula masuk hospital. Apa kata Presiden PAS? Mereka dipuji Presiden kerana berani. Tapi mereka menipu. Presiden PAS puji si penipu. Macam mana gitu?

3-     Suatu waktu, setelah royalti Terengganu dirompak, maka dikeluarkan dokumen perjanjian royalti itu. Antara isu yang menjadi pertikaian ialah "luar pantai". MB Terengganu kemudiannya mengeluarkan kenyataan minyak dijumpai di daratan Terengganu. Kecoh, dekat mana, bila. Akhirnya tak ada pun yang dijumpai. MB Terengganu bohong ke? Atau mengacah? Boleh ke dalam Islam?

4-     Ketika tegang krisis dalaman PAS sebelum PAN keluar, wartawan telah menghidu busuknya Timbalan Presiden dan AJK PAS Pusat yang lain berseteru dengan Presiden. Wartawan bertanya dalam satu sidang media selepas ucapan perasmian muktamar di Batu Pahat. Kedua-duanya menafikan sambil ketawa. Dan selepas itu ucapan perwakilan seorang demi seorang, membelasah pimpinan yang khianat itu. Orang dah tahu, tapi Presiden tipu lagi. Betul ke ini?

5-     Semalam Presiden PAS jumpa Tun. Lepas berkelahi, jumpa bincang. Berkelahi sejak dulu, tapi bila jumpa senyum memanjang. Presiden PAS bermuka-muka kah?

6-     Ketika Langkah Kajang hendak dilaksanakan, DS Anwar ada datang ke Terengganu, mahu berbincang dengan Presiden PAS. Sehingga kini, kecuali kenyataan Saifudin Nasution, kita tak pernah tahu dari pihak PAS, apa perbincangan itu.

Kemudian ianya diteruskan, walaupun dibantah PAS dalam mesyuarat lain kerana membazir dan tiada keperluan. PAS bagi ingatan, jangan tukar MB. Tapi PAS tetap berkempen untuk PKR walaupun ianya membazir. PAS sokong pembaziran?

7-     Sewaktu hayat TGNA, ada satu kes beliau memarahi Ustaz Nasha, dalam isu UG. Sehingga diadakan pertemuan khusus lapan mata di rumah beliau. Sampai akhir hayat beliau tiada didengar apa perbincangan itu secara details. Rahsia dipegang kemas. Nasib baik Ustaz Nasha tak bawa recorder macam budak-budak itu.

8-     Dalam peristiwa Tahkim, diketahui Abu Musa yang warak dan alim itu telah dipolitikkan oleh Amru al-Ash dengan Abu Musa menurunkan Ali dan sepatutnya Amru juga menurunkan Muawiyah, tetapi diangkatnya dan kekal Muawiyah berkuasa.

Peristiwa itu kekal dikenang sebagai menjadikan lagi Islam berpecah, Ali dibunuh. Abu Musa rasa sangat malu. Tetapi Amru tetap dikenang sebagai Sahabat yang membuka Mesir. Tiada gelaran penipu. Itulah politik. Jika Muawiyah dan Amru menipu, maka semua Sahabat yang patuh kepada kerajaan mereka juga berdosakan?

9-     Dalam tafsir surah al-Buruj, diceritakan sebuah hadis panjang berkenaan seorang pemuda yang memeluk agama Allah di sebalik dipaksa menyertai kelas kesyirikan. Gurunya mengajar tauhid.

Guru tauhidnya menyuruh pemuda itu menipu bila ditanya kenapa lambat ke kelas oleh guru syirik itu. Menipu juga, tak padan ajar tauhid. Boleh tak?

10-      Dalam surah Yusuf, Nabi Yaakub menyuruh Nabi Yusuf menyembunyikan tentang mimpinya daripada saudaranya yang lain. Nabi Yusuf simpan rahsia itu sehingga dia naik jadi kerajaan. Nabi Yusuf juga menipu kerana meletakkan sesuatu dalam kenderaan saudara Baginda, kemudian menuduh saudaranya itu mencuri. Pelik Nabi Yusuf ini. Nasib baik tak dapat kat budak-budak itu.

11-      Dalam Perang Khandak, seorang bukan Islam, masuk Islam ketika perang. Rasulullah menyuruh dia menyembunyikan ke-Islamannya itu dan ditugaskan mengapi-apikan antara puak dalam tentera Ahzab itu. Berdosanya jadi batu apikan? Sudahlah Islam tapi mengaku Islam. Macam tak syarie jer.

12-     Pada suatu perang, Amru bin Ash telah mengarahkan tenteranya memadamkan api pada malam hari, walaupun cuaca sejuk. Tenteranya tak berpuashati. Bila pulang, mereka mengadukan hal itu kepada rasulullah. Rasulullah bertanya kepada Amru kenapa? Amru menjawab kerana musuh akan tahu kedudukan mereka. Rasulullah setuju. Nasib baik tentera Islam itu bukan dari kalangan yang ada sekarang. Kalau tidak, takut pindah khemah duduk dengan musuh sebab tak syarie, tak bagitahu kenapa. Semua benda nak kena bagitahu kat prebet ke. Flat earth betullah dia ni.

13-     Dalam Peristiwa Fathul Makkah, seorang Sahabat telah memberitahu rahsia kepada Musyrikin Makkah, rancangan Rasulullah mahu menyerang Makkah. Sahabat itu ditangkap, hampir dibunuh, perbuatannya itu salah. Dia dibebaskan kerana dia seorang ahli Badar. Sepatutnya dia dibenarkan memberitahu serangan itu bagi mengurangkan kemusnahan. Bukankah baik tindakan dia memberitahu rahsia itu kalau ikut fikiran budak-budak sekarang?

14-     Ketika krisis kepimpinan PAS Besut dengan Perhubungan Terengganu, PAS Besut mahu duduk di bawah Perhubungan Kelantan. Mereka sangat marah kepada PAS Terengganu. Mursyidul Am, TGNA mengatakan dalam bentuk kiasan bahawa PAS Pusat tahu yang PAS Besut pakai kain tapi tak pakai seluar dalam. Tapi kita tak selak kain dia di hadapan orang ramai. Sepatutnya TGNA selak kain PAS Besut itu. Dah buat salah, patutnya diberitahu kepada seluruh dunia. Apatah lagi selepas itu geng-geng tu masuk Umno, Lagilah patutkan? TGNA tak syarie ini. Tak capai maqasid?

15-     Ingat lagi ketika kes pil kuda? Presiden PAS ditanya hakim tentang kesahihan maklumat yang beliau terima. Beliau tidak memberitahu secara khusus, hanya memberitahu sumber yang dipercayai sesuai dengan kedudukan beliau sebagai Presiden PAS. Hakim menerima itu atas alasan hak seorang Presiden. Seharusnya Presiden PAS memberitahu kepada mahkamah, barulah betul berani. Kalau budak-budak itu jadi Presiden, dah lama bocor.

16-     Berapa banyak NGO yang diketuai oleh orang-orang politik yang kemudian mengaku sebagai non-partisan NGO. Semua orang tahu, tapi mereka tidak mengaku yang mereka didalangi oleh ahli politik. Tak baik menipu kan?

17-     Teringat kisah lama apabila DS Idris Jusoh menggunakan lambang bunga padi kalau tak salah, ia lambang khusus kepunyaan Tuanku Sultan Terengganu untuk lambang MBKT. Kemudian diarahkan tukar sebab tanpa izin. Sama juga seperti isu guna nama Presiden PAS. Kau ingat tak perlu minta izin ke bila nak guna namanya dalam isu-isu besar? Bodoh sangat ke Presiden tak sedar nama dia orang guna. Yang kau tempel nama Presiden konon sayangkan Presiden masa nak dedah rahsia itu tak rasa malu ke? Presiden tahu tak?

18-     Akhirnya sumpah mubahalah dah tak laku sebab tuan dia dah mengaku. Sumpah ambil duit Umno itu sebenarnya sangat umum. Kalau nak bersumpah juga, kita sumpah khusus gini "Bahawa Nik Abduh ambil duit Umno adalah untuk menjahanamkan agama Islam, parti PAS, untuk kepentingan diri, untuk mengkayakan dirinya. Dengan niat jahat menggunakan Presiden bagi mengelirukan jemaah" agak-agak berani tak dia sumpah khusus begitu? Kalau berani, alhamdulillah. Setakat kata ambil duit Umno hanya timbulkan persepsi.

19-     Abuya Ashaari penah bersumpah mubahalah ketika beliau mendakwa dituduh dan dipaksa mengaku al-Aqram ialah pembawa ajaran sesat. Dia melakukannya beramai-ramai bersama pengikutnya selepas mereka disuruh kerajaan mengaku di TV yang pegangan mereka sesat pertengahan 90-an dulu. Tan Sri Hamid Othman telah beri amaran supaya jangan main-main dengan sumpah mubahalah. Mengikut buku tulisan salah seorang peguamnya yang juga salah seorang kena mengaku salah itu, Ashaari dikatakan meminta ditunjukkan balasan siapa yang bersalah dalam masa tiga bulan. Beliau kemudiannya kena stroke yang cakapnya hanya difahami oleh isterinya Khadijah Aam

Aku tak kata dia terkena sumpah, cuma lawannya Tan Sri Hamid Othman dan orang-orang besar Jakim, tidak terkena apa-apa. Jadi kalau berani, boleh cuba khususkan sumpahan itu. InsyaAllah jika tidak terkena laknat, maka kami percaya. Dah terlanjur nak muhabalah kan?

20-     Semua kisah-kisah itu menggambarkan bahawa ada masa menipu dibolehkan, ada masa tidak. Tetapi dalam perang, ia dibolehkan. Sekarang kita sedang berperang melalui bukan senjata besi kayu, tetapi senjata media. Jika dalam media boleh memberikan kemusnahan kepada jemaah, maka ia perlu dilawan atau dikawal. Begitu juga kerahsiaan jemaah.

Siapa yang mengawal media, dia akan berkuasa. Jadi sekarang, Presiden telah mengatakan kumpulan pembocor rahsia itu bodoh atau jahat. Sepatutnya minta maaflah dah salahkan? Dan bagi tahu siapa perakam dan penyebar audio yang khianat itu. Mesti sanggup bagi tahu, untuk jemaah kan? Atau bacul? Bila kat pimpinan, dia orang kata tak boleh berahsia walaupun hal sulit parti, tapi mereka diam seribu kata bila dah diketahui perbuatan curang mereka. Kalau kata diupah orang luar, marah. Tapi suruh tunjuk muka, takut. Kata takut Allah jer?

Kenalilah watak-watak yang menjahanamkan jemaah ini bila mereka mula mempertahankan diri dengan mengungkit-ngungkit jasa mereka kepada parti konon hebat, mengatakan mereka ikhlas, memberitahu dunia mereka baik dengan pimpinan itu dan ini, mereka sayang jemaah tapi belasah depan-depan. Mereka guna nama pembesar sedang mereka tidak dilayan pun oleh pembesar-pembesar itu. Itulah tanda mereka tiada kekuatan selepas serangan gagal.

Lihat fakta di atas, hampir sama sebab tipu itu. Kenapa Presiden PAS boleh buat, Nik Abduh tak boleh? Jadi kita kena lihat garis masa. Nik Abduh tidak mengaku ketika itu sebelum PRU. Mungkin Terengganu kalah dan Kelantan juga tersungkur jika mengaku terima duit Umno walaupun guna untuk kebaikan contoh masjid. Fitnah terlalu besar. Sekarang orang sudah lupa. Tapi ada yang mahu hidupkan fitnah sebab bodoh dan jahat tadi.

Apatah lagi dekat pemilihan PAS. Kenapa aku sebut fitnah sebab isu ini akan terpalit kepada semua ketika jemaah dah bertenang. Ustaz Zaharuddin yang terlibat pun diam jer, kenapa anak buah yang bising. Ini juga fitnah, nanti ada orang kata Ustaz Zaharuddin yang suruh. Betapa besar masalah yang dibawa. Dah kalau AJK PAS Pusat tak layan itu, takkan tak faham lagi sebab hal ini rahsia? Atau memang bersungguh benar nak halang PAS dan Umno kerjasama?

MOHD NASIR ABDULLAH
Al-Khor, Qatar
16 Februari 2019 - HARAKAHDAILY 16/2/2019

TAHNIAH buat Jabatan Amal Malaysia. Terbukti selama ini Jabatan Amal Malaysia di bawah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengamalkan sikap professionalisma yang tinggi dalam menghulurkan bantuan dan pertolongan dalam pelbagai sudut dan bidang tanpa mengira fahaman politik, agama, kaum dan kepentingan.

Insiden membabitkan Menteri Belia dan Sukan YB Syed Saddiq jelas menunjukkan sikap professional Jabatan Amal Malaysia dalam memberikan pertolongan mahupun bantuan tanpa sempadan. Sikap professional tinggi yang dipamerkan Jabatan Amal Malaysia telah terbukti dalam pelbagai sudut selama ini, terbabit dalam banyak misi mencari dan menyelamat sama ada banjir dan tanah runtuh, keselamatan, kemalangan jalan raya, bantuan perubatan kecemasan dan banyak lagi operasi yang dijalankan sama ada bersendirian mahupun bersama agensi Kerajaan seperti Bomba dan PDRM.

PAS sentiasa mendidik terutamanya anak muda agar berakhlak mulia dan berbuat baik terhadap sesama manusia seperti yang diajar oleh Islam tanpa mengira pangkat, darjat mahupun kedudukan. Tarbiah dan akhlak yang dipupuk selama ini jelas membuahkan hasil yang membanggakan. Teruskan beramal, semoga Jabatan Amal Malaysia terus menyinar dan menjadi kebanggaan kita semua.

MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Ketua Pemuda,
Dewan Pemuda PAS Malaysia - HARAKAHDAILY 16/2/2019

More Articles ...