SEPERTI semua sedia maklum, berkenaan tragedi yang telah menimpa adik Adam Rayqal yang ditemui di rumah pengasuhnya di Kampung Nakhoda, Batu Caves dan disorokkan di bahagian sejuk beku peti ais di rumah tersebut. Perkara ini amat mendukacitakan kita semua.

Saya difahamkan ibu bapa kepada Adam Rayqal merupakan anak Negeri Terengganu dan saya dimaklumkan bahawa jenazah Adam Rayqal akan dibawa pulang ke Terengganu selepas urusan bedah siasat dijalankan.

Saya mengambil kesempatan ini mewakili Kerajaan Negeri Terengganu merakamkan ucapan takziah kepada Mohd Sufi Naeif Mohd Fauzi dan isterinya Farah Madiha Othman atas kehilangan anak mereka. Diharapkan mereka dan keluarga bersabar atas ujian yang dihadapi kini.

Saya juga mengharapkan siasatan menyeluruh dijalankan dan semoga kejadian seperti ini tidak berlaku lagi pada masa akan datang.

DR AHMAD SAMSURI MOKHTAR
Menteri Besar Terengganu – HARAKAHDAILY 4/7/2018

KEBANGKITAN Kerajaann Samudera-Pasai pada 1267M telah memberi cahaya baru kepada Islam setelah merosotnya Kerajaan Perlak yang telah menyumbang kepada perkembangan Islam lebih 400 tahun sebelumnya. Samudera-Pasai yang menerima Islam sejak awal abad ke-11M telah bangkit sebagai sebuah Kerajaan Islam yang baru melalui peranan pelabuhannya yang mengendalikan pedagang dari Arab, Parsi, India, China dan Alam Melayu. Kemajuan perdagangannya telah membolehkan ia bangkit sebagai kuasa politik Islam yang baru ketika Nusantara dikuasai oleh Empayar Majapahit (1293-1527M) yang beragama Hindu. Melalui peranan besar yang dimainkan oleh Samudera-Pasai inilah, Islam telah berkembang di Sumatera dan Semenanjung Tanah Melayu, sekali gus meruntuhkan Majapahit melalui gerakan dakwah Wali Songo.

Dalam konteks Samudera-Pasai, para sarjana masih membahaskan bagaimana Islam dikembangkan di wilayah ini, yang kemudiannya menjadi nukleas dakwah Nusantara. Peng-Islaman Meurah Silu disepakati sebagai titik mula kebangkitan Islam dalam Kerajaan Samudera-Pasai, walaupun masih dipersoalkan apakah dalam peristiwa itu baginda masuk Islam atau menjadi pengikut aliran Sunni. Meurah Silu yang bergelar Sultan Malik as-Salleh menjadi watak terpenting dalam sejarah Samudera-Pasai, di mana keturunannya dapat mewarisi sebuah Kerajaan Islam yang kuat sehingga 1521M, hasil daripada kewibawaan beliau merungkaikan krisis dalam Kerajaan Samudera pada 1261M, sekali gus meluaskan pengaruh peribadinya dalam Kerajaan Perlak, sehingga dapat menguasainya selepas 1292M. Dengan kaliber Meurah Silu inilah, Kerajaan Samudera-Pasai menjadi pusat pengembangan Islam bagi Alam Melayu.

Islamnya Samudera-Pasai

Peranan Perlak dalam meng-Islamkan Samudera-Pasai hampir tidak boleh ditolak kerana telah diketahui bahawa Perlak telah mengirimkan para pendakwah untuk menyebarkan Islam di kerajaan-kerajaan kecil sekitarnya sejak abad ke-10M, dan akhirnya berlaku pernikahan antara pemimpin Pasai dengan puteri Perlak. Namun begitu, berdasarkan pelbagai informasi, terutama catatan-catatan dalam kronik Melayu seperti Hikayat Raja-raja Pasai dan Sejarah Melayu (Silalatus Salatin), terdapat beberapa riwayat berbeza tentang kemasukan Islam ke Samudera-Pasai.

●     Pendakwah Islam kiriman Daulah Fatimiyah

Slamet Mulyana, seorang sarjana tempatan Indonesia dalam tulisannya mengenai keruntuhan Kerajaan-kerajaan Hindu dan kebangkitan Kerajaan Islam di Nusantara, mendakwa Daulah Fatimiyah (906-1179M) pada zaman Khalifah al-Amir bi Ahkam Allah (1101-1130M) telah mengirimkan pendakwah-pedagang yang diketuai oleh Nizamuddin al-Kamil. Mereka tiba di Pantai Timur Sumatera pada 1128M dan mendirikan Kerajaan Pasai. Dikatakan Nizamuddin al-Kamil bertanggungjawab melantik Meurah Silu sebagai Raja Pasai.

●     Pernikahan Raja Pasai dengan Puteri Perlak

Raja Samudera-Pasai, Meurah Silu dikatakan telah dikahwinkan oleh Sultan Makhdum Alaiddin Muhammad Amin Shah Johan Berdaulat II (1230-1267M) dengan puteri baginda, Puteri Ganggang Sari (Puteri Raihani) bagi mengukuhkan hubungan Kerajaan Perlak dengan kerajaan sekitarnya. Melalui perkahwinan ini, Meurah Silu di-Islamkan.

●     Mimpi bertemu Rasulullah S.A.W

Menurut Hikayat Raja-raja Pasai, Meurah Silu telah bertemu dengan Rasulullah S.A.W dalam mimpinya, lalu diajar mengucap dua kalimah syahadah. Lalu diberikan nama Islam untuknya, Malik as-Salleh. Selepas itu, baginda dapat membaca al-Quran dengan lancar tanpa perlu belajar.

●     Pendakwah kiriman Syarif Makkah

Dalam kebanyakkan sumber menyebutkan bahawa Syarif Makkah telah mengirimkan pendakwah ke Perlak, iaitu Sheikh Ismail dari Hijaz. Ulamak ini kemudiannya disertai juga oleh Raja Muktabar, India, Sultan Muhammad, seorang Arab keturunan Khalifah Abu Bakar as-Siddiq, yang bergelar Faqir Muhammad. Sheikh Ismail telah berdakwah di seluruh negeri sekitar Perlak, termasuk Aru, Deli dan Pasai. Selepas bertemu Sheikh Ismail dan Faqir Muhammad, Meurah Silu memeluk Islam dan membaca al-Quran, diikuti oleh para pembesarnya yang turut memeluk Islam. Inilah riwayat yang dikemukakan oleh Sejarah Melayu.

●     Pendakwah kiriman Kerajaan Ghowri, India

Seorang sarjana, Taqiyuddin Muhammad dalam kajiannya mendakwah Islam yang berkembang di Samudera-Pasai adalah dibawa oleh putera Kerajaan Ghowri dari India, iaitu Ibnu Mahmud (m. 1226M). Anak kepada Sultan Mahmud al-Ghurry (1206-1212M) dikatakan bertanggungjawab mengembangkan aliran Mazhab Syafie di Nusantara melalui Perlak. Beliau mengemukakan teori ini berdasarkan prasasti batu nisan Ibnu Mahmud yang dijumpai di Aceh.

Daripada pelbagai pendapat ini, terdapat beberapa fakta penting, antaranya peng-Islaman Samudera-Pasai oleh Nizamuddin al-Kamil dari Daulah Fatimiyah. Hal ini mempunyai asas berdasarkan Mazhab Syiah yang tersebar lebih awal di Samudera-Pasai. Kemudian, kerajaan ini dikatakan telah "di-Sunnikan" oleh pendakwah kiriman Syarif Makkah, yang menurut Ahmad Jelani Halimi, inilah yang dimaksudkan sebagai "peng-Islaman" oleh Sejarah Melayu. Kemudian baharulah Mazhab Fikah Syafie disebarkan melalui peranan Kerajaan Ghowri. Wan Hussein Azmi, walau bagaimanapun telah menolak semua teori peng-Islaman Meurah Silu ini, kerana mendakwa Islam telah tiba lebih awal dan telah berkerajaan di Samudera sejak 1042M. Jika pandangan Wan Hussein Azmi adalah benar, maka lebih tepat adalah Islam dibawa Samudera oleh Perlak, sedangkan semua kedatangan pendakwah dari Mesir, Makkah dan India berlaku dalam tempoh selepas 1042M untuk mengukuhkan perkembangkan Islam, terutama pada zaman Maharaja Ghiyayuddin Shah (1133-1155M) yang dikatakan dakwah mula berkembang pesat.

Meurah Silu: Pengasas Kesultanan Samudera-Pasai

Dalam Hikayat Raja-raja Pasai, disebutkan bahawa pada satu ketika, terdapat dua putera di Pasai iaitu Raja Ahmad dan adiknya, Raja Muhammad. Mereka masing-masing mempunyai anak angkat iaitu Puteri Buluh Betong dan Meurah Gajah. Kemudiannya, kedua-duanya telah berkahwin dan mendapat dua putera bernama Meurah Silu dan Meurah Hasun. Setelah wafatnya Raja Ahmad dan Raja Muhammad serta kedua ibu bapa mereka, Meurah Silu berpindah ke Rimba Jeram. Di sini, beliau melihat semut gergasi dan memakannya, lalu menamakan tempat tersebut sebagai Samudera, sedangkan Pasai adalah nama anjing buruannya. Akhirnya negeri tersebut dikenali sebagai Samudera-Pasai. Dalam riwayat lain, dikatakan Meurah Silu adalah putera keturunan Suku Imam Empat (Sukee Imeum Peuet) yang berasal dari Khemer. Keturunan mereka menjadi Raja-raja di Perlak, Indrapurba, Samaindra dan Jeumpa. Sesetengah sarjana mengatakan Meurah Silu adalah keturunan dari dinasti Johan Berdaulat dari Perlak.

Meurah Silu (m. 1297M) menjadi tokoh yang sangat penting dalam sejarah Kerajaan Samudera-Pasai kerana beliaulah yang mengasas kerajaan ini, dan kebanyakkan pengkaji mendakwa beliaulah Raja Melayu yang pertama beragama Islam dengan gelaran Malik as-Salleh pada 1267M. Disebabkan peranan besar Kerajaan Samudera-Pasai dalam menyambung peranan Perlak dalam perluasan dakwah di Nusantara, dengan sendirinya Meurah Silu menjadi tokoh yang sangat penting dalam perkembangan Daulah Islam di rantau ini. Pada batu nisan Malik as-Salleh yang ditemui di Aceh mencatatkan, "Ini kubur adalah kepunyaan al-Marhum hamba yang dihormati, yang diampuni, yang taqwa, yang menjadi penasihat, yang terkenal, yang berketurunan, yang mulia, yang kuat beribadah, penakluk, yang bergelar dengan Sultan Malik as-Saleh". Batu nisan itu mencatatkan tarikh kewafatan baginda pada bulan Ramadhan tahun 696H (1297M).

Samudera-Pasai menggantikan Perlak

Kewujudan Kerajaan Samudera-Pasai dikatakan bermula setelah krisis dalaman Kerajaan Samudera selepas kewafatan Sultan al-Kamil pada 1210M tanpa putera. Selepas 50 tahun berkrisis, Meurah Silu dari Pasai berjaya merampas kuasa dari Sultan Malik an-Nassir pada 1261M, lalu baginda menjadi Raja Samudera-Pasai. Selepas itu, beliau dikahwinkan dengan puteri Perlak dan menjadi Raja pada 1267M dengan nama Sultan Malik as-Salleh. Baginda mempunyai putera dari perkahwinan ini bergelar Sultan Muhammad Malik az-Zahir (1297-1320M). Selepas kewafatan Sultan Makhdum Alaiddin Malik Abdul Aziz Johan Berdaulat (1267-1292M), Kerajaan Perlak telah menghadapi serangan musuh, dan ramai rakyatnya berundur ke Samudera-Pasai. Sultan Malik as-Salleh menjadi tokoh penting yang mempertahankan kelangsungan Perlak sehingga kewafatannya pada 1297M. Sejarah Melayu mengatakan ketika ini, Kerajaan Samudera-Pasai mempunyai seorang bendahara agung yang bernama Orang Kaya Raja Kenayan yang giat memperluaskan wilayahnya. Dengan peranan bendahara ini, Sultan Muhammad Malik az-Zahir yang naik takhta pada 1297M telah bertindak mengambil alih kerajaan ayahanda saudaranya di Perlak, lalu diserapkan ke dalam Kerajaan Samudera-Pasai. Dengan itu, bermulalah Kerajaan Samudera-Pasai sebagai pengganti Perlak.

Selain kekuatan kerana kaliber Sultan dan bendahara agung tersebut, Samudera-Pasai ketika ini sudah mulai menjadi pelabuhan yang penting dan mempunyai hubungan dengan China, di samping kesuburan tanahnya. Wilayah Kesultanan Samudera-Pasai ketika ia dibangunkan oleh Sultan Muhammad Malik az-Zahir turut meliputi Gayo dan Aceh Tengah hingga ke Pergunungan Peut Sagoe. Seorang pengembara Perancis, Odoric de Pordenone (m. 1331M) mencatatkan Negeri Samudera-Pasai sebagai kaya dengan beras, emas, tembaga, kayu, lada dan juga binatang ternak. Dengan kekayaan ini dan kemajuan pelabuhannya, Kerajaan Samudera-Pasai telah menjadi pengganti yang melanjutkan legasi Perlak sebagai Daulah Islam yang baru di Nusantara. Ini terbukti kerana Samudera-Pasai dapat memainkan peranan yang lebih besar terhadap dakwah Islam ke seluruh Nusantara, selain pelaksanaan Syariat yang lebih meluas.

MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS
17 Syawal 1439 / 1 Julai 2018 - HARAKAHDAILY 4/7/2018

PERUBAHAN besar yang berlaku dalam PRU ke-14 mencerminkan hasrat rakyat Malaysia untuk membuang BN yang dilihat sebagai parti yang merosakkan dan memalukan negara kerana budaya salahguna kuasa dan rasuahnya.

Rakyat memberikan peluang kepada parti-parti yang mempunyai peluang terbesar untuk menumbangkan BN bergantung pada kawasan. Ia adalah manifestasi kemarahan, kebencian dan amukan yang melihatkan Pakatan Harapan (PH) muncul sebagai Kerajaan Persekutuan dan beberapa Kerajaan Negeri manakala PAS menguasai Terengganu dan Kelantan.

Kini, rakyat Malaysia mengharapkan Kerajaan Negeri mahupun Persekutuan yang baru dapat berfungsi lebih baik dan berbeza daripada BN.

Kedua, mereka ingin melihat ke arah mana negara nak dibawa.

Semua yakin perubahan akan bergerak ke arah lebih baik, walau lambat atau sedikit. Ia lebih baik dari kekal dalam Kerajaan BN yang menyusahkan dan membebankan.

Ia ibarat seorang isteri yang teraniaya kerana mendapat suami jahat, kejam, tidak berhati perut. Habis segala harta isteri diragut, digadai bahkan diperkukuhkan sebagai hamba abdi. Bertahun menuntut fasakh, berpuluh kali naik turun mahkamah, akhirnya berjaya.

Ke mana akan tinggal, di mana nak cari rezeki dan bagaimana dengan anak-anak akan membesar, itu soal kemudian. Tiada yang akan lebih buruk daripada suami yang jahat itu.

Suami jahat kini menjadi musuh dan perhatian utama. Jika berlaku apa-apa masalah pada Kerajaan hari ini, kelakuan suami jahat ini akan dipamerkan untuk mengingatkan bahawa sekarang masih jauh lebih baik berbanding zaman suami jahat.

Kini segalanya tercapai, kehendak sudah tercapai, kekecewaan dah terubat, dendam dah terbalas. Ramai yang terasa puas dan lega. Perasuah telah dinyahkan, keegoan telah terhina diubat dan penderitaan jiwa bertamat dengan sinar baru.

Saki-baki yang tersisa diburu sehingga lubang cacing. Yang bersalah dan tamak, kini kepanasan. Pastikan tiada lagi baka perosak itu. musnahkan sehingga ke akar umbinya. biar ia tidak tersisa. keturunan ini tidak patut wujud lagi di atas muka bumi.

Kita isytihar di seantero dunia bahawa negara baru perlu dibina. Kita isytihar tabung negara perlu digerakkan untuk menyelamatkan negara yang hampir musnah ini. Semua orang diminta membantu. Usah pedulikan dulu keselesaan. Rakyat diberi harapan ditabur janji. Semua diseru jangan bimbang semua akan dapat. Semua diminta sabar.

Jika ada kebisingan dan ketidakpuasan hati, kelakuan buruk suami yang jahat akan dipaparkan agar semua teringat sekarang adalah lebih baik. Betul, segalanya adalah lebih baik secara perbandingan. Malam nanti pasti ada mimpi manis kita akan dibawa ke alam baru yang lebih gemilang sebagaimana yang kita harapkan. Jika tidak segemilang dan seindah yang dijanji, ungkitlah semula kelakuan suami jahat maka semua akan nampak sempurna.

Kepada yang menang, buatlah kerja masing-masing menunaikan janji pada rakyat supaya rakyat nampak perubahan yang sebenar lalu menyukai kita dan bukannya sekadar terpaksa menerima kita kerana bencikan suami jahat.

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Timbalan Presiden PAS/Ahli Parlimen Kubang Kerian
3 Julai 2018 - HARAKAHDAILY 3/7/2018

GERAKAN Pembela Ummah (Ummah) memandang serius terhadap kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Dalam Negeri yang memberikan kerakyatan kepada 200,000 pemohon yang memohon kerakyatan tersebut. Ummah menyatakan kebimbangan terhadap pemberian kerakyatan dengan mudah yang akan menyebabkan manipulasi serta salahguna oleh pihak-pihak yang mempunyai kepentingan sehingga boleh meggugat kedaulatan negara. Selain itu, Ummah juga bimbang akan implikasi yang bakal terjadi seandainya permohonan ini tidak diperhalusi dengan baik seperti hak-hak yang bakal mereka terima contohnya hak keistimewaan bumiputra dan hak memilih pemimpin.

Oleh itu, Ummah menuntut untuk kerajaan mengemukakan syarat-syarat yang telah ditetapkan kepada pemohon-pemohon yang memohon kerakyatan tersebut. Syarat-syarat ini adalah bagi memastikan pemohon yang memohon kerakyatan adalah yang benar-benar layak untuk menjadi warganegara. Justeru itu, Ummah mencadangkan beberapa kriteria-kriteria yang wajib pemohon penuhi sebelum kerajaan meluluskan 200,000 permohonan itu;

●     Pertama, kerajaan perlulah memastikan pemohon fasih Berbahasa Kebangsaan iaitu Bahasa Melayu bagi memudahkan proses integrasi di dalam komuniti rakyat Malaysia.

●     Kedua, pemohon yang memohon wajib mempelajari dan mendalami budaya-budaya yang wujud di Malaysia dan wajib mengangkat identiti Negara Malaysia iaitu Islam, Melayu dan Institusi Raja-raja Melayu.

●     Ketiga, setiap daripada pemohon yang memohon perlu diselidik latar belakang mereka supaya tiada daripada mereka datang dari latar belakang yang boleh merosakkan struktur keharmonian sosial di Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

●     Keempat, Ummah menuntut kerajaan menguar-uarkan senarai pemohon-pemohon yang akan diluluskan menurut bangsa dan negeri atau negara asal mereka supaya rakyat tahu akan latar belakang mereka.

Akhirul kalam, Ummah berharap agar kerajaan menimbang kembali keputusan untuk meluluskan 200,000 kerakyatan supaya keputusan tersebut tidak menggugat kedaulatan negara dan keharmonian kaum. Sebaliknya, jika mereka benar-benar layak diberikan kerakyatan, saringan serta kriteria yang ketat haruslah dikenakan supaya Malaysia tidaklah sewenangnya memberi kerakyatan tetapi pemohon tidak langsung peduli akan identiti Negara Malaysia iaitu Islam, Melayu dan Institusi Raja-raja Melayu.

TUAN HAJI AMINUDDIN YAHYA 
Ketua Sekretariat
Gerakan Pembela UMMAH - HARAKAHDAILY 3/7/2018

DEWAN Muslimat PAS Malaysia merasa dukacita dan simpati terhadap kes yang baru berlaku ke atas seorang bayi lelaki, Adam Rayqal, dipercayai mati di rumah pengasuhnya.

Sehingga ke hari ini, telah tular pelbagai kes yang melibatkan pusat jagaan atau pengasuh bayi dan kanak-kanak yang amat membimbangkan para ibu bapa untuk meninggalkan anak mereka sepanjang keberadaan mereka di tempat kerja.

Bagi mengatasi masalah ini, Muslimat PAS menggesa pihak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (Jabatan Kebajikan Masyarakat) mengambil tindakan proaktif sesuai dengan keadaan dan kehendak semasa.

Antara syor daripada kami Muslimat PAS ialah;

●     Pembukaan taska atau nurseri di tempat kerja

Projek ini bertujuan memudahkan para ibu bapa menghantar, memantau serta mengambil semula anak mereka.

Selain memudahkan urusan ibu bapa, projek ini boleh menambahkan peluang pekerjaan buat wanita yang sedang menganggur.

Namun, latihan dan kemahiran wajib diberikan kepada pengasuh sebelum boleh menjadi pengasuh dan penjaga.

●     Perketatkan Akta Pembukaan Taska

Walaupun telah ada undang-undang berkaitan pembukaan dan penubuhan taska daripada pihak Kementerian, ianya perlu diperketatkan dan selalu dikawal selia oleh pihak berwajib.

Setiap daerah mesti diletakkan satu wakil yang akan menjaga dan memantau taska yang didaftar di dalam daerahnya.

●     Penyediaan latihan dan kawal selia pengasuh berdaftar

Selain mewajibkan pendaftaran pengasuh, maklumat berkaitan mereka mestilah boleh dicari dalam satu sistem database pengasuh yang mengandungi maklumat peribadi, termasuk rekod kesihatan (terutama mental health screening), pendidikan, sijil yang selayaknya.

Pengasuh yang berdaftar wajib mengikuti latihan yang disediakan serta akan dipantau secara berkala bagi memastikan kualiti penjagaan terjamin.

Kami Muslimat PAS dengan tegas mengambil berat isu ini demi menjaga hak dan keselamatan anak-anak terutama bayi yang masih kecil.

Hal ini diharap tidak berlaku lagi dan pihak berkuasa mesti mengambil tindakan yang sewajarnya agar kesedaran timbul bagi para pengasuh untuk sentiasa berjaga-jaga serta amanah dalam melaksanakan tugasan masing-masing.

ROSNI ADAM
Timbalan Ketua
Dewan Muslimat PAS Malaysia
4 Julai 2018 bersamaan 20 Syawal 1439 - HARAKAHDAILY 4/7/2018

 

ALHAMDULILLAH. Dengan pembentukan Kabinet penuh Kerajaan Malaysia yang mengangkat sumpah jawatan semalam (3 Menteri Persekutuan lagi yang akan dilantik Senator akan diumumkan kemudian), maka lengkaplah pembentukan Kabinet Kerajaan Malaysia dan Kabinet Kerajaan Negeri-negeri.

Sebagaimana dimaklumi, pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Pakatan Harapan (PH) menguasai 7 buah negeri iaitu Pulau Pinang, Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. Gagasan Sejahtera atau secara spesifik Parti Islam Se-Malaysia (PAS) pula menang di 2 buah negeri iaitu Kelantan dan Terengganu.

Sementara itu, Barisan Nasional (BN) yang majoritinya dari United Malays National Organization (Umno) menguasai Perlis dan Pahang, manakala gabungan parti pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan) menunjangi Sabah. Seterusnya Gabungan Parti Sarawak (PBS) yang juga mantan BN ditunjangi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) memerintah di Sarawak pasca Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) pada tahun 2016.

Di peringkat Kabinet Kerajaan Persekutuan, boleh dikatakan ianya adalah pembahagian hampir sama rata antara 4 komponen PH dan turut dianggotai Warisan. Bahkan ia tidak dibuat berdasarkan jumlah kerusi dimenangi dalam PRU14, malah dibuat mencerminkan peratusan penduduk di Malaysia. Saya secara peribadinya bersetuju dengan komposisi Jemaah Menteri dan Timbalan Menteri, meskipun tidak disukai oleh DAP yang telah menzahirkan kekecewaan mereka!

Berikut merupakan pecahan Jemaah Menteri dan Timbalan Menteri Kerajaan Malaysia. Ia terdiri dari:

●     Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu): Perdana Menteri, 5 Menteri dan 4 Timbalan Menteri.

●     Parti Keadilan Rakyat (PKR): Timbalan Perdana Menteri, 7 Menteri dan 7 Timbalan Menteri.

     Demokratic Action Party (DAP): 6 Menteri dan 6 Timbalan Menteri

     PAN: 5 Menteri dan 4 Timbalan Menteri

     Warisan: 3 Menteri dan 2 Timbalan Menteri.

Satu fakta yang menarik juga ialah hanya 7 Ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak terpilih menyertai Jemaah Menteri dan Timbalan Menteri iaitu berkurangan daripada 17 dalam pentadbiran lalu. Untuk Sarawak, hanya seorang Menteri iaitu Menteri Kerja Raya, Baru Bian (PKR) dan seorang Timbalan Menteri memegang portfolio Perdagangan Dalam Negeri iaitu Chong Chien Jen (DAP).

Manakala di Peringkat Negeri pula, terdapat 3 Menteri Besar atau Ketua Menteri dari PPBM (Johor, Perak dan Kedah), PKR 2 (Selangor dan Negeri Sembilan), PAS 2 (Kelantan dan Terengganu), Umno 2 (Perlis dan Pahang), DAP 1 (Pulau Pinang), PAN 1 (Melaka), Warisan 1 (Sabah) dan PBB 1 (Sarawak).

Secara keseluruhannya, DAP menguasai kerusi Exco terbanyak di 5 buah negeri iaitu Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor, PKR 2 (Selangor dan Kedah), PAS 2 (Kelantan dan Terengganu), Umno 2 (Perlis dan Pahang), Warisan 1 (Sabah) dan PBB 1 (Sarawak).

Jumlah Kerusi Exco termasuk Menteri Besar atau Ketua Menteri di seluruh negara mengikut parti adalah seperti berikut: 33 DAP, 23 PKR, 22 PAS, 19 Umno, 14 PAN, 10 PPBM, 8 PBB, 6 Warisan, 2 Parti United Pasokmomogun Kadazan Organization (UPKO) dan masing-masing satu Parti Rakyat Sarawak (PRS), Sarawak United People Party (SUPP), United People Party (UPP) dan Malaysian Chinese Association (MCA).

Maka tidak salahlah status posting saya seusai PRU14 yang lepas bahawa pemenang sebenar PRU14 ialah DAP, meski ramai pada masa tersebut tidak bersetuju dengan posting tersebut!

Perincian Kedudukan Menteri Besar, Ketua Menteri, Timbalan Ketua Menteri dan Exco mengikut Negeri adalah seperti berikut:

●     Perlis Indera Kayangan
Menteri Besar: Umno
Exco: 7 Umno dan 1 MCA

●     Kedah Darul Aman
Menteri Besar: PPBM
Exco: 4 PKR, 3 PAN, 2 PPBM dan 1 DAP

●     Pulau Pinang
Ketua Menteri: DAP
Timbalan Ketua Menteri 1: PKR
Timbalan Ketua Menteri 2: DAP
Exco: 6 DAP dan 2 PKR

●     Perak Darul Ridzuan
Menteri Besar: PPBM
Exco: 5 DAP, 3 PAN dan 2 PKR

●     Selangor Darul Ehsan
Menteri Besar: PKR
Exco: 4 PKR, 3 DAP, 2 PAN dan 1 PPBM

●     Negeri Sembilan Darul Khusus
Menteri Besar: PKR
Exco: 5 DAP, 3 PKR dan 2 PAN

●     Melaka Bandaraya Bersejarah
Ketua Menteri: PAN
Exco: 5 DAP, 2 PKR, 2 PPBM dan 1 PAN

●     Johor Darul Takzim
Menteri Besar: PPBM
Exco: 4 DAP, 2 PKR, 2 PAN dan 2 PPBM

●     Pahang Darul Makmur
Menteri Besar: Umno
Exco: 10 Umno

●     Terengganu Darul Iman
Menteri Besar: PAS
Exco: 10 PAS

●     Kelantan Darul Naim
Menteri Besar: PAS
Exco: 10 PAS

●     Sabah Negeri Di Bawah Bayu
Ketua Menteri: Warisan
Timbalan Ketua Menteri 1: UPKO
Timbalan Ketua Menteri 2: PKR
Timbalan Ketua Menteri 3: Warisan
Menteri: 4 Warisan, 2 DAP dan 1 UPKO

●     Sarawak Bumi Kenyalang
Ketua Menteri: PBB
Timbalan Ketua Menteri 1: PBB
Timbalan Ketua Menteri 2: PRS
Timbalan Ketua Menteri 3: PBB
Menteri: 5 PBB, 1 SUPP dan 1 UPP

Saya dan seluruh rakyat mendoakan semoga semua Pimpinan Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri-negeri mampu melaksanakan amanah dengan baik dan menunaikan manifesto yang dijanjikan!

Insha-Allah penulisan ini akan bersambung dengan harapan saya kepada Kabinet Kerajaan Malaysia. - HARAKAHDAILY 3/7/2018

 

KENAIKAN tarif elektrik yang berlaku, tanpa dapat diatasi oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) adalah sangat mendukacitakan. Padahal 'Kurangkan Beban Rakyat' adalah antara janji utama PH.

Telah hampir 100 hari Malaysia di bawah PH, namun rakyat masih belum benar-benar merasai penurunan harga barangan sekalipun GST sifar diumumkan. Lebih mencemaskan adalah kegagalan kerajaan dalam menurunkan harga minyak, dan terbaru kenaikan tarif elektrik sektor komersial. Dan ini juga tidak dibantu oleh dakwaan mengelirukan daripada Menteri Pertanian bahawa harga barangan turun 30-50 peratus.

Adakah beban rakyat dapat dikurangkan? Jangkaan banyak pihak kenaikan tarif elektrik ini akan menaikkan harga barangan secara keseluruhan.

Saya berpandangan rakyat keseluruhan lebih benar-benar menikmati tanda harga barangan yang murah dan turun harganya, berbanding seronok melihat berita-berita propaganda politik dalam media. Malangnya ia masih belum benar-benar berlaku bagi 'Malaysia Baharu'.

Persoalan saya apakah jaminan dan mekanisme kerajaan dalam menangani kemungkinan kenaikan harga barang, lanjutan dari kenaikan tarif elektrik bagi sektor komersial. Saya menanti jawapan daripada kerajaan, terutama Menteri KPDNKK yang baru mengangkat sumpah semalam.

AHMAD MARZUK SHAARY
Ahli Parlimen Pengkalan Chepa
3 Julai 2018 - HARAKAHDAILY 3/7/2018

 

More Articles ...