ISU perkahwinan bawah umur sepatutnya dirujuk kepada hukum syarak dan Undang-undang Keluarga Islam di negeri-negeri dan bukannya merujuk kepada akal semata-mata dan kehendak orang politik atau kerajaan Persekutuan.

Kenyataan menteri Kerajaan Persekutuan yang mahu membuat ketetapan tertentu dalam isu perkahwinan bawah umur melibatkan orang-orang Islam dilihat sebagai suatu bentuk campur tangan dan membelakangkan hukum Syarak dan undang-undang serta institusi Mahkamah Syariah di peringkat negeri ini. Lebih malang lagi ada juga pihak yang mahu perkahwinan ini dilarang sepenuhnya tanpa ada pengecualian.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-106 yang bersidang pada 21-22 Oktober 2014 memutuskan bahawa perkahwinan kanak-kanak hanya boleh dibenarkan dengan syarat ia dilakukan semata-mata untuk memenuhi kemaslahatan kanak-kanak tersebut secara syarie.

Senarai II, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan telah secara jelas memperuntukkan bahawa hal berkaitan perkahwinan bagi orang yang menganut agama Islam adalah kuasa negeri kecuali bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Setiap negeri mempunyai Enakmen Undang-undang Keluarga Islam serta Mahkamah Syariah masing-masing dan Sultan atau Raja pula adalah Ketua Agama Islam di negeri-negeri.

Enakmen Undang-undang Keluarga Islam yang dikuatkuasakan di semua negeri menetapkan umur minimun untuk perkahwinan ialah 18 tahun bagi lelaki dan 16 tahun bagi perempuan. Bagi perkahwinan di bawah umur itu, Hakim Syarie boleh memberi kebenarannya secara bertulis dalam hal keadaan tertentu.

Justeru, semua pihak perlulah menghormati hukum Syarak yang diaplikasikan menerusi undang-undang keluarga Islam ini dalam menangani isu-isu berkaitan perkahwinan orang-orang Islam.

Perkara mustahak yang perlu diberikan perhatian dan penekanan dalam membincangkan isu ini ialah kaedah Syarak bagi menolak kerosakan (Dar’ al-Mafasid) dan mengambil maslahah kebaikan (Jalb al-Masalih) daripada perkahwinan yang didirikan dengan kebenaran yang diberikan oleh Hakim Syarie itu.

Melarang sepenuhnya perkahwinan bawah umur tanpa pengecualian adalah bercanggah dengan keharusan dalam hukum Syarak.

Menentukan sesuatu kebaikan atau keburukan bagi sebarang tindakan melibatkan agama seperti perkahwinan perlulah dirujuk pada kaedah dan hukum Syarak bukan hanya akal dan nafsu semata-mata.

”Sejahtera Bersama Islam”

DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Selasa 03 Julai 2018 | 19 Syawal 1439 – HARAKAHDAILY 3/7/2018

SIDANG Parlimen pertengahan Julai ini, saya telah menghantar 15 soalan untuk dibangkitkan iaitu:

Satu soalan untuk Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar berhubung perkembangan pembinaan tebatan banjir sepanjang jajaran Sungai Golok yang melibatkan Parlimen Rantau Panjang, Pasir Mas dan Tumpat.

Satu soalan untuk Menteri Belia dan Sukan berhubung persiapan negara membentuk pelapis sukan badminton.

Lima soalan untuk Menteri Pendidikan, antaranya berkenaan pelajar OKU dalam sistem pendidikan negara dan isu guru duka lara.

Tiga soalan untuk Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berhubung hak-hak OKU dan petugas di Pusat Dalam Komuniti (PDK)

Satu soalan untuk Menteri Kesihatan berhubung langkah-langkah kerajaan untuk mengatasi isu kekurangan therapist atau pathologist pertuturan-bahasa (SLP) dalam penilaian, diagnosis dan pemulihan OKU yang kritikal pada hari ini.

Satu soalan untuk Menteri Kewangan berhubung kerugian pelaburan KWSP yang berlaku selepas Pilihan Raya Umum yang lalu.

Satu soalan untuk Menteri Pertahanan berhubung kebajikan pesara tentera.

Dua soalan untuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (portfolio undang-undang) berhubung status siasatan SPRM terhadap pemimpin-pemimpin parti politik dan juga setakat manakah minat kerajaan untuk meneruskan perjalanan Usul RUU Akta 355 yang telah dibaca dalam sesi Dewan Rakyat sebelum ini.

Semoga soalan-soalan yang telah dihantar ini dapat dinyatakan jawapannya oleh pihak kerajaan demi kepentingan rakyat keseluruhannya.

AHMAD FADHLI SHAARI
Ahli Parlimen Pasir Mas
2 Julai 2018 - HARAKAHDAILY 3/7/2018

BARAT yang diterajui oleh Amerika amat peka terhadap perkembangan gerakan-gerakan Islam. Buku yang berjudul 'Rethinking Political Islam' susunan Shadi Hamid dan William McCants menjadi fenomena di ruang perbincangan Orientalis Barat. Buku yang diterbitkan pada 2017 itu dianggap sebagai rumusan terbaharu terhadap perkembangan politik Islam pasca Arab Spring.
 
Penyusun kepada buku ini merupakan tenaga pengkaji kepada Brookings Institute, yang merupakan badan pelobi strategi yang berpengaruh bagi pentadbiran Amerika. Kita mendapati apa yang mereka cuba rumuskan sedikit sebanyak menjadi cerminan kepada realiti kelalaian kita.
 
Jangkaan revolusi
 
Sejurus selepas meledaknya Revolusi Iran pada 1979, Barat cukup bimbang ia akan merebak ke negara-negara umat Islam yang lain. Tidak dinafikan ketika itu, gerakan-gerakan Islam sedikit sebanyak terinspirasi dengan revolusi tersebut. Ditambah lagi di era 80-an merupakan waktu terfokusnya umat Islam kepada konflik Afghanistan.
 
Ketika itu, Barat menjangkakan gerakan-gerakan Islam akan memilih cara kekerasan iaitu revolusi seperti Iran untuk mencapai cita-cita mendaulatkan Islam. Lantas mereka mula mencanangkan kempen Islamophobia dengan pengisytiharan kononnya beberapa negara umat Islam merupakan paksi keganasan yang mengancam keselamatan global.
 
Muwajahah Silmiyyah, jangkaan mereka meleset
 
Demokrasi Barat diterapkan di negara-negara umat Islam yang asalnya bertujuan untuk menyukarkan kemenangan Islam, tiba-tiba didapati berjaya dimanfaatkan oleh gerakan-gerakan Islam.
 
Barat kaget dengan perkembangan ini. Mereka lupa bahawa kekuatan Islam adalah pada hujah. Selagi diberi ruang kepada Islam untuk bersuara walaupun dengan ruang yang cukup terhad dalam sistem demokrasi, pasti lama kelamaan sokongan akan berpihak kepada gerakan Islam.
 
FIS (Islamic Salvation Front) di Algeria berjaya membuat kejutan dengan kemenangan 2/3 dalam pilihan raya pada 1991. Jangan kita lupa, PAS berjaya memerintah Kelantan pada 1990. 
 
Senario ini menggambarkan ketika era 90-an, Barat mulai sedar bahawa lambat laun gerakan-gerakan Islam bakal mendapat tempat dalam persaingan kuasa di gelanggang demokrasi. Mereka perlu berdepan dengan Islam sebagai ancaman baharu, menggantikan seterunya Soviet Union. Lantas berlangsunglah siri perang dingin baharu antara Barat dan Islam.
 
'Mendekati'  Islamis
 
Peristiwa 9/11 merupakan satu tragedi yang perlu diingati oleh umat Islam. Sebuah propaganda dahsyat untuk menguatkan cengkaman Islamophobia di seluruh dunia. Pasca 9/11 menyaksikan gerakan-gerakan Islam seolah-olah diberi 2 pilihan jalan mati. Sama ada mahu tegar dengan prinsip Islam lalu dituduh sebagai pengganas, atau beralah dengan kehendak semasa (baca Barat) lalu mencairkan prinsip dan cita-cita Islam yang selama ini dijunjung.
 
Era Obama, Amerika giat menjalankan hubungan dengan gerakan-gerakan Islam. Sudah pasti yang menjayakan operasi ini adalah dalam kalangan ejen-ejen terlatih yang diserap masuk dengan cukup halus. 
 
Program-program demokrasi untuk melatih segelintir 'Islamis' agar berkemahiran dengan aplikasi politik Barat giat dijalankan. Ia dianjurkan oleh USAID (U.S Agency for International Development) dan NED (National Endowment for Democracy) sebagai tulang belakang kepada kempen politik baharu.
 
Barat sangat sedar bahawa parti-parti sekular konservatif seperti Umno, lambat laun pasti akan ditolak oleh rakyat. Maka mereka berusaha mewujudkan pendua yang muncul dengan pendekatan 'segar' namun tetap membawa aspirasi sekular. Walau apa keadaan sekali pun, Islam tidak boleh dilaksanakan dan gerakan Islam yang mereka gelarkan sebagai fundamentalis sebagai ancaman utama. Itulah aspirasi sekular baharu.
 
Senario yang memperdaya
 
Kesan dari apa yang direncanakan itu, kita menyaksikan perubahan-perubahan yang mengancam survival gerakan Islam secara halus. Sama ada sedar atau tidak, gerakan Islam mula beralah dengan kempen-kempen Islamophobia yang dijalankan oleh liberalis tegar atau pendukung Islam Demokrat. 
 
Pada masa yang sama, budaya ilmu dan cakna dengan realiti umat cuba dikesampingkan. Lalu diganti dengan budaya 'enjoy' yang kononnya dapat menarik ramai penyokong. Hinggakan terdapat kajian berkenaan pop Islamisme yang turut dikesan pada era yang sama. Angkara siapakah ini kalau tidak dari Barat? Perubahan tersebut memberi kesan kepada tunjang kekuatan gerakan Islam. Bahkan ia sengaja diolah begitu supaya pendukung gerakan Islam kelak tidak berupaya bersaing dengan cabaran mendatang yang lebih kompleks dan menggila.
 
Era revolusi ideologi
 
Kita yakin bahawa Islam pasti menang. Sinar kemenangan tersebut semakin cerah di ambang kemuncak 100 tahun penjajahan total yang berlaku ke atas umat Islam. Yang menjadi masalahnya, musuh-musuh Islam turut menyedari hal tersebut. Bahkan mereka jauh lebih bersungguh menangani kebangkitan Islam, berbanding kesedaran umat Islam yang sangat minima lantaran dilalaikan dengan banyak dorongan.
 
Barat sedar bahawa masa depan sekular konservatif malap, lantas mereka mencipta Islam Demokrat. Gaya persembahan disolek agar dapat mengaburi mata umat Islam. Mereka mendakwa kononnya setuju terhadap politik Islam, tetapi tidak kepada negara Islam. Mereka mendakwa kononnya mendukung keadilan Islam, tetapi tidak kepada Undang-undang Islam.
 
Ideologi adalah akar politik
 
Dalam merumuskan senario politik Islam di rantau Asia Tenggara yang lebih tertumpu kepada Malaysia dan Indonesia, Joseph Chinyong Liow mendakwa bahawa pendukung gerakan Islam di sini tidak berapa kuat berpegang dengan tunjang 'ideologi' mereka. Dari kelemahan tersebut mendorong mereka untuk bersikap tangkap muat dan lebih terarah untuk menjadi oportunis.
 
Demikian yang mereka perkatakan terhadap kita. Walaupun bernada 'menganjing', kita perlu akui bahawa ini merupakan antara masalah yang berlaku ke atas gerakan-gerakan Islam. Dengan persaingan ideologi politk yang semakin rencam, pendukung-pendukung gerakan Islam masih lalai dan memandang enteng terhadap diskusi pemikiran. Bahkan gemar memandang rendah terhadap perancangan musuh yang jauh lebih bersungguh dan berupaya.
 
Realiti hari ini
 
Kita sudah tidak boleh katakan kita selamat, tidak seperti gerakan-gerakan Islam di negara-negara luar yang diuji dengan perancangan halus hingga menggugat survival dan identiti mereka. Pasca PRU 14, kini adalah giliran kita. Serangan di segenap penjuru dari pelbagai aliran. Sebelum ini kita tidak berapa serius mengamati cabaran mendatang yang kini menjadi realiti. Aqidah kita meyakini bahawa Islam pasti menang. Persoalannya adakah pendukung-pendukung gerakan Islam mampu bertahan dengan Islam? Istiqamah bukan semata-mata hanya pada slogan, tetapi pada sikap dan prinsip yang tidak boleh dijual beli.
 
ABDUL MU'IZZ MUHAMMAD
 
Ketua Urusan Ulamak
PAS Kawasan Klang
2 Julai 2018 -HARAKAHDAILY 2/7/2018

SEKALI lagi Datuk Lee Chong Wei (LCW) menjadi satu-satunya wakil Malaysia yang menjadi juara di Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2018 yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, semalam.

Mencatat rekod Malaysia dan mungkin dunia dengan 12 kali menjadi juara di kejohanan yang sama bukanlah perkara yang mudah. Hanya mereka yang mempunyai daya juang dan disiplin yang tinggi sahaja mampu mencapai rekod ini.

Datuk LCW, 35, menewaskan jaguh muda dari Jepun, Kento Momota, 23, dengan straight set 21-17, 23-21. Mereka bermain selama 70 minit. Ini membuktikan faktor umur bukanlah menjadi penghalang kepada seseorang itu untuk berjaya dan apa yang penting ialah usaha serta usaha yang bersungguh-sungguh demi mencapai impian. "Nothing is impossible".

DACS Malaysia sekali lagi merakam jutaan tahniah kepada Datuk LCW kerana telah mengharumkan nama negara di pentas dunia dan berharap agar pemain-pemain muda negara, pemain pelapis untuk mencontohi apa yang telah ditunjukkan oleh Datuk LCW.

Majulah sukan untuk negara.

Muhammad Fadzli Abu Bakar
Pengarah Department of Arts, Culture and Sports (DACS) Dewan Pemuda PAS Malaysia

PENYERAPAN Kerajaan Perlak ke dalam Kerajaan Samudera-Pasai telah menamatkan satu episod sejarah bagi Daulah Islam yang pertama di Alam Melayu, sekali gus membuka sejarah baru bagi Kerajaan Samudera-Pasai sebagai penyambung legasi yang terbina lebih awal. Samudera-Pasai mempunyai latar belakang sejarah yang hampir sama dengan Perlak dari segi mazhabnya, tetapi ia bukanlah Kerajaan Islam yang baru, kerana Samudera-Pasai dikatakan telah memeluk Islam 200 tahun sebelumnya. Pada peringkat awal, Samudera dan Pasai (Pase) adalah dua buah kerajaan yang berbeza, kemudian bercantum. Kerajaan Samudera-Pasai yang terletak lebih Utara dari Perlak hanya terpisah oleh Wilayah Basma yang terletak di Utara Perlak. Secara geografi, Samudera-Pasai terletak di bahagian yang lebih Utara ke arah Lamuri (Banda Aceh), sedangkan Perlak lebih hampir dengan Aru dan Deli (sekarang Medan), iaitu menghampiri sempadan provinsi Aceh dan Sumatera Utara.

Pada zaman Samudera-Pasai (1297-1521M), kedudukan Islam, khususnya di Aceh telahpun kukuh, berbanding zaman Perlak (840-1292M) di mana Islam baru berkembang. Lawatan Marco Polo dan Ibnu Batutah ke Aceh masing-masing pada saat kejatuhan Perlak dan kebangkitan Samudera-Pasai telah mencatatkan bagaimana Islam telah menjadi kuasa politik yang berpengaruh di wilayah ini. Salah satu faktor penting yang membuka ruang kebangkitan Kerajaan Samudera-Pasai ialah kejatuhan Sriwijaya selepas serangan Kerajaan Chola pada 1026M. Kemunculan kerajaan-kerajaan kecil Islam di Aceh dan peng-Islaman negeri-negeri Utara Semenanjung seperti Kedah (1136M), Kelantan (1181M), Jawaka (1235M) dan Terengganu (1303M) telah mengukuhkan lagi kebangkitan Kerajaan Islam di Samudera-Pasai. Tempoh perkembangan Kerajaan Samudera-Pasai ini menjadikan ia satu-satunya Daulah Islam yang berpengaruh di Nusantara sehingga kebangkitan Melaka pada awal abad ke-15M.

Samudera-Pasai sebelum Islam

Perkataan Samudera dikatakan asalnya dari perkataan Sanskrit iaitu Samundra atau Samandara yang bermaksud lautan. Namun begitu, dalam Hikayat Raja-raja Pasai, dikatakan Meurah Silu bertemu dengan seekor semut gergasi sebesar kucing. Selepas menangkap dan memakan semut itu, Meurah Silu menamakan negeri ini sebagai Samandara. Tempat tersebut dikenali sebagai Semerlanga kemudiannya. Ketika Marco Polo mengunjungi Utara Sumatera pada 1292M, beliau mencatatkan Samudera sebagai Samara, yang wujud serentak dengan Basman (Basma) dan Ferlec (Perlak). Sedangkan, Ibnu Batutah yang melawat Samudera-Pasai pada 1345M, mencatatnya sebagai Samatrah (Samudera atau Sumatera). Berdasarkan catatan China pula, Samudera disebut Sa-wen-ta-la pada 1275M, sementara itu catatan bertarikh 1282M menyebutnya sebagai Su-mu-ta-la. Kerajaan berhampiran Samuda yang turut dicatatkan oleh China ialah A-lu (Aru) dan Lan-po-li (Lamuri) iaitu dua kerajaan yang berada sekitar Samudera-Pasai. Sedangkan catatan Arab pada 903M, menyebutkan mengenai kunjungan mereka ke Lambri (Lamuri), Fansur, Zabaj dan Kalah-bar, tanpa menyebutkan mengenai Samudera.

Berdasarkan bandingan catatan China dan Arab ini, berkemungkinan Samudera hanya wujud sebagai sebuah kerajaan atau pelabuhan pada abad ke-11M sebagaimana yang disebut oleh Wan Hussein Azmi. Sumber lain mendakwa, bahawa Raja yang mendirikan Kerajaan Samudera-Pasai, Meurah Silu adalah berasal daripada keturunan Sukee Imeum Peuet (Suku Imam Empat), pemimpin Mon Khemer (Champa). Baginda dikatakan mempunyai hubungan darah dengan Raja Perlak, Juempa, Samaindra dan Indrapurba sebelum zaman Islam. Berdasarkan kajian Wan Hussein Azmi, menunjukkan bahawa belum wujud pengaruh Islam di Samudera sebelum 1000M, dan Islam hanya berkuasa dengan berdirinya Kerajaan Samudera pada 1042M. Kerajaan Samudera-Pasai yang terletak di Utara Aceh (sekarang Lhoksaumawe) pada awalnya mungkin beragama Hindu, kemudian di-Islamkan oleh Perlak menjelang abad ke-11M.

Kerajaan Samudera-Pasai: Kebangkitan awal

Kerajaan Samudera-Pasai dikatakan wujud sejak awal alaf kedua, iaitu sesudah berdirinya Perlak sebagai sebuah Kerajaan Islam. Menurut Wan Hussein Azmi, Kerajaan Samudera telah didirikan pada 1042M sebagai sebuah Kerajaan Islam yang kecil oleh Meurah Ghari (Khairi) yang bergelar Maharaja Mahmud Shah. Pada peringkat ini, Samudera yang menerima Islam dari Perlak adalah bermazhab Syiah, sebagaimana Perlak juga. Namun begitu, Islam hanya berkembang pesat di Samudera pada zaman Maharaja Ghiyayuddin Shah (1133-1355M) dan kerajaan ini menghadapi krisis pada 1210M apabila Sultan al-Kamil (Maharaja Nuruddin) mangkat tanpa meninggalkan putera. Perbalahan dalam Istana Samudera mengenai pewaris takhta berlangsung selama 50 tahun sehingga 1260M. Raja-raja Samudera yang awal ialah:

i.     Maharaja Ghairi (1042-1078M)

ii.     Maharaja Mansur Shah (1078-1133M)

iii.     Maharaja Ghiyayuddin Shah (1133-1155M)

iv.     Maharaja Nuruddin Sultan al-Kamil (1155-1210M)

Ketika berlakunya krisis dalam Istana Samudera, seorang putera Pasai, Meurah Silu telah datang menyerang Samudera dan merampas kuasa pada 1261M. Dikatakan Meurah Silu merampas kuasa daripada Sultan Malik an-Nasir. Meurah Silu menurut setengah pendapat yang lain adalah dari keturunan Sultan Makhdum Alaiddin Malik Ibrahim Shah Johan Berdaulat, Sultan Perlak (970-1012M). Baginda pada awalnya juga bermazhab Syiah dan menjadi Raja Samudera-Pasai melalui rampasan kuasa ini. Pada ketika ini juga, Perlak telah dikunjungi oleh Sheikh Ismail dari Hijaz dan Faqir Muhammad dari India yang dikirimkan oleh Syarif Makkah. Dari Perlak mereka berdakwah ke Samudera-Pasai pada 1267M dan berjaya menukar mazhab Meurah Silu kepada Ahli Sunnah. Inilah peristiwa yang disebut oleh Hikayah Raja-raja Pasai sebagai peng-Islaman Meurah Silu. Sejak itu, Meurah Silu dikenali sebagai Sultan Malik as-Salleh, mengikuti nama Malik as-Salleh (m.1249M), Sultan terakhir Dinasti Ayubbiyah di Mesir. Sultan Malik as-Salleh yang berkahwin dengan Puteri Ganggang Sari, puteri Sultan Makhdum Alaiddin Muhammad Amin Shah Johan Berdaulat II (1230-1267M), Sultan Perlak, sehingga Sultan Malik as-Salleh dapat menguasai Kerajaan Perlak pada 1292M dan menggabungkannya ke dalam Kerajaan Samudera-Pasai pada 1297M.

Sultan-sultan Samudera-Pasai

Setelah Malik as-Salleh atau Meurah Silu dapat menguasai Kerajaan Samudera pada 1261M, seterusnya membentuk dinastinya sendiri dalam Kerajaan Samudera-Pasai dengan menggabungkan Perlak ke dalamnya, seramai 20 orang sultan telah memerintah sehingga 1521M seperti berikut:

i.     Sultan Malik as-Salleh (1267-1297M)

ii.     Sultan Muhammad Malik az-Zahir I (1297-1326M)

iii.     Sultan Ahmad I (1326-1330M)

iv.     Sultan Mahmud Malik az-Zahir (1330-1349M)

v.     Sultan Zainal Abidin I (1349-1406M)

vi.     Sultanah Nahrasyiyah (1406-1428M)

vii.     Sultan Zainal Abidin II (1428-1438M)

viii.     Sultan Salahuddin (1438-1462M)

ix.     Sultan Ahmad II (1462-1464M)

x.     Sultan Abu Zaid Ahmad III (1464-1468M)

xi.     Sultan Ahmad IV (1466M)

xii.     Sultan Mahmud (1466-1468M)

xiii.     Sultan Zainal Abidin III (1468-1474M)

xiv.     Sultan Muhammad Shah II (1474-1495M)

xv.     Sultan al-Kamil (1495M)

xvi.     Sultan Adlullah (1495-1506M)

xvii.     Sultan Muhammad Shah III (1506-1507M)

xviii.     Sultan Abdullah (1507-1509M)

xix.     Sultan Ahmad V (1509-1514M)

xx.     Sultan Zainal Abidin IV (1514-1521M)

MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS
16 Syawal 1439 / 30 Jun 2018 - HARAKAHDAILY 3/7/2018

Screenshot 20180703 101925 Facebook

DEWAN Muslimat PAS Negeri Kelantan (DMPNK) mengambil perhatian berkenaan kejadian kanak-kanak berumur 11 tahun yang telah berkahwin dengan seorang lelaki yang merupakan seorang peraih getah yang berusia 41 tahun.

DMPNK khuatir jika isu ini tidak diselesaikan secara baik oleh pihak berwajib, ia akan menimbulkan polemik yang tidak terkawal. Apatah lagi isu ini melibatkan seorang kanak-kanak di bawah umur yang sepatutnya dijaga, dibelai dan disayangi dari sudut emosi, fizikal dan mental.

Saya mewakili DMPNK, sejurus mendapat maklumat mengenai kes ini telah mengambil langkah segera menemui Yang DiPertua (YDP) Majlis Agama Islam Narathiwat, Baba Haji Syafie dan beliau memaklumkan bahawa perkahwinan yang dibuat di Golok oleh pasangan berkenaan sebenarnya tanpa kebenaran dari Majlis Agama Islam Narathiwat.

YDP Majlis Agama Islam Narathiwat turut menjelaskan bahawa undang-undang di sini tidak membenarkan perkahwinan melibatkan pasangan bawah umur. Selain itu Baba Haji Syafie yang merupakan YDP Majlis Agama Islam Narathiwat itu turut mengulas tentang isu ini bahawa pejabat beliau tiada maklumat rasmi tentang isu ini serta tidak ada permohonan dibuat melalui pejabat beliau.

Oleh itu, DMPNK menyambut baik siasatan awal yang dilakukan oleh pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (JAHEIK) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) agar kejadian sebegini tidak lagi berulang atau terlepas pandang.

DMPNK turut menggesa masyarakat supaya tidak menangguk di air yang keruh dengan menokok tambah kes ini dengan isu-isu yang tidak berkaitan sekali gus melakukan generalisasi terhadap semua kes perkahwinan di bawah umur. Hakim Mahkamah Syariah akan meneliti setiap kes dengan saksama mengikut pertimbangan agama dan undang-undang, latar belakang, kebajikan, serta faktor-faktor penting yang lain sebelum membenar atau tidak membenarkan permohonan perkahwinan remaja bawah umur.

DMPNK bersedia membantu dan menyokong sebarang usaha membantu kanak-kanak terbabit sama ada untuk mendapatkan keadilan di sisi undang-undang sekali gus membantu beliau mendapatkan akses pendidikan yang lebih sempurna. DMPNK percaya bahawa Mahkamah Syariah, JAHEIK, JKM dan jabatan-jabatan kerajaan yang lain mampu menyelesaikan perkara ini dengan baik.

Ianya bertepatan dengan Seminar Dasar Kanak-kanak Fitrah (DSK) yang telah dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan pada 13 Mac 2018, di mana di dalamnya terdapat tajuk khusus Bahagian ke 4 dalam topik Hak Kepada Kanak-kanak iaitu "Hak Untuk Dilindungi". Mereka 'berhak dilindungi daripada diganggu dengan sewenang-wenangnya atau dengan apa-apa perbuatan yang menyalahi undang-undang terhadap privasi, keluarga, tempat tinggal atau surat-menyuratnya, atau penjejasan maruah dan nama baiknya.'

'Kanak-kanak juga perlu dilindungi daripada keganasan fizikal dan mental, kecederaan atau penderaan, pengabaian atau perlakuan cuai, penganiayaan atau eksploitasi, termasuk penderaan seksual, semasa dalam jagaan ibu bapa atau penjaga di sisi undang-undang atau mana-mana orang yang menjaga kanak-kanak itu. Langkah-langkah perlindungan ini hendaklah meliputi aspek perundangan, pentadbiran, sosial dan pendidikan.'

Oleh itu, DMPNK mengharapkan penyelesaian bijaksana dapat dilakukan demi kebaikan semua pihak terutama sekali kepada masa depan kanak-kanak tersebut.

YB HAJJAH SITI ZAILAH MOHD YUSOF
Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Kelantan
Ahli Parlimen Rantau Panjang - HARAKAHDAILY 2/7/2018

 FB IMG 1530528244071

 

FB IMG 1530528239597

PAS Perak hari ini mengesahkan turut menghantar nama bagi mencalonkan Speaker bagi Dewan Negeri Perak bagi sesi kali ini.

Pencalonan Speaker Dun dari PAS adalah mengikut peruntukan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak dan selaras dengan amalan demokrasi.

Dengan pencalonan ini, PAS Perak berharap Dewan Negeri Perak sebagai cabang legislatif benar-benar menjadi medan semak dan imbang (check and balance) kepada pihak eksekutif (kerajaan) dan blok pembangkang dengan memilih Speaker Dewan Negeri yang berwibawa, adil dan cekap mengikut peraturan mesyuarat dewan.

PAS Perak juga meminta para Adun dari kalangan kerajaan dan pembangkang dapat memberikan sokongan kepada cadangan PAS ini bagi membuktikan kekukuhan kerajaan bersama dan menunjukkan teladan dan kematangan politik yang tinggi dalam memilih Speaker Dewan Negeri yang baru. Elakkan kontroversi dan provokasi demi maslahat rakyat amnya dan ummah khususnya.

YB Haji Razman Zakaria
Pesuruhjaya PAS Perak / Adun Gunung Semanggol
30 Jun 2018 – HARAKAHDAILY 1/7/2018

More Articles ...