DEWAN Negara hari ini telah menolak pemansuhan Rang Undang-Undang Antiberita Tidak Benar dengan keputusan undian memihak kepada tidak bersetuju undang-undang tersebut dimansuhkan. Keputusan undian sebanyak 21 setuju RUU tersebut dimansuhkan manakala lebih 7 undian yang tidak setuju ia dimansuhkan dan 3 berkecuali.

Ini merupakan langkah pertama PH dalam merealisasikan manifesto PRU sebelum ini dengan berikrar akan menghapuskan akta yang menzalimi rakyat dan undang-undang ‘rimba’ kerajaan terdahulu.

Akan tetapi, undian yang dikeluarkan tidak menyebelahi pihak Pakatan Harapan sekaligus membuktikan langkah yang diambil oleh Kerajaan Pakatan Harapan tidak disokong oleh Ahli Dewan Negara.

Harus ditegaskan bahawa RUU Antiberita Tidak Benar merupakan langkah bijak yang mampu membendung berita palsu hasil perkembangan media sosial. Serta ia mampu melindungi rakyat daripada berita tidak benar malah menghalang agen-agen penyebar fitnah berleluasa. Ia selari dengan kehendak agama yang melarang penyebaran fitnah yang jelas-jelas membawa kehancuran.

Persoalannya, apakah relevannya pemansuhan ini dijalankan? Malah penyebaran fitnah yang berleluasa dek kerana pemansuhan akta ini menyumbang kepada tekanan emosi dan masalah psikologi kepada mangsa.

Oleh itu, keputusan kerajaan PH untuk memansuhkan akta ini langsung tidak relevan malah lebih banyak lagi akta lain yang lebih penting patut dibincangkan.

Sehubungan dengan itu, keputusan yang dikeluarkan hasil daripada undian Ahli Dewan Negara merupakan jalan terbaik yang tidak sama sekali mengetepikan hak rakyat untuk bersuara malah ia mampu mendidik rakyat supaya bersuara secara berasas dan tidak sewenang-wenangnya menyebarkan berita palsu.

Dengan keputusan yang dikeluarkan jelas membuktikan langkah awal kerajaan Pakatan Harapan gagal untuk dilaksanakan dan tidak selari dengan keperluan kehendak semasa.

YB Shaharizukrinain Abdul Kadir
Ahli Parlimen Setiu
2 Muharam 1440 | 12 September 2018 – HARAKAHDAILY 12/9/2018

HARI ini Ahli Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (Empower) bernama Honey Tan telah, di dalam sidang media beliau bersama-sama Pengarah Eksekutif Sisters in Islam, Rozana Isa, dan Pengasas Justice for Sisters, Thilaga Sulathireh, yang mewakili The Joint Action Group for Gender Equality atau Gabungan Kumpulan Wanita Bertindak bagi Kesamarataan Gender (JAG), telah dilaporkan oleh portal berita Malaysia Kini sebagai berkata:

●      “It is untrue and inaccurate that the Federal Government is unable to do anything about The State Syariah Criminal Enactments” (“Adalah tidak benar dan tidak tepat bahawa Kerajaan Persekutuan tidak mampu berbuat apa-apa mengenai Enakmen-enakmen Jenayah Syariah Negeri”).

●     “The same way the Parliament of Malaysia can actually increase the sentencing capabilities of the Syariah Court, it can also reduce” (“Cara sama Parlimen Malaysia boleh meningkatkan kadar hukuman Mahkamah Syariah, ia juga boleh mengurangkan”).

●     “So what we are calling is for Act 355 to be amended or repealed” (“Jadi apa yang kami desak ialah supaya Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 dipinda atau dimansuhkan”).

●     “Of course, the bigger call by JAG is that we are calling for the AG to review all Syariah Criminal Enactments of the States to ensure that they are constitutional” (“Sudah tentu, desakan lebih besar JAG adalah bahawa kami mendesak Peguam Negara untuk mengkaji semula semua Enakmen Jenayah Syariah Negeri-negeri bagi memastikan bahawa enakmen-enakmen ini adalah berperlembagaan”).

●      “If they are not, then they should be repealed” (“Jika enakmen-enakmen ini adalah tidak (berperlembagaan), maka enakmen-enakmen ini hendaklah dimansuhkan”).

Saya tertanya-tanya apa hak Honey Tan sebagai seorang bukan Islam untuk mendesak supaya Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 dipinda atau dimansuhkan malah lebih jauh lagi untuk mendesak supaya semua Enakmen Jenayah Syariah Negeri-negeri dikaji semula dan dimansuhkan jika enakmen-enakmen ini adalah tidak berperlembagaan? - HARAKAHDAILY 12/9/2018

DEWAN Ulamak di bawah pimpinan Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sebelum lahir konsep pimpinan ulama, selepas Dr Mahathir yang dipecat Tunku daripada Umno kembali ke pangkuan Umno, sekurang-kurangnya dua kali PAS melancarkan politik membaca Yasin di seluruh negara, mengadu kepada Allah moga-moga selamatkan PAS daripada fitnah yang dihadapkan kepadanya.

Antara fitnah berat itu PAS dikatakan disangkut komunis dan disamakan dengan komunis. Mahathir masa itu menteri pelajaran. Habis penyokong kerajaan menjaja fitnah itu. ISA diadakan khusus disasarkan kepada komunis. Jika PAS difitnah dengan komunis, terbuka pintu ISA itu kepada PAS dan ia menakutkan orang kepada PAS.

Orang kata membaca Yasin itu politik orang kampung dan politik Pak Lebai. Beberapa ketika selepas itu PAS kalah di Kelantan dan Mahathir jadi Timbalan Perdana Menteri. Ketua yang dibacakan Yasin, bukan jatuh tetapi naik jadi Timbalan Perdana Menteri.

Saya tanya Tok Guru Nik Abdul Aziz. Sasaran baca Yasin tidak menjatuhkan Mahathir tetapi dia bertambah naik. Bukan sekadar PAS kalah, bahkan Tok Guru yang tidak pernah kalah, dihantar bertanding Parlimen Bachok lalu kalah juga.

Kata Tok Guru pada saya. Doa kita kadang-kadang tidak makbul dunia tetapi dimakbulkan di akhirat. Baginya akan adalah kesannya.

Apa kesannya? Umno dihinggapi komunis dan timbalan menteri diISA kerana komunis. Ramai pegawai polis jadi mangsa komunis dan Umno hampir pecah dengan fitnah komunis melandanya.

Apabila Mahathir jadi Presiden Umno dan jadi Ketua Umno Bahagian Gua Musang, Umno kalah 100 peratus di Kelantan tahun 1990.

Dan Mahathir yang dibacakan Yasin tadi meletakkan Umno berkrisis dengan Raja-Raja, berpecah Mahathir dengan Tengku Razaleigh, berpecah dengan Ghafar Baba dan sejak 20 tahun berpecah dengan Anwar Ibrahim.

Sekarang PAS dilanda fitnah dan krisis dikatakan menerima sedekah RM90 juta daripada Umno. 

Muktamar Tahunan PAS ke-64 pada 15 dan 16 Septembar ini boleh memikirkan semula membaca Yasin Perdana mohon pertolongan Allah selamatkan PAS daripada fitnah diberi duit sebanyak itu. Pulangkanlah fitnah itu kepada yang menjaja fitnah.

TULISAN PENUH DALAM AKHBAR HARAKAH EDISI JUMAAT INI

 

ASALNYA saya tidak ingin mengulas berkenaan kejayaan PAS yang walaupun tewas, yang memberi tamparan kepada PH dengan jumlah pengurangan majoriti yang sangat besar di PRK Seri Setia beberapa hari lalu. Namun atas beberapa hal yang tidak dapat dielakkan, maka saya turut serta berkomentar mengenai PRK ini. Ia bukan secara khusus berkenaan strategi pengundian, tetapi bagi motivasi ahli dan penyokong PAS secara keseluruhannya. Ianya juga kerana penghinaan musuh kepada jemaah Islam PAS.

Gandingan PAS dan Umno seperti yang kita maklumi, telah memberikan satu impak negatif yang besar kepada PH di Seri Setia. Pengurangan jumlah majoriti yang sangat besar, 15 ribu pengundi PH dahulu tidak keluar, memberikan isyarat jelas bahawa PH tidak boleh tersenyum bangga dengan kemenangan lalu. Ini kerana sehingga kini, setelah tiga PRK, dua Dun majoriti pengundi Melayu yang telah terasa ditipu oleh PH tetapi masih fobia dengan Umno, pengundi Melayu masih bersikap tunggu dan lihat kepada perkembangan semasa politik tanah air. Orang Melayu sekarang sudah mulai menunjukkan cara pengundian yang pintar. InsyaAllah mereka tidak lagi mudah lupa. Bukan senang mahu melepaskan belitan puluhan tahun yang membelenggu pemikiran rakyat bahawa BN sahaja yang mampu memerintah.

PH sebagaimana yang sudah dimaklumi, tidak mempunyai akar umbi yang kuat, banyak parasit yang hanya mahu menumpang ghanimah. Mereka pada bila-bila masa, bisa ditumbangkan oleh rakyat terutama Melayu jika selalu sahaja membuat perkara bodoh. Pada masa yang sama, rakyat yang cerdik, memerhati PH. Bimbang juga apabila rakyat sudah ketagih menjatuhkan kerajaan, mereka akan bertindak lagi. Maklumlah, macam dapat permainan baharu yang anak-anak kita suka. Asyik nak ‘repeat’ sahaja kerjanya. Apabila tidak akar umbi yang kukuh, mereka hanya mempunyai undi ‘lalang’ yang besar iaitu undi yang mengikut tiupan angin isu semasa. Jika DS Anwar secara tiba-tiba bersikap gelojoh mahukan jawatan Perdana Menteri, dalam masa yang sama, Tun Mahathir masih belum mahu menyerahkannya, maka ia boleh mencetuskan perbalahan dalaman yang hebat. Ingat, aura Tun Mahathir masih hebat, masih ramai penyokongnya terutama dari kaum wanita. Dan ini saya percaya isu ini akan menjadi anai-anai kepada PH.

Takdirnya keadaan sebegini berlaku, PH sangat tidak selamat kerana rakyat yang dahulunya dipropagandakan dengan mesej mahu menjatuhkan DS Najib, sekarang boleh menjadi keliru, siapa pula yang mahu dijatuhkan? Akan tetapi, jika dibiarkan Tun Mahathir terus memegang jawatan PM, kartel-kartel dalaman PKR, pasti tidak akan duduk diam. Mereka mungkin mencetuskan gerakan dalaman menjatuhkan Tun. Sayang mereka kepada Tun, hanya sayang mahukan kuasa. Dan ‘team’ Tun pula pastinya tidak akan berputih mata. Situasi ini juga memberikan kekeliruannya yang sama kepada rakyat.

Selepas kejatuhan Datuk Seri Najib, akan menjadi tersangat mudah bagi Tun, untuk kembali menerajui Umno. Dalam PKR juga, belum tentu kartel-kartel mereka yang ada akan bersatu di bawah DS Anwar kerana laparkan jawatan. Ditambah lagi dengan banyak perkara yang rakyat tidak berpuas hati terhadap PH, maka keruntuhan Kerajaan PH, sangat nyata. Saya tidak tahu sejauh mana kuasa yang Tun ada sebagai PM untuk membubarkan Parlimen walaupun penggal masih belum berakhir setahun umurnya. Tetapi jika ianya dibenarkan berlaku menerusi Perlembagaan, maka kita semua pastinya akan dapat mengagak pembubaran Parlimen akan menjadi butang kecemasan Tun dan bagaimanakah kesudahannya.

Tetapi apabila hati sudah hitam, apabila nafsu sudah bergelojak, apabila jiwa sudah kacau, orang mereka secara tiba-tiba menyerang PAS. Pelbagai asakan yang dilakukan, sebagaimana yang pernah saya tulis sebelum ini, fitnah bergabung dengan Umno adalah yang paling laris diniagakan mereka walhal pelukan mesra dan kasih sayang mereka dengan Umno di Kedah dan Perak dibuat-buat lupa. Tanda-tanda kepada kejatuhan Kerajaan PH amat nyata kerana mereka sibuk bermain persepsi dan fitnah. Pelbagai kesalahan pentadbiran yang nyata sedang dilakukan PH, tetapi masih membina persepsi kebencian terhadap lawannya. Cuba lihat Kerajaan Terengganu, tiada dihebohkan kejahatan BN yang lalu walaupun ada, tetapi kekal fokus dengan manifesto PRU. Sudah ada beberapa manifesto telah berjaya ditunaikan. Hasil diamnya Kerajaan Negeri Terengganu, rakyat mendapat ‘ubi’nya.

Pun begitu, kejayaan menunaikan manifesto oleh Kerajaan Negeri Terengganu yang sepatutnya disambut dengan kesyukuran itu, diselangi dengan kehinaan kepada PAS. Apatah lagi kerana PAS kalah di Seri Setia. Lagilah teruk mereka menghina. Tetapi saya melihat penghinaan ini dari suatu sudut yang lain. Ada yang katakan adalah lebih baik PAS berkawan dengan syaitan daripada duduk dengan gabungan parti-parti politik lain kerana semua parti gabungan yang PAS sertai sebelum ini, kalah. Jadi lebih baik bergabung dengan syaitan dan asbab gabungan itu nanti, syaitan akan kalah, dan semua orang akan masuk syurga. Gurau mereka. Saya melihat sindiran yang mungkin dianggap bernas, pintar dan hebat bagi menjatuhkan PAS ini sangat dangkal. Baiklah, mari kita lihat siapa yang kena dengan penghinaan ini. 

Masih ingatkah kepada gelaran Maha Firaun yang diberikan oleh mereka kepada Tun Mahathir suatu ketika dahulu? Gelaran ‘Maha’ seperti yang kita maklum, dahulu, kita memahaminya sebagai yang paling besar, berkuasa atau apa-apa yang semaksud dengannya. Oleh itu gelaran Maha Firaun kepada Tun adalah bermaksud Tun ialah Firaun yang terbesar, paling berkuasa. Itu maksud gelaran yang diberi ketika itu. Manakala Firaun pula ialah satu watak terhina di dalam sejarah Islam kerana kejahatan dia mengaku sebagai Tuhan.

Jika watak semelampau itu yang diberikan kepada Tun Mahathir ketika itu, dan mereka akhirnya mencium kembali tangan Tun Mahathir kini, malahan DS Anwar sendiri pun terpaksa menjilat Tun Mahathir bagi jawatan PM, jadi siapa lebih rendah kedudukannya? Hinaan mereka kepada PAS supaya duduk bergabung dengan syaitankah atau jalinan ikatan mereka dengan Maha Firaun sekarang? Mereka kini bergabung dengan watak yang tersangat jahat yang pernah mereka isytiharkan dahulu sedang PAS tidak pernah bergabung pun dengan syaitan. Tiadalah mereka merasa malu kerana syaitan telah menguasai diri mereka. PAS dilihat kononnya dihina oleh golongan yang suka menghina dengan cara terhina, tetapi akhirnya kehinaan itu kembali kepada mereka, si penghina yang terhina. Ingatlah, Firaun gilakan kuasa sehingga sanggup mengaku menjadi tuhan. Adakah logik kuasa akan diserahkan kepada musuhnya?

Teringat saya kepada beberapa tokoh besar PAS pada sekitar 80 dan 90-an dahulu yang suka mengkafirkan lawan mereka, terutamanya daripada Umno. Mereka itulah yang kemudiannya masuk Umno dan mati dalam Umno. Kemudian bergelumang dengan Umno bagi sama-sama melawan PAS. Jadi jaga-jaga dengan hinaan yang melampau, takut-takut ada yang kemudiannya menjadi syaitan itu. Dan pastinya mereka akan menjadi golongan yang terhina. Lebih baik dijenguk-jenguk dalam PH, siapa yang mengasah parang sekarang. Siapa yang akan menetak, siapa yang hendak ditetak. 

MOHD NASIR ABDULLAH
Al-Khor, Qatar
11 September 2018/ 1 Muharram 1440 - HARAKAHDAILY 11/9/2018

HEBAT sungguh sahabat saya Dr Mazlan Ali, Pensyarah Kanan Bahagian Politik dan Dasar Awam Fakulti Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), penganalisis politik yang berasal dari Terengganu, dalam memberi komen mengenai kerjasama Umno-PAS.

Selalunya paling tinggi pun penganalisis politik lain hanya akan berani membuat unjuran atau jangkaan mengenai prestasi parti-parti politik untuk tempoh lima tahun sahaja, contohnya kesan kerjasama Umno-PAS ke atas prestasi mereka dalam PRU15 lima tahun lagi.

Bagaimanapun, hebatnya Dr Mazlan Ali ini sehingga beliau boleh membuat ramalan spesifik bahawa “Umno dan PAS bakal menjadi pembangkang untuk tempoh 61 tahun lagi sekiranya gabungan dua parti terbesar orang Melayu dan Islam itu benar-benar berlaku".

Kata beliau kepada portal berita Malaysia Date Line semalam, Umno dan PAS akan hancur ekoran kerjasama mereka itu di mana “terdapat lima faktor mengapa gabungan Umno dan PAS itu akan menguntungkan Pakatan Harapan dan bakal menghancurkan Umno-PAS”.

Salah satu daripada faktor yang dinyatakan oleh Dr Mazlan Ali adalah “PAS dilihat sebuah parti yang ekstrem” di mana kehadiran pemimpin PAS di pentas MCA dalam PRK Balakong contohnya disifatkan sebagai punca calon MCA mengalami kekalahan dalam PRK itu.

Tidak pula Dr Mazlan Ali pertimbangkan kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Siang, dan kenyataan bekas Ahli Parlimen Jelutong dari DAP, Jeff Ooi, bahawa calon MCA akan kehilangan wang deposit jika MCA tidak mendapat bantuan daripada pemimpin PAS dalam PRK itu.

Kata Dr Mazlan Ali lagi: “Hanya Melayu luar bandar atau desa atau FELDA sahaja yang tertarik dengan isu yang menjadi teras perjuangan Umno-PAS mutakhir ini. Kebergantungan terhadap pengundi luar bandar sahaja tidak memungkinkan Umno-PAS mampu menawan Putrajaya.”

Tidak juga Dr Mazlan Ali pertimbangkan kenyataan penganalisis politik dari UIA, Dr Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar, yang berkata kepada portal berita The Malaysian Insight “terdapat tanda-tanda yang kerjasama Umno-PAS akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak”.

Begitu juga dengan kenyataan wartawan veteran, Zin Mahmud, dalam portal berita Free Malaysia Today bahawa BN-PAS boleh memenangi Putrajaya, mempertahankan Perlis, Kelantan, Terengganu dan Pahang tetapi juga menawan Kedah, Perak dan Melaka.

Kata Zin Mahmud, gelombang konservatif populis yang menjadi pendekatan BN-PAS ini “menang banyak pilihan raya, dari Donald Trump di Amerika Syarikat hingga ke Brexit di Eropah” dan adalah suatu yang tidak mustahil perkara sama boleh berlaku di Malaysia.

Pelik juga bila difikirkan apa perlunya pihak-pihak tertentu memberikan reaksi yang terlalu keras terhadap kerjasama Umno-PAS ini jika benar kerjasama ini akan menguntungkan Pakatan Harapan dan bakal menghancurkan Umno-PAS seperti yang mereka dakwa.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang, umpamanya sampai boleh menuduh, dalam bentuk pertanyaan, bahawa para pemimpin PAS di bawah Datuk Seri Abdul Hadi Awang, kini memperjuangkan kleptokrasi Islam bila bekerjasama dengan para pemimpin Umno.

Begitulah kisahnya ketakutan pihak-pihak tertentu terhadap kerjasama Umno-PAS ini sehingga ada yang berani mendahului Tuhan dengan membuat ramalan tertentu manakala ada pula yang menyerang PAS sehingga boleh mengaitkannya dengan kesucian Islam pula. - HARAKAHDAILY 12/9/2018

 

MENGAPA PAS terlepas dari budaya buruk dan virus yang menghinggapi semua parti politik di Malaysia?

Hal ini tidak berlaku dalam PAS kerana beberapa alasan.

Asas utamanya kerana ahli, pimpinan dan organisasi PAS memahami prinsip integriti daripada perspektif Islam.

Perkataan an-Nazaahah atau integriti banyak diperkatakan oleh ulamak terdahulu sebagai salah satu sifat yang mulia. Antaranya disebut oleh Ibn Al-Jauzi:

“Dalil kesempurnaan gambaran batin ialah kebaikan tabiat dan akhlak. Maka tabiat itu terdiri daripada sifat menahan diri daripada keburukan, integriti, menjauhi kejahilan serta menjauhi keburukan….”

Nilai amanah yang menjadi salah satu nilai yang membentuk integriti banyak diperkatakan di dalam al-Quran. Antaranya ialah sifat amanah yang membentuk integriti yang tinggi yang dimiliki oleh Nabi Musa A.S:

قَالَتْ إِحْدَاهُمَا يَا أَبَتِ اسْتَأْجِرْهُ ۖ إِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَأْجَرْتَ الْقَوِيُّ الْأَمِينُ

"(Maksudnya) Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: "Wahai ayah, ambillah dia memjadi orang upahan (mengembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah."

(al-Qasas: 26)

Pimpinan PAS pula mempunyai beberapa kekuatan yang disebut oleh kepimpinan Pemuda iaitu:

●      Kejayaan dari pemerintahan Kerajaan Negeri Kelantan. Bukan sahaja terbukti bebas rasuah, malah menunjukkan prestasi kewangan sangat cemerlang. Semua ini lantaran ketelusan yang bermula dari dasar parti menerajuinya iaitu PAS.

●    Kejayaan itu tidak hanya kerana ketelusan dan amanah pentadbiran, tetapi turut disumbang oleh kecekapan pengurusan yang bermula dari sekecil perkara yakni berjimat cermat. Lebih penting, ia adalah kekuatan aspek rohani di mana mendidik perihal ketakwaan; sesuatu yang tiada dalam ajaran selain Islam.

●      Islam yang menjadi dasar kepada parti PAS inilah hingga perkara itu dibuktikan dengan pengiktirafan markah 99.0 peratus bagi Prestasi Pengurusan Kewangan Berdasarkan Indeks Akauntabiliti 2016 dalam Laporan Ketua Audit Negara untuk Pejabat Menteri Besar dan SUK Kelantan.

●      Pencapaian ini berlaku dalam keadaan Kelantan dinafikan bayaran royalti petroleum, sehingga mampu mentadbir sedemikian dengan kekurangan sejak tahun 1990 angkara sekatan Kerajaan Persekutuan. Prestasi sama ditunjukkan semasa PAS mentadbir Kerajaan Negeri Terengganu tahun 1999 dan Kedah tahun 2008 dahulu.

Perkembangan terkini dalam PAS

Apa yang berlaku dalam konteks politik pra PRU14, PAS telah difitnah menerima rasuah oleh pihak Sarawak Report. Tanpa mengambil kira apakah fitnah itu benar atau sebaliknya, nama PAS dan pimpinan mereka telah difitnah sebegitu rupa sehingga RM90 juta dikatakan masuk ke dalam kantong PAS atau pemimpin mereka. 

Persoalan yang timbul, apakah isu ini akan digunakan dalam PRU15 akan datang atau mana-mana PRK yang akan berlaku?

Persoalan juga timbul apakah langkah yang patut diambil oleh pimpinan PAS supaya fitnah demikian boleh ditolak dengan mudah?

Apakah pula usaha yang boleh dilakukan oleh ahli mereka bagi memastikan nama baik pemimpin mereka, Ahli Majlis Syura (AMS), Ahli Dewan Harian (ADH), AJK PAS Pusat dan seluruh kepimpinan mereka dapat diselamatkan dari fitnah yang melibatkan integriti pimpinan mereka tercalar pada masa yang akan datang.

Persoalan ini akan dijawab dengan beberapa pandangan di bawah:-

Mengapa perlunya Jawatankuasa Integriti

Penubuhan jawatankuasa ini sangat penting untuk memastikan pimpinan PAS terselamat daripada sebarang fitnah pada masa yang akan datang. Jika berlaku apa sahaja bentuk fitnah daripada mana-mana pihak, maka pihak jawatankuasa ini boleh mengadakan siasatan, lawatan dan akhirnya mengesahkan bahawa mereka tidak melakukan sebarang bentuk tindakan yang boleh mencemarkan kedudukan mereka terutama sebagai pemimpin PAS. Jika kita sebagai ahli parti melihat pucuk pimpinan didakwa melakukan korupsi dalam pentadbiran negeri, pengurusan politik dan lain-lain, aduan dan laporan dalam bentuk penyerahan bukti, persaksian boleh dibuat terus kepada jawatankuasa ini tanpa melalui prosedur ketat seperti laporan tata tertib.

Pada masa itu, kita tidak memerlukan laporan akhbar, siasatan lanjut dan kenyataan songsang daripada mana-mana pihak kerana Jawatankuasa Integriti PAS sudah mempunyai autoriti yang cukup kuat dan tegas dalam memastikan mereka yang difitnah sebenarnya tidak terlibat dan sekali gus pihak luar gagal mencalarkan integriti pemimpin PAS terutama di peringkat Pusat dan Negeri.

Sekarang, apa yang kita boleh buat jika kita mendapati atau mendengar ada pucuk pimpinan didakwa mengambil komisyen daripada projek-projek negeri atau negara, mengambil wang daripada pihak parti musuh seperti Umno atau PH, memonopoli projek parti? Ahli di peringkat bawahan tiada ruang untuk melaporkan hal di atas kepada pihak yang bertanggungjawab.

Sekiranya hal itu tidak benar dan berlaku salah faham di kalangan ahli yang melihat daripada luaran, sudah tentu ia akan mencipta fitnah yang akan tersebar tiada kesudahan, justeru tiada penyiasatan rasmi dan telus di dalam parti melalui mekanisma Jawatankuasa Integriti yang dicadangkan.

Jika ia melibatkan korupsi yang besar seperti melibatkan penyelewengan jutaan ringgit, ia akan meletakkan ahli yang berpegang kepada nahi mungkar dalam dilema. Asas nahi mungkar ialah berusaha sehingga yang mungkar itu berhenti. Sememangnya langkah pertama ialah menegur secara tertutup tetapi ia boleh berakhir dengan meminta khalayak ramai membantu mencegah bersama sebagaimana Hadis-hadis Nabi yang berkaitan.

Penutup

Tulisan di atas adalah cadangan awal dan idea asas kepada perlunya penubuhan satu Jawatankuasa Integriti yang mengaplikasikan tanggungjawab semua iaitu “menghindarkan daripada kerosakan lebih utama daripada mendapatkan maslahat” dan lain-lain kaedah dalam Islam. Cadangan awal ini boleh dilaksanakan dalam bentuk kelulusan awal di peringkat Muktamar, penubuhan jawatankuasa khas pembentukan portfolio ini seterusnya disediakan SOP dan garis panduan pelaksanaan.

Mudah-mudahan, dengan cadangan penubuhan Jawatankuasa Integriti PAS ini akan membuktikan kepada masyarakat bahawa PAS sudah cukup bersedia menggantikan kerajaan yang diterajui oleh BN sebelum ini dan PH di peringkat Negeri dan Pusat. Dalam masa yang sama ia bersifat:

“Tegakkan Islam di dalam diri kamu, maka ia akan tertegak di tanah airmu.”

- HARAKAHDAILY 12/9/2018

 

MAAL Hijrah disambut pada setiap 1 Muharram, bukan kerana tarikh ini bermula peristiwa hijrah Rasulullah atau sempurna misi hijrah Baginda ke Madinah, tetapi kerana Saidina Umar al-Khattab memilih peristiwa hijrah sebagai permulaan pengiraan kalendar Islam yang berasaskan peredaran bulan mengelilingi bumi. Adapun nama Muharram dan 11 bulan lain telah wujud dalam masyarakat Arab sebelum kelahiran Nabi S.A.W lagi.

Saidina Umar ketika menjadi khalifah kedua umat Islam memilih cadangan Saidina Ali supaya dijadikan tahun peristiwa hijrah sebagai permulaan pengiraan kalendar Islam, walaupun terdapat cadangan supaya dipilih tahun gajah, tahun Nabi dilahirkan. Ada juga cadangan supaya dikira bermula tahun Nabi menerima wahyu, dan bermacam lagi cadangan. Menandakan peristiwa hijrah merupakan titik penting pada pandangan Sahabat yang terkenal kritis dan berpandangan jauh itu.

Peristiwa hijrah berlaku kerana Baginda ingin menegakkan sebuah sistem kehidupan yang bebas mempraktikkan seluruh cara hidup Islam. Peristiwa hijrah adalah sebab tertegaknya sebuah sistem politik Islam dengan berdirinya Kerajaan Islam Madinah. Piagam Madinah menjadi Perlembagaan Negara, menyempurnakan rukun penubuhan negara iaitu rakyat, pemimpin, tanah, undang-undang dan kedaulatan.

Hijrah sering diulas dari segi maksud bahasa iaitu perpindahan dari yang buruk kepada baik. Digunakan berbagai istilah seperti reformasi, transformasi, revolusi, pembaharuan, perubahan dan sebagainya. Tetapi secara peribadi saya lebih sukakan terma anjakan paradigma (paradigm shift). Ini kerana anjakan bermaksud melangkah ke hadapan, daripada satu peringkat kepada peringkat yang lebih baik tanpa meninggalkan persepsi negatif kepada peringkat terdahulu.

Penghijrahan Baginda dari Makkah ke Madinah adalah satu anjakan paradigma, bukan kerana Islam berada di peringkat yang buruk di Makkah, tetapi kerana umat Islam telah bersedia untuk memikul tanggungjawab memimpin kerajaan setelah melalui proses pembentukan jati diri (tarbiyyah) selama 13 tahun. Segala kesukaran dan seksaan yang dihadapi oleh Nabi dan para Sahabat bukan kerana Islam itu lemah atau perancangan yang silap, tetapi kerana tuhan sedang mengatur sebuah kumpulan manusia terbaik dari segi fizikal, mental dan spiritual; akidahnya, syariatnya dan akhlaknya.

Pengajaran utama daripada sambutan Maal Hijrah saban tahun tentu sekali adalah berkait dengan sebab peristiwa hijrah itu berlaku; anjakan paradigma ke arah penegakan sebuah sistem politik. Daripada penegakan Madinah inilah, dakwah Islam memasuki fasa baru sehingga walau 10 tahun cuma Madinah tertegak, orang yang memeluk Islam sudah berganda kepada ratusan ribu, berbanding era Makkiyyah yang cuma berjaya menarik kira-kira 100 orang Islam dalam tempoh 13 tahun.

Apakah yang lebih berharga dari memimpin satu jiwa ke arah tuhannya? Sabda Rasulullah S.A.W:

لأنْ يَهْدِيَ اللَّهُ بِكَ رَجُلًا وَاحِدًا ، خَيْرٌ لَكَ مِنَ الدُّنْيَا وَمَا فِيهَا

"Memimpin seseorang menerima hidayah Allah adalah lebih berharga dari nilai dunia dan seluruh isinya."

[HR Ibn Mubarak]

Rahsia kejayaan dakwah Nabi S.A.W adalah kerana sistem politik Islam. Apabila sistem politik berubah, Islam dapat dipraktikkan bukan sekadar amalan fardi, tetapi juga sudut ekonomi, pentadbiran, pendidikan, pertanian, alam sekitar, budaya dan sebagainya. Islam berjaya dilihat secara holistik tanpa cacat cela. Inilah dakwah bil hal (dakwah dengan tindakan) yang berjaya menarik seluruh masyarakat Arab hingga perbatasan Rom dan Parsi kepada Islam.

Abu Ala al-Maududi menyatakan di dalam bukunya Khilafah wal Mulk, tugas utama Rasulullah S.A.W di atas muka bumi adalah dakwah, dan tugas kedua adalah khilafah. Maka tugas khilafah (pemerintahan) adalah wasilah kepada misi dakwah.

Sempena Maal Hijrah 1440 tahun ini, marilah kita hayati intipati sebenar peristiwa hijrah. Rakyat Malaysia bertuah kerana berjaya melihat perubahan kerajaan pasca PRU14 bukan sahaja di peringkat Persekutuan, tetapi di hampir seluruh negeri. Perubahan ini sepatutnya membawa politik dan budaya rakyat ke arah mempraktikkan Islam secara holistik. Inilah masanya kerajaan baharu negara dan negeri melakukan anjakan daripada sistem yang sedia ada kepada sistem yang lebih Islamik.

Tidak ada apa erti perubahan sebuah kerajaan tetapi yang berubah hanya wataknya, tapi sistemnya masih yang sama. Korupsi akan terus berulang, ekonomi tidak akan pulih, politiking terus berulang, jenayah semakin membarah, penipuan dan pengkhiatan janji tidak ada bezanya, dan mentaliti rakyat masih di takuk lama.

Mesej akhir kepada kerajaan sebagai salah seorang sekretariat penggubal Wawasan Induk Negara Sejahtera 2051 (WINS2051), lihat dan dalamilah dokumen yang kami sediakan ini. Ia adalah satu model pemerintahan negara berasaskan kerangka Islam. Mencakupi 10 teras utama sektor pentadbiran Malaysia dan dibahagikan kepada tiga fasa, sehingga mencapai status negara sejahtera tahun 2051.

Mungkin tuhan belum izinkan PAS untuk mengaplikasikan wawasan ini, tetapi tidak bermakna wawasan yang baik demi rakyat dan negara ini perlu diabaikan begitu sahaja. Tidak kisah siapa yang melaksanakan, asalkan ia terlaksana. Sehingga sekarang, Kerajaan Pusat masih tidak menunjukkan tanda-tanda mereka punya idea untuk merubah sistem yang diwarisi sejak zaman penjajah ini. Malah dilihat undur ke belakang apabila kembali kepada SST yang sudah dimansuhkan.

Semoga umat Islam tidak lupa tanggungjawab mereka mengembalikan sistem politik kepada Islam, tugas semua manusia terutama para Rasul sejak Nabi Adam A.S. Dan semoga usaha yang kita lakukan menjadi mata rantai ke arah tertegaknya Khilafah Islam akhir zaman yang dijanjikan oleh Nabi S.A.W.

Salam Maal Hijrah 1440

"Hijrah Sistem Politik"

1 Muharram 1440
11 September 2018

(ALANG IBN SHUKRIMUN) - HARAKAHDAILY 11/8/2018

 

More Articles ...