TIGA perkara diutamakan berkenaan memorandum membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang dilakukan semalam iaitu Kerajaan berhenti mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan berkaitan ICERD, tidak sesekali berniat menggugat hak orang Bumiputera dan Melayu serta pertemuan bersama-sama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membincang isu berbangkit dalam masa terdekat.

Pagi semalam saya bersama ahli Parlimen Marang, YB Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang bersama ahli parlimen PAS serta rombongan UMMAH yang menggabungkan 300 NGO juga turut terlibat dalam sesi penyerahan memorandum berkenaan Bantahan Ratifikasi (ICERD) kerana bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Kami menggesa Kerajaan hendaklah mengambil serius berkaitan tiga perkara utama berkenaan kerana pelaksanaan ICERD seakan-seakan cuba mencabar kedaulatan raja dan perlembagaan Malaysia dan bantahan yang kami lakukan adalah berasas kerana ia secara terang lagi nyata akan menyentuh dan menghapuskan hak istimewa orang Melayu serta anak-anak negeri Sabah dan Sarawak.

Selain itu, Kerajaan perlulah membuat pertimbangan secara terperinci berhubung pelan untuk mengesahkan ICERD supaya tidak sampai ke tahap yang memaksa perlembagaan negara diubah yang memberi kesan yang besar.

Jelaslah di sini bahawa ICERD adalah konvensyen antarabangsa yang akan mengubah struktur dan acuan negara kita seandainya kerajaan menandatangani dan meratifikasinya. Persoalannya, apakah motif dan alasan Kerajaan PH mahu mengesahkan ICERD ini?

“Islam Memimpin”

YB Che Alias Hamid
Ahli Parlimen Kemaman
1 November 2018 – HARAKAHDAILY 1/11/2018

كلمة حق يراد بها الباطل

"Kalimah yang benar, tetapi dikehendaki disebaliknya adalah kebatilan"

Inilah ungkapan Saidina Ali ketika tentera Muawiyah menjulang al-Quran yang diletakkan di mata tombak, meminta perdamaian dan rundingan selepas hampir kalah dalam peperangan Siffin. Saidina Ali tahu bahawa ianya hanya satu helah untuk menukar strategi. Namun atas desakan umat Islam yang tidak sanggup melihat perbalahan sesama Islam, Saidina Ali akur.

Akhirnya apa yang dibimbangi Saidina Ali berlaku jua. Peristiwa tahkim dijadikan helah bagi menafikan kuasa Saidina Ali sebagai khalifah yang sah. Dan berlakulah apa yang berlaku.

Ada juga riwayat yang mengatakan, Saidina Ali melafazkan kalimah tersebut sebagai respon kepada laungan Khawarij:

إن الحكم إلا لله

"Tiada keputusan melainkan bagi Allah"

Khawarij menolak tahkim atas alasan ianya ibarat mengambil kerja tuhan.

Apa yang ingin disampaikan dari kisah ini adalah bagaimana manipulasi kebenaran dilakukan bagi mencapai kebatilan. Menggunakan sesuatu yang secara zahirnya betul, tetapi di belakangnya adalah perancangan rapi bagi menjayakan satu tujuan yang batil. Itulah modus operandi yang sering diulang golongan yang berniat jahat sepanjang Islam.

Fiqh Maalat atau Sadd Zarai'

Bagi menghadapi bahaya ini, ulamak memperkenalkan satu sumber hukum far'iy (sampingan) yang dicedok melalui kefahaman (fiqh) terhadap nas, dikenali sebagai Sadd Zarai' ataupun Fiqh Maalat. Sadd Zarai' adalah perubahan sesuatu hukum daripada hukum asal bagi mengelakkan mafsadah berlaku.

Contohnya hukum menjual pisau atau pedang. Pada asasnya hukumnya harus. Tetapi apabila menjualnya di saat dua saudara sedang bergaduh dan dikhuatiri alatan tersebut digunakan bagi tujuan mencederakan atau membunuh, maka hukum boleh berubah kepada haram.

Contoh yang lain adalah menjual anggur. Asasnya ia adalah harus. Tetapi menjual kepada seorang yang memang dikenali sebagai pembuat arak, maka hukumnya adalah haram.

Aplikasi fiqh ini pernah digunakan oleh Mufti Palestin ketika umat Islam di sana ditawarkan harga yang tinggi oleh Yahudi bagi membeli tanah. Mufti tersebut mengeluarkan fatwa bahawa haram menjual tanah ketika itu kepada Yahudi, walaupun hukum asal berjual beli dengan Yahudi adalah harus.

Namun ramai umat Islam tidak mempedulikannya. Akhirnya setelah Yahudi berjaya memiliki sebilangan tanah Palestin, mereka menuntut penubuhan negara sendiri. Lalu terbentuklah Israel pada tahun 1948 di atas tanah air Palestin.

Agamawan sebagai agen normalisasi

Dewasa ini, modus operandi kebatilan di sebalik kalimah haq digunakan berleluasa ke atas seluruh umat Islam dunia. Baik dalam bidang politik, perundangan, ekonomi, sosial, pendidikan, pentadbiran, perubatan dan berbagai lagi. Agamawan dijadikan boneka bagi mengharuskan tindakan mereka. Ada di kalangan agamawan yang memang bekerja bagi pihak musuh Islam secara sedar. Ada juga yang tidak sedar dibonekakan, akibat hanya faqih dalam silibus pengajian Islam sahaja, tetapi dangkal dalam selok belok politik, perundangan dan lain-lain yang tidak diajar di institusi atau fakulti pengajian Islam.

Terbaharu isu gay. Terdapat agamawan mendukung kenyataan bahawa bukan semua gay itu songsang. Secara zahir mungkin ada justifikasi yang boleh diberikan bagi membela kenyataan tersebut. Tetapi Fiqh Maalat perlu diaplikasikan dalam menangani isu ini. Lihat latar belakang orang yang berkata. Kaji pemikiran beliau melalui ucapan dan tulisannya sebelum ini. Lihat beliau bersama siapa, dan apa agenda sebenar mereka.

Selain gay, isu terkini juga adalah ICERD. Memang secara umum Islam tidak mendiskriminasi kaum. Tetapi perlu dikaji sejarah perbezaan sosioekonomi dan sosiopolitik kaum sejak negara ini ditinggalkan oleh penjajah. Kaji juga agenda besar kumpulan yang membawa polemik ini.

Saya pernah menulis beberapa bulan dahulu mengenai pelantikan bukan Islam sebagai pemimpin negara bertajuk "Normalilasi Lubang Biawak". Modus operandi yang sama digunakan. 

Diheret ke lubang biawak

Modus operandi ini sangat halus dan sulit. Perlukan kepakaran mencerap yang bukan terhadap wahyu, tetapi juga terhadap situasi semasa.

Nabi sudah menggambarkan bagaimana taktik Yahudi supaya orang Islam mengikut telunjuk mereka. Mereka tak akan buat drastik, sebaliknya sedikit demi sedikit, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, perlahan, halus dan konsisten. Sehingga bila tiba saat mendedahkan agenda sebenar mereka, ia sudah terlambat untuk bertindak. Atau lebih parah, ia sudah tidak dianggap sebagai satu masalah. Ia strategi normalisasi yang ampuh untuk melekakan umat. Sabda Rasulullah S.A.W:

لَتَتّبِعُنّ سَنَنَ الّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ. شِبْراً بِشِبْرٍ، وَذِرَاعا بِذِرَاعٍ. حَتّىَ لَوْ دَخَلُوا فِي جُحْرِ ضَبَ لاَتّبَعْتُمُوهُمْ" قُلْنَا: يَا رَسُولَ اللّهِ آلْيَهُودُ وَالنّصَارَىَ؟ قَالَ "فَمَنْ؟

"Kamu akan mengikut jalan orang yang terdahulu darimu. Sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, hinggalah kalau mereka masuk ke lubang biawak, nescaya kamu akan turut masuk. Sahabat bertanya adakah mereka Yahudi dan Nasrani? Jawab Baginda: Siapa lagi kalau bukan mereka?"

[HR Bukhari & Muslim]

Nabi juga memberi amaran, jangan ikut agamawan sembarangan. Kerana akan muncul akhir zaman ini pendakwah yang menyeru manusia ke neraka. Zahirnya bermodalkan agama, tetapi di sebaliknya adalah agenda Iblis. Sabda Rasululullah S.A.W:

دُعَاة على أبواب جهنَّم، مَن أجابَهُم إليها قذَفُوه فيها

"Pendakwah yang menyeru manusia ke neraka. Sesiapa yang menyahut dakwah mereka akan dihumban di dalamnya."

Lebih menakutkan, apabila Huzaifah bertanya Nabi apakah sifat-sifat pendakwah itu? Bagi menjawab:

هُمْ مِن جِلدَتِنا، ويتكلَّمون بألسِنتِنا

"Mereka dari kulit yang sama dengan kita. Berbicara dengan bahasa kita."

[HR Bukhari]

24 Safar 1440
1 November 2018

(ALANG IBN SHUKRIMUN) - HARAKAHDAILY 1/11/2018

 

JAWAPAN Menteri Perusahaan Utama, Teresa Kok Suih Sim di Dewan Rakyat pada 31 Oktober mengenai jumlah hasil ladang Felda amat menyedihkan dan mengecewakan Bagaimana seorang menteri kerajaan memerintah dilihat gagal memberikan fakta jelas dalam jawapannya.

NGO Generasi melihat bagaimana boleh YB Menteri mengeluarkan kenyataan di Dewan Rakyat satu ekar ladang sawit mengeluarkan hasil 4 tan dan jika dijaga dengan baik hasilnya mencecah 12 hingga 15 tan bagi 1 ekar.

Jika kita berpegang kepada kenyataan ini, maka ia bermakna hasil peneroka Felda yang mempunyai 10 ekar sawit boleh mencapai 150 tan untuk 10 ekar.

Untuk pengetahuan YB Menteri, jawapan yang diberikan jauh dari fakta yang sebenarnya. YB Menteri, ini Dewan Rakyat bukan "gelanggang Maharaja Lawak". Dewan rakyat tempat menggubal dasar mebincang maslahat rakyat secara tepat bukan "hearsay" atau mengambil maklumat dari mana-mana bakul sampah.

5Kami anak-anak peneroka Felda dan mungkin peneroka Felcra atau pekebun kecil merasa terpanggil untuk mencadangkan agar YB Menteri mengambil cuti, duduk di Felda untuk melihat dan mendapatkan fakta yang sebenar dan jika YB Menteri tak kenal buah sawit yang mana yang muda dan yang mana yang masak maka kami akan ajarkan YB Menteri.

Bagi NGO Generasi kami melihat, kegagalan ini bukanlah kerana pegawai gagal memberi fakta, tetapi menjadi "trend" menteri kerajaan PH menjawab isu suka hati mereka tanpa fakta dan asas yang jelas hinggakan ia menjadi bahan lawak.

NGO Generasi sekali lagi mencadangkan agar kerajaan khasnya Perdana Menteri melihat kembali kesesuaian "menteri tangkap muat" ini duduk dalam barisan kabinet kerana ia hanya akan terus memalukan kerajaan mahupun negara.

"Memangkin Impian Generasi"

USTAZ ROSLAN MD ESA
Presiden NGO Generasi
1 November 2018 – HARAKAHDAILY 1/11/2018

LAJNAH Asas Tani dan Alam Sekitar PAS Pusat (LATAS) ingin merakamkan ucapan tahniah dan syabas terhadap Kerajaan Negeri Terengganu khususnya terhadap Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Dr Alias Razak kerana sedia melaksanakan larangan penggunaan beg plastik bermula tahun depan di negeri itu.

Keputusan yang diambil kerajaan negeri di bawah pentadbiran PAS sangat-sangat dialukan kerana sehingga hari ini pencemaran sisa plastik di seluruh dunia sangat membimbangkan.

Dianggarkan terdapat hampir 300 juta tan sisa plastik yang terdapat di seluruh dunia di mana 8 hingga 9 juta tan sisa plastik sudah bertebaran di lautan sehingga menyebabkan hampir 100,000 hidupan marin yang mati setiap tahun serta hampir 1 juta burung laut yang mati akibat terdedah kepada sisa ini di lautan.

Langkah bijak yang diambil kerajaan negeri juga sudah pasti akan membantu usaha pemuliharaan dan pembiakan penyu di Negeri itu kerana sisa plastik adalah salah satu sebab utama yang menyebabkan kematian ribuan binatang itu setiap tahun di seluruh dunia.

Tidak ketinggalan juga, larangan penggunaan plastik akan dapat melindungi ancaman sisa itu terhadap hasil pendapatan nelayan di negeri itu.

Semoga keputusan ini dapat juga membantu usaha Kerajaan Negeri Terengganu dalam menguruskan sisa domestik dan pada masa yang sama dapat mengurangkan kos pengurusan sampah di peringkat negeri. Dan langkah penjimatan itu akhirnya dapat disalurkan kembali kepada rakyat.

Tahniah Kerajaan Negeri dan Rakyat Terengganu.

Muhammad Sanusi Md Nor
Pengerusi Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar PAS Pusat (LATAS)
1 November 2018 – HARAKAHDAILY 1/11/2018

YB MUJAHID PERLU BERHENTI MEMBERI PERSEPSI YANG SALAH TERHADAP PERLAKSANAAN UNDANG-UNDANG SYARIAH DI MALAYSIA

YB Mujahid dalam penggulungannya di Parlimen telah memberi maklum balas terhadap perbahasan saya berkenaan Kajian Separuh Penggal RMK-11 yang menyentuh tentang hukuman sebat syariah.

YB Mujahid memaklumkan kepada dewan bahawa Kerajaan Persekutuan tidak berniat untuk campur tangan urusan bidang kuasa kerajaan negeri, cuma dalam kenyataan media yang dikeluarkan sebelum ini, beliau hanya mahu memberikan pandangan bahawa mahkamah sewajarnya mempertimbangkan faktor mitigasi dan agravasi terhadap pesalah sebelum menjatuhkan sesuatu hukuman.

Saya berpendapat kenyataan sedemikian tidak wajar keluar daripada seorang menteri kerana ianya hanya menunjukkan bahawa beliau gagal memahami proses perundangan yang lazim dilakukan di mahkamah syariah di mana sudah menjadi kewajipan seorang hakim untuk melakukan pertimbangan berdasarkan fakta kes sebelum menjatuhkan sesuatu hukuman.

Kenyataan ini hanya memberikan persepsi yang salah kepada masyarakat seolah-olah hakim menjatuhkan hukuman sebat terhadap kesalahan jenayah yang tidak sepatutnya sedangkan hakim perlulah bebas membuat keputusan mengikut kebijaksanaan beliau selagi mana tiada salah laku dan tidak bersalahan dengan undang-undang.

Saya juga ingin menekankan bahawa dalam keadaan mahkamah telah pun melaksanakan peruntukan yang ada dengan cermat dan disaksikan hadirin yang lega serta berpuas hati dengan perlaksanaan, komen menteri dilihat sebagai mengandungi unsur-unsur berprasangka dalam keadaan beliau sendiri tiada di tempat kejadian dan sekadar mengulangi tohmahan-tohmahan liar yang tidak berasas.

Reaksi pertama beliau sepatutnya hanya boleh dibuat selepas laporan keseluruhan fakta kes sampai ke dalam pengetahuan beliau, dan perlu dilakukan secara berhati-hati agar tidak menjejaskan integriti mahkamah syariah.

Penting untuk umum memahami bahawa walaupun di mahkamah sivil hukuman sebatan hanya dijatuhkan ke atas pesalah bagi jenayah berat atau penjenayah tegar, mana mungkin perundangan syariah disamakan dengan perundangan sivil.

Pertimbangan yang sama tidak boleh dilakukan oleh hakim mahkamah syariah kerana sifat sebatan itu sendiri sudah berbeza. Di mahkamah syariah, hukuman sebatan bertujuan untuk mendidik, bukan menghukum seperti di mahkamah sivil. Oleh itu, keputusan yang dijatuhkan oleh hakim mahkamah syariah tidak boleh dilihat daripada sudut perundangan sivil.

5Saya bersetuju bahawa tidak salah untuk beliau memberi pandangan sebagai rujukan dan tambah baik pada masa hadapan, namun begitu tidak wajar bagi seorang menteri membuat pandangan balas yang memberikan persepsi yang salah kepada hakim syarie yang menjalankan tugas mengikut kuasa dan lunas undang-undang.

YB Mujahid perlu menguasai bidang tugas dan prosedur institusi dan agensi agama yang berada di bawah jagaannya sebelum memberikan pandangan yang bersifat peribadi dan prejudis hanya kerana ianya tidak mengikut nilai keadilan yang sama dengan undang-undang sivil.

Haji Ahmad Amzad Hashim
Ahli Parlimen Kuala Terengganu
1 November 2018/ 23 Safar 1440 – HARAKAHDAILY 1/11/2018

ANTARA aspek yang penting dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat adalah menguruskan komuniti masyarakat supaya dapat berfungsi dengan sempurna dan penuh keadilan.

Negeri Terengganu merupakan negeri pertama di Malaysia yang menyelesaikan pelantikan Ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di seluruh negeri pada 1 Julai 2018 yang lalu.

Ianya telah melibatkan seramai lima belas (15) orang ahli jawatankuasa yang dilihat mampu untuk memberikan sumbangan kepada pengurusan komuniti di setiap 1044 kampung di negeri ini.

Nama MPKK telah dicadangkan oleh Kerajaan Persekutuan bagi menggantikan nama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) pasca Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu.

Bagi memastikan pengurusan komuniti kampung terus diperkukuhkan, Kerajaan Negeri Terengganu juga telah bersetuju untuk menambah bilangan pelantikan seramai lima (5) orang lagi Ahli MPKK di setiap kampung. Senarai nama tersebut akan dicadangkan oleh Kerajaan Persekutuan.

Adalah diharapkan perkembangan ini akan mampu membawa suara komuniti kampung ke satu tahap yang lebih baik dan seterusnya memperkukuhkan asas hubungan negeri dan persekutuan, sesuai dengan pembentangan Kajian Separuh Penggal RMK-11 oleh YAB Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Dewan Rakyat pada 18 Oktober yang lalu.

DR AHMAD SAMSURI MOKHTAR
Menteri Besar Terengganu Darul Iman – HARAKAHDAILY 1/11/2018

PADA pagi tadi berlangsungnya sesi penyerahan memorandum oleh Gerakan Pembela UMMAH berkenaan Bantahan Ratifikasi International Convention on Elimination of All Forms of Racial Discrimination (ICERD) kerana bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Rombongan UMMAH yang menggabungkan 300 NGO ini telah disambut oleh Ahli Parlimen Marang, YB Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang bersama sekalian Ahli Parlimen PAS.

Isu ICERD ini menjadi kian hangat apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Senator Waytha Moorthy mengumumkan bahawa Kerajaan PH akan meratifikasi ICERD pada suku pertama awal tahun hadapan. Pengumuman ini mendapat bantahan dan kecaman banyak pihak.
Kemudian, seorang lagi Menteri di Jabatan Perdana Menteri,YB Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa bangkit mempertahankan pendirian Kerajaan PH ini sambil menuduh pihak yang membantah keputusan tersebut sebagai golongan yang tidak bertanggungjawab.

PAS sememangnya mempunyai pendirian yang tegas menolak ratifikasi ICERD ini kerana ia secara terang lagi nyata akan menyentuh dan mengganggu-gugat kedudukan orang Melayu-Islam dan Bumiputera di negara ini.
Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan menyebut:
"153. (1) Menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri"
Kedudukan istimewa ini antaranya merangkumi tanah Rizab Melayu, kuota perkhidmatan awam, biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan dan permit perniagaan.

ICERD adalah konvensyen antarabangsa yang akan mengubah struktur dan acuan negara kita seandainya kerajaan menandatangani dan meratifikasinya.
Atas alasan dan motif apa Kerajaan PH mahu meratifikasi ICERD ini?
Mengapa PH mahu membuka pintu yang sudah lama berkunci dan merungkai ikatan yang sudah tersimpul kemas sejak kita merdeka pada tahun 1957 dahulu?
Adakah semangat Malaysia Baru mahu mengubah segala-galanya?
Apakah masa hadapan intipati utama kontrak sosial seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan ini;
a) Perkara 153 (berkenaan kedudukan Istimewa Melayu dan anak-anak negeri Sabah dan Sarawak)
b) Perkara 160 (berhubung takrif Melayu dan ikatannya dengan Islam)
c) Perkara 89 (mengenai tanah rizab Melayu di bawah Enakmen-Enakmen di peringkat Negeri-negeri).

Takrif diskriminasi kaum di bawah ICERD adalah amat luas sepertimana yang terkandung dalam Artikel 1 iaitu;
"1. In this Convention, the term "racial discrimination" shall mean any distinction, exclusion, restriction or preference based on race, colour, descent, or national or ethnic origin which has the purpose or effect of nullifying or impairing the recognition, enjoyment or exercise, on an equal footing, of human rights and fundamental freedoms in the political, economic, social, cultural or any other field of public life."

Walaupun Menteri PH memberi alasan kononnya Malaysia boleh membuat pengecualian “reservation” terhadap perkara-perkara yang bertentangan dengan Perlembagaan, tetapi hakikatnya hal ini tidak mungkin dapat dilakukan, kerana perkara-perkara yang bertentangan tersebut adalah menyentuh objektif dan intipati tujuan ICERD itu sendiri.
Artikel 20 ICERD melarang sebarang pengecualian ataupun “reservation” yang bercanggah dengan objektif dan tujuan ICERD;

"2. A reservation incompatible with the object and purpose of this Convention shall not be permitted, nor shall a reservation the effect of which would inhibit the operation of any of the bodies established by this Convention be allowed.
A reservation shall be considered incompatible or inhibitive if at least two thirds of the States Parties to this Convention object to it."

ICERD ini amat berbahaya kerana ia bukan sahaja menyentuh mengenai masa depan orang Melayu tetapi ianya turut mengancam kedudukan Islam yang ada terkandung dalam Enakmen Syariah di setiap negeri.
Hal ini kerana Artikel 5d(iv), (vi) dan (vii) ICERD melarang sebarang bentuk diskriminasi untuk kebebasan berkahwin silang agama dan bangsa, kebebasan untuk keluar agama, dan hak terhadap perwarisan harta.
Bukankah perkara ini akan membuka jalan untuk pihak tertentu menuntut hak murtad, hak Muslim berkahwin dengan bukan Islam tanpa menukar agama, dan hak samarata dalam pembahagian harta pusaka?
Adakah Menteri Agama kita sudah terlupa bahawa Perkara 160 Perlembagaan sudah menetapkan bahawa Melayu itu menganut agama Islam;
“Orang Melayu” ertinya seseorang yang menganuti agama Islam, lazim bercakap bahasa Melayu, menurut adat Melayu dan—
(a) yang lahir sebelum Hari Merdeka di Persekutuan atau Singapura atau yang lahir sebelum Hari Merdeka dan ibu atau bapanya telah lahir di Persekutuan atau di Singapura, atau yang pada Hari Merdeka berdomisil di Persekutuan atau di Singapura; atau
(b) ialah zuriat seseorang yang sedemikian;

Justeru, rakyat Malaysia khususnya ummat Islam berhak menuntut Kerajaan PH memberikan penjelasan sebenar berkenaan isu ini.

Perkara sebegini besar perlu dijadikan agenda perbahasan di Parlimen agar rakyat dapat menilai apa pendirian parti-parti dalam kerajaan iaitu PPBM, PKR, DAP, PAN, dan pro kerajaan iaitu Warisan dan GPS.

Gabungan pembangkang iaitu PAS dan Umno yang mewakili majoriti orang Melayu-Islam sudah pun menyatakan pendirian dengan jelas menolak ICERD ini.

Kerajaan PH juga diingatkan agar tidak melupakan peranan dan fungsi Majlis Raja-Raja Melayu yang bertindak sebagai pelindung dan penaung yang menjaga hak istimewa orang Melayu, Bumiputera dan mempertahankan kedaulatan Islam.

Kita sudah merdeka selama 61 tahun, mengapa pula pasca Malaysia Baru pimpinan PH ini mahu kita tunduk kepada tekanan pihak luar?

Atau sebenarnya ada pihak yang berada di dalam negara ini sendiri yang bersekongkol dengan pihak luar atas nama perjuangan hak asasi manusia.

Catatan oleh:
Syed Ahmad Fadhli
Pegawai Lajnah Hal Ehwal Parlimen dan Dun PAS Pusat
31 Oktober 2018 – HARAKAHDAILY 31/10/2018

More Articles ...